|
PERUTUSAN akademidebat.com SEMPENA PEMBUKAAN
PERTANDINGAN DEBAT INTERGRITI PERDANA IIM 2006
Oleh:Wan Rohimi Bin Wan Daud
Selawat dan salam buat junjungan besar saw. Segala puji
pujian kita panjatkan ke hadrat Tuhan Rabbul Jalil.. di atas
izin dan limpahan ni’amatnya, kali ini kita bersua lagi
dipertandingan debat yang berprestij ini.
Terlebih dahulu izinkanlah saya rakamkan setinggi
penghargaan dan terima kasih kepada pihak IIM, khususnya En.
Mazilan Bin Musa dan rakan-rakan, di atas kebenaran yang
diberikan kepada pihak akademidebat untuk membuat liputan
secara langsung pertandingan pada kali ini.
Jutaan terima kasih juga dikalungkan kepada pihak IIM kerana
telah memberikan kami segala kemudahan yang diperlukan,
dengan sebuah bilik operasi yang lengkap dengan segala
kemudahan pejabat dan peralatan internet, untuk sama-sama
membantu menjadikan pertandingan ini supaya lebih lancar dan
berjaya mencapai matlamatnya. Terima kasih di atas segala
sokongan dan bantuan yang diberikan!
Sesungguhnya akademidebat.com ini hanya diperkenalkan
seawal bulan April 2006. Tentunya liputan pertandingan debat
kali ini adalah projek pertama akademidebat.com untuk
sama-sama membantu sekelian warga pendebat dan
peminat-peminat seni debat. akademidebat.com tentunya
sesuatu yang baru, atau barangkali dari kalangan anda masih
ramai yang mencari-cari hadaf dan matlamat kewujudannya.
Atau barangkali ramai yang pertama kali mendengar dan
mengenali nama ini.
Apa pun, cukuplah saya katakan bahawa akademidebat.com
diwujudkan di atas kesedaran untuk mengisi lakuna yang
dialami oleh dunia perdebatan di Malaysia. Seawal debat
ala-parlimen atau Debat Diraja mula wujud sejak 1995, bahkan
Debat Alam Sekitar yang bermula seawal 1992/1993, debat
semakin menjadi fenomena dan kegilaan yang positif
dikalangan mahasiswa.
Kecenderungan dan obsesnya pendebat untuk meningkatkan mutu
dan penampilan diri dalam perdebatan semakin hari semakin
terserlah. Millenium baru semakin menjelmakan keributan
setiap pasukan yang bertanding untuk tidak “berburu di
padang datar”.
Jika saya mengambil tempoh selama 11 tahun sejak 1995, dapat
saya katakan, kita sebenarnya telah banyak kehilangan sumber
dan rujukan yang berguna dari generasi pendebat terdahulu
untuk kemudahan generasi kini. Segala keringat dan
pengorbanan oleh insan-insan terdahulu akan berkubur sebaik
mereka meninggalkan kampus. Segala keistimewaan dan
kehebatan mereka akan lenyap begitu sahaja seakan lenyapnya
kaum Lut ditelan laut mati.
Lakuna yang paling besar yang wujud dalam dunia perdebatan
ini adalah tiadanya satu “arkib berpusat” untuk merekodkan
sebarang keputusan pertandingan, penglibatan dan nama-nama
pasukan serta individu-individu pendebat, kedudukan pendebat
terbaik, usul-usul serta analisa pertandingan semasa, yang
mungkin berguna pada waktu yang kelewatan. Sebenarnya
saudara-saudara tentu lebih arif dari saya dalam menilai
seni debat dari sudut yang lebih terperinci dan objektif.
Oleh hal yang demikian, akademidebat.com dilahirkan
untuk menyediakan satu “arkib berpusat” bagi semua
pertandingan debat di Malaysia, khususnya debat-debat
berprestij di peringkat IPT dan IPTA. Selain itu, ia diharap
dapat menjadi mekanisme maya yang dapat memaklumkan setiap
keputusan, ranking, juri, berita semasa, analisa kekuatan
pertandingan pilihan secara terus kepada semua penyokong dan
penonton di seluruh Malaysia, bahkan ke seluruh dunia.
Dalam dunia globalisasi ini, kita harapkan penyokong UMS
dari bawah bayu, penyokong UNIMAS dari bumi kenyalang,
penyokong UUM dan USM dari utara, penyokong UiTM yang
mempunyai cawangan di seluruh negara, bahkan
penyokong-penyokong serta peminat-peminat debat di sekitar
Lembah Klang seperti UIAM, UKM, UPM, dan lain-lain, dari IPT
mahu pun sekolah-sekolah, akan mendapatkan akses maklumat
secara percuma, terperinci dan terus menerus ke layar skrin
komputer meja dan komputer riba mereka.
Dengan ini bahang pertandingan akan dirasai oleh semua
orang, pada semua tempat dan tentunya pada setiap masa.
Dengan itu semua penyokong akan sentiasa berdoa kepada
pasukan pilihan mereka, pada setiap ketika. Dengan itu,
taktikal debat akan sentiasa berupaya dipacu dari bongkah
gunung yang berbeza. Untuk itu, anda seharusnya memainkan
peranan dengan meng “sms” kan laman web ini kepada
kawan-kawan anda serta penyokong di seluruh negara.
Saat ini sudah tentu para pendebat sedang menghabiskan sisa
kepenatan selepas bertarung untuk pusingan pertama… Syabas
kepada yang menang, Ayuh kepada yang tewas! Masih banyak
onak dan ranjau yang perlu dilepasi. Anda tentunya hadir
membawa obor universiti masing-masing. Anda adalah duta dan
harapan puluhan ribu pelajar-pelajar yang lain. Jangan ambil
mudah setiap perlawanan walau pun kononnya kita bakal
berentap dengan pasukan yang lemah.
Gunakan akal sebaiknya untuk mematahkan setiap hujah lawan.
Tataplah setiap maklumat dan hadamkan ia sebaiknya, agar
bisa digunakan di kala kelemasan. Anda sedang berentap di
atas padang yang sama rata! Berjuanglah, bersungguh-sungguh!
Kerana di situlah, akarnya INTEGRITI!
Anak Malaysia Sesekali Menghunus, Pantang Menyisipnya
Kembali…!
Sekian, wassalam!
|