akademidebat.com buletin

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

 

 

DEBAT BAHASA MELAYU 100 JAM BAKAL CATAT REKOD DUNIA

[dipetik dari Utusan Malaysia - 12 Disember 2006]

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Debat bahasa Melayu selama 100 jam tanpa henti yang dijadualkan bermula Selasa depan bakal dicatatkan dalam Guinness World Records sebagai satu rekod dunia.Sebanyak 200 usul merangkumi pelbagai bidang akan diperdebatkan oleh kira-kira 300 peserta secara berterusan, siang dan malam, dari 19 hingga 23 Disember ini di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini. Program anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan DBP itu turut mendapat kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa).

Koordinator Unit Debat Bahasa Melayu UiTM, Noriza Hussin berkata, tujuan debat itu diadakan untuk memartabatkan bahasa Melayu selain mengumpul para intelektual khususnya dari institusi pengajian tinggi. Katanya, ia akan berlangsung ala Parlimen Malaysia di mana terdapat dua pasukan yang masing-masing berperanan sebagai pihak kerajaan dan pembangkang.‘‘Setiap kumpulan mempunyai tiga ahli dan setiap seorang diberi masa tujuh minit untuk membentangkan usul. Masa sebanyak empat minit diberikan untuk penggulungan. ‘‘Sebaik sahaja tamat sesi mereka, dua kumpulan lain akan terus menyambung perdebatan dengan tajuk berbeza,’’ kata Noriza pada sidang akhbar Debat Bahasa Melayu 100 Jam Tanpa Henti di sini hari ini.
 

Menurut Noriza, sebanyak 40 pasukan terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi telah mengesahkan penyertaan masing-masing. Beliau menambah, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 100 pasukan untuk menjayakan program berkenaan. Katanya, setiap peserta akan diberikan sijil daripada Guinness World Records dan Malaysia Book of Records. ‘‘Penyertaan masih terbuka kepada orang ramai sehingga debat berlangsung. Ia tidak mengenakan bayaran. ‘‘Selain sijil penyertaan, pihak penganjur juga menyediakan makan, minum dan pakaian,’’ katanya lagi. Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menyertai debat tersebut boleh menghubungi Noriza di talian 016-9024323 atau e-mel: debatbahasamelayu100jam@yahoo.com atau faks 03-5522 7408.

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian