akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

DEBAT PIALA DIRAJA 2006: UNIMAS SUDAH BERSIAP SEDIA

 

 

Kota Samarahan, Sarawak, 23-11-2006: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada waktu ini telah pun bersiap sedia menanti kunjungan kontinjen-kontinjen debat dari seluruh Malaysia. Pelbagi persiapan seperti penginapan peserta, dewan pertandingan, urusetia, dewan makan, bilik teknikal hakim dan lain-lain keperluan telah pun hampir sempurna diuruskan. Semuanya hanya menanti kedatangan para pendebat, penyokong dan juga pegawai-pegawai universiti. Bagi sesiapa yang masih belum pernah menjejakkan kaki ke UNIMAS, peluang ini hendaklah diambil sebaik mungkin kerana UNIMAS adalah sebuah universiti yang berada di pesisir pantai dan merupakan antara sebuah universiti yang mempunyai senireka bangunan dan landskap yang tercantik di Asia Tenggara. Suasana damai yang mesra alam tentunya akan memberikan sedikit ketenangan kepada para peserta, dalam menangani tekanan pertandingan Debat Diraja kali ini. Pasar Satok sudah tentu akan menjadi sasaran pengunjung untuk membeli-belah terutama bagi peminat Ikan Terubuk Masin.

 

Namun, Debat Diraja kali ini mencatatkan sejarah apabila buat kali pertamanya, pertandingan debat bagi kategori bahasa melayu akan dipisahkan daripada pertandingan debat kategori bahasa inggeris. Pasukan debat bagi kategori bahasa inggeris akan menginap dan bertanding di Kampus UiTM cawangan Sarawak.

 

Sewaktu buletin ini ditulis, persekitaran UNIMAS sudah dipenuhi dengan poster dan bunting yang mengalu-alukan kedatangan para peserta serta lain-lain publisiti yang begitu meriah dan menawan. Keseluruhan warga UNIMAS kini sedang berdebar-debar menantikan kemunculan para peserta dan akan memberikan khidmat sebaik mungkin, demi keselesaan semua peserta dan pegawai pengiring. Tidak kurang juga, pasukan debat UNIMAS sudah semakin membara getaran semangatnya untuk membuktikan keupayaan mereka dalam dunia debat tanahair. Latihan intensif para pendebat telah bermula lebih sebulan yang lalu dan semakin intensif pada minggu terakhir ini. Pertaruhan UNIMAS kali tentu akan memberikan tentangan yang sengit kepada pasukan debat yang telah lama menduduki tahta kejuaraan debat seperti UTM, UM dan UIAM.

 

Kita akan menyaksikan apa akhirnya pertandingan debat yang paling berprestij ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian