akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 


[Dipetik dari Laman Web Kelab Debat Bahasa Melayu UIAM - 13/1/2007]

 

"Sekiranya anda percaya kepada kebenaran dan membenci kebatilan, bacalah rencana ini. Sekiranya anda ingin berlaku adil dan tidak mahu tergolong di kalangan orang-orang yang zalim, bacalah rencana ini. Sekiranya anda adalah insan yang mempunyai akal budi dan perikemanusiaan, bacalah rencana ini. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang kebenaran dan kebatilan" - webmaster, Laman Web Kelab Debat Bahasa Melayu UIAM!!

PENJELASAN SEBENAR: ISU UM-UIAM DALAM DEBAT PERPADUAN 2006

Oleh: Mohd Syatir Talib

Selepas tamat Debat Perpaduan 2006, banyak cerita dalam pelbagai versi dan pelbagai dimensi, benar atau palsu, hakiki atau falasi, telah disebarluas secara lisan mahupun melalui dunia internet, sama ada di dalam laman web tertentu, Friendster, forum, blog dan sebagainya. Justeru, perkara ini telah menimbulkan kekeliruan, kecelaruan, kesamaran dan tanda tanya kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Rencana yang saya tulis ini bukan untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak, apatah lagi untuk mengapi-apikan permusuhan dan persengketaan yang tercetus di dalam dunia perdebatan. Saya cuma ingin menjernihkan yang keruh, memadamkan yang terbakar, membersihkan yang ternoda agar yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal.

Sebelum saya menulis lebih panjang, mungkin ada sesetengah pihak yang meragui kesahihan tulisan ini. Oleh itu, saya ingin menyatakan bahawa segala maklumat yang saya sampaikan dalam rencana ini adalah hasil temubual saya dengan En. Tajul Ariffin Adam (Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MADUM), En. Rohai Zahar Nedi (Penolong Pengarah Bahagian Perpaduan Masyarakat dan Integrasi Negara, JPNIN merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pertandingan Debat Perpaduan 2006) dan En. Nazri Noh (Hakim Kelas Tertinggi MADUM). 

Segalanya bermula sebelum pertandingan suku akhir, apabila pasukan UM 2 mendapati dua orang ahli pasukannya tidak dapat hadir. Pada pagi tersebut, sebelum pengumuman pasukan yang layak ke suku akhir dibuat, mereka berjumpa En. Rohai dan En. Mohd Khair untuk mengetahui status mereka sama ada layak atau tidak. Mereka diminta agar menunggu pengumuman rasmi dibuat terlebih dahulu. Selepas pengumuman dibuat dan UM 2 didapati layak, mereka bertanya sama ada boleh atau tidak untuk mereka menarik diri dan pasukan di tangga ke-9 dinaikkan untuk mara ke suku akhir. Perkara itu tidak dipersetujui dan mereka diminta untuk ke bilik pertandingan dan menunggu ahli pasukan ketiga atau memohon untuk menarik diri di bilik tersebut. Sekiranya dalam tempoh 15 minit selepas pertandingan dimulakan, ahli pasukan mereka masih belum cukup, maka Perkara 7.2 Peraturan Perdebatan akan diambil kira:

7.2. Mana-mana pasukan yang gagal menghadiri perdebatan selepas lima belas minit (15 minit) dari masa permulaan perdebatan akan dikira kalah.

Semasa di bilik pertandingan sebelum suku akhir dimulakan, pasukan UM 2 berjumpa dengan En. Mohd Fauzi Othman, Ketua Hakim bilik tersebut dan memohon untuk mengambil seorang pendebat daripada pasukan UM 1 untuk melengkapkan bilangan ahli pasukan. En. Mohd Fauzi menyatakan bahawa perkara itu bercanggah dengan peraturan tetapi memberi sedikit kelonggaran dan memanggil pasukan UIAM 2 untuk mendapatkan persetujuan mereka. UIAM 2 bersetuju. En. Tajul yang juga merupakan salah seorang hakim di bilik itu menerangkan kembali bahawa melalui persetujuan itu pertandingan akan dijalankan seperti biasa dan kemenangan boleh diberikan kepada pasukan UIAM 2 atau UM 2. Pertandingan dijalankan seperti biasa dan keputusannya juri 5-0, kemenangan kepada UM 2.

Selepas tamat suku akhir tersebut, pasukan UIAM 2 tidak pernah membuat sebarang bantahan kepada jawatankuasa pertandingan, sama ada secara lisan mahupun bertulis. UIAM 2 juga mengakui bahawa mereka diisytiharkan kalah dalam pusingan tersebut.

Sementara itu, di peringkat jawatankuasa pertandingan pula, banyak pihak terkejut selepas En. Mohd Fauzi melaporkan bahawa suku akhir UM-UIAM itu berjalan seperti biasa. En. Nazri mengakui bahawa beliau tidak sangka suku akhir itu tetap dijalankan dan menjangkakan UM 2 akan dikira kalah selepas 15 minit. Perkara yang menjadi persoalan pada masa tersebut adalah kesahan (validity) pasukan UM 2 untuk bertanding pada peringkat seterusnya kerana mereka telah mengambil seorang ahli pasukan UM 1  dan perkara ini menyalahi Perkara 5.2 Peraturan Pertandingan iaitu:

5.2. Peserta hanya boleh berdebat untuk pasukan yang mendaftarkannya sahaja.

Untuk menyelesaikan masalah ini satu mesyuarat tergempar telah diadakan di antara wakil Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dan wakil Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia. Untuk makluman semua pihak, mesyuarat ini diadakan bukan kerana bantahan daripada pasukan UIAM (seperti yang telah dinyatakan, UIAM tidak pernah membuat sebarang bantahan) dan bukan arahan daripada En. Mohd Khair Ngadiron. Mesyuarat ini telah disertai oleh Pn. Hajah Azizah (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan) dan En. Rohai Zahar (Setiausaha Jawatankuasa Pertandingan) selaku wakil JPNIN. Wakil MADUM pula terdiri daripada En. Tajul Ariffin (Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MADUM), En. Nazri (UPM), En. Mohd Fauzi (UTM), En. Zaliridzal (UPM), Ust. Abdul Manan (KUIM), Cik Najwa (UKM) dan En. Muzafar (UDM). Manakala pihak yang berkepentingan iaitu En. Mohd Khair (UIAM), Pn. Mazlena (UIAM) dan En. S. Ramlee (UM) tidak dibenarkan menyertai mesyuarat tersebut.

Mesyuarat membincangkan tiga pilihan yang ada. Pertama, penyertaan UM untuk separuh akhir dibatalkan. Kedua, perlawanan secara ‘handicap’ dijalankan iaitu pasukan UM 2 akan disertai oleh dua pendebat asal sahaja dan markah untuk pendebat ketiga akan dikira kosong. Ketiga, perlawanan separuh akhir akan dijalankan seperti suku akhir iaitu pasukan UM 2 boleh mengambil pendebat UM 1 dan persetujuan akan diminta daripada pihak lawan sebelum perlawanan bermula.

Mesyuarat memutuskan untuk menolak pilihan ketiga memandangkan perkara itu menyalahi Perkara 5.2 dan tidak adil kepada pasukan universiti-universiti lain. Sekiranya perkara ini dibenarkan oleh mesyuarat, pasukan universiti lain juga sepatutnya dibenarkan untuk mengambil mana-mana pendebat daripada pasukan kedua mereka untuk dimasukkan ke dalam pasukan pertama. Perkara ini juga boleh menyebabkan pasukan-pasukan lain membuat bantahan.

Mesyuarat juga menolak pilihan pertama untuk membatalkan penyertaan UM 2 kerana kelonggaran telah diberikan pada peringkat suku akhir dan keputusan untuk membatalkan penyertaan mereka di peringkat separuh akhir adalah terlalu keras.

Sementara itu, pilihan kedua iaitu perlawanan ‘handicap’ tidak menyalahi peraturan. Walaupun perlawanan secara ‘handicap’ tidak pernah disebut dalam Peraturan Pertandingan, Perkara 1.2 dan 1.3 membenarkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan (dalam konteks debat ini, Puan Hajah Azizah) untuk mengadakan perlawanan seperti itu.

1.2. Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan. Keputusan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan adalah muktamad.

1.3. Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum permulaan pertandingan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa.

Dengan kuasa Puan Hajah Azizah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, mesyuarat memutuskan untuk memberi dua pilihan kepada pasukan UM 2. Pertama, menarik diri untuk peringkat separuh akhir. Kedua, menyertai perlawanan secara ‘handicap’. En. S. Ramlee dipanggil oleh pihak mesyuarat untuk membuat pilihan. Selepas berbincang dengan ahli pasukan UM 2, mereka memilih untuk menyertai perlawanan secara ‘handicap’ dan tidak menarik diri.

Perlawanan separuh akhir diteruskan secara ‘handicap’ dengan UIAM 1 bertemu UM 2. Oleh kerana markah pendebat ketiga UM 2 dikira kosong maka kemenangan diberikan secara sebulat suara kepada UIAM 1. Kemenangan ini adalah sah di sisi peraturan seperti yang telah dihuraikan di atas.

Walau bagaimanapun, En. Tajul turut mengakui bahawa dia sebenarnya tidak selesa dengan perlawanan ‘handicap’ kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan implikasi kurang baik di kalangan penonton. Namun, bagi beliau perlawanan ‘handicap’ ini menunjukkan semangat pertandingan di kalangan pendebat.

En. Tajul juga berkata “Perdebatan bukan untuk perlawanan semata-mata tetapi untuk menghormati semangat perdebatan dan setiakawan. Perdebatan adalah bersifat pertikaian lidah untuk membincangkan sesuatu isu sahaja dan bukan untuk mewujudkan persengketaan dan permusuhan.”

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin membersihkan nama UIAM bahawa UIAM tidak pernah membuat sebarang bantahan dan segala perkara yang diputuskan tidak pernah dipengaruhi oleh pendebat ataupun pegawai UIAM. Saya juga ingin mengajak para pembaca untuk merenung kembali apakah iktibar dan pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini. Semoga perkara seperti ini dapat mematangkan pemikiran kita, dan mengajar kita untuk berfikir dengan lebih rasional dan professional.

Saya juga ingin mengakhiri rencana ini dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Renungilah... Sekian.

(Temubual dengan En. Tajul Ariffin Adam, En. Rohai Zahar Nedi dan En. Nazri Noh telah dijalankan pada hari Khamis 28 Disember 2006 melalui telefon di antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari)

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian