akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

AKADEMIDEBAT.COM TURUT WARNAI DEBAT 100 JAM

19/12/2006, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur: Pasukan Akademidebat.com turut memeriahkan "Debat 100 Jam Tanpa Henti" yang dijangka akan menjadi rekod dunia melalui Guinness World of Record dan The Malaysia Book of Record, menjelang hari Sabtu, 23/12/2006. Dengan membariskan ketiga-tiga Pengasas AD, iaitu En. Yusfarizal Bin Yussoff, En. Zairul Isham Bin Abdul Malik dan En. Wan Rohimi Bin Wan Daud, AD telah dijadualkan bertembung dengan  pendebat terhebat masakini, yang terdiri daripada gabungan pendebat-pendebat dari Selatan Tanahair UTM, iaitu Khairul Afsan, pendebat dari Lembah Klang UPM, saudara Kamarul Nizam dan pendebat dari utara tanahair, USM, iaitu saudara Tramizi. Pasukan AD telah diberi mandat oleh penganjur untuk membentangkan usul yang agak panas dan menarik, iaitu: "Debat Universiti Malaysia Sudah Tenat". Perlawanan ini berlangsung pada pukul 10.30 malam di DBP.

Pertembungan antara AD, yang terdiri dari bekas-bekas atau Alumi Pendebat dengan legenda-legenda pendebat masakini, dilihat oleh kebanyakan penonton sebagai pertembungan antara 2 generasi pendebat. Walau bagaimana pun, pasukan AD yang bertahun tidak menyertai pentas perdebatan, masih kelihatan mampu mempamerkan kualiti dan semangat juang pendebat walau pun telah meninggal dunia debat secara aktif sejak 5 tahun yang lepas. Tanpa latihan, tanpa stamina, dan tanpa disiplin perbincangan yang cukup, En. Yusfarizal membuka kes Kerajaan AD dengan jelas walaupun tersasul-sasul, untuk meletakkan halatuju perdebatan tersebut. Perlawanan ini walau bagaimana pun kelihatan agak panas, apabila perdebatan sebenar dilencongkan oleh saudara Kamarul dengan penuh bertenaga, bagi menyerang laman web AD yang dituduh sebagai agen propaganda untuk memburuk-buruk nama universiti tertentu. Keseluruhan hujah dan bidasan Kamarul langsung tidak berkaitan dengan usul yang diperdebatkan tentang mutu dan kualiti debat universiti Malaysia masakini, sebaliknya mengambil kesempatan 7 minit yang diperuntukkan untuk melampiaskan keseluruhan amarah dan dendamnya terhadap AD, dan pasukan UIAM. UIAM mengikut pandangan Kamarul, adalah universiti yang merasakan diri mereka sebagai elit dan enggan bercampur dengan universiti-universiti lain. Sikap ini, mengikut Kamarul, adalah satu sikap buruk yang melambangkan kesombongan UIAM. Kamarul berhujah dengan penuh bertenaga tentang AD dan UIAM, seolah-olah membayangkan "dendam lama" yang masih belum terbayar! Diakhir penghujahan itu, Kamarul  yang penuh emosi itu terlupa, bahawa keseluruhan hujahnya tentang artikel AD, tentang UIAM yang hidup dibawah tempurung, tentang UIAM yang suka "bergelak ketawa" apabila terdapat pasukan lain yang tersalah konsep sewaktu pertandingan, adalah sama sekali tidak berkaitan dengan usul yang didebatkan, iaitu samada atau tidak, kualiti debat di Malaysia sudah tenat? Akhirnya, Kamarul terduduk dalam kepenatan tanpa sedar bahawa beliau telah mempamerkan satu "standard" Pendebat Terbaik Piala Diraja masakini.

Tersentak dengan emosi Kamarul, Khairul Afsan juga berkongsi sentimen yang sama. Akhirnya pasukan legenda masakini tidaklah mendebatkan usul dengan baik, dan seringkali kelihatan bertukar pendirian di sepanjang perlawanan.  Khairul Afsan, walau seringkali muncul sebagai Pendebat Terbaik dalam mana-mana perlawanan, masih gagal mengatasi kelemahannya yang paling utama, iaitu sentiasa terperangkap dengan emosi dan provokasi, dan seringkali tersasar dari arus perdebatan.

Walau pun serangan yang bertali arus dilontarkan kepada AD, dan UIAM, seolah-olah AD adalah sebahagian dari UIAM, En. Yusfarizal mengambil langkah bijak sewaktu penggulungan, dengan mengembalikan sentimen usul kepada pokok perbincangan yang sebenar. En. Yusfarizal masih mengekalkan kepakaran ucapan gulungannya apabila membongkarkan "pembiasan" perdebatan yang dilakukan dengan sengaja oleh Kamarul dan Khairul Afsan. Di akhir perdebatan, En. Yusfarizal dengan jelasnya menerangkan bahawa "terjahan tidak beretika" Kamarul terhadap AD adalah tidak berkaitan dengan usul, kerana AD bukan sebahagian dari dunia perdebatan masakini, tetapi hanya mewakili zaman lalu. Terjahan Kamarul tentang UIAM juga tersasar, kerana jika pun UIAM dianggap sebagai pasukan yang hidup dalam dunianya sendiri, tetapi sikap UIAM itu tidak melambangkan kualiti perdebatan yang semakin tenat, dan lebih penting tiada lagi kaitan dengan AD. Sikap Kamarul dalam penghujahan beliau, hanya menggambarkan manifestasi pendebat yang irihati, penuh dendam dan tidak berhujah di atas usul yang dicadangkan. Akhirnya, En. Yusfarizal dengan penuh sentimental menerangkan sumbangan AD dalam dunia debat, dan mengajak para penonton kembali kepada usul perdebatan yang sebenar. Di akhir penggulungan En. Yusfarizal, kelihatan wujud satu ombak "standing ovation" kepada perlawanan itu dan yang menariknya, ombak standing ovation ini dimulakan oleh Khairul Afsan, kemudian diikuti semua Kamarul dan Tramizi sebelum semua penonton bangun dan memberikan "standing ovation". 

Mengikut maklumat penganjur, perlawanan ini sengaja diatur sedemikian rupa untuk menghangatkan suasana. Tidak hairanlah, kehadiran penonton pada perlawanan untuk adalah 'agak luar biasa' berbanding dengan perlawanan-perlawanan lain. Hampir setiap sudut ruang legar perlawanan itu, dipenuhi oleh penonton yang rata-ratanya terdiri daripada pendebat-pendebat hebat masakini dari kuasa-kuasa debat di Malaysia. Terdapat juga kehadiran Hakim-Hakim Kelas Tertinggi MADUM yang menonton perlawanan itu. Kehadiran AD, katanya, amat dinantikan untuk memeriahkan lagi jam ke-10 itu dan pasukan "legenda" yang sengaja digabung untuk memberikan tentangan yang sengit kepada "pesara-pesara" debat dari AD. Ini adalah kerana setiap 10jam, Guinness World of Records akan merakamkam pertandingan tersebut, untuk tujuan pengesahan rekod dunia.

Pengasas-pengasas AD yang ditemui selepas perlawanan itu, kelihatan kepenatan selepas dipaksa berhempas pulas mengekang emosi perlawanan dari membakar tujuan usul yang dibentangkan. En. Wan Rohimi Bin Wan Daud yang ditemui berkata: "Barulah saya sedar saya sudah terlalu tua untuk berdebat lagi, terutama apabila terpaksa berdebat dengan pendebat-pendebat masakini yang hebat dengan penuh dengan stamina. Saya tidak mempunyai stamina yang tinggi untuk meneruskan perlawanan, tetapi alhamdulillah saya mampu menghabiskan ucapan saya. Saya lihat kekuatan pasukan lawan dengan jelas, tetapi mereka tidak gunakan dengan baik. Kalau saya berdebat malam ini tidak berkualiti takpe, sebab saya ni orang tua. Tapi kalau adik-adik saya yang berada di kemuncak populariti, masih tidak tahu struktur asas kepada debat, macamana kita nak katakan kualiti debat meningkat. Kalau kita yang tua ini berdebat sampai 10 tahun masih lagi keliru, siapa yang akan melatih generasi mendatang dengan kualiti debat yang baik. Dari cara saya lihat debat ini, tidak hairanlah saya kenapa sesetengah universiti hanya mempunyai pendebat yang "one man show" saja".

En. Yusfarizal bagaimana pun masih kelihatan bertenaga melihat dari sudut yang lain. Komen beliau ialah: "Debat pada malam ini adalah satu contoh jelas tentang tenatnya kualiti pendebat-pendebat di Malaysia. Pembiasan yang dibuat oleh sesetengah pendebat dibuat tanpa mereka sedar bahawa beban bukti usul langsung tidak dijawab. Sesetengah pendebat hanya bergantung harap kepada kemampuan berhujah dengan lancar dan suara yang lantang sahaja untuk menarik perhatian penonton, tetapi hujah mereka tidak kemas dan jauh tersasar walau pun khabarnya ada yang dah 11 kali bertanding di pentas final. Saya lihat trend ini semakin berleluasa dan perlu diperbetulkan. Kalau boleh saya nak mengulangi perlawanan ini dengan usul-usul lain yang lebih akademik, baru kita dapat mengukur kualiti pemikiran pendebat kita".

En. Zairul yang turut berkongsi sentimen dengan En. Yusfarizal, menegaskan bahawa: ".. dalam debat-debat yang sempoi macam ini, yang turut diselami emosi, ujian ketahanan mental adalah penting. Kekuatan mental akan memastikan kita berada pada "track" yang betul supaya kita dapat berpegang kepada premis hujahan dari awal hingga akhir. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan provokasi, walau pun datang dari rakan sepasukan, kerana ia akan melencongkan perdebatan dan sudah tentu kalau dalam perlawanan yang ada hakim, pasukan yang melencong dari usul akan mengalami kekalahan. Saya harap adik-adik saya dalam dunia debat supaya belajar sesuatu tentang bagaimana nak mengekalkan "grip" kepada kes dengan lebih kuat. Kita tidak boleh melompat dari satu premis ke suatu yang bertentangan dengan premis dalam perdebatan".


 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian