|
DEBAT MAYA ~ SEKILAS
DEBAT KEMERDEKAAN 2008
Oleh: Bunga
Cinta Lestari
TARIKH : 21 hb Ogos - 25 hb Ogos 2008
TEMPAT : UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU
KEPUTUSAN :
JOHAN = UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP)
NAIB JOHAN = UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)
PENDEBAT TERBAIK = SITI HABIBAH (UPSI)
Assalamualaikum. Memulakan tutur bicara pena maya kali ini, saya
mengucapkan jutaan tahniah kepada semua pendebat wanita ipt
keseluruhannya, kerana pada hemat saya pendebat wanita merupakan
komuniti yang mendominasi pencapaian & penglibatan memberansangkan
pada edisi debat kemerdekaan kali ini. Tidak bermaksud apa-apa atau
berniat tidak baik apabila menjelaskan keadaan ini, cuma perasaan
gembira melihat kaum hawa yang cukup bersiap sedia dan menyerlah
dalam penganjuran debat arkib tahun ini. (Mengingatkan zaman dengan
rakan seangkatan Mayang Sari dari UM dan Sakina dari UIAM suatu
ketika dahulu)
Apa pun, rumusan keseluruhannya pada edisi debat merdeka ini
menyaksikan pasukan mewakili IPTS buat julung kalinya memecah
tradisi pasukan IPTA apabila wakil Universiti Teknologi Petronas (UTP)
berjaya mencuri hati juri untuk bergelar Juara Debat Kemerdekaan
tahun 2008 menewaskan pasukan UPSI. Tahniah diucapkan! Sementara,
wakil pendebat wanita dari UPSI Saudari Siti Habibah menggondol
anugerah Pendebat Terbaik pusingan akhir, melalui keberkesanan
penghujahan dan tatacara yang cukup kemas dan meyakinkan telah
dipersembahkan oleh pendebat UPSI ini.
Bagi saya, kehadiran pasukan
underdog pada mulanya seperti UTP dan UPSI yang berjaya
memboloskan diri beraksi di pentas akhir seharusnya menjadi batu
loncatan buat semua pasukan debat bagi menggiatkan usaha dan memacu
tenaga untuk terus berjaya dalam edisi debat berikutnya.
See, satu permulaan yang
baik juga apabila rata-rata pendebat yang disandarkan oleh
kebanyakan ipt terlibat merupakan kalangan pendebat "fresh"
yang masih dalam proses pembelajaran namun sudah berupaya
menunjukkan taring yang berbisa dan jika diasah lagi mereka ini
pastinya akan mampu mencapai tahap yang lebih membanggakan pada masa
akan datang.
Sekadar menyebut beberapa nama, Saudara Junnyarwin, Siti Habibah,
Azri Zahier, Mir Iyeman, Puteri Mahira dan beberapa pendebat junior
yang mewakili USIM, ialah kalangan pendebat yang sememangnya cukup
berpotensi untuk menjadi pendebat unggul suatu hari nanti. Kelibat
mereka yang telah dikesan sejak penghujung tahun lepas lagi, dan
pada masa kini sudah berada di kelas tersendiri dan sewajarnya bakat
mereka ini tidak boleh dipersia dan dibiarkan begitu sahaja.
Harapan saya, kalangan pendebat baru sedia ada terus mengorak
langkah untuk maju ke hadapan bagi meneruskan generasi senior yang
telah lalu. Benarlah kata guru debat saya,
"Industri Debat
ini Patah Tumbuh Hilangkan Berganti", dan nyata ia menjadi
realiti sekarang. Pastikan proses pembelajaran dan mengasah daya
ketajaman minda tidak berhenti begitu sahaja, ada banyak lagi
pertandingan debat yang menuntut anda semua untuk terus beraksi
cemerlang sekaligus membawa nama universiti berada pada prestijnya
tersendiri.
Buat pasukan lain dan seluruh pendebat amnya, saya kira terlalu
banyak perkara dan petunjuk baru yang dipelajari sepanjang
pertandingan Debat Kemerdekaan kali ini. Aspek asas dalam perdebatan
seperti pembinaan konsep yang relevan serta aspek penghujahan yang
lebih ilmiah, semasa dan variasi harus lebih difokuskan agar mutu
perdebatan dapat dipertingkatkan. Syabas buat semua, teruskan
perjuangan yang belum selesai.
*Salam Ramadhan buat Alumni Debat & Sahabat MADUM dan seluruh
pendebat ipt.
|