|
HIKAYAT YANG TERPILU -
Sang Kelembai Dihidupkan Semula!
Sudah
segenap pelusuk nusantara patik mengembara, mencari sesuatu yang belum
berjumpa. Nun di utara patik menyusur denai mengakar suria, membelah
belantara meniti muara, namun tidak pernah bersua. Nun di timur patik
berlabuh menangguk keruh di pengkalan libur, mengutip saki sisa yang
ditabur sekelian penduduk yang berhati luhur. Nun di selatan patik
menapak, menderap rentak, mengimbau pamitan-pamitan lapuk yang sudah
lama terkoyak, dimamah gigitan sang pemain pencak.
Nun di
barat pula patik melarat, mencerap kudrat yang kian liat, mencuci noda
yang kian sarat, mengisi kantung yang kian sendat. Namun tidak jua patik
ketemu niat dihajat. Hajat dihati mencari pemikat, buat menyerat luka
tersejat. Apakan daya, rusuk tidak setanding susuk, akal tidak selari
jengkal, kudrat tidak segagah firasat, mimpi terus mencari janji,
melakar misteri yang tak pasti. Patik akhirnya usang ditelan masa.
Namun, di
daerah tengah yang damai ini, patik dihidupkan semula untuk terus
mencari lagi. Cuba menyisir semula rerambut yang kucir, melurus semula
kaki-kaki yang terjengkel, mengenggam semula buku lima yang terkehel.
Dua kuntuman telapak sentiasa patik buka menghadap langit tinggi,
mengucap kalimah Maha Suci, memohon hujanan rezeki, hidayah dan kekuatan
diri. Mudah-mudahan dengan berkat ketulusan nurani ini, patik yang hodoh
lagi hina, diberi obor penerang gelita, buat membakar dusta dan nista,
makhluk-makhluk tuhan bernama MUNAFIK durjana.
Ini
sebenarnya bukan kisah penglipur lara tua yang meraban membabi buta.
Bukan juga lembaran kisah-kisah materi dalam kitab-kitab tua di
mana-mana akademia. Ini adalah liku perjalanan patik yang tidak sempurna
sifatnya. Buat tatapan seisi maya, yang celik benar tentang hidup di
dunia, tetapi rabun sentiasa tentang kebangkitan di sana.

Patik
mulakan kisah patik dengan menceritakan asal usul patik yang bergelar
SANG KELEMBAI. Patik lahir tidak sempurna, cacat anggota, pendek akal
katanya, tidak pandai bertutur mesra, hodoh pula rupa parasnya. Namun,
Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Adil. Diberikan patik sepasang telinga
besar yang tidak bercuping, ibarat kuali tertiarap di dinding. Namun
dengan telinga ini patik merisik, bunyi-bunyi bingit di pojok-pojok
belantara yang sunyi dan sempit.
Dianugerahkan patik mulut tempayan, memuntahkan kata tanpa batasan,
memaki hamun berkoyan-koyan, sukar berlapik tiada tapisan. Manusia lain
sering mengejek patik si mulut longkang, kutuk-mengutuk
canang-mencanang, tidak mengira orang sebarang, kaya terbilang juga
diserang. Itulah resam seulas mulut patik yang tidak berhati perut.
Tapi tuhan
itu Maha Pencipta dan Maha Pengampun. Dengan mulut tempayan ini juga
patik membongkar rahsia, sifat-sifat iblis durjana yang setia
membelenggu leher-leher pendusta, nanah dan bisa manusia-manusia yang
putih wajahnya tapi hitam hatinya. Patik tidak mengenal siapa, kerana
manusia itu sama melainkan iman dan takwanya.
Dibekalkan
juga oleh Tuhan kepada patik sepasang mata bulat merah menyala. Dilihat
manusia bertempiaran larinya. Kononnya patik ifrit laksana. Namun tuhan
itu Maha Sempurna dan Maha Bijaksana. Dengan mata merah ini juga patik
merenung di sebalik gelita belantara.
Diperlihatkan kepada patik tiga
golongan utama. Golongan pertama ialah yang sentiasa duduk mencangkung
menguis-nguis ulat di celah batuan hitam. Ulat yang telah banyak dikuis
hanya disimpan didalam kocek hingga melimpah keluar. Mereka menguis dan
terus menguis. Bertelingkah dan berbunuhan sesama sendiri hanya kerana
ulat-ulat busuk yang ingin disimpan didalam kocek. Patik hanya mampu
menggeleng.
Golongan
kedua pula berbaring telanjang tanpa selembar kain membaluti tubuh.
Dipertontonkan tubuh yang hodoh dan hitam dikhalayak ramai tetapi tiada
siapa yang peduli. Sesekali kelihatan burung-burung merpati putih
hinggap di badan mereka mematuk-matuk kehormatan mereka. Mereka gembira
tidak terkira, kononnya mendapat nikmat beberapa ketika.
Golongan
ketiga lebih terhina. Melompat-lompat seperti kera sambil berkata akulah
juara, akulah panglima. Tidak sedar sambil terlompat-lompat tersebut,
najis-najis mereka mencurah-curah keluar bertebaran ke sekitar kawasan.
Perut mereka yang membusung dengan nanah-nanah hasad dan dengki kembang
kempis memuntahkan isinya yang ranum dan membusuk.
Patik
cukup kenal golongan ini. Mereka ialah pemimpin yang hidup dengan
menelan najis korupsi, menjilat lender-lendir busuk yang keluar dari
lohong jijik, meratah daging-daging manusia yang kesempitan. Golongan
ini semakin berleluasa dan melata di bumi Tuhan kini tanpa sekatan dan
halangan.

Dari atas
pohon sena yang tersergam malarnya ini, patik mencongak-congak kesudahan
dan khatimah mereka. Apakah nilai mereka di sisi yang Maha Esa? Apakah
kebahagian dunia yang mereka kecapi bakal menyelamatkan mereka dari
bahang api hitam dalam rumah kekal bernama neraka? Patik bertekad mulai
saat ini untuk terus membongkar, menyingkap dan menyelongkar,
kisah-kisah 3 golongan ini untuk pedoman manusia yang mahu belajar.
Sekiranya
perlu, maka anugerah Tuhan yang paling hebat kepada patik akan patik
gunakan. Akan patik sumpah golongan yang melampaui batasan ini menjadi
batu-batuan keras yang tidak lagi berperasaan. Mudah-mudahan mereka
tidak lagi berbunuhan demi ulat yang tidak boleh dimakan, tidak lagi
bertelanjang mengharapkan secebis kenikmatan yang tidak panjang, dan
tidak lagi terkinja-kinja mendabik dada sehingga terlupa keaiban yang
kian terbongkar.
Wahai
sekelian isi maya yang bijaksana. Patik percaya di sepanjang perjalanan
kalian juga, kalian pernah ketemu ketiga-tiga golongan tadi. ATAU, ada
antara kalian juga yang tergolong dikalangan mereka. Inilah kembara yang
bakal patik, SANG KELEMBAI paparkan dalam hikayat terpilu ini. Andai ada
manfaat dan teladan, jadikan panduan. Andai tersesat tujuan dan tersalah
percaturan, jadikan ia sempadan. Sesungguhnya mata pena lebih tajam dan
berbisa dari mata pedang…
SANG
KELEMBAI
dihidupkan semula…
|