akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Parlimen

   
 

 

Sedutan Handsard Parlimen - Sidang Dewan Rakyat pada 14/5/2008.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak apa, Yang Berhormat. Duduk dulu, nanti tanya lagi. Ada lagi banyak ruang dan peluang, Yang Berhormat. Sila duduk. Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih. Sila Menteri Pertahanan.

4.30 ptg.

Menteri Pertahanan [Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak]: Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua  kerana memberi penjelasan mengenai kelewatan saya sedikit dalam Dewan ini, kerana saya sudah lama menunggu sebenarnya. Saya terpaksa keluar sekejap. Tidak usahlah besarkan sangat perkara ini… [Disampuk]

Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya mengucap terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan perkara-perkara di bawah bidang tugas Kementerian Pertahanan semasa membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya akan menjelaskan perkara-perkara yang telah dibangkitkan. Isu pertama yang saya ingin sentuh adalah berkaitan dakwaan rasuah dalam perolehan kapal selam Scorpene – dua buah dan pesawat pejuang Sukhoi – 18 buah. Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh ini, adalah tidak berasas sama sekali… [Tepuk] Di sini pihak Kementerian Pertahanan ingin memaklumkan bahawa pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia, dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan negara.

Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga. Setelah penilaian yang teliti dibuat, demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM. Selain itu rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara, bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan. Saya ingin menegaskan di Dewan yang mulia ini, bahawa kaedah perolehan kelengkapan ATM yang dibangkitkan, telah dilaksanakan mengikut tatacara perolehan kerajaan.

Sehubungan dengan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh bahawa Syarikat Premica Sdn. Bhd. menerima komisen Euro114.96 juta atau RM530 juta berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene. Kementerian Pertahanan menegaskan, bahawa kerajaan tidak ada dan tidak pernah membayar sebarang komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung, kepada syarikat berkenaan…

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Menteri.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Perolehan kapal selam tersebut... Boleh saya habiskan? Kemudian saya bagi. Perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan, dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing. Kontrak perolehan kapal selam ini telah ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh Kerajaan Malaysia dengan Syarikat DCNS Perancis dan Syarikat Navatia Sepanyol selaku pembekal kapal selam dan Premica Sdn. Bhd. sebagai project service provider, dengan izin,Tuan Yang di-Pertua. Nilai kontrak ini ialah kesemuanya Euro1.84 bilion. Skop kontrak ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama, antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat DCNS Perancis dan Navatia Sepanyol merangkumi perolehan dua buah kapal selam jenis Scorpene Package Integrated Logistic Support dan latihan untuk warga kapal selam Scorpene. Nilai bahagian ini ialah Euro999.15 juta. Bahagian kedua, antara Kerajaan Malaysia dengan Premica Sdn. Bhd. merangkumi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada pasukan projek kapal selam TLDM di Shcherbugh, Perancis dan Catagena, Sepanyol serta pelatih-pelatih kapal selam di Brass, Perancis. Nilai bahagian ini ialah Euro114.96 juta. Kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan Syarikat Premica Sdn. Bhd. Syarikat Premica Sdn. Bhd. yang didakwa terlibat dalam pembelian dan menerima komisen sebenarnya diberi kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan atau service provider dan koordinasi untuk tempoh enam tahun. Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan, manakala perbelanjaan di luar jangka atau cost overrun dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun, serta melibatkan bilangan seramai 213 anggota yang terdiri daripada pegawai dan pelatih. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak Euro114.96 juta yang dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan projek kapal selam. Sehingga kini sebanyak Euro95.54 juta atau 83.11% telah dibayar kepada syarikat tersebut. Untuk makluman, kapal selam pertama iaitu KD Tuanku Abdul Rahman telah siap dibina dan sedang menjalani ujian laut ataupun supply sea internal trial, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua. Kapal selam pertama ini perlu menjalani beberapa lagi ujian sebelum ianya diserahkan kepada TLDM, dijangka pada 25 Januari 2009. Dari segi peratus pembinaan kapal selam ini telah mencapai 88.4%, manakala kapal selam kedua telah dipasang dengan semua peralatan dan sistem. Kini pembekal sedang giat membuat ujian ataupun harbor acceptance trial dan integrasi sistem. Dari segi peratus pembinaan, kapal selam ini telah mencapai 81%. Ianya akan diserahkan kepada TLDM pada 25 Oktober 2009. Syarikat Premica Sdn. Bhd. adalah dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera atau LTAT Boustead Holdings Berhad dan KS Ombak Laut Sdn. Bhd. Perkhidmatan sokongan dan koordinasi yang disediakan adalah seperti berikut:

Skop kerja perkhidmatan sokongan:

(i) menyediakan kemudahan kediaman berserta kelengkapan untuk team project bagi 27 keluarga pegawai di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun;

(ii) menyediakan pejabat urusan dan kediaman berserta kelengkapan bagi krew kapal TLDM seramai 156 orang dan 30 staf penyelenggaraan pangkalan untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol;

(iii) menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga team project dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol;

(iv) membayar elaun-elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak Euro50 sehari untuk tiga tahun pertama dan Euro60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua;

(v) membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia bagi setiap empat bulan atau tiga kali setahun; dan

(vi) lain-lain keperluan team project dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Bagi skop kerja perkhidmatan koordinasi pula bertanggungjawab:

(i) memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set;

(ii) membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung pelaksanaan kontrak;

(iii) menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan; dan

(iv) menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

􀂃 1640

Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pertahanan. Nampak gayanya macam semuanya... , pembelian kapal selam Scorpene ini yang berharga begitu mahal boleh diberi jawapan seperti mana yang telah diberikan, tetapi saya ingin penjelasan daripada Yang Amat Berhormat mengenai pembelian tiga buah kapal selam ini kalau dibandingkan menurut sumber majalah pertahanan antarabangsa James Defence Weekly, Perancis telah menjual kapal ini kepada Chile, India dan Malaysia dengan harga yang berbeza. Chile pada kontrak tahun 1997 membeli dua buah dengan harga USD250 juta sebuah berbanding dengan India kontrak tahun 2005 membeli enam buah dengan harga USD540 juta sebuah. Malaysia kontrak pada tahun 2002 membeli

dua buah kapal selam ini dengan harga RM580 juta sebuah. Mengenai penjualan Scorpene kepada India menurut satu rencana James Defence Weekly terbitan 17 Ogos 2007, harga USD540 juta ini ditawarkan kepada India termasuk penalty fee. Kemudiannya menurut James Navy International edisi 23 September 2007, Perancis bersetuju membatalkan penalty fee tersebut. Maka dengan itu harga sebuah kapal selam Scorpene yang dijual kepada India sebenarnya ialah hanya USD400 juta sebuah.

Manakala menurut kontrak penjualan kapal selam tersebut dengan Malaysia...[Bercakap dengan nada perlahan] ...Gemilang dan terbilang. Perancis menjual dua buah kapal selam tersebut Scorpene dengan harga USD580 juta sebuah dengan pakej yang hanya menawarkan program latihan yang telah disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri dengan menggunakan kapal selam jenis Agosta 70 secara percuma kepada kelasi-kelasi TLDM. Apakah yang telah disebutkan tadi itu termasuk juga tetapi ini dikatakan percuma. Amat nyata bahawa terdapat tawaran harga yang berbeza antara Malaysia, Chile dan India. Saya ingin penjelasan mengapakah kita harus membayar harga sebuah kapal selam Scorpene dengan kadar harga yang lebih tinggi. Apakah keistimewaannya? What we are

paying for, apakah yang kita bayar? Ini duit rakyat. Berbanding Chile kita terpaksa membayar melebihi dua kali ganda iaitu melebihi UDS230 juta. Bagi dua buah kapal selam Scorpene kita membayar melebihi USD460 juta. Manakala berbanding dengan India yang menjalinkan kontrak tiga tahun kemudian, kalau dikatakan dulu Chile beli pada tahun 1997 dan kita beli pada tahun 2002, tetapi India yang beli pada tahun 2005, kita masih membayar melebihi USD180 juta bagi sebuah kapal selam Scorpene. Dengan demikian kita terpaksa membayar melebihi USD360 juta berbanding dengan India. Tidakkah ini petanda bahawa terdapat hanky panky, dengan izin dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene yang memerlukan penyiasatan rapi menerusi penubuhan satu suruhanjaya bebas? Saya hendak bertanya juga, tidak termasuk dalam apa Yang Amat Berhormat Menteri telah mengatakan mana-mana kapal selam adalah memerlukan maintenance. Apakah maintenance ini termasuk dalam package ataupun mesti ditawarkan kepada company, syarikat-syarikat lain untuk menjaga maintenance ini. Terima kasih.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.  Nampaknya Ahli Yang Berhormat dari Permatang Pauh ini telah membuat researchnya. Namun sebenarnya apabila kita membuat perbandingan ini kita mesti bandingkan apple to apple, dengan izin Tuan Yang di-Pertua. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang dalam kontrak sebenarnya sebab komponennya berbeza, Tuan Yang di-Pertua, ada komponen kapal selam, ada komponen integrated logistical support dan ada komponen latihan. Dalam kes Malaysia ini kita ada komponen kapal selam secondhand yang walaupun percuma tetapi kita terpaksa refurbish. Itu menelan kos walaupun kita dapat free.Saya tidak ragu bahawa harga yang kita beli ini memang kompetitif, lebih-lebih lagi kerana Syarikat Amaris ini ialah kepunyaan Kerajaan Perancis, ia bukan swasta. Jadi, walaupun kita beli melalui Syarikat Amaris hakikatnya kita beli melalui syarikat Kerajaan Perancis. Lagi pun kapal selam kita ada ciri-ciri yang berbeza dengan kapal selam yang ditempah oleh negara lain sebab ada kemampuan tertentu yang lebih canggih yang saya tidak perlu sebutkan di sini kerana ia merupakan unsur keselamatan. Namun yakinlah bahawa kita telah membayar harga yang munasabah. Cuma yang saya rasa ralat sekali sebab Euro telah menjadi terlalu kuat. Waktu kita beli nilai bagi satu Euro RM3.20 pada masa itu, sekarang ini sudah jadi RM5.60. Ini di luar dugaan kerajaan sama sekali tetapi dari segi kemampuan kapal selam konvensional Scorpene adalah yang terbaik di dunia. Banyak negara lain telah menempah dan banyak lagi negara lain yang berminat untuk membeli kapal selam Scorpene ini...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, minta laluan. Penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya percaya Yang Amat Berhormat menyedari bahawa tuduhan yang mengatakan ada pihak menerima rasuah ataupun berlaku hanky panky dalam pembelian dua kapal selam ini sudah hampir dua tahun yang lalu dan terlalu banyak yang disiarkan dalam akhbar-akhbar mingguan, dalam ceramah-ceramah parti pembangkang. Jadi, cara yang terbaik apakah Yang Amat Berhormat bercadang untuk mengambil paling tidak tindakan civil suit terhadap mereka yang membuat tuduhan ini. Kalau tidak mahu menubuhkan suruhanjaya bebas bagi membersihkan tuduhan ini buat once and for all sebab saya percaya kalau tidak ia akan berterusan iaitu secara yang paling baik. Ini kerana kaset-kaset atau tape, ucapan yang membuat tuduhan ini berselerak di masjid-masjid dan tempat-tempat awam yang boleh didapati untuk diambil tindakan sebagai tanda bukti. Terima kasih.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, itu mainan politik. Bila saya berikan jawapan ini saya berharap jawapan ini akan dapat liputan yang meluas. Pokoknya yang dikatakan komisen sebanyak USD530 juta itu ialah nilai kerja yang diberikan kepada..., atas kerja khidmat sokongan bukan komisen tetapi dipusingkan sebagai komisen. Ini dia yang saya katakan mainan politik. Tuan Yang di-Pertua...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Mohon penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum ada lagi yang minta penjelasan saya suka ingatkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa kita ada 25 lagi kementerian yang menjawab dan kita cuma ada hari ini, esok dan Selasa. Jadi, kalau setiap kementerian itu mengambil masa satu jam bermakna kita ada 27 jam. Kalaulah apa yang ada di dalam dada masing-masing itu tidak betul eronta-ronta demi untuk kebaikan bersama, jangan keluarkan, lain kali kita boleh keluarkan. Satu lagi, saya tidak suka mengambil masa Ahli Yang Berhormat. Saya cukup kagum apabila Ketua Pembangkang bertanya dengan begitu berhemah dan dengan research yang dibuat, serta jawapan daripada Menteri Pertahanan pun cukup halus dan tidak payahlah kita berteriak-teriak lain kali. Jadi ambil itu sebagai iktibar, jangan kita menghabiskan masa. Sila Yang Berhormat Batu Pahat.

1650

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Saya ingin membangkitkan tentang latihan kepada pegawai-pegawai tentera kita. Saya ingin tahu dalam proses latihan tersebut adakah terdapat kes pegawai-pegawai ini yang gagal dan terpaksa dihantar pulang? Kedua, apakah ada latihan dari segi maintenance diberikan kepada pegawai-pegawai TLDM ini? Supaya mereka juga mendapat, dipindahkan teknologi dari segi maintenance kepada pegawai-pegawai ini. Satu lagi ialah apakah benar dakwaan yang dibawa oleh pembangkang bahawa kapal ini sebenarnya tidak sesuai dengan perairan di negara kita?

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan [Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji  Abdul Razak]: Tuan Yang di-Pertua, latihan yang dikenakan dari segi mutu latihannya, tahap kemampuan setiap pelatih ini, ia mesti mencecah tahap yang sangat tinggi bukan sahaja dari segi kemahiran tapi dari segi kemampuan fizikal, kemampuan psikologi dan sebagainya. Atas sebab itu ada juga, tapi bilangannya kecil yang tidak berjaya dalam latihan ini. Kita tidak kompromi sama sekali dari segi standard, Tuan Yang di-Pertua. Yang kedua, dari segi latihan, memang termasuk juga latihan first line maintenance tapi maintenance yang sebenarnya hanya boleh dibuat oleh sebuah shipyard yang bertauliah. Ini kita akan tentukan kemudian. Yang ketiga, dari segi apa yang disebutkan tentang kesesuaian kapal selam ini, kapal selam ini amat sesuai digunakan di perairan kita melainkan kalau air itu terlalu cetek, dia tidak boleh digunakan tapi kebanyakan kawasan yang kita anggap sebagai kawasan strategik kita seperti Laut China Selatan dan sebagainya memang amat sesuai digunakan kapal selam Scorpene.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Minta penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Ipoh Timur.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Minta penjelasan, ya. Kita di sini tidak mahu main politik lah. Kita mahu tahu kebenaran sahaja, mahu dapat kebenaran sahaja. Bukan sahaja mengenai isu pembelian kapal selam dan isu harga berpatutan. Kedua mengenai integritinya dan khasnya penglibatan Syarikat Perimekar dan orang-orang kanan Yang Amat Berhormat dalam isu ini, Abdul Razak Baginda. Kita mahu tahu kenapa ini boleh berlaku? Dalam Parlimen yang lepas, soalan ini ada dikemukakan. Timbalan Menteri Pertahanan masa itu ada memberi jawapan bahawa pembayaran komisen RM530 juta bukan dalam pengetahuan kerajaan. Ini dibuat oleh syarikat-syarikat Perancis dan Sepanyol tetapi tadi nampaknya Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pertahanan sudah embrace pembayaran ini dan memberikan sebab-sebab pembayaran itu. Itu adalah satu percanggahan. Adakah ini dalam pengetahuan dengan persetujuan Kerajaan Malaysia atau tidak? Yang ketiga, oleh kerana tuduhan-tuduhan yang ada dibuat ada bersangkut paut dengan reputasi Yang Amat Berhormat Menteri Pertahanan mengenai deal ini, adakah Yang Amat Berhormat rela untuk memberi satu teladan yang baik dengan mengadakan satu Suruhanjaya Diraja untuk membersihkan nama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri khasnya oleh kerana orang kanan yang terlibat, pun ada terlibat dalam satu perbicaraan yang kita tidak mahu bincang di sini. Perbicaraan itu mengenai pembunuhan Altantuya Shariibuu yang pun ada terikat dengan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Bukankah satu Suruhanjaya Diraja yang bebas boleh membersihkan nama baik Yang Amat Berhormat yang shall hold atau menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, saya nak...

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Connection sekali.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ...Saya hendak jelaskan bahawa jawapan saya ini ialah jawapan yang sebenarnya. Jawapan Timbalan Menteri itu, apa yang dimaksudkan ialah RM530 juta itu bukan komisen tapi bayaran kepada syarikat yang berkenaan atas kerjanya sebagai service provider. Jadi inilah dan syarikat ini is apa orang kata, going concern, Tuan Yang di-Pertua dan siapa pun boleh minta laporan syarikat ini. Syarikat ini diaudit oleh juruaudit dan sebagainya. Jadi tidak ada apa-apa yang harus dikhuatiri dalam soal ini. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak pindah kepada...

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Mohon penjelasan.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ....Pindahlah....

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Pontian mohon penjelasan.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Kalau ada apa-apa pun, kita ada agensi dan secukupnya buat siasatan. Tak payah lah setiap perkara hendak Royal Commission, Royal Commission dan sebagainya...

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Pontian mohon penjelasan.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Pontian mohon penjelasan.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ..Kaitan..

Tuan Yang di-Pertua: Ya, dia punya floor..

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya..

Tuan Yang di-Pertua: Yang Amat Berhormat punya floor.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Hendak pindah kepada subjek lain. Nanti kemudian ya, kemudian. Saya hendak pindah lah, terlalu lama, panjang sangat.

Tuan Yang di-Pertua: Saudara cukuplah, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang

Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat yang tadi Ketua Pembangkang itu pun soalan dia bagi

saya adalah sama iaitu perbezaan harga, lepas itu...

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Yang ini lain, lain, Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Saya rasa penjelasan sudah

cukup jelas bagi kita ya. Ini... [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Ya. Ini floor dia sama ada dia mahu kasi..

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tuan Yang di-Pertua, ini bukan forum Rembau.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: ..Cukup jelas.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Saya minta laluan daripada Timbalan Perdana Menteri.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Tuan Yang di-Pertua, dia hendak bangkitkan benda yang sama.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, baru juga tadi saya kata bahawa kalaupun kita berbahas dengan cara baik semua mesej boleh disampaikan.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Dia tidak hendak bagi laluan kepada Timbalan Perdana Menteri, Yang Berhormat Gombak?

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Duduklah.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, semua duduk, semua duduk dulu. Semua duduk dulu Ahli-ahli Yang Berhormat. Semua duduk.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Saya hendak minta...

Tuan Yang di-Pertua: Semua duduk dulu.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Dia mesti duduk dulu., Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Semua duduk dulu.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Okey, terima kasih.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Duduk,duduk,duduk.

Tuan Yang di-Pertua: Duduk dulu, Rembau, semua duduk. Apabila dalam perbahasan begini, sesiapa saja yang sedang bercakap bermakna yang bercakap itu holding the floor. Kalau ada sesiapa Yang Berhormat yang mahu penjelasan, apabila yang holding the floor itu tidak mahu memberi laluan, itu hak dia. Jadi, janganlah umpamanya hak orang lain itu, Ahli-ahli Yang Berhormat ambil kerana Ahli-ahli Yang Berhormat juga tidak mahu hak kamu diambil. Jadi, terpaksa saya tegaskan bahawa oleh kerana menteri yang berkenaan mahu kepada tajuk lain, dia tidak kasi laluan kepada tajuk yang diminta itu maka itu hak dia. Hormatilah itu, apabila kita hormat semua, ini semua...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tak faham-faham juga.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Salak, tolonglah. Jangan lagi ada celahan-celahan begini. Jangan ada celahan-celahan nanti Ahli-ahli Yang Berhormat juga nanti akan bangkitkan peraturan mesyuarat. Macam mana peraturan mesyuarat kamu berlindung kalau kamu tidak patuhi peraturan mesyuarat.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta maaf...

Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: ...Minta maaf Tuan Yang di-

Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, sila, sila.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tuan Yang di-Pertua, boleh tak minta laluan...

Tuan Yang di-Pertua: Dia tidak kasi jalan.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ..Tentang perolehan

pesawat pejuang Sukhoi pula...

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: ..Please.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ...Kementerian Pertahanan...

Tuan Yang di-Pertua: Tolonglah.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Menegaskan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan yang terus dengan Kerajaan Rusia melalui Syarikat Rosoboronexport iaitu sebuah syarikat milik Kerajaan Rusia. Rundingan ini adalah selari dengan ketetapan Kerajaan Rusia yang mempunyai dasar bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Syarikat IMT Defence Sendirian Berhad adalah wakil tunggal Syarikat Rosoboronexport di Malaysia yang dilantik oleh pihak syarikat Rusia tersebut bukan oleh Kerajaan Malaysia. Kerajaan tidak mencampuri urusan perniagaan di antara kedua-dua syarikat tersebut. Justeru itu, saya menegaskan bahawa kerajaan tidak membayar sebarang komisen kepada Syarikat IMT Defence Sendirian Berhad seperti yang didakwa. Tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa kerajaan telah membayar komisen bagi belian kapal selam dan Sukhoi adalah tidak benar dan satu rekaan yang diatur secara berterusan ataupun concerted, dengan izin, demi kepentingan politik mereka untuk mengelirukan rakyat.

▪1700

Isu komisen yang ada-adakan ini adalah sangat jelas, direka, dimanipulasikan dan sengaja disalah ertikan oleh pembangkang sehingga mereka tidak pernah menghiraukan kesan-kesan buruk terhadap imej ATM dan keselamatan negara. Ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan untuk menegakkan kebenaran... [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat bagi Permatang Pauh juga ada mendakwa ada unsur rasuah dan pembaziran di dalam kontrak perolehan. 27 buah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia yang diberikan kepada syarikat PSC Naval Dockyard. Saya ingin memaklumkan bahawa syarikat PSC Naval Dockyard telah diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan untuk TLDM selama 15 tahun di samping mereka bentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara dengan menggunakan kemudahan-kemudahan  infrastruktur yang ada dalam negara serta menjadi pemangkin kepada perkembangan teknologi dan industri berat. Ianya menyediakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada vendor. Di bawah kontrak awal yang diberikan pada 11 Disember 1995 kepada PSC Naval Dockyard kerajaan membuat tempatan enam buah kapal peronda dengan nilai kontrak sebanyak RM5.35 bilion yang sepatutnya siap di antara September 2004 hingga April 2007. Namun begitu, PSC Naval Dockyard tidak dapat memenuhi syarat kontrak dan hanya dua

buah kapal peronda sahaja yang hampir siap pada tahun 2006. Memandangkan kegagalan pengurusan PSC Naval Dockyard untuk menjayakan kontrak ini kerajaan terpaksa meneruskan projek berkenaan dengan pihak LTAT dengan mengambil alih syarikat PSC Naval Dockyard bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar termasuk usaha untuk membentuk industri maritim yang berdaya maju. Berikutan dengan pengambilan alih oleh kumpulan LTAT syarikat ini ditukar nama pada Booster Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Tuan Yang di-Pertua, sejajar dgn keputusan ini kerajaan memberi kelulusan kenaikan nilai kontrak dari RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion iaitu peningkatan RM1.4 bilion. Ini bagi memastikan pembinaan kesemua enam buah kapal peronda berjalan dengan lancar bagi mengatasi segala keperluan teknikal kapal-kapal tersebut. Kenaikan nilai kontrak ini adalah juga disebabkan kenaikan kos termasuk kos bahan mentah dan peningkatan kadar mata wang Euro yang amat ketara di antara tahun 2000 hingga 2007.

Saya juga ingin menegaskan bahawa bayaran yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan adalah berasaskan kepada jadual siap kerja bagi keenam-enam kapal yang dibina serentak. Sehubungan dengan pengecualian penalti kerajaan bersetuju dengan rayuan yang dibuat oleh Booster Naval Shipyard Sdn. Bhd. Bahawa jika penalti dikenakan ianya tidak setimpal dengan usaha syarikat menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal tersebut...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat Permatang Pauh berdiri.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih Menteri Pertahanan.

Saya hendak tanya kerana ini adalah laporan daripada Audit Negara, bukan di ambil atau direka mana-mana dan kalaulah syarikat yang telah diberikan amanah itu tidak boleh dibuat tugas-tugas dan kenapakah ditukarnya nama dikatanya tidak boleh bayar penaltinya, kerajaan yang rugi. Apakah tidak dilihatkan semua ini dan apakah kriteria untuk memilih syarikat pada mula-mulanya? Kalau dikatakan bahawa syarikat itu tidak dapat membuatnya dan apa yang sudah siap dua kapal itu ada berapa banyak fault dalam kapal yang telah dibina itu. Ini dalam laporan audit, bukan saya reka cerita. Terima kasih.

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Tidak ada kaitan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pontian ada kaitan dengan Permatang Pauh? Soalan.

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Tadi Yang Amat Berhormat menyatakan bahawa penswastaan PSC Naval Dockyard diluluskan pada 11 Disember tahun 1995. Kita tahu bahawa tidak ada satu penswastaan pun di Malaysia ini tanpa kelulusan daripada Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan. Saya ingin soalan pendek sahaja, siapakah Menteri Kewangan pada ketika itu?... [Tepuk]

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua,

Beberapa Ahli Barisan Nasional: Jawab...jawab...

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, tolong senyap.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat... [Dewan Riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat sudahlah. Kita mahu mendengar fakta yang sebenar.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salahkan semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Minta laluan, minta laluan.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya hendak teruskan.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sedikit sahaja laluan.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tidak apa, saya sudah bagi.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Jawapan tadi politik itu, ini kita

cakap yang sebenar.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya hendak teruskan.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat...

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Minta laluan Yang Berhormat.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya ada floor.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Sila menghormati floor, duduk.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya hendak teruskan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat bagi Machang, Yang Berhormat bagi

Padang Serai...

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Yang Berhormat bagi Padang

Serai duduk, Yang Berhormat bagi Padang Serai duduk.

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Perasan PM kah?...[Ketawa]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat. Bukankah semua Ahli-ahli Yang Berhormat di sini datang amanah rakyat. Kita dengar jawapan yang baik, soalan daripada sebelah pun saya hendak dengar yang baik. Bukan berteriak-teriak. Sudahlah yang ceramah itu sudahlah, pilihan raya baru juga selesai, kita akan adakan pilihan raya lagi yang akan datang. Ini bukan lagi ceramah politik, ini kita mahu dengar suara-suara amanah rakyat. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat bagi Bagan bertanya mengapa harga pembelian pesawat Sukhoi lebih mahal berbanding dengan pesawat Sukhoi yang dibeli oleh negara India. Secara prinsipnya harga pesawat Shukoi yang ditawarkan oleh pihak Rusia kepada Malaysia tidak banyak berbeza seperti yang ditawarkan kepada pihak India. Kerajaan sebelum memuktamadkan harga dengan pihak Rusia berhubung perolehan tersebut telah membuat kajian termasuk membuat perbandingan harga dengan pihak tentera udara India. Perbezaan harga secara keseluruhannya hanyalah tertumpu kepada perkara-perkara berikut. Pertama, konfigurasi pesawat yang berbeza, negara India banyak menggunakan teknologi Israel bagi sistem avioniknya berbanding dengan Malaysia yang menggunakan teknologi Perancis. Ini bermakna kos integrasi tidak sama. Bilangan pesawat yang dibeli juga tidak sama di mana kuantiti yang dibeli oleh Malaysia adalah hanya 18 buah berbanding dengan 180 buah oleh pihak India dan daripada jumlah tersebut sebanyak 140 buah dibuat di India. Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat bagi Batu membangkitkan soalan mengapakah Kementerian Pertahanan tidak membenarkan negara Iran meneruskan penyertaan pameran DSA pada 21 hingga 24 April tahun ini? Adakah tindakan ini menunjukkan negara kita sebuah negara yang berdaulat dan bebas dari pengaruh barat?

Tuan Yang di-Pertua, tindakan Kementerian Pertahanan melarang Iran dari menyertai DSA 2008 sebenarnya tidak kena mengena dengan pengaruh negara Barat. Iran pada awalnya dibenarkan menyertai pameran dengan syarat mereka mempamerkan barangan yang tidak tersenarai dalam resolusi-resolusi majlis keselamatan PBB. Hanya selepas Iran bersetuju mematuhi syarat ini, mereka dibenarkan. Walau bagaimanapun Iran didapati melanggar syarat ini dan kementerian terpaksa menamatkan penyertaan mereka. Untuk makluman Dewan yang mulia ini resolusi-resolusi 1737, 1747 dan 1803 melarang Iran melakukan sebarang bentuk perdagangan senjata atau membawa senjata ke

negara ketiga. Ahli Yang Berhormat bagi Batu juga bertanya sama ada kementerian Pertahanan akan mengkaji semula formula meningkatkan keselamatan pelatih-pelatih PLKN berdasarkan beberapa kes kematian, kecederaan, kemalangan sejak program ini dijalankan.

Tuan Yang di-Pertua, sejak PLKN dilaksanakan pada tahun 2004, adalah tidak dinafikan beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku melibatkan keselamatan pelatih. Setiap kali saya menerima berita kematian pelatih PLKN, hati saya amat tersentuh dan sedih atas kejadian yang tidak diingini.

1710

Namun demikian, usaha murni kita untuk menjayakan matlamat asal program PLKN bagi membina jati diri pelatih melalui aktiviti di kem-kem harus dilihat secara positif dan membina. Bagi mencapai matlamat membina bangsa Malaysia yang kuat, bersatu padu, mengamalkan nila-nilai murni serta menghormati antara satu sama lain, saling bekerja sama ke arah membina negara Malaysia yang lebih cemerlang maka kita akan terus menjayakan Program Khidmat Negara ini....

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bangun]

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memaklumkan bahawa setakat ini 16 pelatih PLKN atau 0.004% telah meninggal dunia dari jumlah keseluruhan pelatih semenjak tahun 2004 iaitu seramai 339,186 orang. Dari jumlah tersebut, 11 pelatih meninggal di kem latihan dan lima pelatih meninggal di luar kem yakni waktu cuti. Pelatih yang meninggal dunia di dalam kem, tujuh darinya adalah disebabkan oleh penyakit dan empat akibat kemalangan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memaklumkan bahawa penerimaan rakyat terhadap program ini amat menggalakkan walaupun terdapat kes-kes tersebut. Bukti keyakinan rakyat dapat dilihat....

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Gajah bangun tadi.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Bukti keyakinan rakyat dapat dilihat dari jumlah permohonan secara sukarela telah meningkat dari 929 orang pada tahun 2007 kepada 1,137 orang pada tahun 2008. Namun begitu JLKN sentiasa berusaha untuk melaksanakan penambahbaikan bagi membendung kejadian-kejadian seperti ini. Formula keselamatan yang diberi fokus oleh JLKN adalah melalui pembangunan sumber manusia dengan memberi penekanan di atas aspek pemilihan jurulatih yang sesuai, pembangunan jurulatih melalui latihan persijilan, penerapan nilai-nilai murni dan etika program kejurulatihan yang bersistematik. Di samping itu, aspek keselamatan prasarana dan kemudahan latihan turut juga diberi perhatian melalui pemeriksaan berkala oleh pegawai Jabatan Kesihatan dan juru perunding yang bertauliah. Untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di setiap kem, JLKN telah menempatkan seorang jurulatih dari PDRM. JLKN juga sentiasa memantau spesifikasi kontrak terhadap aspek-aspek keselamatan yang perlu dipatuhi oleh pengusaha kem. Di samping itu pengauditan keselamatan dan kemudahan latihan dilaksanakan oleh NIOSH dan team inspectorate jabatan. Dalam aspek kesihatan dan kebajikan, seramai lima orang kakitangan Kementerian Kesihatan dan dibantu oleh dua orang Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia di tempatkan di setiap kem PLKN. Bekalan peralatan dan perubatan yang mencukupi bagi sepanjang tempoh latihan juga disediakan. Bagi melicinkan pergerakan pesakit ke hospital, sebuah ambulans ditempatkan di setiap kem. Untuk tujuan penyaluran maklumat dan pemantauan yang berkesan di antara ibu pejabat dan kem-kem di seluruh negara, bilik gerakan JLKN berfungsi 24 jam.

Walaupun formula-formula di atas telah dilaksanakan, JLKN tetap berusaha meningkatkan lagi di mana kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan setiap pelatih menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui status kesihatan pelatih sebelum memasuki kem-kem PLKN.

