akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

YURAN DEBAT PIALA UIAM 2007: MANIFESTASI KETUHANAN "KEPALA AGONG"

 

 

21/3/2007, Kuala Lumpur: Program Debat Antara Sekolah Piala UIAM, yang dianjurkan secara tahunan sejak 2002 merupakan antara program debat antara sekolah yang amat dinantikan saban tahun. Debat ini adalah satu-satunya pertandingan debat yang menyatukan semua kategori sekolah samada dari kalangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah harian biasa. Nyata sekali buah fikir untuk memulakan pertandingan ini, di samping pengorbanan yang tinggi untuk menjayakannya setiap tahun seawal 2002, hari ini menjadi sebutan dan program kebanggaan UIAM. Tahun ini ia datang lagi.. Kunjungan April saban tahun yang menggamit ramai peminatnya untuk berkampung di UIAM. Kali ini, tanggal 12 - 17 April 2007, menjadi pilihan penganjur.

 

Tetapi di sebalik ghairah dan semangat berkobar-kobar para pelajar sekolah yang ingin menyertai pertandingan tersebut, seakan direntap pula dengan berita yuran penyertaan yang terlalu tinggi. RM 250 bagi setiap pasukan, yuran bagi guru pengiring/hakim/pemandu sebanyak RM 70-00 setiap orang, dan pemerhati atau pelajar tambahan sebanyak RM 150-00, ternyata menyentak semangat juang untuk menyelami ilmu dan seni debat di kalangan adik-adik dan anak bangsa kita. Berdasarkan congakan ringkas sebuah sekolah yang menghantar 2 pasukan (Bahasa Melayu & Inggeris), 2 guru pengiring, hendaklah berbelanja sekurang-kurangnya sebanyak RM 640. Kos ini tidak meliputi pemandu (jika ada), kos pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan kontijensi.

 

Menyedihkan! Di samping memahami keperluan penganjur untuk mendapatkan "kepala agong" bagi membiayai pertandingan ini, tetapi ternyata sekali yuran yang dikenakan terhadap pasukan-pasukan debat sekolah tersebut adalah terlalu mahal dan tidak munasabah. Mungkin bagi sesetengah sekolah yang hebat, kewangan tidak menjadi masalah. Tetapi melihat kepada majoriti sekolah, tentunya ramai yang tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung kos untuk menyertai debat ini. Bagi sekolah-sekolah yang miskin, memilih untuk tidak menyertai pertandingan ini semakin menjadi "satu-satunya pilihan" yang wujud.

 

Memilukan! AD melihat kecenderungan untuk menetapkan yuran penyertaan yang terlalu tinggi ini, bagi sebuah program dan majlis ilmu seperti pertandingan debat, adalah satu penghinaan kepada tradisi ilmu yang telah berjaya diadakan sejak 4 tahun yang lalu. Jelas sekali, semangat "kepala agong" telah meresap ke dada penganjur untuk "mengkomoditikan" tradisi ilmu bagi tujuan keuntungan dan mencari laba dunia yang tidak berkesudahan. Keikhlasan penganjuran untuk membudayakan majlis ilmu, dan menyediakan medan suci untuk membina minda anak bangsa yang kritis dan analatikal, semakin diragui. Penganjuran yang berkesan sejak 4 tahun lalu, seakan menjadi modal kepada penganjur untuk mengaut sebanyak mungkin laba keuntungan pada tahun ini.   

 

Berdasarkan Laporan Kewangan program Debat ini pada tahun 2004, dimana pada waktu tersebut sebanyak 200 pasukan dibenarkan bertanding (100 pasukan Bahasa Melayu dan 100 pasukan Bahasa Inggeris) tidak termasuk guru pengiring, hakim, ahli-ahli jawatankuasa penganjur dan anggota tambahan/penyokong yang hadir, kos yang terlibat tidak melebihi RM 100,000-00. Pada waktu itu, ketumbukan warga debat yang menganjur, menyertai dan mengikuti pertandingan ini mencecah lebih 1000 orang. Keseluruhan kos yang dinyatakan adalah meliputi perbelanjaan mewah (yang boleh diketepikan) seperti majlis makan malam dan penyediaan cenderahati dan percetakan publisiti yang berlebihan (seperti T-shirt, bunting dan banner) yang melibatkan kos yang melebihi RM 40,000-00. Ringkasnya, penganjur tidak perlu mengadakan program bermewah-mewahan (yang tidak berfaedah kepada peningkatan mutu debat kecuali untuk bermegah semata-mata) seperti majlis makan malam dan cenderahati/publisiti berlebihan dan dengan itu telah bertindak mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar semata-mata untuk "menampung" acara bermegah-megahan yang tidak meningkatkan kualiti minda pendebat.

 

Pada tahun 2004 dan 2005, program ini dilaksanakan dengan jayanya tanpa penglibatan SPONSOR PLATINUM, Time Engineering Berhad. AD tidak mempunyai maklumat tentang jumlah penajaan sponsor Platinum pada tahun 2006 dan tahun ini, tetapi dengan sikap dan sifat "Platinum"nya penajaan itu, maka sudah tentunya sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya mencecah RM 50,000-00. Pada tahun 2005, Yayasan Pelajar Islam Malaysia (YPIM) telah memberikan sumbangan sebanyak RM 25,000-00, tetapi tidak layak dinobatkan sebagai "Penaja Platinum". Jumlah-jumlah penajaan yang diterima oleh penganjur saban tahun adalah cukup besar! Apa yang lebih penting, program Debat ini telah adalah merupakan program emas UIAM, yang digunakan sebagai sebahagian daripada kempen pengambilan pelajar oleh UIAM. Selepas 2 tahun Debat ini dianjurkan oleh Kelab Debat Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan SPICE UIAM, UIAM telah "menaikkan taraf" program ini sebagai program rasmi universiti dan memberikan bajet tahunan yang besar, melalui peruntukan kempen promosi universiti. Tahun 2005, program ini mendapatkan peruntukan sebanyak RM 50,000-00 daripada universiti (tanpa penaja platinum). Tahun lepas, UIAM menambah lagi peruntukan tersebut. Yang pastinya, saban tahun UIAM menyediakan peruntukan yang besar untuk menjayakan Debat Piala UIAM ini. Dengan itu, sumbangan UIAM (katakan RM 50,000-00), Penaja Platinum (katakan RM 50,000-00), sumbangan penaja-penaja bukan platinum (katakan gangsa, perak dan besi buruk sebanyak RM 20,000-00) dan lain-lain sumber (katakan yuran kepada setiap pasukan dikenakan tetapi pada kadar yang munasabah dan berupaya mengumpul RM 30,000-00), paling tidak penganjur mempunyai dana yang besar berjumlah RM 150,000-00.

 

Dengan berbekalkan wang RM 150,000-00, apakah penganjur tidak mampu menanggung kos program (dengan jumlah pasukan yang berkurangan)? Bukankah dengan mengurangkan perbelanjaan mewah yang membazir (walau pun memberikan keuntungan kepada kontraktor yang dilantik) adalah lebih baik dari mengenakan tekanan kepada para peserta? Apakah majlis makan malam yang besar-besar itu satu keperluan? Apakah majlis perasmian atau lain-lain tidak boleh diadakan tanpa "makan-makan"? Apakah program ini tidak cukup "glamor" sehingga perlu menyediakan T-shirt (yang kelihatan mahal) dan bunting dan banner yang besar-besar (yang tentunya akan mengungtungkan kontraktor kroni sahaja)?

 

Dalam apa keadaan pun, AD tidak pernah meminta supaya yuran dimansuhkan, tetapi berharap penganjur dapat mengkaji semula kadar yang ditetapkan kepada kadar yang lebih munasabah. Jika sudah mempunyai penajaan yang besar-besar, kenapa perlu pelajar dibebankan? Kemana perginya keuntungan program ini pada tahun-tahun yang lepas? Kenapa tidak semua orang (terutama dari kalangan ahli jawatankuasa termasuk Pengarah program, apalagi bendahari) tidak dibenarkan akses kepada senarai penuh penajaan? Kenapa hanya "pegawai" tertentu sahaja yang kesana kemari (walau pun tanpa jawatan bendahari dalam jawatankuasa penganjuran) mengusung wang penajaan program??!!

 

Adalah lebih mulia menjual "goreng pisang" dengan untung seringgit dua sewaktu kejohanan debat sedang berlangsung, daripada memperdagangkan seni debat untuk keuntungan mudah dan tidak diisytiharkan sepenuhnya!!! Tetapi tidaklah menghairankan, bilamana "kepala agong" semakin disembah bagaikan Tuhan!!!

 

[AD akan menyediakan kupasan lanjut isu ini sempena setahun kemunculannya!! Nantikan...]

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian