akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

Debat Alam Sekitar 2006: UIAM dijangka gagal pertahankan kejuaraan

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud 

Pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijangka gagal mempertahankan kejuaraan Debat Alam Sekitar bagi tahun 2006. Berdasarkan sumber koresponden akademidebat.com, pasukan UIAM dijangka akan menurunkan Mohd Daud Mat Din, Jefri Khairil Bin Zabri, Mohd Raihan Bin Mohd Khalip dan Umi Hamidatun Bt Sofian Lee. Congakan di atas kertas, hanya Daud sahaja yang kelihatan agak berpengalaman dalam Debat Alam Sekitar. Jefri dan Raihan adalah pendatang baru kepada Debat Alam Sekitar. Bahkan, Umi Hamidatun adalah pendatang baru kepada dunia debat. Akademidebat.com menjangkakan Umi Hamidatun akan memanaskan baku simpanan semata-mata. 

Pasukan debat UIAM kali ini tidak menyenaraikan Shamsul Qamar Abdul Rani dan Adira Bt Adnan atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pengurusan pasukan mereka sahaja. Khairul Nizam Bin Bakeri, sudah lama dihalang dari menyertai pasukan debat UIAM sebaik tamatnya debat FOMCA pada tahun 2005. Oleh itu, nampaknya UIAM kehilangan dua tonggak utama yang sebelum ini sentiasa menjadi “ankor” kepada pasukan UIAM. Dalam apa keadaan pun, Daud bukanlah gantian kepada Khairul Nizam mahupun Shamsul Qamar. Khairul Nizam dan Shamsul Qamar mungkin boleh dianggap berada pada kelas yang sama, walau pun saya masih yakin bahawa Khairul Nizam lebih baik daripada Shamsul Qamar. Tetapi yang penting, Daud tidak tergolong dalam kelas kedua-dua mereka. Walau pun Daud sentiasa tersenarai dalam pasukan utama debat UIAM, tetapi Daud tidak mempunyai wibawa dan keupayaan untuk memimpin pasukan. Intim

Daud yang pernah kita kenali adalah pendebat hitam berkecil molek yang dulunya amat istimewa dalam pasukan debat UIAM. Kerana dalam sinar dan kerlipnya itu, kepetahan bercakap, kecekapan mempertontonkan gaya dan intonasi amat memukau! Bagi pemimpin sorak, sudah tentu sewaktu Daud bercakap, akan hebatlah soraknya... Tetapi jangan dilupakan bahawa alam perdebatan hari ini sifatnya amat menuntut kematangan berhujah. Bermain dengan tarian kata yang bombastik tidak akan memberikan apa-apa kelebihan jika tidak menyokong kes sendiri. Kelemahan utama Daud ialah lambat panas dan kurang cekap untuk meletakkan kes sebagai kerajaan, untuk benteng pertahanan selaku pembangkang, tidak berhati-hati dalam menggariskan kriteria dan kayu ukur kunci perdebatan, atau untuk menentanganya, mudah tertarik kepada rentak lawan sehingga lupa asas kes sendiri, bahkan debat terbuka jarang menyaksikan apa-apa kekuatan! Paling membimbangkan UIAM ialah kelemahan Daud dalam mengawal emosi sendiri. Beliau kelihatan mudah dicabar dan ditelan baran sendiri, yang akibatnya akan memendekkan akalnya yang sudah sedia pendek itu.

Text Box: INTIM: Daud dan kenalannya
Sejak beberapa pertandingan yang lalu, jurulatih UIAM telah menurunkan Daud selaku pendebat kedua. Saya berpendapat langkah jurulatih UIAM ini akan memburukkkan lagi keadaan… menempatkan Daud sebagai pendebat kedua UIAM akan hanya memberikan kelebihan peribadi kepada Daud untuk muncul sebagai pendebat terbaik perlawanan semata-mata, tetapi akan merosakkan pasukan mereka. Daud mesti seronok tetapi pasukan akan lemah. Posisi sedemikian akan meletakkan pendebat pertama dan pendebat ketiga terkial-kial untuk mengurangkan lakuna perdebatan yang bakal dicetuskan Daud apabila bangun sebagai pendebat kedua. Keselesaan berhujah membentangkan kes sebagai pendebat pertama, yang tidak perlu mengikut denai yang dicipta oleh pendebat didepannya, akan sentiasa menghantui Daud.. Oleh itu beliau akan membentangkan kesnya sendiri, walau pun mungkin bercanggah, atau mempunyai simptom-simptom percanggahan kes yang boleh digunakan oleh lawan untuk menyerang balas.

