akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

UIAM JUARA DEBAT UNIVERSITI DUNIA!

 

11/1/2007: AD mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kontinjen Debat Bahasa Inggeris UIAM yang telah berjaya muncul sebagai Johan Debat Universiti Dunia bagi kategori Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (ESL) dalam pertandingan Debat itu yang berlangsung di Vancouver, Canada. Lebih manis lagi, UIAM juga telah berjaya menggondol Anugerah Pendebat Terbaik keseluruhan pertandingan itu. Kejayaan ini bukan sahaja meletakkan pendebat Bahasa Inggeris UIAM ke kemuncak kegemilangan, tetapi juga menyumbangkan sesuatu yang besar kepada bangsa Malaysia. Seluruh warga UIAM dan rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan kejayaan ini. Tahniah dan teruskan kegemilangan..

 

 

[dipetik dari Berita Harian - Khamis, 11-1-2007]

 

UIAM juara Debat Universiti Dunia


 
KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menjuarai Kejohanan Debat Universiti Dunia bagi kategori Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (ESL) di Vancouver, Kanada.

Dalam kejohanan disertai 344 pasukan universiti dari seluruh dunia minggu lalu itu, pasukan A UIAM yang diwakili pelajar kejuruteraan, Syed Suhaib Hassan dan Tasneem Ahmad Elias dari pengajian Kesusasteraan Inggeris, menewaskan National Law School of India, Hebrew University dan Stockholm School of Economics pada pertandingan akhir.

Lebih membanggakan, Syed Suhaib dipilih sebagai pendebat terbaik keseluruhan, mengetepikan peserta dari beberapa universiti terkemuka termasuk Universiti Cambridge, United Kingdom dan Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Tasneem pula disenaraikan seorang daripada empat pendebat terbaik kategori ESL pada kejohanan bermula 27 Disember hingga 4 Januari lalu itu.

Kejayaan antarabangsa itu adalah yang kedua dicapai UIAM selepas menjuarai kejohanan Debat Antara Universiti Australasia 2005 di Universiti Queensland, Brisbane, Australia.

Selain UIAM yang menghantar tiga pasukan ke Vancouver, Malaysia turut diwakili Universiti Teknologi Mara yang juga menghantar tiga pasukan serta Universiti Multimedia (dua) dan masing-masing satu pasukan dari Universiti Sains Malaysia dan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.

Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Syed Arabi Idid, berkata pihaknya berbangga dan menghargai kejayaan pelajar universiti itu dalam memartabatkan UIAM pada peringkat antarabangsa, sekali gus membuka pandangan dunia terhadap imej masyarakat Islam.

“Kejayaan ini juga dapat memupuk kegiatan keintelektualan dan mempertingkatkan pemikiran serta pembangunan diri pelajar pada masa depan,” katanya pada majlis meraikan kejayaan pasukan debat universiti itu di UIAM, semalam.

Syed Suhaib yang pulang ke tanah air bersama rakannya, Sabtu lalu, berkata kejayaan itu hasil persediaan bersungguh-sungguh serta pembacaan berterusan mengenai isu semasa antarabangsa meliputi politik, ekonomi dan sosial

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian