akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

Dipetik dari Berita Harian, 30/11/2007

UIAM JUARA DEBAT DIRAJA

Oleh Khairina Yasin
 


KEJAYAAN BESAR: Pasukan UIAM gembira selepas muncul juara kategori bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab pada pertandingan Debat Diraja Antara Universiti Awam Malaysia ke-11 di UiTM, Shah Alam, semalam.

 

Pendebat berjaya buktikan keunggulan apabila kuasai 4 kategori

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan kehebatannya dalam arena perdebatan apabila diumumkan juara empat daripada lima kategori Pertandingan Debat Diraja Antara Universiti Awam Malaysia ke-11 di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, semalam.

Universiti itu menjuarai kategori bahasa Melayu utama, bahasa Inggeris utama dan muda serta bahasa Arab, manakala bahasa Melayu muda dijuarai Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semua pertandingan akhir kategori diadakan kelmarin, kecuali bahasa Melayu utama semalam yang menyaksikan UIAM selaku pihak kerajaan menundukkan Universiti Malaya (UM) dengan tajuk perdebatan "Demokrasi Malaysia Semakin Subur".

UIAM membariskan Mohd Daud Mat Din, Farhan Nor Diyana Shamsuddin dan Syazwan Shuhaimi, manakala UM pula diwakili Ali Asyraf Mohamed, Haris Mohd Ghazali dan Mohamed Zul Fadhli Khairuddin.

Pada pertandingan akhir kategori bahasa Arab kelmarin, UIAM menundukkan UM, diikuti UiTM (kategori bahasa Inggeris utama), selain muncul naib johan kategori bahasa Inggeris muda.

Johan kategori utama dan muda, masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000 berserta piala pusingan dan trofi, manakala naib johan pula meraih RM3,000 dan RM2,000 berserta trofi.

Anugerah pendebat terbaik pertandingan akhir bahasa Melayu utama disandang Mohd Daud, diikuti Khairul Anuar Salim dari UKM (bahasa Melayu muda), Daniel Amir, UiTM (bahasa Inggeris utama), Meor Alif Meor Azhar, UIAM (bahasa Inggeris muda) dan Iman Saleh, UM (bahasa Arab).

Semua hadiah disampaikan Pengerusi Sekretariat Timbalan Naib Canselor (TNC), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Dr Mohd Wahid Samsuddin. Hadir sama TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM, Prof Datuk Dr Nasuddin Othman.

Terdahulu dalam ucapan penutupan debat itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Institut Pengajian Tinggi (IPT), Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Hassan Said, berkata pertandingan itu memberi peluang pelajar IPT melatih diri dengan pelbagai kemahiran, antaranya berkomunikasi, berfikir, bekerjasama dalam pasukan dan mewujudkan kewibawaan kepemimpinan tinggi.

Katanya, pertandingan berprestij itu diharap terus mendapat sokongan dan galakan pihak pengurusan universiti dalam usaha menggarap dan melahirkan graduan berdaya saing, keterampilan, matang serta mempunyai kredibiliti kepemimpinan tinggi.

 

 

 

 

 

 
       

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian