ANALISA PERTANDINGAN AKHIR DEBAT PIALA UIAM 2007
Oleh: Shafiq_Fhadly - Debat Maya AD
Pertandingan Akhir Debat Antara Sekolah-Sekolah 2007 berakhir dengan begitu meriah sekali. Tahniah buat jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus membuat perancangan yang rapi demi memastikan segalanyan berjalan sepertimana dirancang. Namun begitu, masih ada perbincangan yang perlu diutarakan terutama berkaitan mutu perdebatan peringkat akhir. Atas permintaan pihak tertentu, suka saya untuk memberi sedikit komentar berkaitan perlawanan tersebut.
Usul berbunyi "Peperangan jalan terbaik" mempertemu uda dan dara, pasukan Sekolah Seri Puteri sebagai Kerajaan dan Kolej Melayu Kuala Kangsar bertindak selaku Pembangkang. Satu pembukaan kes yang cukup menarik dan teliti oleh pendebat pertama SSP menampakkan satu kematangan dalam menganalisa konsep. Tatkala saya mendengar, saya sudah pasti pasukan ini mendapat tunjuk ajar daripada pendebat-pendebat tersohor. Ternyata anggapan itu benar apabila Shahrizan adalah orangnya. Pembentangan konsep yang cukup berstruktur saya kira memberi kelebihan pada pasukan tersebut walaupun usul pada tanggapan awal sudah memberi kemenangan pada pembangkang. Dan sudah pasti, terkejut beruk pasukan lawan pada ketika itu. Namun mungkin latihan padu menyebabkan MCKK mampu menyerap kejutan yang berlaku.
Peperangan secara simantik ditakrifkan
sebagai pertembungan secara fizikal melibatkan sekurang-kurangnya
dua negara. - pada awalnya saya kira SSP sudah menggantung diri
diterima bulat-bulat oleh Ketua Pembangkang membolehkan MCKK
menempah tiket kemenangan. Namun mengejutkan apabila "jalan terbaik"
ditakrifkan sebagai penyelesaian terbaik selepas diplomasi menemui
jalan buntu. - satu analisa konsep yang cukup baik namun dipertikai
pihak lawan, buntu yang bagaimana. Tetapi kegagalan lawan itu
memperinci buntu yang bagaimana pada perspektif lawan menyebabkan
pertikaian tidak boleh diterima. Sebagai pembangkang yang baik,
bukan sahaja perlu membuat pertikaian, sebaliknya memberi perincian.
Sebab itu tugas pembangkang adalah membuat penyemakan semula. Dalam
konteks ini, Aslam perlu untuk memberi perincian buntu pada
pandangan pembangkang.
Maka, bebanan pembuktian yang diletakkan
cukup adil, kerajaan perlu buktikan setelah diplomasi gagal,
peperangan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Dan
lebih bijak apabila kerajaan mahu untuk melihat peperangan itu
menyelesaikan konflik dan masalah atau pun tidak bukan melihat
kepada kesan peperangan. Tetapi masalah SSP apabila bangun pendebat
ketiga baru mengutarakan kenyataan "peperangan mana yang tiada kesan
negatif, peperangan mana yang tiada orang mati". Seharunya kenyataan
itu dikeluarkan seawal pendebat pertama untuk menyelesaikan ketidak
fahaman pembangkang.
Dan sebagai pembangkang, kerajaan mencabar untuk tunjukkan peperangan bukan penyelesaian terbaik selepas diplomasi gagal dengan menuntut untuk tunjukkan apakah kegagalan peperangan. Tetapi pembangkang melawan kes secara tidak konsisten kerana pertama, mereka menunjukkan bahawa masih wujud diplomasi dan diplomasi berjaya sedangkan kerajaan sudah menyatakan bahawa diplomasi yang berjaya tidak perlu dibincangkan sebaliknya konteks perdebatan melihat diplomasi yang gagal, maka apakah penyelesaian terbaik. Itu yang gagal difahami oleh pembangkang dengan baik. Yang kedua, mereka melawan kes dengan menunjukkan kesan daripada peperangan, satu pendekatan yang mudah tapi memakan diri sebenarnya kerana seawal perdebatan, Perdana Menteri telah menyatakan kita tidak mahu melihat pada kesan peperangan. Itu masalah pemahamana tuntutan perdebatan oleh proksi pembangkang.
Berkaitan analisa kes, saya kira kedua-dua pihak berjaya untuk membawa bukti yang baik untuk ditunjukkan dalam perdebatan membuktikan kedua-dua pihak memahami dan mempunyai persediaan dalam membawa usul. Namun, apa yang mengagumkan adalah apabila taktik pembangkang yang kononnya ingin menguji sejauh mana ilmu yang ada pada kerajaan gagal dengan menanyakan soalan langsung berkaitan perjanjian-perjanjian yang dimeterai (ada perjanjian yang pelik-pelik sampai saya sendiri pun tak tahu) dan dengan mudah dijawba oleh SSP. Syabas diucapkan. Maka saya kira secara taktikalnya, pembangkang juga telah gagal.
Apa yang dapat saya rumuskan, pembangkang telah gagal untuk menjawab beban bukti yang dilemparkan dan pembangkang juga gagal untuk memahami tuntutan usul perdebatan dan dengan itu, usul seharusnya diterima. Bukan tugas pembangkang untuk tunjukkan apakah jalan terbaik sekiranya peperangan gagal dan ini juga tidak dituntut kerajaan tetapi mereka perlu menjawab bebanan kes yang dilemparkan selagi mana rasional. Tetapi, saya masih belum memahami dan cuba memikirkan punca kekalahan kerajaan. Kalau ada yang dapat memberi komen adalah lebih baik.
Tips kepada pendebat: sekiranya situasi pembangkang tidak memahami peranan dan beban tugas, kerajaan perlu bertindak bijak dengan mengajar di penggulungan. Seharusnya, adalah lebih baik penggulung dari SSP mengajar, "Untuk memenangi kes mereka pada hari, pembangkang seharusnya menunjukkan wujud peperangan yang masih belum menyelesaikan masalah, contohnya Perang Dunia pertama melarat ke perang dunia kedua dan ketiga menunjukkan peperangan tidak berjaya menyelesaikan konflik, maka dengan itu, barulah dikatakan peperangan bukan jalan terbaik (sekadar contoh yang lemah)".
Selesai majlis, saya sempat berbicara dengan beberapa pendebat dan saya cukup tertarik apabila ada daripada kalangan pendebat mengatakan pada saya, komen daripada seorang pendebat tersohor UIA mudah, kerajaan terlalu mengikat perdebatan dan pengecut. Saya pun tak faham apakah maksud kenyataan itu sedangkan saya kira itu adalah teknik ketika berdebat. Dan UIA sendiri dalam setiap siri perdebatan mengikat pihak lawan dengan konsep mereka. Jadi apa masalahnya selagi mana usul boleh didebatkan dan beban tugas yang dilemparkan rasional untuk dijawab pihak lawan.
Kalau hendak diikutkan, MRSM Balik Pulau pernah bertemu pasukan SEMESTA dengan usul "Lelaki suri rumah yang lebih baik" (kalau tak silap usulnya begitu). Dan SEMESTA selaku kerajaan mengikat perdebatan dengan mengatakan lelaki sebagai bapa tunggal yang kematian isteri dan mempunyai anak yang ramai. Akhir perdebatan, usul diterima. Walaupun SEMESTA berdebat secara bacul, tetapi selagi mana usul boleh didebat, pembangkang perlu menjawab beban bukti dan melawan kes secara bersemuka. Saya kira banyak pihak yang memahami konteks ini.
_________________
Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi