akademidebat.com debat integriti perdana 2006

26-29 Jun

Institut Integriti Malaysia, Persiaran Duta Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur

utama | latar belakang | jawatankuasa | berita | keputusan | kedudukan | usul | galeri |

 

KOMENTAR | mukaddimah

   
 

 

Debat Integriti Perdana: Bukan Sekadar Pertandingan

Apa lagi yang mahu dikatakan? Sedar ataupun tidak Debat Integriti Perdana sudahpun berusia dua tahun semenjak kali pertama diadakan pada tahun 2005. Ini jelas membuktikan komitmen penganjur dalam membentuk kesinambungan aktiviti memugar kefahaman tentang integriti diperingkat mahasiswa. Tidak dapat dinafikan lagi, usaha keras tanpa jemu dan lelah Institut Integriti Malaysia (“IIM”) sudah mula menampakkan hasilnya.

Kalaupun tidak secara menyeluruh, tempiasnya pasti terasa jua. Pendebat-pendebat yang bergelumang dengan fakta tentang integriti setiap kali membuat kajian sebelum pertandingan, pastinya memahat padu memori tersebut untuk dipraktikkan.

 

Begitu juga dengan penonton debat yang dihidangkan dengan cetusan fikrah tentang kepentingan integriti, pastinya sedikit sebanyak terpandu mindanya ke satu medan paradigma yang baru. Sudah pasti, terma-terma seperti modal insan, Tekad 2008, iltizam kerajaan, dasar sosial mahupun pelan integriti nasional, yang dahulunya asing, bukan lagi istilah baru dalam kamus minda mahasiswa kini. Huraian panjang lebar tentang maksud dan takrifan integriti itu sendiri juga sudah berkajang-kajang dinukilkan dan seharusnya difahami.

Namun demikian, tidak semua pisang pada tandan yang sama elok buahnya. Masih ada juga kedapatan mahasiswa yang gagal memahami erti integriti dalam konteksnya yang tepat. Seringkali integriti hanya difokuskan kepada analisa “trend” yang tersasar dan mencapah.

 

Ada yang berpendapat, nilai integriti hanya boleh diukur apabila wujudnya konflik kepentingan. Justeru, mereka mencipta teori baru yang mengatakan bahawa integriti seseorang hanya boleh dibuktikan apabila wujudnya pertembungan antara dua atau lebih kepentingan diri. Kefahaman sebegini amat tersasar.

 

Secara umumnya, tidak semua individu berada dalam konflik kepentingan dan tidak semua masalah integriti berlaku sebab wujudnya konflik kepentingan. Ujian sebegini hanya menyempitkan skop integriti.

 

Apakah seorang individu yang tinggi moralnya tetapi tidak pernah berhadapan dengan situasi “konflik kepentingan” tidak lulus ujian integriti tersebut? Apakah seorang guru agama yang tidak berkeluarga dan menghabiskan sepenuh masanya di masjid tidak lulus ujian integriti berdasarkan konflik kepentingan? Saya rasakan tidak.

Ada juga yang menganggap integriti ini adalah modal yang boleh digunakan untuk meraih keuntungan. Lantaran daripada itu, wujudlah golongan pencari peluang “Opportunist” yang sentiasa menyorong mukanya dan bermulut manis untuk mendapatkan sesuatu pulangan. Mungkin wang, nama atau pangkat yang diagung-agungkan. Andai kata nilai integriti sudah bertukar menjadi modal perniagaan, maka tidak akan ada lagi keikhlasan dan yang tinggal hanyalah kemunafikan.

Integriti juga bagi saya menjangkaui batas agama, ras mahupun kepentingan-kepentingan yang diwakili. Kita tidak boleh hanya telus kepada satu kelompok sahaja tetapi bersikap acuh tak acuh dan tidak jujur terhadap kelompok yang lain. Begitulah yang harus diamalkan oleh golongan pemerintah dan pentadbir.

 

Segala tindakan perlulah telus kepada semua golongan, tidak kira kepada rakan pentadbir, anggota pembangkang, masyarakat mahupun bekas-bekas negarawan yang berhak untuk mengetahui maklumat yang tepat dan benar.

Kepada pendebat-pendebat sekalian, jadikan pertandingan kali ini medan untuk menggilap sikap dan bukan sekadar mengejar piala. Pun begitu, kesungguhan untuk berjaya perlulah ditunjukkan kerana bersungguh-sungguh juga adalah suatu nilai integriti yang tinggi.

 

Janganlah hendaknya ada yang bergolok gadai, membuang saudara dan merendah-rendahkan intelek sendiri hanya kerana kilauan piala yang sementara dan wang ringgit yang pasti habis jua. Anda adalah wakil mahasiswa dan insititusi yang ada huni.

 

Pamerkan ketinggian mutu dan ilmu yang ada dan jangan sia-siakan pengalaman yang telah disusun rapi oleh orang-orang sebelum anda.

Akhir kata, di pihak akademidebat.com, kami sentiasa mengharapkan agar Debat Integriti Perdana ini menjadi medan sama rata kepada semua peserta untuk bertingkah hujah dan menghunus bidasan. Jangan gentar pada nama dan catatan trek “track record” yang ada pada sesebuah pasukan, kerana nama senantiasa boleh ditukar dan rekod dicipta hanya untuk dipecahkan.

 

Jangan pula jadikan Debat Integriti ini tempat mencari katarsis kosong dan syok sendiri semata-mata. Ini bukan tempat untuk menjadi bintang yang hanya bersinar di hujung galaksi tetapi kelam dan hitam bila siang tiba.

 

Kami amat berharap, matlamat IIM untuk memberi kefahaman yang jelas tentang integriti akan tercapai.

Sekian.

Dari meja kayu Ukay Perdana
Yusfarizal Bin Yussoff

 

utama | latar belakang | jawatankuasa | berita | keputusan | kedudukan | usul | galeri