|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
PENGHAKIMAN MAJORITI MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA: LINA JOY UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Remedi - Semakan kehakiman - Pembuat keputusan awam - Murtad - Ketua Pengarah Pendaftaran Negara enggan memadam perkataan "Islam" dari kad pengenalan si murtad dan meminta supaya dikemukakan sijil murtad dari Mahkamah Syariah - Sama ada menyalah tafsir undang-undang dan mengambilkira faktor luaran - Sama ada melakukan ketidak-munasabahan Wednesbury - Kaedah-Kaedah Pendaftaran Negara 1990, ss. 4, 14 - Perlembagaan Persekutuan, art. 8, 11, 74, 121(1A), Jadual Kesembilan
LINA JOY
lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN & YANG LAIN PENGHAKIMAN Ahmad Fairuz KHN: [1] Perayu telah diberi kebenaran merayu ke mahkamah ini atas soalan-soalan berikut: (a) Adakah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhak, mengikut undang-undang, mengenakan syarat supaya perayu mengemukakan suatu sijil atau suatu pengisytiharan atau perintah daripada Mahkamah Syariah yang memperakukan bahawa beliau adalah murtad sebelum perkataan "Islam" di dalam Kad Pengenalan (KP) perayu dipadamkan (deleted)? (b) Adakah JPN telah dengan betulnya mentafsirkan kuasanya di bawah Kaedah-Kaedah Pendaftaran Negara 1990 (Kaedah-Kaedah 1990) khususnya k. 4 dan k. 14, untuk mengenakan syarat seperti yang tersebut di atas manakala ianya tidak diperuntukkan dengan secara jelasnya di dalam Kaedah-Kaedah 1990 itu? (c) Adakah kes Soon Singh a/l Bikar Singh lwn. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 2 CLJ 5 telah diputuskan dengan betulnya apabila ia mengguna pakai teori bidangkuasa tersirat yang dikemukakan di dalam kes Md Hakim Lee lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419 dan tidak mengikut kes Ng Wan Chan lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Anor (No 2) [1991] 3 MLJ 487 dan Lim Chan Seng lwn. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan 1 kes yang lain [1996] 3 CLJ 231 yang mengisytiharkan bahawa sekiranya tidak ada bidangkuasa yang jelas yang diberikan kepada Mahkamah Syariah, maka Mahkamah-Mahkamah Sivil hendaklah mengekalkan bidangkuasa mereka? [2] Perayu telah dilahirkan sebagai seorang Muslim. Oleh kerana beliau berhasrat untuk mengahwini seorang lelaki Kristian, perayu membuat permohonan kepada JPN pada 21 Februari 1997 untuk menukarkan namanya daripada Azlina binti Jailani kepada Lina Lelani atas alasan bahawa beliau telah menganuti agama Kristian. Permohonan ini tidak diluluskan oleh responden ketiga (Ketua Pengarah Pendaftaran Negara). Pada 15 Mac 1999 perayu memohon sekali lagi untuk menukarkan namanya tetapi kali ini daripada Azlina binti Jailani kepada Lina Joy. Di dalam akuan statutorinya, perayu sekali lagi menyatakan bahawa beliau mahu namanya itu ditukar kerana beliau telah menganut agama Kristian. Pada 2 Ogos 1999, perayu, bertindak atas nasihat seorang pegawai JPN, membuat suatu lagi akuan statutori di dalam mana beliau memberi sebab ingin menukarkan namanya sebagai sengaja memilih nama itu dan bukannya kerana beliau menukar agama. Pada bulan November 1999, perayu telah diberi KPnya yang baru tetapi JPN telah memasukkan perkataan "Islam" di bahagian depan KPnya dan namanya terdahulu di belakang kad itu. Pada 3 Januari 2000, perayu memohon kepada JPN untuk perkataan "Islam" dipadamkan (deleted). Permohonan ini ditolak dan perayu dimaklumkan bahawa permohonannya itu tidak sempurna tanpa suatu perintah daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa beliau telah keluar dari agama Islam. Perayu kemudiannya membuat permohonan di Mahkamah Tinggi untuk beberapa deklarasi terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia. Deklarasi-deklarasi yang dipohon itu adalah berasaskan pencabulan hak asasinya kepada kebebasan beragama seperti yang dijaminkan oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan (PP). Walau bagaimanapun Mahkamah Tinggi telah menolak permohonannya itu. Perayu kemudiannya merayu ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan secara majoriti telah menolak rayuannya itu. Perayu kemudiannya membuat permohonan untuk kebenaran merayu di mahkamah ini dan permohonanannya itu telah dibenarkan atas soalan-soalan yang disebutkan pada permulaan penghakiman ini. [3] Di Mahkamah Rayuan pihak-pihak bersetuju (dan ini adalah jelas daripada alasan-alasan penghakiman majoriti dan penghakiman menentang) bahawa satu isu sahaja yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah – iaitu, sama ada JPN betul, mengikut undang-undang, apabila menolak permohonan perayu supaya perkataan "Islam" dipadamkan daripada KPnya dan dengan memerlukan suatu sijil atau perintah murtad daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Penghakiman majoriti mahkamah itu telah memutuskan bahawa JPN tidak bersalah dari sudut undang-undang pentadbiran apabila menolak permohonan perayu Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666 di ms 699. Perayu dalam permohonannya kepada JPN menyatakan adanya kesilapan dalam KPnya dan kesilapan itu ialah agamanya disebut sebagai agama "Islam". Justeru itu penghakiman majoriti berpendapat bahawa kenyataan perayu itu dengan secara tidak langsung membawa erti bahawa perayu mengatakan yang beliau telah keluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, JPN bolehlah memerlukan perayu, di bawah k. 4 (c)(x) Kaedah-Kaedah 1990, mengemukakan keterangan dokumentari bagi menyokong ketepatan hujahnya bahawa beliau bukan lagi seorang Muslim. Penghakiman majoriti juga memutuskan bahawa keluar atau tidaknya seseorang itu dari agama Islam adalah suatu persoalan yang berkaitan dengan undang-undang Islam. Dan persoalan itu bukanlah dalam bidang kuasa JPN yang tidak dilengkapi atau berkelayakan untuk memutuskan perkara itu. Kerana itu, JPN telah mengamalkan satu dasar untuk memerlukan penentuan oleh pihak berkuasa agama sebelum JPN bertindak untuk memadamkan perkataan "Islam" daripada KP seseorang Muslim. Dasar ini, mengikut penghakiman majoriti adalah dengan sempurnanya munasabah [2005] 4 CLJ 666 di ms 694. [4] Dalam mahkamah ini, peguam terpelajar perayu telah menghujahkan bahawa hanya Kaedah-Kaedah 1990 sahaja yang menjadi sumber bertulis mengenai kuasa di bawah mana JPN boleh memerlukan perintah murtad. Mengikut peguam terpelajar itu Kaedah-Kaedah 1990 tidak mengandungi peruntukan yang mengizinkan JPN memerlukan dokumen berkenaan dari perayu. Peguam terpelajar seterusnya menekankan bahawa dokumen yang diiktiraf di bawah k. 14 adalah suatu akuan berkanun sahaja. Oleh itu dengan meminta suatu dokumen dikeluarkan dan dokumen itu tidak pula diperuntukkan atau dibenarkan oleh k. 14, JPN telah bertindak ultra vires kuasa-kuasanya di bawah Kaedah-Kaedah 1990. Ini, hujah peguam terpelajar itu, adalah tidak sah di sisi undang-undang pentadbiran. Peguam itu seterusnya berhujah bahawa penghakiman majoriti sepatutnya memutuskan sedemikian dan kegagalannya berbuat begitu sewajarnyalah dijadikan alasan-alasan atas mana mahkamah ini, sebagai sebuah Mahkamah Rayuan, semestinya mengenepikan penghakiman itu. [5] Peguam terpelajar responden-responden kedua dan ketiga menekankan bahawa permohonan perayu adalah untuk memadamkan perkataan "Islam" daripada KPnya. Oleh itu permohonan itu tergolong di bawah k. 14(1)(c) iaitu untuk membetulkan butir-butir mengenai agamanya. Kaedah 14(1) berbunyi: (1) A person registered under these Regulations who: (a) changes his name; (b) acquires the citizenship of Malaysia or is deprived of his citizenship of Malaysia; or (c) has in his possession an identity card containing any particular, other than his address, which is to his knowledge incorrect, shall forthwith report the fact to the nearest registration office and apply for a replacement identity card with the correct particulars Peguam terpelajar kemudiannya merujuk kepada k. 4 yang berbunyi: 4. Any person who is required to register under regulation 3(1) or 3(2) or to re-register under regulation 18 or 28 or who applies for a replacement identity card under regulation 13 or 14, shall: (a) … (b) … (c) give the following particulars to the registration officer as aforesaid, namely: (i) his name as appearing in his Certificate of Birth or such other document or, if he is known by different name, each of such names, in full; (ii) his previous identity card number, if any; (iii) the full address of his place of residence within Malaysia; (iv) his race; (iva) his religion (only for Muslims); (v) his place of birth; (vi) his date of birth and sex; (vii) his physical abnormalities, if any; (viii) his status as a citizen of Malaysia or other citizenship status; (ix) such other particulars as the registration officer may generally or in any particular case consider necessary; and (x) produce such documentary evidences the registration officer may consider necessary to support the accuracy of any particulars submitted. Peguam terpelajar itu kemudiannya menekankan bahawa k. 4(c)(ix) dan (x) adalah kuasa yang menjustifikasikan JPN mengenakan syarat keperluan sijil murtad. [6] Mengenai penghujahan-penghujahan ini, saya bersependapat dengan penghakiman majoriti bahawasanya k. 14(1) adalah berkenaan: (a) penukaran nama di bawah perenggan (a); dan (b) membetulkan butir-butir yang tidak betul di bawah perenggan (c). Kes perayu terjatuh di bawah butir-butir yang tidak betul mengikut perenggan (c). Bagaimanapun k. 14 tidak menyatakan apakah yang patut diberi dalam kes-kes butiran-butiran yang tidak betul tetapi k. 14(1) sememangnya memerlukan perayu untuk melaporkan fakta mengenai butiran-butiran yang tidak betul, kepada Pejabat Pendaftaran yang terdekat sekali dan untuk memohon suatu KP ganti yang mengandungi butir-butir yang betul. Sehubungan dengan ini k. 4 menjadi relevan kerana kaedah itu dengan jelasnya menyatakan bahawa sesiapa yang memohon untuk suatu KP ganti di bawah k. 13 atau 14 hendaklah mematuhi k. 4 itu. Oleh demikian saya bersetuju dengan peguam terpelajar responden-responden kedua dan ketiga bahawasanya JPN mempunyai justifikasi di bawah k. 4(c)(x) untuk memerlukan penentuan dari penguasa agama Islam mengenai kemurtadan perayu atau keluarnya perayu daripada agama Islam. Oleh demikian saya bersetuju dengan penghakiman majoriti yang mengatakan bahawa perayu dalam permohonannya yang ketiga menyatakan kesilapan dalam KPnya ialah mengenai kenyataan agamanya sebagai "Islam" dan perayu mahu kesilapan itu diperbetulkan dengan mengeluarkan perkataan "Islam" dari KP itu. Ini samalah seperti perayu mengatakan bahawa beliau telah keluar dari agama Islam. Oleh itu, JPN boleh, mengikut k. 4(c)(x), memerlukan perayu mengemukakan keterangan dokumentari bagi menyokong ketepatan penegasannya bahawa beliau bukan lagi seorang Muslim. Saya juga bersetuju jika JPN terima pengakuan seseorang bahawa dia telah keluar dari agama Islam berasaskan perisytiharan yang dibuat olehnya maka JPN mengambil risiko apabila mengecapkan, secara silap, seseorang sebagai bukan Muslim manakala mengikut undang-undang Islam orang itu masih belum lagi keluar dari agama Islam. Ini juga akan menyenangkan mereka yang telah dilahir dan dididik sebagai seorang Muslim tetapi bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli kepada agama Islam diklasifikasikan sebagai bukan Muslim hanya semata-mata untuk mengelak dari dihukum atas kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Islam. Ini semua akan mengakibatkan celaan dari masyarakat Muslim. Atas sebab-sebab inilah, sama seperti pandangan penghakiman majoriti, saya percaya, JPN telah menggunapakai dasar bahawa akuan statutori sahaja adalah tidak cukup untuk membolehkan perkataan "Islam" dikeluarkan dari KP seseorang Muslim. Ini adalah kerana hal keluar dari agama Islam itu adalah suatu perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam dan kerana itu JPN menggunapakai dasar yang memerlukan penentuan oleh pihak berkuasa agama Islam sebelum JPN boleh bertindak untuk memadamkan perkataan "Islam" daripada KP seseorang Muslim. Atas pertimbangan-pertimbangan seperti dihuraikan di atas saya setuju dengan penghakiman majoriti bahawa sesungguhnya dasar JPN itu adalah sesuatu yang sesempurnanya munasabah. [7] Mengenai dasar JPN ini, perayu juga menghujahkan bahawa dengan memerlukan sijil murtad itu, JPN telah menurunkan kuasa dan tugasnya di bawah k. 14 kepada pihak ketiga agar pihak ketiga itu memutuskan sama ada meluluskan ataupun tidak permohonan memadamkan perkataan "Islam" itu. Ini, mengikut Perayu, tidak boleh dilakukan kecuali diizinkan oleh undang-undang yang relevan. Justeru itu dasar JPN tanpa kebenaran di bawah k. 14 itu adalah bercanggahan dengan undang-undang. Seterusnya peguam terpelajar perayu menghujahkan bahawa tugas mahkamah bukanlah untuk mengesahkan sesuatu dasar sebagai sesuatu yang munasabah; malah apa yang mahkamah telah gagal untuk menghayati ialah bahawa perkara-perkara sedemikian adalah untuk pihak legislator dan bukannya untuk pihak mahkamah memutuskan sama ada sepatutnya atau tidak rujukan dibuat kepada sesuatu badan agama yang lain. [8] Atas hujah perayu ini, saya berpendapat, seperti yang dihujahkan oleh peguam terpelajar pihak-pihak responden-responden kedua dan ketiga, bahawa k. 4(c)(x) dengan jelasnya memberi kuasa kepada Pegawai Pendaftaran untuk memerlukan keterangan-keterangan dokumentari yang difikirnya mustahak bagi menyokong ketepatan mana-mana butiran yang telah dikemukakan. Oleh itu rujukan kepada sesuatu pihak yang berkuasa atas perkara undang-undang Islam adalah diperuntukkan oleh undang-undang dan justeru demikian ianya tidaklah bersalahan dengan undang-undang seperti mana yang dihujahkan oleh perayu. Rujukan bukanlah bermakna bahawa Mahkamah Syariah diminta untuk memutuskan sama ada meluluskan ataupun tidak permohonan memadamkan perkataan "Islam" itu. Mahkamah Syariah cuma diminta untuk mengesahkan bahawa perayu adalah beragama Islam atau tidak berdasarkan undang-undang Islam. Berpandukan dari keputusan ini nanti, adalah dalam budibicara JPN untuk memutuskan sama ada kebenaran boleh diberi untuk memadamkan atau tidak perkataan "Islam". [9] Peguam terpelajar perayu telah juga merujukkan kepada mahkamah ini kes Ismail bin Suppiah lwn. Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (R-1-24-31 tahun 1995). Mengikut peguam terpelajar itu, kedua-dua kes Ismail dan kes rayuan di mahkamah ini adalah mengenai: (a) pertukaran nama kerana pertukaran agama; (b) kuasa-kuasa JPN di bawah k. 14; (c) suatu sijil daripada Majlis Agama sebagai suatu pra-syarat sebelum JPN boleh menimbangkan permohonan di bawah k. 14; (d) kebebasan memilih agama oleh seseorang dijamin di bawah Perkara 11 PP; (e) pihak ketiga tidak boleh memutuskan mengenai agama mana seseorang itu wajar pilih; dan (f) kaedah 14 tidak mengenakan suatu syarat bahawa satu sijil diperolehi daripada Majlis Agama. Peguam terpelajar itu seterusnya menunjukkan bahawa saya adalah hakim dalam kes Ismail itu dan saya telah membatalkan keputusan JPN yang memerlukan satu sijil daripada Majlis Agama sebagai ultra vires k. 14. 9.1. Plaintif dalam kes Ismail adalah seorang Muslim semenjak ianya dilahirkan. Plaintif memohon supaya nama Muslimnya seperti yang di dalam KPnya itu ditukar ke nama Hindu atas alasan, seperti yang disebut dalam akuan statutorinya, beliau telah keluar dari agama Islam dan memeluk agama Hindu. JPN berkeras menghendaki kelulusan Jabatan Agama Islam Johor atau Kadi Besar Johor atas tindakan Plaintif keluar dari agama Islam. JPN masih enggan meluluskan permohonan plaintif walaupun peguam plaintif telah melaporkan kepada Kadi Besar Johor perihal plaintif telah keluar dari agama Islam. Malah JPN telah merujuk hal ini kepada dan untuk tindakan Jabatan Agama Islam Johor. Kerana itu plaintif memohon dan memperolehi dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur suatu perisytiharan bahawa kelulusan Jabatan Agama Islam Johor itu adalah tidak perlu dan bahawasanya sebarang rujukan oleh JPN kepada Jabatan itu adalah ultra vires k. 14, Kaedah-Kaedah 1990, s. 141(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 1978 (Administration of Islamic Law Enactment 1978 Negeri Johor), dan Perkara 11(1) PP. Plaintif juga pohon dan perolehi perintah agar JPN mengeluarkan KP sementara atas nama plaintif yang baru. 9.2. Mengenai hujah perayu bahawa JPN tidak membuat rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes Ismail itu dan kerana itu JPN tidaklah boleh di dalam rayuan ini mengambil pendirian yang bercanggahan dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu. 9.3. Penghakiman majoriti menegaskan bahawa kes Ismail adalah suatu kes yang melibatkan permohonan untuk menukar nama di dalam KP manakala rayuan perayu dalam mahkamah ini ialah untuk memadamkan perkataan "Islam" daripada KPnya. Kerana tiada alasan-alasan penghakiman dalam kes Ismail itu, sebab-sebab Mahkamah Tinggi membuat keputusan sedemikian tidaklah dapat diketahui. Justeru itu Mahkamah Rayuan hanya mampu membuat beberapa tekaan mengenai kenapa saya telah memutuskan demikian dalam kes Ismail itu. Tekaan-tekaan itu berpunca dari saya dikatakan telah melihat kes Ismail itu dari sudut ianya perlu diputuskan dalam konteks undang-undang Johor. Saya telah dikatakan mungkin berpendapat bahawa JPN salah apabila JPN memerlukan persetujuan Jabatan Agama Islam Johor sebelum plaintif keluar dari agama Islam manakala mengikut Enakmen Johor pihak berkuasa yang betul ialah Kadi di bawah s. 141(2). Seksyen 141 Enakmen Johor itu berbunyi: 141 (1) Sesiapa yang memasukkan sebarang orang memeluk agama Islam hendaklah dengan serta-merta melaporkan perkara itu kepada Kadi dengan memberi keterangan-keterangan yang perlu untuk pendaftaran. (2) Sesiapa mendapati bahawa seseorang Islam telah keluar daripada Agama Islam hendaklah dengan serta merta melaporkan kepada Kadi mengenai keputusannya keluar daripada Islam dengan memberi keterangan-keterangan yang perlu dan Kadi hendaklah mengisytiharkan bahawa orang itu telah keluar daripada Agama Islam, dan hendaklah didaftarkan. 9.4. Adalah juga menjadi tekaan penghakiman majoriti bahawa saya mungkin telah berpendapat yang JPN telah salah faham s. 141 kerana di para 10 affidavit JPN bertarikh 28 Julai 1995, pegawai JPN nampaknya menyatakan bahawa sub-seksyen (2) hanya terpakai atas seseorang yang dahulunya telah memeluk agama Islam di bawah subseksyen (1), manakala sebenarnya subseksyen (2) itu adalah bebas dari subseksyen (1). Penghakiman majoriti juga menekankan bahawa saya mungkin berpendapat, dari kejelasan perkataan-perkataan dalam subseksyen (2), bahawa di Johor, Kadi sendiripun tidak mempunyai hak untuk memberi atau tidak memberi persetujuan kepada seseorang Muslim keluar daripada agama Islam. Hal itu terserah semata-mata kepada orang yang berkenaan. Tugas Kadi adalah hanya untuk mengumumkan fakta keluarnya seseorang dari agama Islam dan kemudiannya mendaftarkannya. Tugas itu hanyalah mekanikal. Bertitik-tolak dari ini, saya ditekakan telah berpendapat bahawa: (a) di Johor seseorang Muslim adalah bebas untuk keluar dari agama Islam dan ia melakukannya dengan hanya menyatakan demikian; (b) tiada kelulusan atau penentuan oleh mana-mana pihak berkuasa agama diperlukan; (c) JPN sepatutnya menerima akuan statutori plaintif yang menyatakan bahawa plaintif telah keluar dari agama Islam sebagai bukti bahawa plaintif bukan lagi seorang Muslim; dan (d) JPN sepatutnya meluluskan permohonan plaintif untuk tukar namanya. 9.5. Dari tekaan-tekaan seperti dihuraikan di atas, ketaralah bahawa kes Ismail itu semestinyalah diteliti dalam konteks undang-undang Johor. Seksyen 141(2) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Johor 1978 dengan jelasnya menunjukkan bahawa Kadi pun tidak mempunyai hak untuk memberi atau tidak memberi persetujuan untuk keluar dari agama Islam. Justeru itu tekaan penghakiman majoriti itu adalah betul apabila dikatakan kerana kejelasan perkataan-perkataan dalam s. 141(2) JPN sepatutnya hendaklah terima akuan statutori plaintif yang menyatakan plaintif telah keluar dari agama Islam sebagai bukti bahawa plaintif bukan lagi seorang Muslim dan JPN sepatutnyalah meluluskan permohonan Plaintif untuk tukar namanya. Wajar ditekankan di peringkat ini bahawa penghuraian di atas menunjukkan Perkara 121(1A) dan item 1, senarai 2, Jadual 9 PP tidak timbul dalam kes Ismail itu. [10] Isu berikutnya yang dihujahkan oleh perayu ialah sama ada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan mempunyai bidang kuasa penentuan murtad. Perayu menghujahkan bahawa JPN telah selama ini mengambil pendirian yang sama mengenai pelbagai permohonan perayu iaitu perayu mesti pertamanya mendapatkan suatu perintah murtad daripada Mahkamah Syariah atau, seperti yang kemudiannya dikatakan oleh Ketua Pengarah dalam afidavitnya, daripada mana-mana pihak berkuasa agama Islam yang lain. Perayu juga menghujahkan bahawa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) tidak mempunyai peruntukan mengenai murtad. Mahkamah Syariah atau mana-mana Badan Islam yang lain tidak diberi bidangkuasa dalam hal murtad dan tidak ada kuasa juga diberi kepada mana-mana pihak berkuasa di bawah Akta tersebut untuk mengeluarkan perintah murtad. Inilah kedudukannya pada semua masa yang material di dalam kes perayu antara bulan Februari 1997 hingga Januari 2000 dan hingga ke hari ini. Mengikut pihak perayu lagi, s. 46(2)(b) Akta 505, seperti yang terdapat sekarang, menyenaraikan perkara-perkara dalam mana Mahkamah Syariah boleh melaksanakan bidangkuasa sivilnya dan di bawah seksyen ini perkara murtad tidak terdapat di dalam senarai itu. Penghakiman majoriti akur bahawa Akta 505 tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai murtad. Penghakiman itu seterusnya mempertimbangkan hujah perayu bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Soon Singh (supra) telah membentukkan prosedur yang diikuti oleh JPN dalam memerlukan perakuan daripada Mahkamah Syariah sebelum jabatan itu menerima fakta bahawa seseorang Muslim telah keluar dari agama Islam. Keputusan di dalam kes Soon Singh, mengikut penghakiman majoriti, telah dan masih sahih (authoritative) dan dalam undang-undang pentadbiran, dari sudut keputusan itu, JPN telah bertindak dengan betul apabila menamakan Mahkamah Syariah sebagai pihak berkuasa yang boleh mengeluarkan perakuan murtad dan JPN akan terima perakuan itu sebagai bukti perayu bukan lagi seorang Muslim. Penghakiman majoriti, bagaimanapun, berpendapat bahawa persoalan mengenai betul atau tidaknya keputusan Soon Singh adalah tidak penting lagi kerana rayuan dihadapannya telah dipersetujui oleh pihak-pihak kepada rayuan itu dikira sebagai mengenai kesahihan keputusan JPN mengikut undang-undang pentadbiran dan bukan lagi mengikut persoalan-persoalan perlembagaan. Oleh itu perayu berhujah dalam Mahkamah Rayuan bahawa tindakan JPN mengenakan syarat supaya diperolehi perintah Mahkamah Syariah adalah tindakan yang tidak munasabah mengikut kes Associated Provincial Picture Houses Ltd v. Wednesbury Corp [1948] 1 KB 223. Ini adalah kerana, mengikut Perayu, perintah itu mustahil diperolehi disebabkan ketiadaan peruntukan mengenai murtad dalam Akta 505. Di peringkat ini, adalah wajar bagi saya untuk menyatakan persetujuan saya dengan bahagian penghakiman majoriti yang menyatakan bahawa apa yang JPN mahu ialah suatu perakuan dari seseorang yang mempunyai kuasa untuk membuatnya dan jika JPN bertindak mengikut perakuan itu, maka JPN adalah bebas dari sebarang kesilapan atau disalahkan oleh awam dalam perkara yang sebegitu mustahak dan sensitif. Justeru itu penghakiman majoriti memutuskan bahawa ketidakrelaan JPN bertindak tanpa perakuan pihak berkuasa agama lslam adalah munasabah. Penghakiman itu juga memutuskan bahawa persoalan sama ada seseorang muslim itu murtad atau tidak adalah satu persoalan yang berkaitan dengan undang-undang Islam. Dan jika mahkamah memutuskan bahawa ketidakrelaan JPN adalah tidak munasabah, maka itu akan membawa erti bahawa mahkamah menghendaki JPN menerima fakta bahawa mengikut undang-undang Islam seseorang Muslim boleh dianggap oleh dunia sebagai telah keluar dari agama Islam dan bukan lagi seorang Muslim apabila orang itu kata dia telah keluar dari agama Islam. 10.1 Mengenai penghakiman majoriti bahawa tindakan JPN adalah munasabah bila JPN perlukan suatu sijil/deklarasi/perintah daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan perayu adalah murtad, saya ingin menambah dengan menekankan bahawa item 1 senarai 2 dalam Jadual kesembilan PP memperuntukkan, antara lainnya, bahawa Mahkamah-Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa hanya atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan itu (item 1) dan salah satu daripada perkara-perkara dalam perenggan tersebut ialah "undang-undang Islam". Sehubungan dengan ini, perkara 74(4) PP menegaskan bahawa keluasan ungkapan-ungkapan am dalam Jadual kesembilan tidak boleh dikira sebagai dihadkan oleh ungkapan-ungkapan khusus yang terdapat dalam Jadual 9 itu. Perkara 74(4) PP adalah seperti berikut: 74 (4) Where general as well as specific expressions are used in describing any of the matter enumerated in the Lists set out in the Ninth Schedule the generality of the former shall not be taken to be limited by the latter. Oleh demikian adalah munasabah bagi JPN mengenakan syarat-syarat tersebut kerana perkara murtad ini, mengikut penghakiman majoriti (dan saya bersetuju dengannya), adalah satu persoalan yang berkaitan dengan undang-undang Islam dan seperti yang telah dinyatakan oleh Mahkamah Agong dalam kes Dalip Kaur lwn. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 bahawa jawapan kepada persoalan sama ada seseorang itu adalah seorang Muslim atau telah keluar dari agama Islam sebelum dia meninggal dunia, adalah termasuk dalam dunia undang-undang Syariah yang memerlukan pertimbangan-pertimbangan serius dan tafsiran wajar atas undang-undang itu. Dalam hal keadaan sedemikian, saya bersetuju dengan penghujahan peguam terpelajar responden-responden kedua dan ketiga bahawa syarat supaya suatu sijil atau perisytiharan atau perintah daripada Mahkamah Syariah bahawa perayu telah jadi murtad bukanlah suatu keputusan yang tidak munasabah sehinggakan sebegitu melampau dalam keingkaran terhadap logik atau standard moral yang diterima hingga tiada seorang yang waras yang telah menumpukan pemikirannya kepada persoalan yang perlu diputuskan itu boleh mencapai keputusan itu. [11] Mengenai hujah responden-responden kedua dan ketiga bahawasanya JPN berhak untuk memasukkan perkataan "Islam" di muka hadapan KP perayu dalam bulan November 1999 kerana pindaan-pindaan kepada k. 4(c) (iva) dan k. 5(2) telah dibuat berkuatkuasa kebelakangan kepada 1 Oktober 1999 dan kuatkuasa kebelakangan ini telah dibenarkan kerana pindaan-pindaan itu adalah berbentuk prosedur, perayu menghujahkan bahawa selagi pindaan itu tidak diwartakan pihak eksekutif (misalnya JPN) tidak boleh menggunakan pindaan itu dan bertindak atasnya. Perayu menarik perhatian kepada fakta bahawa permohonannya untuk KP telah dibuat pada 25 Oktober 1999 manakala pada 1 Oktober 1999 pindaan itu belum diwartakan. Perayu menekankan bahawa kedudukan sebenar undang-undang semasa itu ialah bahawa perayu adalah berhak untuk suatu KP baru di atas nama Lina Joy tanpa apa-apa kenyataan mengenai agama diletakkan dalam KP itu. Pindaan itu mengikut perayu tidak boleh dibuat berkuatkuasa kebelakangan kerana ianya menjejaskan hak perayu yang sedia ada itu. 11.1 Atas isu kuatkuasa kebelakangan ini saya ingin merujuk kepada kes Sim Seoh Beng @ Sin Sai Beng & Anor lwn. Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd [1995] 1 CLJ 491 yang menyatakan bahawa ujian yang betul untuk digunapakai bagi menentukan sama ada sesuatu undang-undang bertulis adalah berkuatkuasa secara prospektif atau kebelakangan ialah untuk pertamanya memastikan sama ada undang-undang itu akan menyentuh hak-hak substantif jika dikuatkuasakan secara kebelakangan. Jika ia, maka, prima facie undang-undang itu hendaklah ditafsirkan sebagai mempunyai kesan prospektif sahaja, kecuali terdapat arahan yang jelas dalam enakmen itu bahawa ianya hendaklah berkuatkuasa kebelakangan. In our judgment, the correct test to be applied to determine whether a written law is prospective or retrospective is to first ascertain whether it would affect substantive rights if applied retrospectively. If it would, then, prima facie that law must be construed as having prospective effect only, unless there is a clear indication in the enactment that it is in any event to have retrospectivity. (bahasa asal penghakiman). Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Phin Khian lwn. Kho Su Ming [1996] 1 CLJ 529 telah menyatakan bahawa persoalan dalam kes itu ialah sama ada anggapan prima facie tiadanya kuatkuasa kebelakangan telah diganti dengan maksud Parlimen yang bertentangan dan jika betul, sejauh mana. Thus, in any given case, the task to be undertaken by a court is to examine the particular statute that has fallen for interpretation and to ascertain what Parliament intended. In the context of the present case, the question that falls for determination is whether the prima facie presumption against retrospectivity has been displaced by contrary Parliament intention, and if so, to what extent. (bahasa asal penghakiman). Kes Attorney General lwn. Bernazar [1960] 3 All ER 97 pula menyatakan bahawa keadaan adalah berlainan apabila statut itu berkuatkuasa kebelakangan sama ada kerana statut itu mengandungi perkataan-perkataan yang jelas menunjukkan demikian atau kerana statut itu adalah hanya mengenai perkara-perkara prosedur; oleh itu Parlimen telah menunjukkan tujuannya bahawa Akta itu hendaklah terpakai atas prosiding-prosiding yang tergantung, dan Mahkamah Rayuan adalah berhak untuk memberi kesan kepada tujuan kebelakangan ini sama seperti mahkamah di peringkat pertama (1st instance). But it is different when the statute is retrospective either because it contains clear words to that effect or because it deals with matters of procedures only; for then Parliament has shown an intention that the Act should operate on pending proceedings, and the Court of Appeal are entitled to give effect to this retrospective intent as well as a court of 1st instance. (bahasa asal penghakiman). Dalam kes Yew Bon Teow lwn. Kenderaan Bas Mara [1983] 1 MLJ 1 Majlis Privy telah menyatakan bahawa persoalan sama ada sesuatu statut itu hendaklah ditafsirkan secara berkuatkuasa kebelakangan, dan jika demikian sejauh mana, adalah terletak pada maksud/tujuan legislator seperti yang dilafazkannya melalui perkataan-perkataan yang digunakan dalam statut itu, di samping mengambil kira kaedah tafsiran biasa dan peruntukan-peruntukan relevan dalam mana-mana statut tafsiran. Whether a statute is to be construed in a retrospective sense, and if so to what extent, depends on the intention of the legislature as expressed in the wording of the statute, having regard to the normal canons of construction and to the relevant provisions of any interpretation statute. (bahasa asal penghakiman). Saya ingin juga merujuk kepada s. 19 Intepretation Acts 1948 dan 1967 yang menyatakan: 19 (1) The commencement of an Act or subsidiary legislation shall be the date provided in or under the Act or subsidiary legislation or, where no date is so provided, the date immediately following the date of its publication in pursuance of section 18. (2) Acts and subsidiary legislation shall come into operation immediately on the expiration of the day preceding their commencement. (3) Notwithstanding section 2(1) and (2) and section 65(2), subsections (1) and (2) shall apply: (a) to all Acts enacted after the 31st December 1968 including Acts which amend laws enacted before the commencement of Part I of this Act; and (b) to all subsidiary legislation made after the 31st December 1968, whether made under a law enacted before or after the commencement of Part I of this Act whether or not that law has been revised under the Revision of Laws Act 1968. Di dalam rayuan di mahkamah ini terdapat dengan jelasnya suatu arahan (seperti tersebut dalam kes Sim Seoh Beng) bahawa pindaan-pindaan kepada Kaedah-Kaedah 1990, kecuali untuk k. 19, hendaklah dianggap telah mula berkuatkuasa pada 1 Oktober 1990 (shall be deemed to have come into operation on 1 October 1990). Justeru itu pindaan-pindaan kepada k. 4, k. 5 dan jadual pertama adalah berkuatkuasa secara kebelakangan. Oleh itu tindakan JPN mengeluarkan KP dengan penambahan perkataan "Islam" adalah sah di sisi undang-undang. [12] Majlis Peguam, HAKAM, dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism, sebagai pemerhati diarah (watching brief) telah turut memberi pandangan-pandangan mereka masing-masing yang secara ringkasnya adalah seperti berikut: (a) jika seseorang tidak lagi menganuti (profess) agama Islam, maka dianya tidak boleh lagi berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Jika dia dikatakan masih lagi di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah maka perbuatan itu adalah suatu pencabulan hak kemanusiaannya di bawah Perkara 11(1) dan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan; (b) perkara murtad (apostasy) tidak dimasukkan ke dalam item 1 senarai 2 kepada Jadual Sembilan PP; (c) perakuan murtad adalah ketara bertentangan dengan peruntukan kebebasan asasi di bawah Perkara 11; (d) perisytiharan (declaration) oleh perayu bahawa beliau adalah seorang Kristian bererti bahawa beliau menganuti agama Kristian dan ini bererti bahawa beliau tidak boleh lagi dianggap sebagai seorang Muslim atau seorang yang menganuti agama Islam; (e) Chua H dalam kes Re Mohamed Said Nabi, deceased [1965] 3 MLJ 121 telah merujuk kepada Shorter Oxford English Dictionary untok pengertian "profess". Kamus itu berkata: "profess" means ‘to affirm one’s faith in or allegiance to (a religion, principles, God or Saint etc)’. Ini bererti JPN tidak berhak untuk mengenakan syarat agar perayu kemukakan suatu sijil kerana mahkamah-mahkamah syariah tiada bidangkuasa atas perayu yang tidak lagi menganut agama Islam. Perayu masih hidup dan telah membuat akuan statutori dan afidavit-afidavit yang menunjukkan bahawa beliau menganuti agama Kristian. Justeru itu, tidak perlulah untuk mana-mana pihak berkuasa Islam memutuskan sama ada beliau murtad atau tidak; (f) Kerajaan Malaysia telah menggambarkan (represented) di peringkat antarabangsa dan kepada warganegaranya, bahawa ianya berpegang (subscribe) kepada norma-norma kebebasan kepercayaan (faith) yang komprehensif, pemikiran (thought) dan suara hati (conscience) seperti diisytiharkan (declared) dalam Perkara 18 Perisytiharan Sejagat Hak-hak Manusia (Universal Declarations of Human Rights). Justeru itu perayu mempunyai harapan yang sah (legitimate expectation) bahawa Kerajaan Malaysia dan agensi-agensinya tidak akan bertindak bercanggahan dengan gambarannya itu; (g) Perayu telah, kerana permohonannya untuk memadamkan (delete) perkataan "Islam" itu tidak dibenarkan, dinafikan haknya untuk mengahwini seorang yang menganut agama Kristian atau mengahwini seseorang mengikut kehendaknya. Ini adalah suatu penafian kepada haknya di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan; [13] ABIM, Muslim Lawyers Association dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia, juga sebagai pemerhati diarah (watching brief), telah turut memberi pandangan-pendangan mereka masing-masing yang secara ringkasnya adalah seperti berikut; (a) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menggunakan perkataan-perkataan "profess and practice". Justeru itu perkara keluar dari agama Islam hendaklah mengikut perundangan berkaitan dengannya. Seseorang boleh keluar dari agama Islam tetapi hendaklah ikut tatacaranya. Kalau ikut kehendak atau sesuka hati seseorang maka akan huru haralah keadaan umat dan agama Islam. Oleh demikian penentuan oleh mahkamah syariah adalah mengikut kehendak perundangan syariah dan justeru itu tidaklah berlawanan dengan Perkara 11; (b) Mengenai hak sama rata (equal rights) di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, Perkara 8 itu adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang kawal selia (regulate) undang-undang keluarga (personal law) [14] Mengenai pandangan-pandangan di perenggan-perenggan (12) dan (13) di atas saya bersetuju dengan pendapat-pendapat di dalam perenggan (13). Di dalam rayuan di hadapan mahkamah sekarang, tiada ketentuan muktamad bahawa perayu tidak lagi menganuti agama Islam. Maka, kenyataan bahawa perayu tidak boleh lagi berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah hanya ada bidangkuasa terhadap seseorang yang menganuti agama Islam (profess) tidak boleh/wajar ditekankan. Cara seseorang keluar dari sesuatu agama adalah semestinya mengikut kaedah atau undang-undang atau amalan (practice) yang ditentukan atau ditetapkan oleh agama itu sendiri. Perayu tidak dihalang dari berkahwin. Kebebasan beragama di bawah Perkara 11 PP memerlukan perayu mematuhi amalan-amalan atau undang-undang agama Islam khususnya mengenai keluar dari agama itu. Apabila ketentuan-ketentuan agama Islam dipatuhi dan pihak berkuasa agama Islam memperakukan kemurtadannya barulah perayu dapat menganuti agama Kristian. Dengan lain perkataan seseorang tidak boleh sesuka hatinya keluar dan masuk agama. Apabila ia menganuti sesuatu agama, akal budi (common sense) sendiri memerlukan dia mematuhi amalan-amalan dan undang-undang dalam agama itu. [15] Perayu seterusnya menghujahkan bahawa, JPN tidak boleh bertindak secara memperkosakan hak-hak kebebasan beragama setiap warganegara di bawah Perkara 11 PP atau secara diskriminasi mencabuli jaminan-jaminan di bawah Perkara 8(2) PP yang melarang sebarang diskriminasi atas alasan agama. Perayu menegaskan bahawa Perkara 11 itu memberinya kebebasan mutlak untuk keluar dari agama Islam dan menjadi seorang Kristian. Mengikutnya kebebasan itu tidak boleh dengan sahnya dihadkan atau dikawal oleh mana-mana undang-undang seperti Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993] oleh Mahkamah Syariah, atau oleh mana-mana pihak berkuasa lain. Justeru itu pihak perayu memohon agar Mahkamah Tinggi memperakukan bahawa tindakannya keluar dari agama Islam adalah teratur (proper) dan sah (valid) di bawah Perkara 11 PP. Ini, tegas peguam terpelajar Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, mengandaikan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk membuat deklarasi yang dipohon oleh perayu itu. (Justeru itulah timbulnya soalan ketiga). 15.1. Peguam terpelajar perayu menarik perhatian mahkamah ini kepada keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi yang berkonflik. Kes-kes seperti Ng Wan Chan v. Majlis Agama Wilayah Persekutuan (No. 2) (supra) dan Lim Chan Seng v. Pengarah Jabatan Agama Islam (supra) memutuskan bahawa tanpa bidangkuasa yang dengan jelasnya diberi kepada Mahkamah Syariah atas sesuatu perkara tertentu, maka mahkamah sivil hendaklah mengekalkan bidangkuasanya atas perkara itu. Pula, kes Md. Hakim Lee v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (supra) menganjurkan teori bidangkuasa tersirat. Mengikut teori itu, adalah memadai jika perkara itu telah dikhususkan untuk Mahkamah Syariah di dalam item 1, senarai 2, dalam Jadual 9 PP. Mengikut peguam terpelajar itu lagi, kes Soon Singh (supra) telah menyelesaikan konflik itu dengan menggunapakai teori bidangkuasa tersirat seperti yang dianjurkan oleh kes Md. Hakim Lee. Peguam terpelajar perayu seterusnya merujuk kepada keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang v. Shaik Zolkaffily [2003] 3 CLJ 289 dan Azizah binti Shaik Ismail v. Fatimah binti Shaik Ismail [2003] 4 CLJ 281 yang mengikut keputusan kes Soon Singh. Sungguhpun demikian, peguam terpelajar itu tetap menghujahkan bahawa keputusan kes Soon Singh itu adalah salah di sisi undang-undang kerana: (a) keputusan itu gagal mengambilkira bahawa semua enakmen undang-undang Islam negeri mewujudkan dua entiti yang berbeza, iaitu: Majlis Agama dan Mahkamah Syariah. Dalam enakmen-enakmen, itu Majlis Agama memainkan peranan pentadbiran manakala Mahkamah Syariah adalah Badan Kehakiman. Peguam terpelajar itu kemudiannya telah merujuk kepada Akta 505 yang melalui ss. 24, 7 dan 10 memperuntukkan hal-hal mengenai penubuhan, keanggotaan, fungsi, tugas dan aktiviti Majlis Agama manakala s. 46 memperuntukkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Kes Soon Singh (supra), ujar peguam terpelajar itu, membuat satu kesilapan kerana tidak membezakan antara Majlis dan Mahkamah Syariah. Akibat dari kesilapan tersebut di atas kes Soon Singh telah turut silap apabila ianya menganggap bahawa Mahkamah Syariah di mana-mana adalah pihak berkuasa yang mengurus dan mengendalikan hal-hal pemelukan agama Islam. Seksyen-seksyen 139-141 Enakmen di negeri Kedah merujuk kepada Majlis sebagai pihak berkuasa yang mengendalikan hal-hal pemelukan agama Islam. Begitu juga dengan ss. 77-89 Enakmen di Pulau Pinang yang merujuk kepada Pendaftar Pemelukan Agama Islam dan s. 82 menunjukkan Majlis yang menyimpankan rekod pemeluk agama Islam. Sama juga dengan Akta 505 yang melalui ss. 85-95 menjelaskan bahawa Majlis yang mengendalikan hal-hal pemelukan agama Islam. Justeru itu, tekan peguam terpelajar itu, kenyataan oleh kes Soon Singh bahawasanya semua enakmen-enakmen negeri memberi bidangkuasa kepada mahkamah-mahkamah Syariah dalam hal-hal berkenaan pemelukan agama Islam itu adalah ketara salah. (b) Otoriti-otoriti yang digunapakai oleh kes Soon Singh bagi mengasaskan teori bidangkuasa tersiratnya itu tidak menyokong keputusannya. Jika otoriti-otoriti itu ditelitikan, otoriti "Craies on Statute Law (7th edn) ms 112 sebenarnya menyatakan bahawa bahasa yang jelas dan tidak kabur (express and unambiguous language) adalah diperlukan untuk mengubahkan bidangkuasa mahkamah-mahkamah undang-undang (altering the jurisdiction of courts of law). Otoriti kes Albon v. Pyke [1842] 4 M & G 421 menunjukkan Tindal CJ di para 424 mengatakan yang kaedah umum, tidak syak lagi, ialah bahawa bidangkuasa mahkamah-mahkamah atasan tidak diambil atau hilang kecuali melalui perkataan-perkataan yang jelas atau implikasi perlu. the general rule undoubtedly is that the jurisdiction of the superior courts is not taken away, except by express words or necessary implication. (bahasa asal penghakiman) (c) Kesalahan-kesalahan kes Soon Singh seperti dihuraikan di perenggan-perenggan 15(a)-(b) di atas telah menyebabkan kes Soon Singh merumuskan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak perlu diberi oleh undang-undang tetapi memadai dengan hanya merujuk kepada senarai negeri dalam Jadual ke 9 seperti dilakukan oleh kes Md. Hakim Lee. Ini, kata peguam terpelajar itu, mencanggahi prinsip penggubalan undang-undang oleh legislator dan kaedah bahawa sesuatu undang-undang bertulis mestilah dibuat oleh legislator dan ianya tidak boleh berkuatkuasa sehinggalah undang-undang itu diberitahu melalui warta. Mengikut peguam terpelajar itu lagi, kesan keputusan kes Soon Singh itu ialah bahawasanya sesuatu undang-undang itu dianggap telah wujud walaupun perkara itu hanya terdapat dalam item 1 senarai 2 Jadual 9 PP dan legislator belum membuat undang-undang atas perkara itu. Kes Soon Singh telah gagal mengenalpasti perbezaan antara kuasa untuk membuat undang-undang atas sesuatu perkara dan pembuatan undang-undang itu sendiri. Peguam terpelajar itu kemudiannya memetik apa yang Mahkamah Agong India kata dalam kes Calcutta Gas Co v. State of Weat Bengal AIR [1962] SC 1044 di 1049 iaitu kuasa untuk membuat undang-undang adalah diberi kepada Legislator-Legislator yang berkenaan oleh Perkara 246 Perlembagaan India. Peruntukan-peruntukan dalam ketiga-tiga senarai adalah hanya kepala-kepala atau bidang-bidang untuk pembuatan undang-undang: senarai-senarai itu menyempadankan daerah dalam mana legislator-legislator yang berkenaan boleh beroperasi. The power to legislate is given to the appropriate Legislatures by art 246 of the Constitution. The entries in the three Lists are only legislative heads or fields of legislation: they demarcate the area over which the appropriate Legislatures can operate (bahasa asal penghakiman) Justeru itu, tegas peguam terpelajar perayu, keputusan Soon Singh bahawa hak untuk membuat undang-undang atas sesuatu perkara adalah sama dengan membuat undang-undang itu sendiri wajarlah ditolak sebagai duluan buruk (bad precedent). (d) Seksyen 67 Interpretation and General Clauses Act 1967 mengisytiharkan bahawa setiap Akta Parlimen atau Enakmen Negeri adalah Akta atau Enakmen untuk umum dan ianya boleh diberi notis kehakiman. Kes Soon Singh telah mengecualikan keperluan menyiarkan undang-undang atau proses pembuatan undang-undang melalui peringkat rang undang-undang dan berakhir dengan perkenanan Raja. Justeru itu kes Soon Singh ini hendaklah diperbetulkan segera, demikian ditekankan oleh peguam terpelajar perayu. Dalam meneruskan penghujahannya mengenai kes Soon Singh ini, peguam terpelajar perayu memetik pemerhatian oleh Hashim Yeop Sani dalam kes Dalip Kaur a/p Gurbox Singh v. Pegawai Polis Daerah (OCPD) Bukit Mertajam & Anor (supra) yang antara lainnya, menyatakan bahawa Perkara 121(1A) yang baru itu, yang berkuatkuasa mulai 10 Jun 1988, telah melucutkan bidangkuasa mahkamah-mahkamah sivil atas perkara-perkara yang di dalam bidangkuasa mahkamah-mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun klausa itu tidak melucutkan bidangkuasa mahkamah sivil untuk menafsirkan mana-mana undang-undang bertulis negeri yang diluluskan untuk pentadbiran undang-undang Islam. The new clause (1A) of art 121 of the constitution effective from 10 June 1988 has taken away the jurisdiction of the civil courts in respect of matters within the jurisdiction of the syariah courts. But that clause does not take way the jurisdiction of the civil court to interpret any written laws of the states enacted for the administration of Muslim law (bahasa asal penghakiman) Bagi peguam terpelajar itu, pemerhatian itu dengan jelasnya menunjukkan bahawa mahkamah sivil hendaklah memutuskan sama ada sesuatu perkara itu terjatuh dalam bidangkuasanya atau bidangkuasa Mahkamah Syariah. 15.2. Peguam terpelajar responden-responden kedua dan ketiga pula berpendirian bahawa kes Md. Hakim Lee telah diputuskan dengan betul. Justeru itu beliau berpendapat kes-kes Soon Singh dan Shaik Zolkaffily adalah mengandungi prinsip-prinsip yang betul mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah. 15.3. Peguam terpelajar responden 1 merujuk kepada perkataan implikasi (implication) seperti terdapat dalam "Bernion’s Statutory Interpretation 2nd edn" di ms 362 iaitu: Implikasi boleh muncul daripada bahasa yang digunakan, daripada konteks, atau daripada pemakaian sesetengah kaedah luaran. Implication may arise from the language used, from the context, or from the application of some external rule (bahasa asal report) Seterusnya peguam terpelajar itu menekankan bahawa oleh kerana Akta 505 itu mengandungi peruntukan-peruntukan mengenai perkara-perkara berhubung dengan pemelukan agama Islam sebagai di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah (s. 87 dan s. 91 dibaca dengan s. 46(2)(b) Akta 505) maka secara implikasi, perkara-perkara mengenai murtad dan keluar dari agama Islam adalah juga di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. 15.4. Di dalam kes Soon Singh, perayu memohon agar Mahkamah Tinggi mengeluarkan deklarasi yang beliau bukan seorang Muslim. Peguam terpelajar Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) membuat bantahan awal memohon agar permohonan perayu ditolak kerana Mahkamah Tinggi tiada bidangkuasa atas perkara seseorang itu bukan Muslim. Perkara itu adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujah peguam terpelajar JAIK dan menolak permohonan perayu yang kemudiannya merayu ke Mahkamah Persekutuan. Dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa persoalan di hadapannya ialah mengenai bidangkuasa Mahkamah-Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(1A) PP. Mahkamah Persekutuan juga akui tiadanya peruntukan-peruntukan khusus (express provisions) di dalam Enakmen Kedah yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengendalikan (deal) persoalan murtad. Selepas itu Mahkamah Persekutuan merujuk kepada Craies on Statute Law, kes Albon v. Pyke, Bennion’s Statutory Interpretation and kes Dalip Kaur. 15.5. Mengenai kritikan peguam terpelajar perayu atas rujukan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan kepada "Craies on Statute Law" dan kes "Albon v. Pyke", saya hanya perlu tekankan bahawa Tindal CJ juga gunakan perkataan-perkataan implikasi perlu (necessary implication). Justeru itu Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa adalah sejajar dengan logik untuk Mahkamah Syariah, yang telah dengan jelasnya diberi bidangkuasa untuk mengadili perkara-perkara yang berkaitan dengan pemelukan agama Islam adalah, secara implikasi perlu, juga mempunyai bidangkuasa untuk mengadili perkara-perkara yang berkaitan dengan keluarnya seorang Muslim dari agama Islam atau kemurtadanan. Saya tidak nampak sebarang kecacatan dalam taakulan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu. Oleh demikian saya tiada lain pilihan melainkan menjawab soalan ketiga itu dengan mengatakan bahawa kes Soon Singh telah diputuskan dengan betul. [16] Seperti yang telah dihuraikan di perenggan sebelum ini, kes Soon Singh ketara menunjukkan bahawa hal murtad adalah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Di perenggan (10) saya juga telah merujuk kepada item 1, senarai 2, Jadual 9 PP bagi menunjukkan bahawa perkataan penting yang digunakan di situ ialah "matters" dan kerana "Islamic Law" adalah salah satu daripada "matters" yang terdapat dalam item 1 itu dan apabila dibaca pula berlatarbelakangkan kes Dalip Kaur, maka amat ketara sekali bahawa sesungguhnya perkara murtad itu adalah perkara yang berhubungkait dengan undang-undang Islam (Islamic Law) dan nyatalah oleh itu ianya adalah di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kerana Perkara 121(1A) PP, maka Mahkamah-Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam hal itu. [17] Beberapa hujah juga telah diketengahkan mengenai beberapa hak-hak perayu di bawah PP. Telah juga diperhujahkan bahawa keperluan mengemukakan sijil/perakuan dari Mahkamah Syariah/Pihak Berkuasa bagi mengesahkan perayu murtad adalah bercanggah dengan kebebasan di bawah Perkara 11 PP. Mengikut hujah itu Perkara 11 PP memberi kebebasan kepada perayu untuk menganut mana-mana agama dan untuk keluar daripada sesuatu agama. Tiada siapa atau apa pun boleh menghalangnya dari berbuat demikian. Sebarang tindakan menghalang Perayu dari membuat sesukanya dalam pemilihan agama atau keluar dari mana-mana agama adalah bercanggah dengan Perkara 11 PP. 17.1 Perkara 11 PP adalah seperti berikut: (1) Every person has the right to profess and practise his religion and, subject to Clause (4), to propagate it. (2) No person shall be compelled to pay any tax the proceeds of which are specially allocated in whole or in part for the purposes of a religion other than his own. (3) Every religious group has the right: (a) to manage its own religious affairs; (b) to establish and maintain institutions for religious or charitable purposes; and (c) to acquire and own property and hold and administer it in accordance with law. (4) State law and in respect of the Federal Territories of Kuala Lumpur, Labuan and Putrajaya, federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam. (5) This Article does not authorize any act contrary to any general law relating to public order, public health or morality. 17.2. Apa yang jelas dalam Perkara 11 itu ialah penggunaan perkataan-perkataan "… right to profess and practice his religion ..." Seperti yang dikatakan oleh Abdul Hamid Mohamad HMR (ketika itu) dalam kes Kamariah bte Ali lwn. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia [2002] 3 CLJ 766: "kata-kata ‘has the right’ itu terpakai kepada ‘profess’ dan juga ‘practice’". Mengikut kes Che Omar bin Che Soh v. Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55. Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman. Dan jika diteliti Perkara-Perkara 11(1), 74(2) dan item 1 di senarai 2 dalam Jadual 9 PP akan ketara bahawa Islam itu meliputi antara lainnya undang-undang Islam. Justeru itu, seperti yang dihujahkan oleh peguam terpelajar Malaysian Muslim Lawyers Association pemerhati diarah (watching brief), jika seseorang Muslim ingin keluar dari agama Islam, dia sebenarnya menggunakan haknya di dalam konteks undang-undang syariah yang mempunyai jurisprudennya sendiri mengenai isu murtad. Jika seseorang menganuti dan mengamalkan agama Islam, sudah tentulah itu bererti dianya hendaklah mengikuti undang-undang Islam yang menetapkan cara memasuki Islam dan juga cara keluar dari agama Islam. Itulah ertinya menganuti dan mengamal Islam. Dan apa yang telah dilakukan oleh pegawai JPN adalah hanya semata-mata untuk menentukan Perayu bukan lagi beragama Islam secara yang ditetapkan oleh Islam. Justeru itu, saya tidak nampak bagaimana tindakan itu boleh dikatakan bertentangan dengan Perkara 11(1) yang dengan sendirinya memperuntukkan keperluan mematuhi kehendak-kehendak agama itu sebelum dia keluar dari agama Islam. Menganuti dan mengamalkan agama Islam sudah tentu bererti mengamalkan bukan saja aspek teologi dalam agama itu tapi juga undang-undang agama itu. 17.3 Perayu dalam kes Kamariah (supra) menghujahkan bahawa Perkara 11 itu bukan sahaja memberinya kebebasan untuk menganuti mana-mana agama, tetapi juga untuk keluar dari mana-mana agama. Perayu menyatakan bahawa undang-undang tidak boleh menghalangnya berbuat demikian. Undang-undang mengikut perayu, tidak boleh memerlukan dia mengikut sesuatu peraturan sama ada untuk memeluk atau keluar dari sesuatu agama. Undang-undang seperti itu, ujar perayu, adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan oleh itu tidak sah dan batal. Seksyen 102 Enakmen 1994 Kelantan, kata perayu, menghalang seorang Muslim mengakui bahawa dia bukan Islam melainkan dia telah dapat pengesahan Mahkamah. Ini, kata perayu, adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan kerana itu tidak sah dan batal. 17.4 Atas hujah perayu ini, Abdul Hamid Mohamad, HMR dalam kes Kamariah kata: Jika itulah makna peruntukan itu maka bukan sahaja undang-undang yang menetapkan cara untuk seseorang itu memeluk agama Islam dan keluar dari agama Islam tidak sah malah undang-undang yang menjadikan suatu kesalahan jika seorang Islam itu berzina, berkhalwat, tidak membayar zakat dan lain-lain itu juga semuanya tidak sah. Sebab, mengikut hujah itu, perkara 11 memberi hak kepada seseorang itu untuk mengamalkan agamanya, maka terserahlah kepadanya sama ada dia hendak mengamal mana-mana suruhan yang dia hendak amalkan dan mana yang tidak, mematuhi mana-mana larangan yang dia hendak patuhi dan mana yang tidak. Oleh itu, mengikut hujah itu, sebarang undang-undang yang menghendaki seseorang itu melakukan sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara adalah bercanggah dengan kebebasan yang diberi oleh perkara 11 dan oleh itu tidak sah semuanya. Pada pandangan saya, berkaitan dengan agama Islam (saya tidak memutuskan mengenai agama-agama lain), Perkara 11 tidaklah boleh ditafsirkan sebegitu luas sehingga ia membatalkan semua undang-undang yang menghendaki seseorang Islam itu mengerjakan sesuatu kewajipan agama Islam atau melarang mereka melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh agama Islam atau yang menetapkan acara bagi melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Ini kerana kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ (‘the religion of the Federation’) – Perkara 3(1). Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’). Selaras dengan kehendak Senarai II itu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (‘Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965’) [*666] (‘Akta 355/1965’) dan berbagai-bagai enakmen (untuk Negeri-Negeri) termasuk yang disebut dalam penghakiman ini, telah dikanunkan. Maka, jika undang-undang itu, termasuk s. 102 Enakmen 4/1994, tidak bercanggah dengan peruntukan Senarai II, dan tidak bercanggah pula dengan peruntukan-peruntukan Akta 355/1965, maka ia adalah undang-undang yang sah. Peruntukan ini bolehlah dibandingkan dengan peruntukan-peruntukan mengenai nikah dan cerai. Hukum Syarak menghendaki seorang lelaki dan seorang perempuan yang hendak bersekedudukan supaya bernikah mengikut syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu. Keperluan semasa memerlukan undang-undang dibuat mengenainya, termasuk, antara lain, menghendaki nikah itu didaftarkan dan permohonan untuk bercerai dibuat di Mahkamah Syariah dan perintah yang diberi, jika diberi, didaftarkan (bagi saya undang-undang yang terakhir disebut ini yang kerapkali dipanggil ‘undang-undang pentadbiran’ itu, adalah sebahagian daripada pembangunan (development) Hukum Syarak juga). Adakah undang-undang itu juga tidak sah dan batal atas alasan ia bercanggah dengan perkara 11 kerana, mengikut hujah itu, ia menghalang kebebasan beragama yang dijamin oleh perkara 11? Pada pandangan saya tidak. 17.5. Berasaskan otoriti-otoriti tersebut di atas ketara sekali bahawa: (a) Isu pertukaran agama ini adalah secara langsungnya berkait dengan hak-hak dan kewajipan-kewajipan perayu sebagai seorang Muslim sebelum pertukaran itu berlaku; (b) Perkara 11(1) tidak wajar dihujahkan sebagai peruntukan yang memberi hak kebebasan yang tiada berbatas; (c) Hak untuk menganut dan mengamalkan sesuatu agama hendaklah selalunya tertakluk kepada prinsip-prinsip dan amalan-amalan yang ditentukan oleh agama itu. [18] Berasaskan taakulan-taakulan yang dihuraikan di atas jawapan-jawapan saya kepada soalan-soalan tersebut di perenggan (1) di atas adalah seperti berikut: (a) JPN berhak; (b) JPN betul; dan (c) Kes Soon Singh telah diputuskan dengan betulnya. Dalam keadaan sedemikian, rayuan ini adalah ditolak tanpa perintah atas kos.
Alauddin Mohd Sheriff HMP: [108] Saya telah berpeluang meneliti penghakiman-penghakiman YAA Ketua Hakim Negara dan YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan saya bersetuju dengan alasan-alasan dan keputusan yang telah dikemukakan oleh YAA Ketua Hakim Negara.
|
||||||||||||
|
||||||||||||