|
|
||||||
|
TEMURAMAH EKSKLUSIF BERSAMA PASUKAN DEBAT SEKOLAH BERASRAMA PENUH INTEGRASI (SBPI) GOMBAK
Kuala Lumpur, 26 Mei - Pihak akademidebat.com telah mengadakan satu temuramah eksklusif bersama pasukan debat SBPI Gombak yang telah muncul selaku johan dalam pertandingan Debat Antara Sekolah 2006 kategori Bahasa Melayu yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.
Temuramah tersebut telah dihadiri oleh Pengetua SBPI Gombak, Puan Hajjah Norlia bt. Mohd Shuhaili, guru-guru penasihat debat iaitu Encik Rahman bin Hamdan, dan Puan Khairul Afdzar bt. Ahmad Shah.
Pasukan SBPI Gombak pula terdiri daripada Muhammad Kasyful Azim bin Sahlan, Dahlia Hazirah bt. Jaafar, Nurliyana bt. Norazmi, dan 'Ismah Mansurah bt. Zainudin.
TEMURAMAH BERSAMA PUAN PENGETUA | PUAN HAJJAH NORLIA MOHD SHUHAILI
Puan Pengetua (PP): Sama-sama.
AD: Bagaimanakah perasaan Puan apabila pasukan debat Bahasa Melayu SBPI Gombak muncul sebagai johan Pertandingan Debat Antara Sekolah 2006 baru-baru ini? PP: Pastinya gembira. Pertandingan tersebut menampilkan pasukan-pasukan yang handal belaka. Tambahan pula, kami bertemu dengan pasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar di peringkat akhir - sebuah pasukan yang tidak asing lagi dalam dunia debat.
AD: Adakah Puan sendiri menjangkakan kemenangan ini? PP: Kemenangan ini sememangnya di luar jangkaan saya. Saya menganggap pernyertaan para pendebat adalah sebagai pendedahan kepada mereka. Kemenangan mereka sememangnya membawa erti yang besar kepada pihak sekolah.
Saya menganggap kemenangan ini sebagai satu hadiah dan pengiktirafan yang bermakna kepada SBPI Gombak. Kemenangan ini bukan sahaja menaikkan nama SBPI Gombak malah SBPI secara keseluruhannya.
AD: Bagaimana pihak pentadbiran sekolah memainkan peranan dalam membantu aktiviti debat? PP: Di SBPI Gombak, kami sentiasa menyokong aktiviti ko-kurikulum termasuklah debat. Kami sentiasa memberi sokongan dan menyediakan kemudahan yang secukupnya untuk para pendebat, contohnya akses Internet.
Untuk persiapan mereka ke Debat Piala Perdana Menteri sempena Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penbuh (HKSBP) di Kuantan nanti, pihak sekolah telah menaja blazer khas kepada semua pendebat.
AD: Secara peribadi, bagaimana Puan melihat aktiviti debat sebagai aktiviti yang boleh membantu para pelajar? PP: Aktiviti debat banyak kelebihannya. Yang paling utama, aktiviti ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar untuk bercakap di khalayak ramai.
Para pelajar juga dapat mempertingkat penampilan diri sambil membina kekuatan mental dan psikologi. Apabila mereka sudah berkeyakinan untuk berucap di khalayak ramai, maka sudah tentu mereka lebih berani berhadapan dengan masyarakat umum nanti.
Aktiviti debat juga mampu memberi kelebihan kepada para pelajar selepas tamat belajar nanti. Mereka akan tampi dengan keyakinan yang tinggi ketika menghadiri sesi temuduga. Para pendebat juga biasanya menonjolkan sifat kepemimpinan yang tinggi ketika berada di kalangan masyarakat.
AD: Pasukan debat SBPI Gombak sekali lagi akan membawa cabaran sekolah di Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri yang diadakan di Kuantan bermula 28 Mei ini. Apakah harapan puan kepada para pendebat? PP: Harapan saya memanglah tinggi kerana mereka membawa nama dan imej sekolah. Saya berharap dengan sokongan daripada pihak sekolah, guru-guru,dan rakan-rakan, para pendebat dapat memberikan usaha yang terbaik untuk muncul selaku johan.
TEMURAMAH BERSAMA GURU PENASIHAT | ENCIK RAHMAN BIN HAMDAN
Encik Rahman bin Hamdan (RH): Kami menjalankan persiapan seperti biasa. Bagi saya semua pertandingan debat adalah sama. Yang berbeza mungkin format atau hakimnnya.
Kami menjalankan latihan tiga kali seminggu. Kadangkala para pendebat menjalankan latihan atas inisiatif sendiri tanpa kehadiran guru penasihat. Kami juga menjalankan sesi perlawanan persahabatan dengan sekolah yang lain contohnya Kolej Tunku Khursiah.
AD: Sebagai antara pasukan pilihan, pastinya wujud tekanan di kalangan para pendebat. Bagaimana cikgu memastikan para pendebat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut? RH: Tekanan wujud setiap masa, tidak kiralah pasukan tersebut merupakan pasukan pilihan ataupun tidak.
Yang penting, kami menjadikan tekanan itu sebagai perangsang untuk kami merancakkan usaha menjelang hari pertandingan.
AD: Kami difahamkan bahawa format debat Piala Perdana Menteri pada tahun ini mempunyai sedikit perbezaan berbanding Debat Antara Sekolah di UIAM. Bagaimana cikgu melihat keadaan ini? RH: Bagi saya, menyertai sesebuah pertandingan samalah halnya seperti kita mengunjungi rumah seseorang. Pasti ada peraturan dan tata tertib yang perlu dipatuhi bagi menyenangkan hati tuan rumah.
Begitu juga dengan debat Piala Perdana Menteri kali ini. Saya sentiasa mengingatkan para pendebat supaya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. Contohnya, definisi literal bagi usul tidak perlu disertakan, susunan pendebat perlulah mengikut formasi yang ditetapkan, jangan membuat sebarang kenyataan yang menjatuhkan pihak lawan dan sebagainya.
Bagi saya, debat Piala Perdana Menteri memang banyak bezanya dengan Debat Antara Sekolah anjuran UIAM. Debat anjuran UIAM lebih banyak menekankan kebolehan berhujah secara spontan.
Apabila kita hanya memberi masa 30 minit sahaja kepada para pendebat untuk bersedia, maka kita boleh mengukur pendebat manakah mempunyai idea dan hujah yang asli, segar, dan tersendiri. Di situ kita melihat kebijaksanaan seseorang pendebat dalam mengatur hujahnya.
Hal ini berbeza dengan debat Piala Perdana Menteri. Tajuk debat diberikan berbulan-bulan lamanya sebelum pertandingan berlangsung. Sesiapa sahaja boleh membuat persiapan. Malah, seluruh sekolah boleh dikerah untuk mencari idea dan bahan rujukan. Penilaian akhir hanyalah pada kelancaran berhujah dan adab ketika berdebat.
AD: Apakah kata-kata hikmat yang selalu disampaikan kepada para pendebat? RH: Saya selalu mengingatkan mereka bahawa kejayaan adalah lambang usaha. Kalau usaha kita besar, maka besarlah kejayaan yang akan kita peroleh. Yang penting, lawan tetap lawan. Kekalkan dan mantapkan prestasi sedia ada. Hadapi tekanan dengan strategi dan bukannya emosi.
AD: Selaku individu yang bertanggungjawab membimbing pasukan ini, apa harapan cikgu untuk debat Piala Perdana Menteri pada tahun ini? RH: Rekod membuktikan bahawa tidak pernah ada sekolah yang berjaya merangkul dua gelaran sekaligus - iaitu johan Debat Antara Sekolah di UIAM dan johan debat Piala Perdana Menteri, kecuali Kolej Islam Sultan Alam Shah yang melakukannya pada tahun 2002.
Harapan saya jelas, saya ingin memecahkan tradisi ini. Saya ingin membuktikan bahawa standard kemenangan yang kami capai di UIAM adalah tinggi dan kami mampu mengulanginya pada debat Piala Perdana Menteri nanti.
Temuramah bersama pendebat
|
|||||||
|
|||||||