Oleh itu, jika UIAM menurunkan Raihan selaku pendebat pertama, dan Jefri selaku pendebat ketiga, pastinya UIAM akan menempah jalan keluar dengan lebih cepat! Kedua-duanya masih terlalu lemah dan naif untuk berperanan dalam posisi masing-masing jika tidak mempunyai “ankor” pasukan yang kuat dan sedia membantu. Apabila saya dimaklumkan tentang kekalahan UIAM pada peringkat suku akhir Debat Intergriti Perdana 2006 kepada UTM, walau pun berdasarkan ranking 5 pusingan awal UIAM mendahului senarai dengan ranking teratas (No. 1) dan muncul sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah, dan bertembung UTM selaku pasukan terakhir yang layak ke suku akhir (ranking No. 8), berita tersebut tidaklah mengejutkan saya dan akademidebat.com! Benar, kami sudah menjangkakan lama sebelum itu. Terbaru saya dimaklumkan tentang kekalahan UIAM pada peringkat suku akhir Debat FOMCA, juga tidak mengejutkan dan sudah dijangkakan. Bahkan, kami sudah lali dengan berita demi berita tentang kekalahan UIAM sejak Debat Alam Sekitar tahun 2005. Namakan saja apa jua pertandingan, Debat Arkib, Debat Diraja dan lain-lain, UIAM pasti tersungkur dengan penuh mengaibkan. 

Kelemahan yang paling mengakar kepada segala kekalahan ini ialah keghairahan para jurulatih baru UIAM untuk merubah sistem kejurulatihan yang pernah dibina oleh jurulatih-jurulatihnya yang terdahulu. Zaman emas UIAM nampaknya sudah berakhir dengan perletakan jawatan berama-ramai (en-bloc) para jurulatihnya sejurus selepas Debat Alam Sekitar 2005. Saya sendiri, Yusfarizal Bin Yussof, Zairul Isham Bin Abdul Malik, Muhd Azmi Bin Talib, Faizi Bin Che Abu, Mohd Azri Bin Ibrahim, Mohd Khairil Bin Abidin dan lain-lain jurulatih sokongan telah bersepakat untuk “resigned en-bloc” disebabkan krisis intergriti dengan beberapa individu tertentu yang kelihatan tidak telus dan gagal menunaikan amanah serta gagal menjelaskan beberapa transaksi “dubious” tentang perjalanan kewangan kelab. Sehingga hari ini, persoalan yang dibangkitkan masih lagi belum dijawab oleh pihak-pihak terbabit. Apakan daya, mereka berada di anjung kuasa! Kami hanya dagang yang merantau! 

Lantaran dari itu, jurulatih gantian telah diarah seboleh mungkin supaya cuba memadamkan “legasi” yang pernah kami tinggalkan. Segala sistem disiplin, kreativiti, kepimpinan pasukan dikesampingkan atau apa-apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan kami, atau mengembalikan minda pendebat kepada kami hendaklah diubah dan dihapuskan! Mereka sanggup memanjakan pendebat semata-mata untuk meraihkan sokongan para pendebat walau pun mereka tahu kemanjaan yang diberikan akan hanya menjadi barah ke dalam pasukan. Membenarkan Ketua Pasukan Sorak dan Pemantun terbaik menjadi Jurulatih akan terus “meletihkan” pasukan UIAM, dan merupakan kesilapan besar yang dilakukan dalam sejarah kejurulatihan UIAM. Sehingga sistem ini tidak dikembalikan, selagi itulah UIAM akan menjadi pakar “suku akhir” dalam mana-mana pertandingan debat. Sudah tentu, sistem yang baik tidak akan dapat dikembalikan, selagi “kerbau yang membawa lumpur” masih bertenggek di anjung kuasa. 

Walau apa pun  komen saya terhadap Daud dan keseluruhan pasukan debat UIAM, saya percaya mereka mempunyai asas dan kekuatan peribadi yang amat bernilai dalam dunia debat. Tinggal lagi bakat dan kekuatan mereka gagal dicerakinkan dengan baik oleh jurulatih-jurulatih dan juruletih mereka. Hakikat bahawa UIAM sentiasa muncul antara pasukan terbaik sewaktu pusingan awal, atau penentuan ranking pasukan, membuktikan keupayaan peribadi pendebat-pendebatnya masih lagi berbisa. Tetapi sebaik sahaja mereka melangkah ke peringkat kalah mati, pastinya UIAM akan tersungkur. Kenapa hanya setahun ini perkara ini berlaku? Sindrom kalah mati? Di sinilah letaknya legasi yang pernah kami tinggalkan..!

 

# Penulis adalah Bekas Ketua Jurulatih pasukan debat UIAM bagi tahun 2000 – 2005

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian