akademidebat.com debat integriti perdana 2006

26-29 Jun

Institut Integriti Malaysia, Persiaran Duta Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur

utama | latar belakang | jawatankuasa | berita | keputusan | kedudukan | usul | galeri |

 

TEMUBUAL EKSKLUSIF | finalis

   
 

 

Temubual Eksklusif: UTM | UM

 

TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA FINALIS DEBAT INTEGRITI PERDANA 2006: UNIVERSITI MALAYA (UM)

Sempena Pertandingan Akhir Debat Integriti Perdana 2006 yang bakal berlangsung pada 13 Julai 2006, pihak akademidebat.com telah berkesempatan menemubual salah sebuah pasukan yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir iaitu UM.

 

UM diwakili oleh Shahrizan Sharbini (SS), Muhammad Danial Azman (MD), Mohamed Zulfadhli Khairudin (ZF), dan Muhammad Shahrul Nizam M. Fauzi (SN). Berikut merupakan temubual tersebut:

 

akademidebat.com: Assalamualaikum. Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak akademidebat.com di atas kesudian anda semua menghadiri sesi temubual ini.

SS, MD, ZF, SN: Waalaikumsalam. Sama-sama.

 

Pertama sekali, apakah perasaan anda apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir?

SS: Lega.

 

ZF: Puas dan lega.

 

 

 

Finalis...barisan pendebat UM. Dari kiri - Shahrizan, Zulfadhli, Danial, dan Nizam

 

Secara keseluruhan, bagaimana anda melihat pasukan anda dalam Debat Integriti Perdana pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya?

SS: Berbanding dengan tahun lalu, kali ini kami mempunyai kefahaman yang lebih jelas dalam isu-isu integriti memandangkan tahun ini merupakan tahun kedua kami menyertai Debat Integriti Perdana.

 

Sepanjang pertandingan ini, pasukan manakah yang paling sukar ditewaskan dan mengapa?

SS: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

ZF: UIAM. Saya rasa kerana UIAM dan UM merupakan dua pasukan yang mempunyai kekuatan yang setara dari segi kupasan fakta. Tambahan pula, UIAM terkenal dengan teknik hujahan yang komprehensif dan mempunyai daya bujukan yang tinggi.

 

MD, SN: Saya setuju.

  

Apakah kelemahan pasukan (atau individu) yang telah dikesan sepanjang Debat Integriti Perdana pada tahun ini? Bagaimana kelemahan ini boleh diperbaiki menjelang pertandingan akhir?

SS: Dari segi komunikasi sepasukan, kami tidak mempunyai sebarang masalah. Mungkin antara perkara yang boleh ditingkatkan ialah kualiti perbincangan semasa 30 minit sebelum debat bermula.

 

ZF: Fakta yang dikemukakan di dalam hujah perlulah dipastikan terkini dan relevan dalam perdebatan. Itu yang kami boleh perbaiki lagi.

 

Empat pendebat UM yang bakal menggalas cabaran ke pertandingan akhir Debat Integriti Perdana 2006.

Dari kiri: Shahrizan Sharbini, Mohamed Zulfadhli Khairudin, Muhammad Danial Azman, dan Muhammad Shahrul Nizam M. Fauzi

 

Anda semua mempunyai posisi masing-masing di dalam pasukan. Berdasarkan pengalaman, apakah sebenarnya yang membentuk karakter dan kualiti seorang pendebat pada posisi pendebat pertama, kedua, ketiga, dan penggulung?

SS: Bagi seorang pendebat pertama, kualiti yang paling penting ialah meramal dan membaca konsep dan kes pihak lawan kerana pendebat pertamalah yang akan membuka kes dan memulakan rentak pasukan.

 

Antara perkara yang selalu saya perhatikan ialah celahan pertama yang diberikan oleh pihak lawan. Celahan pertama pihak lawan biasanya serba sedikit menggambarkan hala tuju kes mereka. Selain itu, pendebat pertama juga perlu mempunyai gah dan karismanya yang tersendiri dalam membuka kes pasukan.

 

ZF: Seorang pendebat kedua yang baik ialah pendebat yang mempunyai daya sampai yang berkesan. Pendebat kedua bukanlah orang yang melambakkan fakta semata-mata tetapi berkeupayaan untuk mengaitkan setiap fakta dengan konsep dan kes pasukannya.

 

MD: Yang paling penting bagi pendebat ketiga, yang membidas kes lawan, ialah daya analisis. Adalah penting untuk pendebat ketiga membidas dengan baik dan memberi gambaran yang jelas tentang apakah pertikaian sebenar yang berlaku sepanjang perdebatan.

 

ZF: Dalam sesi penggulungan, apa yang penting bagi saya ialah penggulungan yang tidak dirancang awal. Ini penting kerana penggulungan mesti bersifat responsif terhadap keseluruhan perdebatan.

 

Inilah masanya penggulung menceritakan apa yang berlaku sepanjang perdebatan di samping mendedahkan semula persoalan-persoalan yang tidak dapat dijawab oleh pihak lawan.

 

Apakah harapan anda untuk pertandingan akhir nanti?

SS: Sudah tentu kami mengharapkan kemenangan untuk pertandingan akhir nanti. Saya amat berharap agar pendebat UM dapat mengatasi satu sindrom yang sering dialami oleh pendebat UM terdahulu iaitu kurang berjaya menampilkan persembahan yang terbaik setiap kali berada di pentas akhir.

 

ZF: Saya berharap agar UM mampu muncul sebagai juara.

 

MD: Kami akan lakukan yang terbaik.

 

Kami mengucapkan selamat berjaya kepada anda semua. Semoga UTM mempersembahkan yang terbaik pada pertandingan akhir nanti.

SS, MD, ZF, SN: Terima kasih.

 

 

 

utama | latar belakang | jawatankuasa | berita | keputusan | kedudukan | usul | galeri