|
Perpaduan
Nasional Masih Longgar
Pendahuluan
Antara topik
yang didebatkan pada peringkat suku akhir ialah “Perpaduan
nasional masih longgar”. Walaupun akademidebat.com
tidak berkesempatan untuk menonton topik ini diperdebatkan
secara penuh, akademidebat.com berasa terpanggil
untuk memberikan pandangan tentang topik tersebut.
Sememangnya topik tersebut bukan topik yang mudah untuk
didebatkan. Namun begitu akademidebat.com berpendapat
bahawa pihak pencadang mempunyai kelebihan dari segi fakta
mahupun kupasan isu. Persoalan tentang perpaduan nasional
seharusnya dilihat melampaui perkara-perkara makro dalam
perihal sosial.
Sudah semestinya
dalam negara kita tidak ada konflik perpaduan yang jelas dan
kritikal. Namun begitu, ia tidak membuktikan bahawa
perpaduan sudah mantap atau tidak longgar. Kelonggaran
perpaduan ini mungkin boleh dilihat dari aspek-aspek berikut:-
1. Masih wujud polarisasi kaum terutamanya dari segi ekonomi
dan kewangan
2. Masih wujud golongan “ekstremis” atau “chauvinis” kaum
yang taksub dalam tuntutan mereka
3. Paradigma masyarakat kebanyakan yang tidak menjurus
kepada perpaduan (walaupun mengukut paradigma adalah sesuatu
yang subjektif, tetapi ia boleh dilihat dari contoh-contoh
harian yang mudah).
Hakikatnya, kita masih boleh melihat syarikat-syarikat milik
kaum tertentu meletakkan syarat untuk mahir berbahasa
tertentu (bahasa ibunda kaum tersebut) sebagai syarat
kemasukan bekerja, walaupun jelas ia adalah satu
diskriminasi ras yang dilarang. Begitu juga dengan
tuntutan-tuntutan kumpulan seperti “Suqiu”, “India Muslim”
dan sebagainya yang menjurus ke arah polarisasi kaum.
Pendekatan Pencadang
Kamus Dewan
mendefinisikan “longgar” sebagai, antara lainnya, tidak
sempit, tidak mengikat kuat, tidak ketat. Takrifan literal
tidak mengikat kuat mungkin adalah takrifan yang paling
sesuai dengan konteks topik.
Dengan
menggunakan takrifan literal sedemikian, pendebat boleh
membentuk satu konsep perdebatan yang jitu iaitu Perpaduan
Nasional masih tidak mengikat kuat. Tanda aras bagi frasa
tidak mengikat kuat pula boleh diletakkan menggunakan
kriteria berikut:-
(a) Apabila masih wujud golongan yang tidak endah dan
sensitif kepada integrasi kaum (Contoh: tuntutan Suqiu,
peristiwa Kampung Medan)
(b) Apabila masih wujud segmen masyarakat yang mengutamakan
ras berbanding kemajmukan kaum (contoh: syarikat yang
utamakan kebolehan berbahasa tertentu, tuntutan India Muslim
untuk menjadi Melayu dsb)
(c) Apabila masih berlaku kegiatan-kegiatan yang mencabar
perpaduan nasional
Analoginya cukup mudah (meminjam kata-kata klasik pendebat
UIAM), seluar si D dikatakan longgar apabila ada ruang
kosong antara pinggang dan lilitan seluarnya yang boleh
menyebabkan seluarnya terlondeh. Ruang-ruang yang masih
wujud inilah yang menjadikan seluar tersebut longgar.
Begitu juga
dengan perpaduan nasional. Sekiranya masih wujud ruang-ruang
dan lakuna tersebut, maka kita tidak boleh mendabik dada
mengatakan perpaduan nasional sudah ketat atau mantap.
Hujahan songsang juga boleh diguna sebagai senjata
penyelamat. Fakta yang menunjukkan bahawa kerajaan masih
menumpukan usaha jitu untuk membentuk perpaduan seperti
mengadakan sekolah integrasi, kempen-kempen perpaduan,
menanam mesej perpaduan dalam hidangan media seperti
rancangan 3R, drama gol & gincu dan sebagainya, hanya
menunjukkan bahawa perpaduan nasional masih longgar dan
perlu usaha untuk mengetatkannya.
Jika ia sudah
ketat, yang perlu hanyalah melindunginya daripada terlerai
dengan mencantas usaha-usaha sabotaj terhadap kemajmukan
rakyat Malaysia.
Pendekatan Pembangkang
Di barisan pihak
pembangkang, sudah pasti darjah kelonggaran perlu
ditinggikan. Tanda aras longgar mungkin boleh dirangka
seperti berikut:-
(a) Apabila tiada pertembungan dan konflik yang kritikal
membabitkan perpaduan. (kritikal perlu dijelaskan dengan
memberi contoh rusuhan kaum, pembersihan etnik seperti di
Bosnia Herzegovina, diskriminasi seperti di pulau Canberra
dan Afrika dsb).
(b) Apabila tiada diskriminasi ras yang berlaku dan
dibiarkan tidak dikawal. (aspek pengawalan penting kerana
tidak ada satu negara dalam dunia yang rakyatnya sempurna
tanpa ada golongan haluan kiri atau ekstremis. Yang
membezakan tahap keamanan sesebuah negara adalah mekanisma
kawalan terhadap golongan tersebut).
Cukup dengan tanda aras di atas, pembangkang dengan mudahnya
dapat mematahkan hujah Kerajaan.
Apa pula
rasional pendekatan ini?. Rasionalnya ialah perpaduan
nasional adalah suatu prinsip dan nilai yang mobil dan
senantiasa berkembang selari dengan tahap ekonomi dan
sosio-politik sesebuah negara. Oleh yang demikian,
masalah-masalah sampingan adalah satu kebiasaan.
Justeru, kita
tidak boleh bersandar kepada masalah-masalah kecil untuk
menghukum tahap perpaduan nasional selagi mana tidak wujud
konflik kritikal seperti yang disebutkan sebelum ini.
akademidebat.com tidak berniat untuk menaburkan fakta-fakta
yang relevan untuk dikemukakan disini. Cukuplah sekadar
memberi pedoman tentang pendekatan yang boleh diambil.
Selebihnya terpulang kepada pendebat sendiri untuk
melakarnya.
Apapun, ia hanyalah sekadar pendapat akademidebat.com.
Mungkin ada pendekatan yang lebih baik berdasarkan analisa
trend, konflik kepentingan mahupun implikasi moral yang
boleh digagaskan. Terpulang kepada pendebat dan jurulatih
masing-masing untuk memastikan yang terbaik untuk pasukan.
Selamat berjaya.
Dari meja kayu Ukay Perdana
Yusfarizal Yussoff
|