akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

Debat Alam Sekitar 2006: Jabatan Alam Sekitar harapkan kematangan berhujah           

Putrajaya, 20.7.2006 - Jabatan Alam Sekitar mengharapkan para peserta bagi pertandingan Debat Alam Sekitar 2006 lebih bijak serta matang dalam mengupas serta membahaskan isu-isu alam sekitar berdasarkan keperluan terkini dalam konteks Dasar Alam Sekitar Negara (DASN), yang menggabungkan tiga elemen pembangunan lestari utama iaitu pembangunan ekonomi, sosial dan budaya, dan perlindungan alam sekitar.  

Para pendebat diharap membuat persediaan yang rapi dan memberi penekanan kepada ketepatan fakta, kematangan berhujah serta mengambil contoh-contoh dan fakta kes yang relevan dengan tuntutan semasa bagi membantu Jabatan itu serta inisiatif Kerajaan untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu alam sekitar.  

Penghujahan yang bernas dengan disulami dengan fakta yang relevan akan mempamerkan daya keintelektualan mahasiswa supaya lebih disegani dan dihormati oleh masyarakat. Budaya “kitar semula” (recycle) fakta-fakta yang masih tersimpan dalam bank data bagi setiap pasukan debat dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) hanya akan mempamerkan kelemahan pengurusan pasukan, ketandusan sistem kejurulatihan yang berkesan serta kualiti perdebatan yang lemah. 

“Saya berharap semua pendebat akan sentiasa menampilkan kepelbagaian dan variasi contoh-contoh yang relevan dan semasa, bagi menyokong setiap hujah-hujah mereka. Panel hakim mempunyai keupayaan untuk menilai pasukan yang boleh dianggap lemah, kerana hanya menggunapakai satu set fakta kes di sepanjang kejohanan debat” Begitulah keluhan En. Rosli Bin Osman, Timbalan Pengerusi Bersama Pertandingan Debat Alam Sekitar 2006 sewaktu dikunjungi akademidebat.com di Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Putrajaya, petang semalam. 

“Kurangnya kesungguhan para pendebat untuk membuat kajiselidik yang sistematik dan menyeluruh tentang isu-isu pemuliharaan alam sekitar akan membantutkan usaha Jabatan Alam Sekitar bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu alam sekitar” katanya lagi. 

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar telah mengesahkan bahawa sebanyak 20 pasukan dari IPTA dan IPTS telah memaklumkan penyertaan mereka dalam pertandingan Debat Alam Sekitar pada tahun ini. Universiti Darul Iman (UDN), iaitu sebuah universiti terbaru yang lahir di negara ini juga telah mengesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan Debat Alam Sekitar 2006.

Pada tahun ini, tuan rumah bagi pertandingan debat yang paling lama di Malaysia ini (sejak 1991) akan diadakan di Universiti Sains Malaysia dari 28 – 31 Julai, 2006. Pertandingan Debat yang tertua di Malaysia ini dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM). 

Dalam pertemuan itu, akademidebat.com telah diberi taklimat dan penerangan tentang persiapan terkini yang sedang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, bagi memastikan kelancaran pertandingan debat tersebut. En. Rosli Bin Osman, dengan dibantu oleh En. Wan Asrizu Bin Wan Abdul Rashid dan Cik Azlina Bt Omar kelihatan bergitu bersemangat untuk menyambut ketibaan pertandingan debat yang amat berprestij ini. Ganjaran hadiah RM 8,000-00 bagi pasukan yang akan muncul sebagai Johan pertandingan jelas memperlihatkan keseriusan dan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam menyuntik kesedaran rakyat dan masyarakat pengguna tentang kepentingan alam sekitar untuk terus dipulih dan diperlihara. Sudah tentu langkah dan komitmen berterusan Jabatan Alam Sekitar perlu dipuji dan disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat. Justeru pendebat diharap akan mempergunakan peluang ini sebaik mungkin bagi mengutarakan idea bernas dalam membahaskan setiap tajuk yang telah diberikan. 

Akademidebat.com berharap dunia debat akan terus menggungguli dunia sukan intelek negara ini, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan punya jatidiri yang tinggi.

 Sekian.

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian