| |
SMK SERI SERDANG JOHAN
BAHAS NEGERI SELANGOR 2007
[DIPETIK DARI BERITA HARIAN, SABTU -
26/5/2007]
Kokurikulum rangsang minda kreatif
Oleh Rosniza Mohd Taha
MEWAJIBKAN pelajar menyertai kegiatan kokurikulum antara pendekatan
yang perlu dilaksanakan bagi mengubah proses pembelajaran yang
berorientasikan peperiksaan kepada pendidikan holistik.
Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor, Ismail Sulaiman, berkata
penekanan seimbang pelajar dalam bidang berkenaan dapat mengubah
minda masyarakat serta pendidik supaya tidak terlalu mementingkan
pencapaian akademik semata-mata.
Katanya, pembabitan pelajar dalam kegiatan kokurikulum mampu memupuk
nilai positif termasuk kemahiran sosial, komunikasi, jati diri dan
pemikiran kritis bagi menjadikan mereka generasi pelapis berwibawa.
"Misalnya pertandingan ko akademik sebagai pengisian dalam kegiatan
kokurikulum adalah alternatif kepada kaedah pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas yang bercorak konvensional.
"Pelajar diberi ruang secukupnya untuk memberi pendapat
masing-masing secara spontan dan bernas, sekali gus merangsang minda
kreatif dan kritis.
"Usaha gigih dan kemahiran diperoleh pelajar sejajar Falsafah
Pendidikan Negara yang menekankan kepada pembentukan individu
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani," katanya
berucap pada majlis penutup Pertandingan Bahas Bahasa Melayu ala
Parlimen dan Karnival Bahasa 2007 peringkat Selangor, di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan
Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Yusof Mohd Diah.
Hadir sama, Penyelia Kokurikulum JPS, Mohamad Azlan Mahmudin dan
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Sharudin Yusof.
Pada majlis itu, SMK Sri Serdang yang mewakili daerah Petaling
muncul juara bahasa bahasa Melayu setelah menundukkan wakil Kuala
Selangor iaitu SMK Datuk Harun.
|
|