akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

ALUMNI DEBAT UIAM: WAN ROHIMI DIMINTA KEKALKAN MANDAT SEBAGAI PRESIDEN!

 

30/3/2007, Tasik Kenyir, Kuala Berang: Persatuan Bekas Ahli Kelab Debat Bahasa Melyu UIAM Kuala Lumpur (atau Alumni Debat UIAM) telah menganjurkan program "Hari Keluarga" dan Mesyuarat Agung Persatuan kali ke-5 telah diadakan pada 29/3/2007 hingga 1/4/2007 di Kenyir Sanctuary Resort, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu. Seramai lebih 30 orang perwakilan telah hadir bersama keluarga masing-masing, untuk memeriahkan program tersebut dan menyertai mesyuarat agung tahunan yang banyak meluluskan usul-usul yang panas lagi sensasi, serta majlis pengumuman anugerah-anugerah yang telah dicadangkan. Senarai usul-usul dan pemenang anugerah-anugerah yang berkenaan akan disiarkan dalam website persatuan itu dalam sedikit masa lagi.

 

Mesyuarat Agung Tahunan persatuan tersebut dengan sebulat suara menolak permintaan Wan Rohimi Bin Wan Daud (Presiden Alumni Debat UIAM sesi 2005/2007), untuk berundur dari jawatan Presiden dan memberikan laluan kepada generasi muda bagi memimpin persatuan itu. Tanpa teragak-agak dan penuh keyakinan, Wan Rohimi telah menamakan En. Yusfarizal Bin Yussoff (Setiausaha Agung persatuan) untuk mengambil alih jawatan Presiden. Berikut adalah sedutan ucapan beliau, dalam satu ucapan yang penuh dramatik dan berakhir hampir  mencecah 2 jam, seperti berikut:

"Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rafat sembah dan setulus terima kasih, atas sokongan dan dokongan yang Tuan-Tuan berikan kepada saya untuk memimpin persatuan kerdil ini. Saya mungkin banyak melakukan kesilapan, yang mungkin tanpa sedar, atau secara sengaja, kerana terkadang apa yang saya lakukan dengan sedar, ditafsirkan sebagai silap oleh sebahagian kita.. Saya bersyukur kerana terpilih untuk merakamkan sejarah diri dalam episod manis yang penuh berliku-liku ini. Saya sedar saya mungkin seorang pemimpin yang degil dan keras, dan penuh kontroversi. Jarang sekali saya mengambil sikap "playsafe" dan bermuka-muka bilamana saya digamit cabaran untuk menyatakan pendirian saya ke atas sesuatu perkara, terutama yang melibatkan perkembangan dan dunia debat adik-adik kita di kampus. Ketika ini, hampir semua mereka mencerca kita, menghina kita, dan gerakan untuk menghapuskan pengorbanan dan perjuangan kita, serta percubaan untuk memadamkan sejarah kegemilangan debat UIAM, tidak pernah penat dan digerakkan sepanjang masa..! Terkadang pendirian yang saya ambil sebagai individu, ditafsirkan sebagai pendirian persatuan, dan begitulah sebaliknya. Cukuplah sudah! Sepanjang 2 tahun saya menghuni anjung ini, segala sepak teranjang telah berjaya kita lalui bersama. Atau sekurang-kurangnya pertahanan kita masih kebal. Ikatan persaudaraan dan kekuatan mental kita masih ampuh.. Bukan kerana saya, dan bukan kerana kekitaan kita.. tetapi kerana hati-hati kita dapat melihat dengan jelas betapa kelab debat UIAM diperkudakakan dengan penuh sonsang untuk memenuhi kantung individu tertentu sahaja.. Anda, saya dan kita semua telah masak dengan permainan mereka. Tetapi kita masih bersimpati dengan adik-adik kita, yang masih asyik dengan momokan dan tohmahan sedemikian, walau bukti masih terhidang di hadapan mereka.

 

Saya sedar, setiap kali saya dilantik sebagai Presiden anda, samada melalui Alumni ini, atau sewaktu dinobatkan sebagai Presiden Debat UIAM 10 tahun dahulu, sikap dan perangai saya tidak pernah berubah.. Saya pasti bertempur dengan kuasa, kegilaan, korupsi dan pecah amanah. Saya bimbang, anda mungkin terasa kehilangan sesuatu disebabkan sikap seorang Presiden yang sentiasa melawan seperti ini. Saya bimbang, gerak nadi saya akan mencemarkan kepentingan anda semua. Tetapi seawal saya mengetuai pengistiharan perang terhadap Penasihat Kelab Debat UIAM, sejak Nizam dimalu dan disingkirkan dari pasukan, sejak Zairul Isham dipecat dari jawatan Ketua Jurulatih Pusat Matrikulasi UIAM, dan lain-lain insiden yang tidak masuk akal, lantaran kegagalan Penasihat Debat UIAM menjelaskan beberapa misteri kehilangan wang penajaan dan salah-urus dana kelab debat, saya telah berjanji kepada diri saya bahawa saya tidak akan berpaling lagi, walau keseorangan, sehingga segala ini dibetulkan, dan penjenayah diheret ke muka pengadilan..

 

Tuan-Puan,

Saya ingin menyatakan di sini, bahawa tempoh 2 tahun yang penuh kontroversi ini, telah berjaya kita lalui. Selepas ini, kita akan membuka fasa baru untuk mengheret individu tertentu ke medan yang lebih terbuka, untuk membersihkan najis-najis yang pernah dipalitkan! Ini janji dan sumpah kita, dan saya berharap

kita diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Adik-adik kita dikampus perlu diselamatkan, dan dikembalikan ke alam yang nyata.. sebelum kita membuat lambaian terakhir kepada mereka! Dengan mihnah dan ujian yang telah kita lalui bersama, saya yakin saya dapat mengenali hati budi Tuan-Tuan dengan lebih mendalam lagi. Oleh itu, saya fikir Alumni ini, mempunyai ramai pemimpin yang berbakat, yang "sensible", dan paling penting adalah yang amanah dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Saya fikir saya bukanlah yang terbaik dari kalangan anda, dan ramai lagi yang masih layak di bawah sana. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa, saya akan berundur dari jawatan Presiden ini dan enggan menawarkan diri dari terus bertanding. Saya ingin bersama anda di bawah sana, sebagai seorang ahli biasa atau AJK biasa, yang tidak lagi memegang watak seorang Imam. Dan saya fikir calon terbaik untuk mengisi jawatan ini, adalah saudara Yusfarizal, Setiausaha Agung kita atas sifat kepimpinan beliau yang semakin terserlah, berani dan bertanggungjawab. Oleh itu saya berharap Tuan-Tuan dapat memberikan peluang kepada saudara Yusfarizal untuk memimpin persatuan ini bagi penggal 2007/2009."

 

Sebaik mengakhiri ucapan tersebut, saudara Yusfarizal bangun mengemukakan usul tergempar untuk menolak bahagian akhir ucapan Presiden itu, dan memohon pertimbangan Wan Rohimi untuk terus mengemudi Alumni Debat UIAM. Yusfarizal bangkit dan memulakan ucapannya seperti berikut: "Tuan-Tuan sekalian, saya menghargai ucapan Wan Rohimi dan pencalonan serta kempen beliau supaya saya diangkat sebagai Presiden, saya amat hargai dan amat menjunjung kasih. Walau bagaimana pun, saya yakin kepimpinan Wan Rohimi telah teruji dengan begitu dahsyat dan beliau telah berjaya mempamerkan sifat kepimpinan yang tinggi dalam menangani krisis semasa. Saya yakin kita masih amat perlukan beliau untuk terus mengemudi persatuan ini bagi tempoh sepenggal lagi. Beliau adalah seorang pemimpin perang (a war leader) yang sukar ditandingi.. Gerak nadinya, sentuhan misinya, dan gundah-mindanya banyak membantu perjuangan kita untuk menyelamat legasi amanah yang pernah kita bina. Kita tidak mampu untuk kehilangannya sebagai Panglima dibarisan hadapan. Oleh itu saya mohon pertimbangan Tuan-Tuan untuk menolak permintaan Wan Rohimi dari berundur sebagai Presiden, dan saya memohon supaya saudara Presiden mempertimbangkan kembali keputusan beliau..." Ucapan Yusfarizal disokong sebulat suara oleh para perwakilan.

 

Sebaik duduknya Yusfarizal, beberapa perwakilan mengambil bahagian dalam perbahasan menolak permintaan Wan Rohimi untuk berundur.. Untuk menteramkan keadaan, mesyuarat tersebut telah ditangguhkan pada sebelah malam untuk meneruskan pemilihan jawatan persatuan. Akhirnya, Dewan Kelah pada sebelah malamnya telah menyaksikan bahawa Wan Rohimi telah mengumumkan bahawa disebabkan desakan yang begitu tulus, dan rayuan dari keseluruhan para perwakilan, maka beliau dengan rendah hatinya menerima pencalonan Presiden Alumi Debat bagi penggal ke-2, sesi 2007/2009, dan pencalonan tersebut disokong sebulat suara. Manakala Yusfarizal pula telah secara sebulat suara dipilih sebagai Naib Presiden 1, bersama-sama dengan Naib Presiden 2, Mohd Azri Bin Ibrahim.

 

Laporan lanjut Ahli-Ahli Jawatankuasa dan lain-lain agenda mesyuarat akan disiarkan di website Alumni Debat UIAM dalam sedikit masa lagi..

 

 

 

 

SANTAI.. Presiden dan sebahagian perwakilan Alumni Debat sedang bersantai

di ruang legar Kenyir Sanctuary Resort sambil menunggu bot untuk melawat

air terjun Tasik Kenyir.

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian