akademidebat.com buletin

laman utama | profil | produk | buletin | galeri | tinta emas | debat maya | alumni debat uiam

 

PERTANDINGAN AKHIR DEBAT ALAM SEKITAR 2006

BUKU BERTEMU RUAS: UM BAKAL MENCABAR UIAM

Gelugor, Pulau Pinang 31.7.2006 - Pertandingan Debat Alam Sekitar 2006 hampir mencapai kemuncaknya. Setelah 4 hari para pendebat dari seluruh negara berkampung di kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sejak Jumaat lalu, kini dua pasukan telah melayakkan diri ke pertandingan akhir yang dijadualkan pada esok pagi (Selasa) jam 8.30 pagi di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia.

    Dua pasukan yang layak ke pertandingan akhir adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM). UIAM adalah Juara Bertahan Debat Alam Sekitar 2005, manakala UM adalah Johan Debat Perdana Intergriti 2006. Kedua-dua tampak sama hebat sama kuat. Berdasarkan prestasi terkini, UM dijangka akan memberikan cabaran yang paling sengit kepada UIAM dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan. Pada pusingan keenam, iaitu pusingan awal yang dilakukan secara sistem "power-match" UM telah menumpaskan UIAM dengan juri 2-1. Walau pun UM menduduki ranking kedua (ranking pertama adalah pasukan UIAM), namun kedua-dua pasukan ini mempunyai jumlah kemenangan yang sama, iaitu kedua-duanya mencapai 5 kemenangan daripada keseluruhan 6 pusingan pada peringkat awal. UIAM tewas kepada UM, manakala UM tewas kepada UiTM. Pada pusingan suku akhir, UIAM telah menewaskan KUSTEM dan menumpaskan USM (tuan rumah) pada separuh akhir, untuk mara ke peringkat akhir. Manakala UM pula telah menewaskan UTP pada suku akhir dan UMS pada peringkat separuh akhir.

 Pertarungan kedua-dua pasukan ini juga mengingatkan para peminat debat tentang dua musuh tradisi yang sekian lama tidak bertarung pada peringkat akhir. Kali terakhir UM bertemu UIAM pada Debat Alam Sekitar 2002, dimana UM telah menewaskan  UIAM pada perlawanan tersebut. Pertarungan ini juga akan membuka ruang kepada pasukan yang menang untuk mengungguli kejuaraan Debat Alam Sekitar. Untuk rekod, setakat ini kedua-dua pasukan mempunyai telah muncul Johan Debat Alam Sekitar sebanyak 4 kali. UIAM telah muncul Juara bagi tahun 1992, 2000, 2003 dan 2005. Manakala UM pula telah berjaya menjuarai Debat Alam Sekitar bagi tahun 1993, 1998, 2002 dan 2004. Oleh itu, pertarungan kali ini amat dinanti-nantikan oleh semua peminat debat dan penyokong universiti masing-masing. Pasukan yang menang akan muncul sebagai pasukan yang paling banyak menjuarai Debat Alam Sekitar iaitu sebanyak 5 kali. Peluang kali ini tentunya akan digunakan sepenuhnya oleh UIAM untuk menebus maruah pasukan yang kian tercalar, dan menamatkan kemarau kejuaraan sejak Debat Alam Sekitar tahun lepas. Dengan membariskan Mohd Daud Mat Din, Mohd Raihan Mohd Khalip dan Jefri Khairil Bin Zabri, UIAM dijangka berhempas pulas untuk mempertahankan kejuaraan kali ini. Mengembalikan Mohd Daud selaku pendebat pertama, setelah dikritik hebat oleh akademidebat.com, nampaknya semacam membuah hasil yang memberangsangkan. Sekurang-kurangnya kepimpinan jurulatih UIAM telah bangun dari lenanya untuk mengembalikan Mohd Daud ke posisi asalnya, yang sedikit sebanyak berupaya menutup kelompangan dan lakuna kes pasukan.

Namun begitu, perubahan ketara yang dibuat oleh pasukan UM, selepas menjuarai Debat Perdana Intergriti 2006 pada 13.7.2006, ternyata lebih memberi kekuatan kepada mereka. Gandingan Shahrizan Sabrini sekalu pendebat pertama, Ali Ashraf Mohamed selaku pendebat kedua dan Mohd Zulfadli Khairuddin sebagai pendebat ketiga, ternyata menjadikan UM selaku antara pasukan pilihan untuk menjuarai Debat Alam Sekitar pada tahun ini. Keupayaan Shahrizan membuka rentak kes asukan UM dan kebolehan Ali Ashraf mengukuhkan kes mereka dengan hujah yang mudah dan penuh struktur, akan menjadi senjata utama pasukan ini untuk membaham rentak UIAM seawal pertandingan. Kemerosotan prestasi UTM (Naib Johan Debat Perdana Intergriti 2006) yang gagal ke suku akhir, serta kemerosotan pasukan UiTM telah menjadikan UM sebagai satu-satunya faktor pengimbang kepada kebangkitan pasukan UIAM. Sudah tentu kekalahan UIAM di tangan UM petang semalam, akan memberikan sedikit tekanan buat UIAM dan keselesaan kepada UM. Namun pertarungan pusingan ke-6 liga tidak mempunyai apa-apa kesan besar kepada kedua-dua pasukan.

Dalam apa keadaan pun, akademidebat.com mengucapkan selamat berjuang kepada UIAM dan UM, serta mengharapkan kedua-duanya akan mempamerkan mutu perdebatan yang tinggi dan tidak memperjuangkan retorik kosong dengan permainan bahasa yang membosankan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Buletin | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian