akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

PERUTUSAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1427H

 

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud

 

24/9/2006: Alhamdulillah, hari ini adalah hari pertama kita menyambut Ramadhan Al-Mubarak, 1427H. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana telah memanjangkan usia kepada kita untuk kembali meyambut bulan yang penuh berkat ini. Kita bersyukur kerana dikurniakan kesihatan untuk meneruskan ibadah puasa, dan bertarawikh pada malamnya, sebagai tanda pengabdian kita kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.

Bulan ini adalah bulan yang penuh makna. Dengan kehadiran Ramadahan al-mubarak ini, kita dikurniakan ruang dan peluang untuk menjadi tetamu Allah s.w.t . melalui ibadat dan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya bulan Ramadhan benar-benar mengajar kita menjadi insan tulen dan sejati, membangunkan nilai diri supaya menjadi manusia yang berharga lagi bermaruah, dan mempunyai nilai yang sebenar-benarnya di sisi Allah s.w.t. dengan meletakkan Islam sebagai asas kehidupan kita.

Kehidupan kita akan lebih bermakna dan bersinar dengan suluhan al-Quran dan Sunnah, yang jauh mengatasi kecerdikan akal manusia. Demikianlah  tabiat Islam agama Allah swt. Suatu agama dan cara hidup yang tak mungkin dapat ditewaskan oleh musuh walau apa cara yang digunakan oleh mereka .

 Benarlah firman Allah swt :

 

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Surah As Saff ayat : 8

Ramadhan yang indah dan permai kali ini, diharap menjadi saksi penting peristiwa kemenangan perjuangan kita dan berperanan memperbaharui semangat perjuangan kita dalam menegakan risalah dakwah baginda s.a.w., dalam menyatakan batas Iman dan Kufur, tanpa rasa takut dan gentar kepada segala ugutan, ancaman, penarikan pangkat dan keistimewaan dan pelbagai bentuk fitnah dan tribulasi yang perlu kita lalui.

Mudah – mudahan ummat Islam di sepanjang zaman , tidak leka dan alpa daripada tanggungjawab mereka mempertahankan agama dan syariat ilahi,  tidak takut dan akur kepada musuh – musuh Allah kendati pun mereka memiliki segala kekuatan material, jentera, dan sokongan yang kelihatan begitu padu. Sebaliknya menjadi ummat yang berwibawa dan bermaruah, dihormati dan disegani oleh masyarakat disekeliling mereka, baik kawan mahu pun lawan, Bukankah Allah swt. telah berfirman :

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Surah Al Maaidah Ayat : 3

 

Saudaraku sekelian,

Hari ini kita  berhadapan dengan kepongan Ahzab modern yang memiliki pelan orientasi serupa sebagaimana Ahzab jahiliyyah . Mereka mara untuk menghancurkan ummat Islam, mereka meluru untuk menghalang da’awah Islam dengan semangat dendam mereka yang tidak pernah kunjung padam.  Sebagaimana firman Allah swt :

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Surah Al Maaidah Ayat : 82

Mereka melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah, mereka melancarkan perang saraf dan provokasi  untuk memecah belahkan umat Islam.  Tekad dan hasrat mereka  hanya satu, menghancurkan Islam dan ummatnya!! Mereka tampil dengan bertopengkan pejuang undang-undang dan hak-hak asasi manusia untuk menuntut kononnya kesamarataan dan kebebasan beragama. Mereka mencabar Perlembagaan dan peruntukan artikel 11 tentang kebebasan beragama, walau pun Perlembagaan ini diderafkan atas persetujuan dan kontrak sosial lebih 49 tahun terdahulu. Mereka meresap masuk ke hati-hati Melayu yang mengaku Islam dan lemah imannya, untuk mencadangkan kononnya kita perlukan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), sekali lagi atas nama hak asasi. Mereka tampil lagi dengan nama Sisters In Islam, untuk mempertikaikan kewajipan bertudung dikalangan wanita Islam. Malang sekali, dari kalangan mereka ini adalah orang-orang yang sekulit dengan kita dan mengaku Islam.. tetapi jelas perbuatan dan iktiqad mereka bertentangan dengan nas-nas yang diwahyukan ke atas lisan Muhammad al-Mustofa s.a.w.!

Saudaraku sekelian !!

Apa yang lebih malang lagi, ialah sikap sebahagian pemimpin dan ummat Islam yang terpesona dengan rentak tari musuh, mereka  menjadi mata dan telinga musuh untuk memukul Islam dari dalam, menikam Islam dari belakang. Pelbagai perkataan dan kalimah yang dipinjam dari orang – orang barat seperti Militan Islam, Pelampau Islam, Eksterimis Islam dan lain – lain lagi dihamburkan kepada mereka yang berjuang untuk mendaulatkan Syariat Allah swt. Apalagi yang boleh kita keluhkan? apabila  sebahagian ummat Islam sendiri menyimpan rasa curiga terhadap sebahagian ummat Islam yang lain. Menuduh dan menfitnah senada dengan tuduhan dan fitnah musuh Islam, di kala Islam mula dicabar dan dihina didepan mata kita semua. Tidak ramai dari kalangan pemimpin Islam yang bangun mempertahankan Islam dari ancaman yang bertopengkan kebebasan beragama dan hak asasi. Bahkan, dari kalangan mereka sanggup “memperbodohkan” pejuang yang bangkit untuk mempertahankan Islam. Amat malang, kita lebih mengutamakan “Mat Rempit” dengan menghimpun dan memberikan pengiktirafan serta kekuatan, kebanggaan, keangkuhan kepada mereka, daripada berbicara tentang soal ancaman dari sebuah gerakan terancangan untuk menghancurkan Islam dari bumi yang fana’ ini.

Sauadaraku,

Marilah kita merealisasikan peluang pada Ramadhan kali ini untuk membina  kembali semangat jihad dikalangan kita yang kian luntur. Menyemarakkan kembali semangat perpaduan dikalangan kita yang kian longgar . Memulihkan kembali keyakinan terhadap keupayaan Islam sebagai agama yang mampu berdaulat di atas muka bumi ini.

Marilah kita gunakan bulan yang Mulia ini untuk mempertingkatkan kualiti diri. Kita penuhi dengan puasa yang bersifat “imaanan wahtisabaan”, dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. Marilah kita penuh malamnya dengan solat terawih, Qiyam dan bertadarus, untuk membersihkan hati-hati kita yang telah lama kotor dan pudar sinar keimananya.

Binalah Quwwatut Taqarrub ( kekuatan hubungan kita dengan Allah swt. ) sebagai persiapan asas untuk memohon pertolongan Allah swt. Justeru Allah sahajalah sandaran kita untuk menghadapi kebejadan Ahzab modern hari ini. Tanpa pertolongan Allah, tentunya kita tidak berupaya menghadapi mereka. Melalui pertolongan Allah, kita optimis bahawa pakatan Ahzab modern sangat mentah dan rapuh sebagaimana mentah dan rapuhnya Ahzab Jahiliyyah .

Firman Allah swt :

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Surah Aali Imran Ayat : 160

 

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian