Assalamualaikum,
Saya
merupakan bekas pendebat Universiti Malaysia Pahang
(UMP) dan mula berkecimpung dalam dunia debat sejak
dari tahun 2003 lagi. Kini, saya tidak lagi begitu aktif
dalam debat sebaliknya lebih menumpukan kepada pekerjaan
semasa. Namun, saya yakin ramai bekas pendebat di luar
sana masih lagi tidak dapat melupakan saat-saat indah
ketika berdebat dan juga berlatih bersama-sama dengan
junior tersayang.
Saya menulis
artikel ini ingin menyuarakan kepada MADUM dan ADAM
untuk mengembalikan semula saat –saat manis bekas
pendebat tidak kiralah pada zaman perintis (sekitar
90-an) ataupun pelapis-pelapis baru yang saya kira
rata-rata mereka mempunyai "aura" tersendiri. Jika kita
lihat kembali, mutu debat dahulu dan kini seakan-akan
seperti langit dan bumi. Kebanyakan pendebat muda
beranggapan debat hanya sekadar penyambung warisan namun
mereka tidak mahu mempertingkatkan lagi kualiti di dalam
pendebatan.
Situasi ini
berlaku di kebanyakan IPT di Malaysia. Ada pendebat muda
merasakan mereka sudah baik dan bangga dengan pencapaian
mereka walaupun kualiti mereka hanyalah sekecil zarah
semata-mata. Saya rasa sudah tiba masanya MADUM dan ADAM
bekerjasama kembali bagi meningkatkan kualiti debat IPT
masa kini. Saya bukanlah pendebat agung seperti mana
senior-senior dari IPT yang lain, tetapi saya belajar
melalui pengalaman dan melihat keadaan tahap dan kualiti
debat kini semakin merudum.
Tindakan
bekas pendebat menubuhkan ADAM adalah sesuatu yang
bernas. Ini kerana kebanyakan bekas pendebat hanya
membuat haluan masing-masing setelah meninggalkan zaman
emas mereka. Dengan adanya ADAM (dibantu oleh MADUM),
kita boleh merekod kembali pendebat-pendebat terulung
suatu ketika dahulu dan mengumpulkan mereka di bawah
satu bumbung. Tertubuhnya ADAM ini juga mampu membantu
MADUM dalam usaha meningkatkan kualiti debat. Contohnya,
ADAM boleh membantu MADUM menguruskan kejohanan debat
terutama dari segi kehakiman. Masalah kehakiman sering
kali melanda ketika kejohanan debat diadakan. Contohnya
ketika debat anjuran badan-badan kerajaan seperti debat
alam sekitar, debat kemerdekaan dan debat perpaduan.
Akhirnya, wujudlah pertambahan hakim "mee segera" yang
diambil melalui pengiring yang rata-rata mereka tidak
tahu berdebat. Situasi ini akan mengundang masalah
kerana kebanyakan hakim "mee segera" tidak tahu teknikal
berdebat dan mereka hanya akan menilai dari sudut
kelancaran semata-mata. Masalah bertambah berat terutama
dari sudut pemberian margin dan ini akan menjejaskan
kedudukan pasukan kedua-dua belah pihak.
Dengan
adanya ADAM, system kehakiman MADUM boleh ditambah baik.
Jika dihitung, ADAM berkemungkinan memperoleh ahli
seramai lebih dari 500 orang. Ini belum ditambah dengan
legasi baru yang akan bertambah saban tahun. Jadi,
masalah kehakiman ini dapat diatasi dengan baik.
Saya
tertarik dan menanti akan penubuhan ADAM kerana saya
teringin benar melihat legasi-legasi pendebat lama
kembali menunjukkan taringnya. ADAM sebenarnya boleh
menubuhkan DEBAT ALUMNI atau nama lainnya DEBAT ADAM
yang khusus untuk ahli ADAM. Ia tidak perlu dijadikan
bentuk pertandingan tetapi cukup sebagai perlawanan
persahabatan dalam usaha mengembalikan memori dan saat
manis berdebat. Saya kira kali terakhir melihat bekas
pendebat ini berdebat ialah sewaktu debat 100 jam pada
Disember 2006. Jadi, dengan wujudnya Debat ADAM ini, ia
mampu mengembalikan aura yang telah hilang kini. Debat
ADAM boleh dijadikan rujukan oleh para pendebat muda
dalam proses pembelajaran debat secara khusus. Untuk
jadikan ia lebih menarik, ADAM boleh adakan konsep "MIX
and MATCH" dimana gabungan antara pendebat muda dan lama
dalam satu pasukan. Pendebat lama boleh mengajar dan
berkongsi idea dalam memastikan pelapis baru ini
berkualiti dalam berdebat.
ADAM juga
boleh mengadakan bengkel-bengkel berbentuk teknikal dan
memberikan fokus kepada pegawai universiti (pengiring)
dan juga pendebat-pendebat baru mempelajari teknik
kehakiman dan kaedah berdebat. Dalam bengkel ini, ADAM
boleh menyelitkan kefahaman umum mengenai debat, kaedah
pengucapan sesuai, kupasan isi dan bidasan yang baik.
Dengan ini, pendebat muda akan nampak dengan jelas
mengenai kefahaman teknikal perdebatan secara amnya.
Namun, usaha
ADAM perlulah disokong oleh semua pihak terutama MADUM
dan universiti itu sendiri. Bagi saya, ahli ADAM perlu
mengenepikan semangat unversiti sebaliknya kita perlu
membantu tidak kiralah kepada pendebat-pendebat dari
universiti lama ataupun university baru. Penekanan yang
ADAM boleh buat ialah membantu pendebat-pendebat dari
universiti baru seperti UPNM,UMK dan beberapa lagi yang
akan ditubuhkan tidak lama lagi.Mereka amat memerlukan
bantuan teknikal dari pendebat lama untuk memastikan
bukan sekadar pasukan belasahan semata-mata.
Secara
kesimpulannya, saya mengharap penubuhan ADAM ini bukan
sekadar hangat-hangat tahi ayam. Saya akan terus
menyokong kepimpinan ADAM dan membantu ADAM serta
pelapis-pelapis baru debat agar kualiti debat diangkat
kembali sebagaimana sinarnya suatu ketika dahulu.
RAJA AZRUL
ASYADI B. RAJA ADNAN,
Istana
Budaya (April 2008)