akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

SEPARUH AKHIR DEBAT KEMERDEKAAN 2006: UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA TERSUNGKUR JUA!

Petaling Jaya, 21-8-2006: Gelaran Johan Debat Alam Sekitar 2006 yang diraih kira-kira 20 hari sebelum menjelang pertandingan pusingan separuh akhir Debat Kemerdekaan 2006 pagi tadi, nyata tidak memberikan apa-apa kelebihan buat pasukan UIAM. Momentum dan aura kemenangan Debat Alam Sekitar 2006 gagal dimanfaatkan. Walau pun muncul sebagai pasukan yang menduduki carta teratas liga, UIAM tetap tersungkur dan ranap diratah pasukan debat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam perlawananan yang penuh dramatik siang tadi. UIAM yang membariskan pendebat berpengalaman seperti Mohd Daud Mat Din, Shamsul Qamar Abd Rani dengan dibantu oleh Mohd Zaki dan Nurul Ainna (simpanan) kelihatan tidak bermaya untuk menyerap asakan dan serangan bertubi-tubi dari UTM. Tekanan yang dialami oleh UIAM sepanjang perlawanan jelas kelihatan dari riak wajah pendebat-pendebat mereka. Katarsis bahasa dan tunjang retorik lebur dan berkecai dibaham sang singa luka dari UTM, Khairul Afsan.

Walau pun kemenangan yang diperolehi UTM hanya dengan juri 3 - 2, tetapi kegarangan pasukan UTM bermula seawal Perdana Menteri (UTM) bangun untuk membentangkan usul: PRASARANA KITA KELAS PERTAMA, MINDA KITA KELAS KEDUA. Khairul Afsan yang muncul sebagai Pendebat Terbaik perlawanan tersebut, ternyata tidak menghampakan penyokong-penyokong UTM untuk terus mengungguli pertarungan minda yang amat sengit itu. Seperti singa luka, Khairul Afsan sentiasa berjaya mencuri lakuna retorik yang dicetuskan UIAM untuk menghukum pasukan yang berada di carta teratas liga itu. UTM kelihatan bangkit dengan penuh bertenaga, setelah gagal menyertai pusingan suku akhir Debat Alam Sekitar 2006, untuk mengembalikan kegemilangan pasukan mereka. Ternyata dua muka baru UTM yang mengapit Khairul Afsan, tidak menghampakan pasukan mereka. UTM dibarisi oleh Zulkifli Idris, Khairul Afsan Abu Bakar, Mohd Sharifuddin Nazri dan Mohd Amran Mohd Yusof (simpanan).

Bagi perlawanan akhir Debat Kemerdekaan 2006, UTM akan bertarung dengan tuanrumah, UM pada esok hari.

BERTENAGA: Khairul Afsan (UTM) kelihatan gagah mencetus denai kemenangan UTM

 KELIRU: Mohd Daud dan Shamsul Qamar (UIAM) berkerut-kerut menghitung

detik-detik kekalahan..

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian