| |
DEBAT MAYA ~ SEKILAS
DEBAT ALAM SEKITAR 2008
Oleh: Bunga Cinta
Lestari
---------------------------------
Usul Debat Alam Sekitar 2008 :
Pusingan Pertama : Pembangunan Mapan Mampu Menjana Keseimbangan Alam
Sekitar
Pusingan Kedua : Pencemaran Sungai di Malaysia, Sudah Tiada Harapan
Pusingan Ketiga : Demi Alam, Konsep Pencemar Bayar Perlu
dikuatkuasakan
Pusingan Empat : Undang - undang Jawapan terbaik kepada Permasalahan
Alam Sekitar
Pusingan Lima : Kitar Semula : Hangat - hangat Tahi Ayam
Pusingan Enam : Pendidikan Alam Sekitar di Malaysia Tidak Tentu Arah
Suku Akhir : Kita Sepakat Menangani Masalah Perubahan Iklim Dunia
Separuh Akhir : Penggunaan Lestari Sumber Asli Menjamin Pemuliharaan
Alam Sekitar
Akhir : Kita Cukup Serius Menangani isu Alam Sekitar
------------------------------------------------------------------
Ucapan syabas buat semua pendebat ipt yang
telah mengikuti pertandingan debat alam sekitar di Universiti
Malaysia Sabah baru-baru ini. Tahniah untuk kejuaraan julung kali
buat pasukan UITM dalam pertandingan debat alam sekitar kali ini.
Seperti menepati ramalan ramai pihak, pasukan UITM dan UIAM berjaya
memboloskan diri sehingga ke peringkat akhir.
Namun, ranjau dan onak berliku telah dilalui oleh pasukan UITM
apabila berada pada kelompok pasukan pilihan selesai pusingan awal
berakhir. Bersama-sama pasukan ini ialah UM dan UMS yang
masing-masing telah bertemu di peringkat suku akhir, sebelum pasukan
UM yang meneruskan perlawanan ke peringkat berikutnya tumbang kepada
pasukan UITM di peringkat separuh akhir.
Bagi UIAM pula, walaupun tunduk dengan mudah oleh pasukan UM pada
pusingan pertama perlawanan, laluan mereka seterusnya amat mudah
bagi mereka mengekang pasukan lain dari terus mara. Rata-rata
kelebihan sememangnya berpihak pada UIAM apabila melihat kelompok
pasukan pada peringkat suku akhir dan separuh akhir.
Demikian sedikit sebanyak perjalanan kedua-dua pasukan sebelum
beraksi di peringkat akhir. Apa yang menarik kali ini, beberapa
perlawanan sama ada peringkat pusingan awal, suku akhir, separuh
akhir mahupun peringkat akhir itu sendiri berjaya menunjukkan tahap
perlawanan yang cukup memberansangkan terutamanya bagi kalangan juri
yang membuat penghakiman.
Perlawanan pasukan seperti UITM dan UM ( pusingan kelima & separuh
akhir ), UM dan UMS ( suku akhir ) serta UIAM dan UITM ( peringkat
akhir ) memperlihatkan keupayaan konsep dan penghujahan yang cukup
terkawal dan dinamik persembahan yang meyakinkan berjaya memikat
juri dan penonton yang melihat. Kelebihan perlawanan2 ini pada hemat
saya dan rakan2 yang menghakiminya menjadi perlawanan buku dengan
ruas dan perlu dijadikan salah satu panduan berguna khususnya untuk
pendebat-pendebat junior dan pasukan-pasukan lain amnya.
Secara peribadi, Saudara Zul Fadli, Nizamuddin dan Farhan Nor Diana
yang bertindak selaku pendebat ketiga bagi pasukan UM, UITM dan UIAM
merupakan contoh terbaik bagi kalangan pendebat dalam melihat teknik
bidasan yang berkesan untuk mempertahankan pasukan dan mematikan
pasukan lawan. Ketiga-tiga pendebat ini mempunyai variasi tersendiri
dalam membidas, di samping elemen komunikasi yang tidak membosankan
membuatkan yang melihat terus "sebati" mendengar tutur bicara mereka.
Sementara itu, Saudara Ali Asyraf dan Khairul Ehsan yang mewakili
pendebat kedua dari pasukan UM dan UMS pula merupakan kalangan
pendebat yang cukup baik dari segi penjelasan fakta dan penghujahan
yang dilakukan. Struktur penghujahan mereka cukup terkawal, dengan
sumber berautoriti dan penjelasan fakta yang mudah untuk difahami,
memberi kelebihan mereka untuk membina tembok pengukuhan terhadap
kekuatan pasukan semasa bertanding.
Sekadar ingin memberikan contoh yang berguna, bagi menjadi panduan
terbaik ketika berdebat. Apa yang penting, keberkesanan untuk
menyampaikan sesuatu ketika berdebat, merupakan elemen asas yang
perlu dimiliki oleh setiap pendebat. Keberkesanan merujuk kepada
perkara seperti persembahan yang lebih bersahaja dan terbuka,
struktur yang jelas, penghujahan yang bernas beserta contoh dan
bukti kontemporari dan paling penting berupaya menguasai pemahaman
tentang sesuatu tajuk yang dibahaskan. Rumusan keseluruhan ini
adalah ramuan terbaru yang ditemui selesai sahaja debat alam sekitar
baru-baru ini. Semoga apa yang terbaik dijadikan panduan dan
peringatan setiap masa dan segala kelemahan yang melanda dijadikan
pengajaran untuk masa akan datang. Syabas buat semua, jumpa lagi di
pertandingan Debat & Pidato Kemerdekaan 2008 (21-25 hb ogos 2008)
|
|