[dipetik dari Mingguan Malaysia - 24/12/2006]
390 cipta rekod debat tanpa henti 4 hari

|
SEBAHAGIAN pembahas menunjukkan sijil The Malaysia
Book of Records yang mencatatkan rekod mereka
berdebat tanpa henti selama empat hari tiga malam di
Laman Karyawan dan Sanggar Tun Lanang Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur, semalam.
|
KUALA LUMPUR 23 Dis. – Sebanyak 390 pembahas hari ini mencatatkan rekod
dunia apabila berdebat tanpa henti selama empat hari tiga
malam.
Kejayaan mereka berbahas selama 100 jam, 10 minit dan 44
saat itu diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records.
Ia juga bakal dicatatkan dalam Guinnes Book of World
Records sebagai rekod dunia.
Pengiktirafan itu disahkan oleh wakil Malaysia Book Of
Records Sdn. Bhd., Faridah Hanem Ab. Rashid pada majlis
penutup program Debat Bahasa Melayu 100 Jam Tanpa Henti di
sini.
Majlis berkenaan disempurnakan Naib Canselor Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu
Shah.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,
Datuk Dr. Firdaus Abdullah.
Sebanyak 100 usul mencakupi pelbagai bidang diperdebatkan
bermula dari pukul 10.30 pagi, 19 Disember lalu dan berakhir
2.40 petang hari ini.
Ia diadakan di Laman Karyawan dan Sanggar Tun Sri Lanang,
DBP.
Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu
kerajaan dan pembangkang.
Setiap kumpulan mempunyai tiga orang dan diberikan masa
tujuh minit untuk berdebat manakala empat minit lagi bagi
penggulungan.
Penganjuran program julung kali sempena ulang tahun ke-50
UiTM dan DBP itu bertujuan memartabatkan penggunaan bahasa
Melayu.
Selain itu, ia juga diadakan sebagai usaha untuk
memperluaskan perkongsian intelektual di antara para pelajar
institusi pengajian tinggi. |