akademidebat.com buletin

laman utama | profil | produk | buletin | galeri | tinta emas | debat maya | alumni debat uiam

 

TEMURAMAH EKSKLUSIF SEMPENA PROGRAM DEBAT INTEGRITI 2006

 

Kuala Lumpur, 17 Mei - Sempena Pertandingan Debat Integriti 2006, pihak akademidebat.com telah mengadakan satu temuramah eksklusif dengan pihak Institut Integriti Malaysia (IIM) selaku penganjur pertandingan tersebut.

 

Temuramah tersebut dijalankan bersama Pengarah Sektor Sosiobudaya IIM, Encik Mazilan bin Musa dan Penolong Pengarah Sektor Sosiobudaya IIM, Encik Izal Arif bin Zahrudin. Berikut merupakan temuramah bersama koresponden akademidebat.com:

 

akademidebat (AD): Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak IIM kerana sudi memenuhi undangan kami untuk menjalankan temuramah ini.

Encik Mazilan bin Musa (MM): Sama-sama.

Encik Izal Arif bin Zaharudin (IA): Sama-sama.

 

AD: Pertama sekali, bolehkah pihak tuan menceritakan serba sedikit tentang penganjuran Debat Integriti tahun ini?

MM: Debat Integriti merupakan pertandingan debat anjuran IIM yang diadakan di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi dan tahun ini merupakan tahun kedua IIM menganjurkan pertandingan ini.

 

AD: Apakah objektif penganjuran Debat Integriti?

MM: Objektif kami masih sama seperti tahun sebelumnya iaitu untuk menyuburkan kefahaman dan penghayatan nilai-nilai integriti di kalangan mahasiswa.

 

Nilai-nilai integriti mestilah diterapkan pada peringkat awal kerana institusi pengajian tinggi itu sendiri merupakan lapangan tapisan terakhir bagi individu sebelum melangkah masuk ke pasaran kerja.

 

Kajian yang dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas mahasiswa pada tahun 2001 mendapati 30 peratus daripada mahasiswa bersetuju untuk memberi dan menerima rasuah sekiranya diberikan peluang dan kuasa. Mengejutkan bukan? Oleh sebab itu, penerapan nilai-nilai integriti pada peringkat awal adalah sangat penting.

 

 

Pengarah Sektor Sosiobudaya, Institut Integriti Malaysia - En. Mazilan bin Musa

 

Selain itu, pelaksanaan Debat Integriti juga perlu dilihat sebagai salah satu pendekatan yang memenuhi matlamat Pelan Integriti Nasional yang diadakan bagi membentuk masyarakat berintegriti menjelang tahun 2020.

 

Pertandingan debat sebegini sememangnya memberi kefahaman kepada para mahasiswa kerana untuk berdebat, pastinya mereka akan membuat persiapan rapi dan membaca apa-apa maklumat yang berkaitan dengan isu-isu integriti, contohnya Pelan Integriti Nasional itu sendiri. Dari situlah mereka akan memahami isu-isu integriti dengan lebih baik.

 

Hal ini mungkin terhad kepada beberapa orang pendebat sahaja bagi setiap universiti. Oleh hal yang demikian, kami telah membuat perancangan untuk meluaskan lagi pertandingan ini ke peringkat universiti. Ini bermakna, pusingan kelayakan akan diadakan di peringkat universiti terlebih dahulu.

 

Kemudian, johan bagi setiap universiti akan bertemu untuk bertanding di peringkat utama. Pendekatan sebegini akan mendedahkan isu-isu integriti kepada lebih ramai pelajar.

 

AD: Bagaimana pihak penganjur melihat pencapaian objektif ini pada tahun lepas?

MM: Sangat mengagumkan. Walaupun hanya diberi masa 30 minit untuk persiapan, para pendebat secara amnya dapat mengupas isu-isu integriti dengan baik.

 

Bagi kami, Debat Integriti berjaya mencapai matlamatnya tahun lalu. Namun begitu, masih terdapat beberapa aspek yang masih boleh diperbaiki.

 

AD: Apakah fokus isu bagi Debat Integriti pada tahun ini?

MM: Bersempena dengan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9), tema bagi Debat Integriti pada tahun ini ialah berkisar tentang pembangunan modal insan.

 

Hal ini berkaitan kerana pembangunan modal insan itu sendiri merupakan salah satu daripada aspek yang ditekankan dalam RMK9. Modal insan juga boleh dikatakan sebagai salah satu daripada penentu kejayaan pelaksanaan RMK9.

  

Kami melihat tema pembangunan modal insan ini bertepatan sekali untuk dibahaskan kerana universiti sendiri merupakan lapangan yang melahirkan warganegara yang berpengetahuan, sekaligus menjadi salah satu komponen penting dalam proses pembangunan modal insan itu sendiri.

 

Penolong Pengarah Sektor Sosiobudaya

Institut Integriti Malaysia

En. Izal Arif bin Zaharudin

 

AD: Selain daripada menganjurkan pertandingan debat, apakah pendekatan lain yang dilaksanakan oleh IIM dalam memastikan kefaman isu-isu integriti ini dapat diterapkan di peringkat akar umbi?

MM: Memang banyak program yang sedang dan akan dijalankan oleh pihak IIM untuk mencapai tujuan tersebut. Bagi golongan mahasiswa, kami telah berhubung dengan pihak hal ehwal mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT)untuk mengadakan slot ceramah mengenai isu integriti setiap kali berlangsungnya minggu suai kenal di IPT tersebut.

 

IA: Kami juga telah mengusulkan kepada Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor supaya sukatan mata pelajaran Kenegaraan yang ada di IPT sekarang ini ditambah dengan elemen integriti.

 

MM: Penumpuan di peringkat sekolah juga diberi perhatian oleh IIM. Kami akan mengadakan pertandingan menulis esei di kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

 

Malah, kami juga telah mencadangkan kepada pihak Pusat Pembangunan Ko-Kurikulum, Bahagian Sekolah supaya diwujudkan Kelab Integriti di peringkat sekolah sebagai salah satu badan ko-kurikulum.

 

Oleh kerana sudah wujud Kelab Rukun Negara, maka mungkin terdapat pertindanan dari segi pengisian namun hal ini masih di peringkat perancangan dan setakat ini, Kementerian Pelajaran sememangnya memberikan respon positif.

 

Di IIM, kami sentiasa mengharapkan bahawa segala usaha hasil ilham Perdana Menteri kita untuk meningkatkan integriti di kalangan masyarakat mendapat sokongan padu semua pihak.

 

AD: Terima kasih di atas kesudian IIM untuk bersama-sama dengan akademidebat.com dalam sesi temuramah ini. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada IIM selaku penganjur Debat Integriti.

MM: Sama-sama.

IA: Sama-sama. - akademidebat.com

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Buletin | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian