|
Temubual
Eksklusif: UTM
| UM

TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA FINALIS DEBAT INTEGRITI PERDANA
2006: UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)
Sempena
Pertandingan Akhir Debat Integriti Perdana 2006 yang bakal
berlangsung pada 13 Julai 2006, pihak akademidebat.com
telah berkesempatan menemubual salah sebuah pasukan yang
telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir iaitu UTM.
UTM diwakili
oleh Khairul Afsan Abu Bakar (KA), Mohd Zaki Ismail (MZ),
Sakinah Al-Mubarakah Muhamad (SM), dan Mohd Sharifudin Nazri.
Berikut merupakan temubual tersebut:
akademidebat.com:
Assalamualaikum. Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak
akademidebat.com di atas kesudian anda semua menghadiri sesi
temubual ini.
KA, MZ, SM:
Waalaikumsalam. Sama-sama.
Pertama sekali, apakah perasaan anda apabila berjaya
melayakkan diri ke peringkat akhir?
MZ: Lega
dan gembira.
SM: Lega.
KA:
Gembira. Kami berasa lega kerana harapan yang diletakkan
kepada kami sangat besar kerana kami merupakan finalis pada
tahun lalu, maka sudah pasti kami diharapkan mengulangi
kejayaan tersebut pada tahun ini.
Secara keseluruhan, bagaimana anda melihat pasukan anda
dalam Debat Integriti Perdana pada tahun ini berbanding
tahun sebelumnya?
KA:
Memang ada perbezaan. Pada tahun lepas, kami menghantar
sebuah pasukan yang kuat yang dibentuk untuk merebut
kejuaraan. Tahun ini pula, kami membawa seorang pendebat
junior untuk diserap ke dalam pasukan.
Gaya jagoan...Dari kiri: Afsan, Zaki, Sakinah
SA:
Posisi kami juga kerap bertukar sepanjang perdebatan.
Pasukan pada tahun ini boleh disifatkan sebagai pasukan
eksperimen.
Sepanjang pertandingan ini, pasukan manakah yang paling
sukar ditewaskan dan mengapa?
KA:
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami sentiasa
bertemu dengan pasukan UIAM pada peringkat yang penting
seperti suku akhir atau separuh akhir. Kalau pada pusingan
awal, mungkin kami boleh memperlahankan rentak debat
sekiranya kes sudah tidak memihak kepada kami. Tetapi
apabila bertemu UIAM di peringkat kalah mati, kami perlu
berusaha keras sehingga ke sesi akhir perdebatan iaitu
penggulungan kes.
MZ: UIAM.
UIAM merupakan sebuah pasukan yang mempunyai kualiti debat
yang baik. Tambahan pula, rekod pertemuan kami dengan UIAM
lebih memihak kepada UIAM, maka adalah penting untuk kami
memenangi setiap perlawanan dengan UIAM.
SM:
Selain daripada UIAM, pasukan lain yang sukar ditewaskan
ialah Universiti Malaya (UM). UM merupakan sebuah pasukan
yang kuat dan mempunyai teknik debat yang berkesan. Apabila
bertemu dengan UM, setiap hujah dan bidasan saling
bertembung dan mewujudkan perdebatan yang sangat sengit.
Tiga pendebat yang bakal membawa cabaran UTM pada
Pertandingan Akhir Debat Integriti Perdana 2006, 13 Julai
2006:
Dari kiri - Sakinah al-Mubarakah Muhamad, Khairul Afsan Abu
Bakar, dan Mohd Zaki Ismail
Apakah kelemahan pasukan (atau individu) yang telah dikesan
sepanjang Debat Integriti Perdana pada tahun ini? Bagaimana
kelemahan ini boleh diperbaiki menjelang pertandingan akhir?
KA: Yang
paling penting, setiap komen hakim perlu diambil perhatian.
Kelemahan yang jelas, bagi saya, ialah kaitan hujah dengan
isu integriti yang masih lemah. Mungkin selepas ini, kami
boleh menjelaskan lagi kaitan setiap hujah dan fakta dengan
isu-isu integriti.
Secara peribadi,
saya kadangkala mempunyai sedikit masalah dengan pembahagian
masa. Sebagai pendebat kedua, saya perlu membidas dan pada
masa yang sama, membentangkan hujah dan fakta. Apabila
terlalu asyik membidas, masa untuk pembentangan hujah
kadangkala terjejas.
MZ:
Antara perkara yang boleh diperbaiki ialah dari segi kemasan
hujah. Setiap fakta yang ingin dibentangkan mestilah
difahami dengan baik untuk meningkatkan mutu penyampaian.
Sebagai pendebat
pertama, saya juga perlu memberi perhatian yang lebih
terhadap peraturan baru Majlis Debat Universiti-Universiti
Malaysia (MADUM) yang menetapkan bahawa pendebat pertama
bagi pihak pembangkang hanya boleh menerima atau menolak
definisi yang diberikan oleh pihak kerajaan/pencadang.
Konsep pindaan tidak lagi dibenarkan.
SM: Semua
ahli pasukan perlu lebih memahami kehendak pihak penganjur,
Institut Integriti Malaysia (IIM). Hujah perlu konsisten
sepanjang perdebatan. Selaku pendebat ketiga, saya perlu
meningkatkan lagi analisa terhadap hujah pihak lawan. Setiap
bidasan perlukan jalan penceritaan yang jelas.
Apakah harapan anda untuk pertandingan akhir nanti?
KA: Saya
berharap agar kami akan membawa pulang gelaran juara dengan
persembahan yang baik. (Berjenaka) Persembahan
kenalah baik, barulah tak diundi keluar.
MZ: Sudah
tentu untuk menang. Walaupun tempat pertandingan akhir masih
belum ditetapkan, saya berharap agar pertandingan tersebut
dapat dianjurkan di UTM. Kemenangan yang diraih di hadapan
penyokong sendiri adalah sesuatu yang amat berharga.
SM: Saya
berharap agar kami dapat buat persembahan yang terbaik.
Apabila selesai berdebat, moga-moga kami boleh berpuas hati
walaupun keputusan belum diumumkan. Secara atas kertas,
kedua-dua pasukan (UTM dan UM) ada kelebihan masing-masing
dari segi struktur debat dan konsisten. Kami akan pastikan
yang terbaik.
Kami mengucapkan selamat berjaya kepada anda semua. Semoga
UTM mempersembahkan yang terbaik pada pertandingan akhir
nanti.
KA, MZ, SM:
Terima kasih.
|