|
|||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
|||||
|
DEBAT IKIM 2006: UNIVERSITI MALAYSIA SABAH TAMBAH KOLEKSI KEJUARAAN
Persahabatan: Pendebat UMS dan UTP bergambar sambil meraikan kejayaan masing-masing..
22/12/2006, IKIM, Langgak Duta, Kuala Lumpur: Beberapa hari menjelang tahun baru 2007, pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya memastikan kalendar debat tahun 2006 tidak berlalu tanpa gelaran kejuaraan, dan berjaya mempertahankan kredibiliti mereka sebagai antara pasukan yang digeruni di Malaysia. Kejayaan UMS pada pagi tadi telah menambahkan lagi koleksi kejuaraan selepas pernah muncul sebagai Johan debat-debat yang berprestij di Malaysia termasuk Debat Piala Diraja, Debat Kemerdekaan dan Debat Alam Sekitar. Pada pagi tadi, pada pertandingan akhir Debat IKIM 2006 yang dilangsungkan di Dewan Besar IKIM, UMS telah dinobatkan sebagai Johan dengan mengalahkan pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTS). Dengan kejayaan itu, UMS telah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 15,000-00, Piala Pusingan IKIM, piala peribadi, sijil dan lain-lain cenderahati. Riak kegemberiaan UMS disinarkan lagi dengan keupayaan pendebat pertama mereka, iaitu saudara Burhanuddin Sirajuddin yang berjaya muncul sebagai Pendebat Terbaik pertandingan akhir dan menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM 1,000-00. Pasukan UMS kali ini diwakili oleh Burhanuddin Sirajuddin, Mohd Qhairol Iqhsan dan Abdul Hain Abdul Manan. Bagi pasukan UTP pula, mereka terpaksa berpuas hati dengan gelaran Naib Johan pertandingan itu setelah tewas kepada UMS. Sebagai Naib Johan, UTP menggondol wang tunai sebanyak RM 10,000-00, piala peribadi, sijil dan lain-lain cenderahati. Dalam perlawananan itu, UTP telah membariskan Mohd Syafiq Fadhly Mahmud, Wan Mohd Hariri Mohd Nasir dan Abu Hanifah Ayob. Walau pun tewas dan akur dengan keputusan Hakim, UTP kelihatan tenang seawal pertandingan dimulakan, sehinggalah keputusan diumumkan. Rata-rata penonton dan peminat debat yang hadir dan mengikuti pertandingan akhir ini mengakui bahawa pertandingan akhir antara UTP dan UMS adalah sengit, dan para penonton mengalami kesukaran untuk meramalkan keputusan perlawanan. Kelihatan kedua-dua pasukan mempamerkan rentak perdebatan yang seimbang, baik dari segi penghujahan, bahasa dan fakta-fakta sokongan yang dikemukakan. Dalam majlis yang sama juga turut diumumkan pemenang bagi tempat ketiga dan keempat pertandingan Debat IKIM 2006. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul sebagai pemenang tempat ketiga, manakala pasukan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) muncul sebagai pemenang tempat keempat pertandingan. UKM membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 5,000-00 manakala KUIM terpaksa berpuas hati dengan wang tunais sebanyak RM 3,000-00 sahaja. Sewaktu ucapan Tan Sri Dato' Sri Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid, beliau mengingatkan pendebat-pendebat yang menang dan mendapat wang yang banyak ini supaya tidak membazirkan wang tersebut. Beliau turut menyarankan supaya pendebat melaburkan wang tersebut ke dalam Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) atau Amanah Saham Nasional (ASN).
Pendebat Terbaik: Saudara Burhanuddin Sirajuddin dari UMS!
ADDENDUM
|
|||||
|
|||||