akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

DEBAT ALAM SEKITAR 2007: UIAM DAN UKM KE PENTAS AKHIR

 

 

30/7/2007, USIM, Nilai - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengejutkan ramai pemerhati dengan menewaskan pasukan pilihan Universiti Malaya untuk mengiringi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke pentas pertandingan akhir bagi Debat Alam Sekitar yang akan diadakan pada esok, 31/7/2007 di Kampus USIM, Nilai, Negeri Sembilan. Bertindak selaku Kerajaan untuk membentangkan usul: "Sudah Tiba Masanya Alam Sekitar Menjadi Agenda Utama Negara", UKM berjaya menumpaskan pasukan UM dalam pertarungan sengit itu untuk muncul sebagai pemenang dengan juri 3 - 2. Pendebat Terbaik bagi pertandingan tersebut dimenangi oleh Ali Asyraf dari UM. Untuk rekod, kali pertama dan terakhir UKM pernah muncul sebagai Johan Debat Alam Sekitar ialah pada tahun 2001.

 

Manakala dalam satu perkembangan yang lain, UIAM selaku Juara bertahan bagi Piala Debat Alam Sekitar tahun 2006 dan 2005, telah berjaya menumbangkan pencabar terdekatnya, UiTM dengan juri majoriti 4 - 1 untuk memastikan laluan ke pertandingan akhir yang akan diadakan pada esok hari. Pendebat terbaik bagi pertandingan ini adalah Saudari Farhan dari UIAM. UIAM juga bertindak sebagai Kerajaan telah membentangkan usul yang sama iaitu, "Sudah Tiba Masanya Alam Sekitar Menjadi Agenda Utama Negara. Untuk rekod, UIAM telah muncul Johan pertandingan Debat Alam Sekitar ini secara berturut-turut sejak tahun 2005, 2006 dan sekiranya UIAM berjaya muncul sebagai Johan pada esok hari, UIAM akan muncul sebagai universiti kedua selepas USM untuk melakukan kejuaraan hatrik bagi pertandingan ini, dan jika sekiranya peraturan lama yang membenarkan pasukan Juara hatrik menyimpan Piala Pusingan, maka Jabatan Alam Sekitar hendaklah berkira-kira untuk menempah piala baru bagi tahun 2008. USM telah muncul sebagai Juara hatrik bagi tahun 1995, 1996 dan 1997. Setakat ini, UIAM merupakan satu-satunya pasukan yang paling banyak menjuarai pertandingan Debat Alam Sekitar iaitu sebanyak 5 kali - 1992, 2000, 2003, 2005 dan 2006. Pencabar terdekatnya adalah pasukan UM selaku Juara 4 kali - UM (1993, 1998, 2002 dan 2004). Apakah kali ini UIAM akan mampu menambah koleksi kejuaraannya? Kita nantikan..

 

AD mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan yang bakal berentap pada esok pagi dan berharap keduanya akan mempamerkan mutu dan kualiti perdebatan yang membanggakan!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian