ANALISA PERTANDINGAN AKHIR BAHAS PIALA DATO' SYUKOR 2007
Oleh:
Harmi Bin Mohammad
Jamil
17/7/2007:
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & salam sejahtera,
Pertama-tamanya saya ingin memperkenalkan diri saya (walaupun
sebelum ini sudah berbuat demikian) demi untuk menjernihkan keadaan.
Nama saya Harmi
bin Mohammad Jamil (sudah berpangkat abang), bekas pendebat Unimas &
UMS, berkecimpung dalam dunia debat sekolah dan universiti semenjak
1996 lagi.. Hampir 11 tahun tempohnya. Sekadar pernah beraksi untuk
pasukan debat universiti yang "lemah" & "baru" dalam dunia debat
namun amat bersyukur kerna pernah mengecapi nikmat beraksi di
beberapa pentas final dan memperoleh pengiktirafan naib juara, juara
dan pendebat terbaik. Selain itu, pernah juga dijemput menghakimi
beberapa siri pertandingan debat samada di peringkat sekolah
menengah mahupun IPT.
Saya bukanlah ingin mempertikaikan sesiapa di sini, jauh sekali
menimbulkan kekeliruan mahupun kerancuan dalam kalangan minda anda
semua, namun saya memikul tanggungjawab untuk memberikan analisa
terperinci berkenaan pertandingan akhir tempoh hari dengan
seadil-adilnya.
Usul : Rakyat Yang Berminda Kelas Pertama Tunjang Kegemilangan
Negara.
Kerajaan : SMK Jitra, Kedah
Pembangkang : SMK Seri Serdang, Selangor
Perdana Menteri
Bermula dengan cukup tenang, sejujurnya saya amat senang dengan
pembukaan konsep kerajaan. Pencirian yang serba lengkap mengadunkan
8 (Lapan) ciri utama untuk
mengklasifikasikan rakyat berminda kelas pertama. Perhatian harus
diberikan kepada 8 ciri ini kerna menitikberatkan fokus perbahasan
sepertimana yang disertakan dalam surat rasmi usul kepada semua
wakil negeri masing-masing.
Tambah berani, apabila beliau mengemukakan beban bukti yang cukup
berat kepada pembangkang, iaitu pembuktian bersifat penafian dari 3
aspek; politik, ekonomi & sosial. Perlu diperingatkan jua bahawa,
beban bukti ini boleh samada
diterima (dijawab) atau ditolak (dengan membincangkan hal-hal lain)
oleh pihak pembangkang.
Susur-galur teknikal penghujahan juga telah beliau gariskan dengan
sebaik-baiknya. Hujah pertama disampaikan dan diakhiri dengan
penegasan kes.
Justeru, apa silapnya?
Pertama, setiap pendebat/pembahas
wajib bertanggungjawab terhadap apa yang dituturkannya.
Maknanya, jika anda katakan 8 ciri, maka anda harus buktikan
sekurang-kurangnya sebahagian ciri-ciri tersebut. Namun sepanjang
penghujahan beliau, saya sendiri gagal mengesan samada beliau telah
menggunakan ciri-ciri yang beliau gariskan seawal perdebatan tadi.
Ini titik kelemahan yang paling ketara, apabila beliau hanya sekadar
melambakkan 8 ciri rakyat berminda kelas pertama tersebut tetapi
tidak dibuktikan menerusi analisis hujah. Justeru, apa gunanya
mengutarakan perkara yang anda sendiri tidak mampu buktikan?
Di peringkat universiti, mudah sahaja untuk menolak pencirian
sebegini. Terlalu truistik, sukar dibangkang dengan akal yang waras!
Jika ingin membincangkan rakyat yang lengkap sepenuhnya dengan 8
ciri ini, maka kerajaan menempah maut apabila terlalu sukar untuk
mewujudkan masyarakat yang tiada masalah, tiada dosa, tidak
melakukan kesalahan dan seumpamanya. Di syurga mungkin boleh tetapi
tidak di dunia yang fana ini! Maka, truistiklah jawabnya..
Gaya persembahan beliau yang terlalu dikawal juga menampakkan diri
beliau tidak natural, mungkin terkesima dek beraksi di pentas final
(stage-fright) tetapi pendebat yang baik akan mampu conceal /
menyembunyikan riak wajah & gayanya yang menampakkan rasa gementar.
Aspek bahasa juga amat penting apabila beliau "terlalu serius" dan
"straight-forward" dalam penghujahannya. Di pentas final,
manfaatkanlah gaya bahasa yang cantik (bukannya terlalu
berbunga-bunga), apalah salahnya jika sesekali menggunakan bahasa
kiasan, peribahasa dan seumpamanya
selagi mana ianya membantu penghujahan dengan berkesan.
Bahasa yang terlalu berbunga-bunga tetapi tidak membantu penghujahan
memang dilarang sama sekali bukan sahaja dalam debat peringkat
sekolah bahkan peringkat universiti pun.
Di akhirnya, saya mendapati bahawa Perdana Menteri cuma menetapkan
hala tuju perdebatan dengan cara yang longgar, tidak
bersungguh-sungguh dan hujahan yang tidak diikat dengan kemas.
Sesiapa sahaja mampu meletakkan sebanyak mana pun ciri namun tidak
semua mampu membuktikan setiap satunya!
[Pernah sekali di pentas final Debat Kemerdekaan Antara IPT Malaysia
2005, usul kerajaan "Takkan Bahasa Melayu Hilang Di Dunia",
pembangkang muncul dengan konsep yang cukup mantap & ingin
membicarakan ciri-ciri Bahasa Melayu asli. Saya menuntut ahli-ahli
pembangkang untuk nyatakan apakah ciri-ciri Bahasa Melayu asli
tersebut, dan sehingga tamat debat terbuka (sebelum penggulungan)
barulah dijelaskan oleh pembangkang ketiga. Itupun setelah
bertalu-talu didesak (bahasa debatnya "claim") oleh kami, pihak
kerajaan. Namun di akhirnya mereka sudah terlambat dan tewas. Inilah
masalahnya apabila pendebat mengemukakan seribu satu konsep/ciri/kayu
ukur tetapi tidak pernah dibuktikan/dinyatakan.]
Pembangkang Pertama
Bermula dengan agak perlahan tetapi tenang, beliau membuka kes
pembangkang dengan konsep melawan kes kerajaan. Sayangnya, beliau
tidak menyentuh tentang satu analogi yang cukup kuat, bekalan
daripada jurulatih-jurulatih beliau.
[Sekiranya saya menjadi pembangkang pertama, saya akan mengutarakan
analogi, seorang ayah yang baik
adalah asas kepada keluarga bahagia. Saya tidak akan
bercerita tentang bagaimana untuk melahirkan seorang ayah yang baik
tetapi saya akan tunjukkan bahawa ayah yang baik itu telah sedia
wujud namun masalah-masalah yang melingkari ayah yang baik itu akan
menjejaskan fungsinya sebagai asas kepada keluarga bahagia.]
Dan pada ketika itu, saya sudah beranggapan bahawa konsep
pembangkang sudah tumbang dan dengan sendirinya konsep kerajaan (walaupun
tidak dibuktikan menerusi penghujahan ahli-ahli kerajaan) tertegak.
Namun kredit harus diberikan kepada beliau, kerana sebagai
pembangkang, mereka bersemuka dengan cabaran beban bukti kerajaan.
Kerajaan tuntut mereka untuk bincangkan aspek politik, ekonomi &
sosial, maka mereka jawab juga menerusi bidang tugas mereka, juga
dari aspek politik, ekonomi & sosial. Sungguh berani! Berdepan dan
bersemuka sebegitu dengan beban bukti kerajaan membuktikan mereka
ini "anak jantan" dan "tidak takut untuk membangkang usul kerajaan".
Harus diperingatkan bahawa, dalam mana-mana pertandingan sekalipun,
hakim akan mengagumi pasukan yang berani bersemuka dengan pihak
lawan & sekaligus menjawab usul perdebatan.
Yang lebih menghairankan, beliau menerima kesemua
ciri rakyat berminda kelas pertama
yang digariskan oleh pihak kerajaan. Persoalannya, adakah beliau dan
rakan-rakan beliau akan membincangkan ciri-ciri tersebut menerusi
hujah-hujah beliau?
Tatkala beliau menyebut dengan jelas kata kunci hujah pertama,
rakyat yang tidak berintegriti dan tidak berbudaya kerja cemerlang
bukan asas kepada kestabilan politik negara, ditambahkan pula
penceritaan beliau tentang masyarakat kita yang berilmu pengetahuan
tinggi, berkolar putih tetapi mengamalkan rasuah dan malas bekerja,
maka sekurang-kurangnya beliau sudah membuktikan bahawa ciri-ciri
tersebut tiada dalam jiwa dan minda rakyat kita. Benar rakyat kita
berilmu pengetahuan, ijazah tinggi menggunung tetapi rasuah, korup &
tiada disiplin masa! Hujah yang mudah, tetapi jelas dan mantap!
Secara teknikalnya, beliau membincangkan rakyat yang sememangnya
berminda kelas pertama tetapi bermasalah, maka tidak patut menjadi
tunjang kegemilangan negara.
Persembahan beliau ada kalanya tidak natural, mainan emosi juga
tidak cukup sampai. Namun beliau telah menetapkan landasan kes
pembangkang dengan baik walaupun tidak kemas. Perhatian harus
diberikan kepada hal-hal berikut;
1. Beliau gagal mencabar konsep "rakyat berminda kelas pertama"
kerajaan.
2. Beliau bersetuju untuk membincangkan ciri-ciri rakyat berminda
kelas pertama yang ditetapkan oleh kerajaan sekaligus menjawab beban
bukti yang diberikan.
3. Beliau menyampaikan hujah berlandaskan 2 ciri utama (yang
digariskan oleh kerajaan) dan berjaya menimbulkan keraguan terhadap
konsep kerajaan (walaupun hanya sekadar teknikal).
Menteri Kedua
Saya kira ahli kerajaan yang kedua ini banyak menyelamatkan keadaan
dan konsep pasukan. Tidak keterlaluan, beliau punya karisma yang
tersendiri dalam membidas dan berhujah. Sejujurnya, beliau antara
calon yang layak dinobatkan selaku pendebat terbaik final tempoh
hari.
Tatkala beliau bangun, dengan jelas beliau menerangkan kembali
konsep kerajaan dan mem"bidas" pihak pembangkang yang cuba lari dari
menjawab usul dengan membincangkan pula, rakyat berminda kelas
ketiga. Masalah integriti dan budaya kerja yang kurang cemerlang,
dilabelkan sebagai bukan masalah rakyat berminda kelas pertama
sebaliknya merupakan masalah rakayat berminda kelas ketiga! Sekali
lagi, saya ingin nyatakan bahawa
setiap pendebat/pembahas wajib bertanggungjawab terhadap apa yang
dituturkannya!
Pada saya, pembangkang perlu ambil peluang keemasan ini untuk
menuntut menteri kedua untuk menjelaskan pula ciri-ciri rakyat
berminda kelas ketiga ini, kerana konsep ini terpacul dari mulut
beliau. Seharusnya beliau buktikanlah dengan membezakan rakyat
berminda kelas pertama dengan rakyat berminda kelas ketiga. Di
peringkat universiti, perkara sebegini dikenali sebagai "beban
berganda". Sudahlah perlu membuktikan rakyat berminda kelas pertama,
sekarang perlu bezakan pula dengan rakyat berminda kelas ketiga.
Tugas yang cukup sukar! Dan sebenarnya, senario "senjata makan tuan"
(itupun jika pihak pembangkang alert/prihatin akan perkara ini)
sudah berlaku di sini.
Cuma hujah-hujah beliau ada juga menyentuh tentang 2 atau 3 ciri,
itupun tidak secara tepat dan menyeluruh. Beliau lebih banyak
bercerita tentang perkara-perkara yang ditekankan sebagai fokus
perdebatan, iaitu
1. 50 Tahun Kemerdekaan Negara
2. Misi Nasional (teras-terasnya)
3. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Masalahnya, beliau sendiri tidak menunjukkan bahawa rakyat berminda
kelas pertama itu telah sedia wujud dan tiada masalah. Apa yang
banyak beliau ceritakan adalah segelintir individu yang menyumbang
jasa bakti dalam aspek politik dan sosial.
Paling ketara apabila beliau tidak menafikan bahawa secara
teknikalnya pembangkang turut berhujah dalam ruang lingkup yang sama
(cuma ada/tiada masalah). Apa yang beliau tuduh adalah, pembangkang
tidak menjawab usul dengan membincangkan masalah untuk melahirkan
rakyat berminda kelas pertama sedangkan pembangkang sudah tunjukkan
bahawa rakyat sememangnya sudah berminda kelas pertama tetapi
bermasalah sehingga tidak boleh diangkat menjadi tunjang
kegemilangan negara.
Kemampuan beliau berbicara dengan lancar dan menyakinkan agak
ter"cemar" dengan ayat-ayat yang "bongkak" dan "kurang sopan"
daripada beliau. Perlu diperingatkan bahawa, Bahas Piala Dato'
Shukor ini amat menitikberatkan soal adab dan tatasusila yang tinggi.
Jika ingin menyindir atau menghina, perlu ada adabnya, perlu
disulami dengan kata-kata yang tidak menyinggung perasaan sesiapa.
Bukannya secara semberono sahaja disebutkan "pembangkang banyak
tembelang" atau "pembangkang temberang". Ini bukan objektif yang
diinginkan oleh pertandingan peringkat sekolah sebegini. Barangkali
perlu diselidik lagi salinan "Taklimat Penghakiman" (setiap negeri
menerimanya pada malam pertama sebelum pusingan awal) dan
diperhalusi setiap syarat-syarat pertandingan di dalamnya.
Sejujurnya, anda akan menyaksikan betapa sesetengah perkara adalah
dilarang sama sekali untuk dilakukan. Dan jika dilakukan juga, maka
buruk padahnya, markah akan dipotong atau penalti dikenakan.
Justeru, walaupun konsep hujahan beliau (aspek isi) agak cantik dan
menarik, namun pendekatan (bahasa, gaya & strategi) yang silap serta
tidak menitikberatkan adab sopan dan tatasusila yang baik akan
menjejaskan markah beliau.
Pembangkang Kedua
Dengan tubuh kecil molek, beliau tampil tegas mempertahankan
pendirian dan konsep pembangkang. Namun sepertimana pembangkang
pertama, persoalan konsep kerajaan tidak dibidas dengan sebaiknya.
Paling sedih apabila beliau tidak kemukakan analogi "ayah yang baik"
sepertimana yang telah saya jelaskan awal-awal lagi tadi.
Namun demikian, dalam keadaan tertekan itu jugalah, beliau membidas
hujah kerajaan dengan mempertikaikan bahawa rakyat yang berminda
kelas pertama pun punya masalah masing-masing. Tiada manusia yang
sempurna tanpa ada masalah. Dijelaskan pula dengan sindrom "subsidi"
dan "bantuan" yang terlalu diharapkan oleh masyarakat kita kini,
beliau berjaya membunuh hujahan kes menteri kedua dengan
analogi-anologi yang cantik, antara yang terbaik adalah analogi:
helikopter. Untuk mendaki ke puncak gunung, tidak semua orang mahu
berusaha keras dengan gigih, sebaliknya terlalu mengharapkan adanya
helikopter untuk naik ke atas dengan mudah dan cepat! Analogi yang
cukup jelas untuk membuktikan bahawa walaupun kita punya rakyat
berminda kelas pertama, namun sindrom terlalu mengharapkan bantuan
ini terutamanya dalam kalangan masyarakat Bumiputera/Melayu amat
ketara dan tidak boleh dinafikan kebenarannya, termasuklah oleh
pihak kerajaan.
Penghujahan beliau lebih banyak memainkan sentimen, menceritakan
senario atau realiti masa kini. Hujah ekonomi dikupas dengan
mengutarakan masalah sindrom "subsidi" tadi dan masyarakat yang
kurang berdaya saing. Hujah sosial pula menekankan rakyat yang
kononnya berminda kelas pertama tapi punya masalah dalam menjiwai
semangat patriotik!
Pada saya, beliau cukup bijak apabila menyampaikan intipati
penghujahan dengan daya pujuk yang tinggi (walaupun hanya
menyanyikan 2 rangkap sahaja lagu dan BUKANNYA menyanyikan
keseluruhan lagu) serta penuh simbolik tetapi penuh sinis. Jika
beraksi dalam keadaan tegang, adakalanya elemen-elemen kecindan/lelucon
perlu disuntik untuk menghidupkan suasana. Namun elemen-elemen itu
wajib membantu penghujahan secara berkesan. Dan sejujurnya juga,
saya melihat itulah kelebihan yang beliau ada.. Umpamanya, berhujah
secara serius dan langsung ini seperti makan nasi. Lebih sedap jika
dicampurkan dengan lauk-pauknya (kerencaman bahasa kiasan,
peribahasa dan permainan bahasa yang indah).
Saya sedar hadirin hadirat ramai yang tergelak tetapi kemudiannya
senyap kerana menyedari hakikat betapa remaja kita kini benar-benar
dibelenggu masalah kelunturan semangat patriotik. Inilah yang
dikatakan mengajak hadirin sekalian berfikir dan bukannya hanya
menyuapkan hadirin dengan fakta-fakta yang membosankan!
[Nyanyian 2 rangkap lagu merdeka tersebut adalah hasil nukilan
saudara Azizul Hakim, sewaktu menyampaikan pidato sekaligus muncul
Johan Pidato Belia Peringkat Kebangsaan & Juara Antara Juara Pidato
Peringkat Kebangsaan 2007. Memang menghiburkan tetapi cukup sinis
dan mendatangkan kesan. Justeru, tidak timbul soal menghina lagu
patriotik kerana nyanyian 2 rangkap (bukan keseluruhan lagu) pernah
disampaikan di hadapan Menteri Belia dan Sukan serta seluruh warga
belia Malaysia. Kita tidak berhak untuk menghukum bahawa nyanyian 2
rangkap lagu itu mencemarkan lagu patriotik negara. Kita sebenarnya
lebih bersikap TIDAK PATRIOTIK jika tidak sanggup mengakui sekaligus
memperbetulkan kesilapan anak remaja kita sendiri yang terjerumus
dalam kancah gejala sosial! Hakikat yang benar walaupun pahit untuk
kita telan..]
Menteri Ketiga / Menteri
Pertahanan
Pada awalnya, saya dimaklumkan bahawa menteri ketiga ini tidaklah
begitu hebat persembahan atau penyampaiannya. Namun sebaik sahaja
beliau membuka bicara, saya terpegun dan terkesima akan kemampuan
beliau. Benarlah bahawa, kecil-kecil cili padi, kecil jangan
disangka anak, besar jangan disangka ayah.
Analisa bidasan beliau dibahagikan kepada 2 aspek, iaitu bidasan
berjemaah dan bidasan secara individu. Persis corak bidasan
pendebat-pendebat di universiti. Saling tak tumpah...
Namun sayangnya, ini Bahas Piala Dato' Shukor (peringkat sekolah
menengah) yang punya format, adab tatasusila dan pantang-larangnya
yang tersendiri. Wujud kekeliruan di kalangan delegasi pendebat
wakil negeri masing-masing samada boleh atau tidak menggunakan
pendekatan bidasan dwicara sebegitu. Saya kurang pasti bagaimana
agaknya di negeri lain, namun di Selangor, format yang diperolehi
daripada Kementerian Pelajaran Malaysia mengkehendaki pendebat
ketiga hanya perlu membidas secara individu dan terhadap hujah serta
bukannya secara berjemaah dan terhadap ranting-ranting hujah (contoh-contoh
kecil). Jika kurang percaya, saya syorkan anda semua merujuk kembali
kepada salinan Taklimat Penghakiman yang telah diserahkan kepada
wakil negeri masing-masing (samada pegawai JPN atau guru pengiring).
Kaji sedalam-dalamnya bagaimana yang dikatakan
corak bidasan sepertimana
yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sayugia juga
diperingatkan bahawa Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia
tidak pernah terlibat secara langsung dalam pertandingan Bahas Piala
Dato' Shukor ini kerana pertandingan ini merupakan acara rasmi
kementerian di peringkat sekolah menengah Malaysia.
Baiklah, pada mulanya beliau membidas konsep pembangkang dengan
mengetengahkan perkara yang sama
sepertimana yang telah dijelaskan oleh menteri kedua. Bahkan,
pendekatan yang beliau ambil untuk membidas juga sama, iaitu secara
jelasnya menunjukkan bahawa pihak pembangkang tersilap pembawaan dan
cuba mengubah usul apabila hanya membincangkan "rakyat yang berminda
kelas ketiga". Perlu diperingatkan juga bahawa perkara sebegini
telah ditekankan oleh menteri kedua pihak kerajaan.
Maka, apa silapnya?
Kita rujuk kembali kepada format pertandingan sepertimana yang
terkandung di dalam Taklimat Penghakiman. Apabila melakukan
kerja-kerja bidasan, pendebat ketiga mana-mana pasukan dimestikan
membidas berdasarkan perspektif yang
berbeza jika bidasan terhadap perkara tersebut pernah
disampaikan oleh rakan-rakan mereka yang terdahulu. Maknanya, jika
menteri kedua telah membidas dan menyatakan bahawa pembangkang
kononnya tersilap pembawaan konsep kerana mengutarakan hujah-hujah
yang memaparkan "rakyat berminda kelas ketiga", maka sebagai
pendebat yang baik, beliau
perlu juga membidas tetapi menggunakan perspektif yang berbeza.
Contohnya, berikan analogi yang jelas atau fakta-fakta yang
benar-benar mantap, bukan hanya sekadar meng"apung"kan konsep
pembangkang tanpa dicantas dengan kuat! Lebih menyedihkan cara
meng"apung"kan konsep pembangkang juga dibuat sambil lewa, bersifat
hanya atas angin, tergantung tanpa pembuktian dan amat kabur.. namun
tetap disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin (barangkali oleh
sebas penyokong yang datang berduyun-duyun dari utara).
Bidasan individu terhadap hujah-hujah juga amat lemah, apabila
secara keseluruhannya, semua hujah dibidas menggunakan
pendekatan yang sama. Saya
mendapati bahawa setiap satu hujah pembangkang dibidas sekaligus
dengan SATU bidasan konsep "itu rakyat berminda kelas ketiga, bukan
kelas pertama" dan bukannya satu-persatu (seharusnya unik dan
berlainan antara satu sama lain). Dan sekali lagi, setiap bidasan
yang SAMA itu disambut dengan sorakan penuh riang daripada penyokong.
Alhamdulillah, jemaah hakim mampu membezakan antara intan dan kaca,
walaupun dari aspek gaya dan bahasa menteri ketiga ini nampak kuat,
namun strategi dan isi punya banyak kelemahan. Gara-gara
kurang rajin untuk membidas
satu-persatu hujah pembangkang dengan bidasan tersendiri.
Secara keseluruhannya, menteri ketiga menang dari segi penegakan
konsep, itupun sekadar menguatkan bidasan menteri kedua tanpa
memberikan perspektif bidasan yang lain. Dan beliau tewas apabila
tidak membidas dengan spesifik dan jelas (perbezaannya) terhadap
hujah-hujah lawan.
Pembangkang Ketiga
Mungkin individu ini paling kontroversi kerna
"kebodohannya" menyanyi dan
banyak mengaku dirinya kacak sepanjang beliau berucap. Hati-hati
dengan perkataan yang anda keluarkan. Rujuk kembali kepada Taklimat
Penghakiman (Syarat-syarat Pertandingan),
setiap hakim perlu bertoleransi
terhadap corak penghujahan dan gaya persembahan setiap pendebat,
maknanya selagi mana ianya membantu penghujahan, maka seharusnya
dibenarkan dan diberi kredit tersendiri.
Saya mendapati bahawa sebagaimana beliau berhujah ketika di pentas
final, begitulah gayanya di luar pentas pertandingan. Beliau menjadi
dirinya sendiri, tidak langsung hipokrit, berkeyakinan dan membawa
unsur-unsur kecindan dan lelucon yang terkawal dalam dewan
persidangan yang cukup tegang dan serius ketika itu. Namun begitu,
tatkala kita bergelak ketawa, pernahkah kita berfikir akan apa yang
beliau sampaikan? Bukankah seorang pendebat yang baik akan
menggunakan apa jua cara yang benar-benar berkesan dalam
menyampaikan hujah/bidasannya? Bagi sesetengah orang, cara memujuk
dan permainan emosi yang mendalam dan mengesankan mampu membuatkan
kita semua berfikir secara kritis apa yang disampaikan. Sesetengah
yang lain pula, akan menggunakan pendekatan humor yang terkawal
untuk menyampaikan buah fikirannya. Bahkan, jangan terkejut jika ada
yang menggunakan pendekatan "membebel" atau "marah-marah" untuk
menarik perhatian jemaah hakim dan penonton terhadap apa yang beliau
utarakan. Saya kira ramai pendebat di peringkat universiti punya
corak pendekatan berdasarkan personaliti berbeza-beza sepertimana
yang telah saya nyatakan tadi.
Justeru, pendekatan berbeza-beza inilah yang menjadikan sesebuah
perdebatan itu unik dan menarik. Anda mungkin tidak bersetuju wujud
elemen nyanyian (walaupun cuma 2 rangkap sahaja) ataupun elemen
lelucon (menyatakan dirinya kacak), namun adakah itu menjejaskan
corak bidasan beliau? Adakah hanya kerana sedikit sentimen tidak
menyukai nyanyian, bahasa-bahasa puitis atau unsur-unsur lelucon,
maka kita harus bersikap ego dengan mengenepikan terus idea
intelektual yang cuba digarapkan? Di sinilah bezanya antara orang
biasa dengan orang yang faham apa itu debat. Orang biasa hanya
mengharapkan idea intelektual yang cuba disampaikan harus selari
dengan selera dan kehendaknya. Namun mereka yang menjiwai debat
mampu membezakan intipati idea intelektual itu dengan "rencah-rencah"
yang menyedapkan gaya penyampaian idea tersebut. Maka, anda fikirlah
tahap pemikiran anda di mana ya..
Berbalik kepada bidasan pembangkang ketiga, pada saya beliau berjaya
mempelbagaikan corak/pendekatan bidasan terhadap hujahan pihak
kerajaan. Ada hujah yang dibidas dengan konsep, ada juga yang
dipatahkan dengan menggunakan analogi, juga dengan fakta-fakta yang
jelas (contohnya : bantuan subsidi, kelemahan penguasaan 3M, KIA 2M
dan sebagainya) Kata orang, memang secukup rasa! Inilah pendebat
ketiga yang versatile.. Tahu menggunakan suasana dan senario
pertandingan yang cukup tegang untuk menyampaikan bidasan dengan
cara yang santai, sedikit lelucon/kecindan tetapi mesejnya sampai!
Cuma mesej tidak akan sampai kepada mereka yang SENGAJA menutup
pintu akal dan minda mereka untuk menerimanya!
Di akhirnya, saya mendapati bahawa pendebat ketiga pembangkang ini
dalam kelasnya yang tersendiri. Mungkin ramai yang tidak memahami
corak pendekatan yang beliau ambil untuk membidas, bahkan ada yang
sanggup melabelkan kelemahan itu sebagai "kebodohan" beliau tetapi
semua itu tidak penting.. Jika saya sendiri yang sudah lama
bergelumang dalam dunia debat sekolah dan IPT bersama-sama 2 lagi
rakan saya yang sememangnya tahu selok-belok dunia perdebatan ini
boleh menerima cara pembawaan beliau (pembangkang ketiga), maka itu
sudah cukup baik saya kira. Beliau punya potensi yang cukup besar
dalam dunia debat, insyaAllah di peringkat lebih tinggi walaupun
beliau cuma berusia 15 tahun.
Penggulungan Pembangkang
Tidak banyak yang perlu diperkatakan. Sekali lagi, kita rujuk
kembali format pertandingan yang terkandung dalam Taklimat
Penghakiman.
Setiap rumusan hujah-hujah pihak lawan perlu dinyatakan dan dibidas
atau dipatahkan dengan bidasan yang berbeza perspektifnya (berbeza
dengan bidasan-bidasan yang pernah dinyatakan sewaktu ucapan
substantif). Inilah kelebihan penggulung pembangkang (pendebat
pertama pembangkang) apabila beliau menghuraikan secara ringkas satu
persatu hujah pihak kerajaan dan beliau patahkan
satu-persatu hujah tersebut
dengan pendekatan bidasan yang
berbeza.
Kemudiannya beliau merumuskan 3 hujah pihaknya, pembangkang dan
membuat timbang tara yang jelas. Permainan emosi cukup tinggi (tetapi
pada saya kurang sesuai kerana seolah-olah cukup sedih dan ingin
menangis), namun sekali lagi jemaah
hakim perlu bertoleransi terhadap corak/gaya persembahan pendebat
jika ianya membantu penyampaian ideanya.
Maka, tuntasnya beliau berjaya menyakinkan jemaah hakim akan
perjuangan pasukannya walaupun pada awalnya konsep pembangkang sudah
musnah.
Penggulungan Kerajaan
Tiada perkara baru yang berlaku, masih lagi mengekalkan momentum
persembahan yang sama, penggunaan ayat-ayat yang
kurang menitikberatkan adab dan
tatasusila yang tinggi (perkara ini diberi perhatian yang
serius oleh jemaah hakim menerusi format pertandingan) serta tahap
keyakinan yang setara dengan ucapan substantif.
Cuma yang menarik perhatian saya adalah apabila beliau menggulung
kes hujahan pihak pembangkang (lawan) dengan
merangkumkan ketiga-tiga hujah pihak
pembangkang dan mematahkan/membidasnya
sekaligus. Ini kesalahan paling besar dari segi format
penggulungan (sepertimana yang digariskan dalam Taklimat Penghakiman)!
Beliau tidak patahkan satu-persatu
hujah pihak pembangkang tetapi sebaliknya
membidas secara keseluruhan.
Itupun mengulang kembali konsep
bidasan yang pernah beliau dan menteri ketiga kemukakan dalam ucapan
substantif, iaitu menyatakan
bahawa pembangkang bukannya berbicara mengenai rakyat berminda kelas
pertama tetapi sebenarnya rakyat berminda kelas ketiga. Perlu
diperingatkan juga bahawa, perkara ini sudah ditekankan sebanyak 2
kali, oleh menteri kedua dan menteri ketiga masing-masingnya dalam
bidasan terhadap konsep dan hujah pembangkang (itupun belum termasuk
izin laluan yang diutarakan).
Justeru, di manakah perspektif
lainnya corak bidasan tersebut? Pastinya, saya sendiri gagal
mengesan samada kerajaan sudah mematahkan hujah-hujah pembangkang
dari perspektif lain ataupun
tidak!
Ulasan Keputusan
Pertandingan
Setelah mempertimbangkan banyak perkara sepertimana yang terkandung
dalam format, konsep dan syarat-syarat pertandingan (Taklimat
Penghakiman Bahas Piala Dato' Shukor 2007), saya mendapati bahawa
jemaah hakim benar-benar menjalankan tugas dengan seadil-adilnya
apabila berlandaskan kepada panduan Taklimat Penghakiman berkenaan.
Aspek Isi & Konsep
Saya kira landasan perdebatan yang ditetapkan dengan "cantik" (8
ciri rakyat berminda kelas pertama) gagal dimanfaatkan oleh pihak
kerajaan dengan sempurna. Hanya membincangkan 2/3 ciri (itupun tidak
menyeluruh) tidak mampu menyelamatkan hujahan kes kerajaan.
Sebaliknya, keberanian pembangkang untuk bersemuka dengan konsep
kerajaan walaupun dituduh "silap pembawaan konsep" cukup
menggentarkan. Mereka sanggup berbicara tentang 8 ciri rakyat
berminda kelas pertama tersebut (walaupun hanya dinyatakan 6 dalam
hujahan mereka) bahkan berani menjawab beban bukti kerajaan (untuk
membincangkan aspek politik, ekonomi dan sosial secara bersemuka)
dengan mengutarakan hujah-hujah yang berkisar tentang 3 aspek itu.
Aspek Strategi, Bahasa & Gaya
Pendekatan bidasan yang hanya mengutarakan satu perspektif sahaja,
menggunakan gaya bahasa yang senada dan serius sentiasa sebenarnya
banyak menjejaskan markah kerajaan dari segi strategi, bahasa dan
gaya. Sebaliknya corak bidasan yang pelbagai (dengan bahasa kiasan,
analogi, fakta dan sebagainya) disampaikan pula dengan bahasa puitis
(yang membantu penghujahan) dan disuntik dengan unsur-unsur lelucon/kecindan
yang terkawal (tidak keterlaluan) memberi kelebihan kepada pihak
pembangkang.
Saya sedar bahawa tulisan saya ini akan mengundang pelbagai reaksi
daripada pembaca-pembaca sekalian. Namun atas dasar tanggungjawab
dan semangat cintakan debat, maka saya tampilkan juga kebenaran yang
tersirat di sebalik pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Dato'
Shukor 2007. Niat saya bukanlah untuk memenangkan, jauh sekali untuk
memburukkan sesiapa.. namun tujuan saya adalah agar kita semua dapat
mengambil panduan, pedoman dan teladan daripada apa yang telah kita
saksikan atau alami.
Saya juga terbuka kepada apa jua kritikan membina (bukan menghina
atau tidak bermanfaat) dalam usaha memperjuangkan seni debat yang
cukup bermakna ini. Saya doakan kejayaan adik-adik sekalian, samada
dari SMK Jitra, Kedah dan SMK Seri Serdang, Selangor mahupun
adik-adik dari sekolah-sekolah lain yang berkecimpung dalam dunia
debat ini, belajarlah ilmu debat sebaik-baiknya, tunaskan rasa
ikhlas dalam perjuangan demi debat kerna sesungguhnya perjuangan ini
ibarat kita berjuang menuntut ilmu di jalan-Nya. Nescaya, Allah akan
memberkati usaha murni kita.
Wallahuwa'alam.