|
PENDAHULUAN
Pelan Integriti
Nasional (PIN) telah dilancarkan pada tahun 2004 dengan
matlamat untuk membentuk masyarakat yang kukuh ciri-ciri
nilai moral dan etikanya dengan para warganya mempunyai
nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh serta ditunjangi
oleh budi pekerti yang luhur.
PIN bertujuan
untuk memberi hala tuju kepada semua komponen masyarakat dan
negara. Matlamat pelaksanaan PIN dizahirkan dalam bentuk
pelan tindakan komprehensif yang melibatkan lapan komponen
atau institusi. Komponen atau institusi tersebut ialah
institusi keluarga, komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya,
agama, ekonomi, politik dan pentadbiran.
Pelbagai program
telah dicadangkan dalam agenda integriti bagi sosiobudaya.
Di antaranya ialah menganjurkan pertandingan debat integriti.
Debat merupakan salah satu aktiviti terbaik untuk
meningkatkan daya fikir dan kebolehan berucap di khalayak
ramai di kalangan pelajar.
OBJEKTIF
Pertandingan debat perdana integriti ini bertujuan untuk
mempromosi serta membudayakan etika dan integriti di
kalangan pelajar pengajian tinggi. Di samping dapat menambah
ilmu pengetahuan, ia juga dapat mengasah bakat sedia ada
dalam kalangan pelajar yang merupakan bakal pemimpin di masa
hadapan.
MAKLUMAT RINGKAS PERDEBATAN
Pertandingan debat ini akan diadakan ala Parlimen Malaysia
dan terbuka kepada semua institusi pengajian tinggi awam dan
swasta yang terpilih. Pertandingan ini akan diadakan dalam
dua peringkat. Pusingan awal, pusingan suku, separuh akhir
akan diadakan dalam bulan Jun 2006.
Manakala
pertandingan akhir akan diadakan pada bulan Julai 2006.
Pusingan awal adalah mengikut sistem ‘power match’
berkumpulan. Sementara pusingan suku, separuh dan akhir akan
diadakan secara kalah mati. Perdebatan akan diadili oleh
lima juri yang disyaratkan menyertai bengkel kehakiman untuk
layak menjadi hakim pertandingan.
SKOP PERDEBATAN
Skop perdebatan merangkumi isu integriti untuk pembangunan
modal insan serta isu integriti lain di peringkat nasional
dan antarabangsa. Skop perdebatan ini juga meliputi
pelaksanaan kelima-lima sasaran PIN iaitu:
1. Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna
kuasa secara berkesan
2. Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian
perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi
3. Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan
4. Memantapkan institusi keluarga
5. Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat
PENUTUP
Adalah menjadi harapan pihak penganjur agar pertandingan
Debat Integriti yang diadakan kali ini akan mendapat
sambutan yang sewajarnya dari pihak institusi pengajian
tinggi. Semoga pertandingan debat ini akan dapat memberikan
manfaat bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga kepada
masyarakat secara keseluruhan.
|