Tuan Yang di-Pertua, walau bagaimanapun kerajaan memberi jaminan bahawa usaha-usaha akan terus dilakukan bagi menambahbaikkan lagi aspek kesihatan dan keselamatan pelatih demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang lagi. Ahli Yang Berhormat Batu juga menyentuh mengenai pembelian senjata dan peralatan canggih yang menelan belanja yang besar dan tidak semestinya menjamin keselamatan negara.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Penjelasan.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Penjelasan PLKN sebelum alih kepada tajuk yang lain, adakah Yang Amat Berhormat sedar bahawa semenjak kematian pelatih PLKN yang terbaru Too Hui Min ada desakan yang bertambah dari orang ramai dan ibu bapa, bahawa program ini patut di suspend sehingga satu jaminan boleh dibuat agar kematian yang kerap kali berlaku boleh diatasi oleh kerana 16 orang yang meninggal dunia, one to many. Di sini adalah 16 orang yang meninggal dunia dalam program PLKN dan pun oleh kerana banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kem-kem PLKN bukan sahaja meninggal dunia adalah peristiwa-peristiwa jenayah, rogol dan pun pembunuhan. Bukankah ini menunjukkan bahawa perlu satu kajian yang menyeluruh sebelum program ini diteruskan untuk memberi jaminan kepada ibu bapa oleh sebab mereka tidak mahu lihat anak-anak mereka pergi ke kem-kem PLKN dan balik sebagai mayat.

Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, setiap kali sesuatu kejadian berlaku yang melibatkan kematian seorang pelatih PLKN, kerajaan memang berasa amat sedih atas kejadian tersebut. Walau bagaimanapun, kerana kebaikan program ini begitu besar kepada kepentingan negara dan kerana sebahagian daripada kejadian itu Tuan Yang di-Pertua, kerana mereka sudah mengidap penyakit dalam badan mereka sebelum mereka masuk ke kem tersebut. Bererti bahawa bukan semua kejadian itu berpunca daripada perkara yang dijangkiti dalam kem. Jadi kita terpaksalah melihat perkara ini daripada punca yang sebenarnya. Saya tidak hendak nafikan ada kelemahan-kelemahan Tuan Yang di-Pertua yang berlaku dan kalau ada jurulatih yang cuai dan sebagainya kita ambil tindakan tatatertib terhadap mereka. Perlu saya tegaskan di sini bahawa di negara-negara lain, negara Singapura pun di mana mereka ada national service lebih banyak, lebih ramai kejadian yang melibatkan warganegara mereka yang meninggal dunia tetapi rakyat Singapura mementingkan ketahanan nasional dan mereka mempertahankan program seperti ini... [Tepuk]

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Minta penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Gajah.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Terima kasih Yang Amat Berhormat. Saya rasa Yang Amat Berhormat boleh buat lebih dari merasa sedih apabila setiap kali ada kejadian pelatih meninggal. Jadi saya ada soalan. Berapakah nyawa pada pendapat Yang amat Berhormat yang telah diambil baru program ini akan dihentikan? Yang Amat Berhormat kata bahawa maklum balas adalah baik, ramai yang yakin kerana terbukti ramai yang mahu menyertai program ini dengan peningkatannya secara sukarela. Kalau sedemikian, jadikan program ini tidak wajib, jika begitu yakin dengannya. Pada pendapat saya, kalau memang benar objektif boleh dicapai dalam 90 hari, Yang Amat Berhormat kata ini objektif sangat penting tidak dinafikan tetapi apakah ia boleh dapat capai 90 hari apabila pada masa yang sama ada polisi-polisi yang tidak adil dalam pentadbiran Barisan Nasional... [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Untuk memungut semangat objektif tersebut dan akhirnya sebelum ini tahun yang lalu Kabinet telah menolak mengatakan, memutuskan tidak boleh melalui satu pemeriksaan kesihatan mengenal pasti semua penyakit, telah menolak. Saya ada buat kajian sebelum ini, Kabinet tahun lalu mewajibkan pemeriksaan kesihatan. You cannot traces all the disease dengan mewajibkan pemeriksaan kesihatan. Jadi sini sekarang kata akan mewajibkannya kemungkinan tetapi sebelum ini telah menolak. Akhirnya saya pohonlah kalau kita berdua bukan pakar dalam bidang perubatan tetapi kita tahu, saya dapat maklum balas bahawa ada setengah penyakit apabila pelatih ini

diletakkan dalam situasi dalam Program Khidmat Negara ini, situasi makanan dibekalkan, keadaannya, latihannya akan menyebabkan penyakit yang mereka ada yang tidak diketahuinya menjadi semakin teruk kerana diletak dalam keadaan sedemikian. Jadi saya pohonlah agar program ini dihentikan... [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Dato' Ismail Kasim [Arau]: Nazir ada, nazir.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Apa yang lebih penting daripada nyawa anak-anak muda kita.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat Batu.

1720

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Isu yang sama supaya boleh jawab sekali.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Bukan kontrak-kontrak yang lebih penting. Jadi

saya pohonlah Yang Amat Berhormat...

Tuan Yang di-Pertua: Mesej sudah dapat.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Saya ingin tambah sedikit...

Tuan Yang di-Pertua: Mana? Yang Berhormat Batu?

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Boleh, boleh.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Memandangkan perbelanjaan yang besar dalam program ini dan bukan perbelanjaan sahaja tetapi kos yang melibatkan kesedihan, kegelisahan dan kekhuatiran ibu bapa, adakah kementerian telah mengkaji sama ada cara lain untuk mengurangkan beban kepada ibu bapa dan anak muda kita? Iaitu cara lain untuk mencapai perpaduan masyarakat yang lebih berkesan tanpa bebanan ini. Ini kerana masalah ini memang sudah berlarutan dan menyebabkan kecurigaan dan komuniti kita juga berpecahbelah dalam isu ini. Saya ingin soalkan sama ada, ada cara lain atau tidak boleh kita fikir.

Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan M. Manogaran [Teluk Intan]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Cukuplah, cukup. Sila.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ...Masyarakat kita sebenarnya bertambah yakin terhadap program ini sebab bilangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka secara sukarela untuk menyertai program ini semakin meningkat. Itu satu pengukuran. Perlu saya jelaskan juga bahawa tak dapat kita elakkan Tuan Yang di-Pertua kalau mereka tak masuk dalam program ini pun mengikut pada statistik mesti ada juga bilangan yang akan meninggal dunia dalam kelompok yang besar ini, statistically speaking. Walau bagaimanapun, saya tidak katakan bahawa kita menafikan kalau ada kelemahan dalam program ini kita akan berusaha untuk mengatasi. Walau bagaimanapun, yang penting sekali ialah program ini penting. Penting dari segi ketahanan nasional, perpaduan nasional, jati diri kita...

Tuan M. Manogaran [Teluk Intan]: [Bangun]

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Minta penjelasan.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ...Dan kalau kita tak wajibkan, apa yang akan berlaku? Hanya barangkali satu kaum sahaja yang akan menyertai program bukan berbilang kaum. Kita hendak penyertaan berbilang kaum kerana kita hendak bentuk negara bangsa Malaysia yang dihasratkan.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: [Bangun]

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: [Bangun]

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: [Bangun]

Dato' Ismail Kasim [Arau]: [Bangun]

Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: [Bangun]

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kinabatangan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Minta penjelasan.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua...

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh?

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Yang Berhormat

Kinabatangan, Yang Berhormat Kinabatangan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Batu Gajah.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Sudahlah Yang Berhormat Batu Gajah!

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Berapa nyawa diambil baru akan hentikan program ini?

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Gajah, Yang Berhormat Batu Gajah.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Saya ada tanya dan saya tanya baik-baik tadi.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Gajah duduk dahulu, duduk dahulu.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Tuan Yang di-Pertua, saya tanya baik-baik tadi.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kinabatangan duduk dahulu.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Saya tanya baik-baik tadi berapa nyawa diambil baru akan dihentikan program ini.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kinabatangan duduk dahulu, Yang

Berhormat Batu Gajah duduk dahulu. Tak payah menteri jawab itu. Berapa nyawa lagi akan terkorban cuma tuhan sahaja yang tahu... [Dewan riuh]

Dato' Ismail Kasim [Arau]: Arau pohon laluan.

Tuan Yang di-Pertua: Kalau mahu tanya soalan Ahli Yang Berhormat yang logiklah sedikit. Saya bukan Menteri Pertahanan tapi saya boleh jawab. Biar saya tidak tengok statistik. Berapa lagikah nyawa, siapa tahu? Tuhan sahaja tahu. Mahu kasi laluankah kepada Yang Berhormat Kinabatangan?

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Saya membaiki soalan saya. Mahu apa insiden yang lebih serius...

Dato' Ismail Kasim [Arau]: Tuan Yang di-Pertua, Arau mohon laluan.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: ... Baru boleh hentikan program ini?

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat tolong duduk. Menteri yang berkenaan tidak mahu kasi laluan, dia mahu teruskan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tadi bagi saya.

Tuan Yang di-Pertua: Dia juga tidak mahu kasi laluan lagi.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Oh, tarik balik?

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kinabatangan, tarik balik. Sila duduk.

Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan. Begitulah mesti ada tolak-ansur. Kadang-kadang kita tarik, kadang-kadang kita sorong. Terima kasih. Sila Yang Berhormat Menteri.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana bijak menjawab tadi. Ahli Yang Berhormat Batu...

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Yang di-Pertua: Dia tidak mahu bagi laluan lagi Yang Berhormat.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tak ada, tak ada. Lain kali. Hendak pindah topik lain.

Tuan Yang di-Pertua: Hendak pindah topik lain.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Sebelum pindah.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Sebab saya tak bagi. Bagi

Yang Berhormat kena bagi semua. Lain kali, lain kali.

Tuan Yang di-Pertua: Lain kali, dia janji lain kali.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Lain kali lambatlah.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Lain kali. Ahli Yang Berhormat Batu juga menyentuh mengenai pembelian senjata dan peralatan yang canggih yang menelan perbelanjaan yang besar tidak semestinya menjamin keselamatan negara. Beliau juga berkata perkara yang sepatutnya diberi penekanan adalah menjaga modal insan khususnya kebajikan tentera termasuk kehidupan setelah bersara seperti pencen, peluang pekerjaan dan perumahan.

Tuan Yang di-Pertua, anggapan Yang Berhormat dari Batu bahawa perolehan peralatan ketenteraan tidak menjamin keselamatan negara adalah tidak benar. Untuk makluman, Malaysia telah mengguna pakai konsep defensive posture dengan izin, dan segala usaha yang dilaksanakan untuk membangunkan keupayaan ketenteraan adalah berasaskan kepada keupayaan atau capability based, dengan izin. Dalam konteks Malaysia capability based menjurus kepada pembangunan keupayaan credible yang diperlukan bagi mempertahankan kepentingan negara dari ancaman luar negara demi mempertahankan kedaulatan negara. Pada masa yang sama Malaysia perlu mempunyai keupayaan deterrent untuk menjadikan lebih dihormati dan disegani. Kementerian Pertahanan sememangnya amat  prihatin dan tidak lupa tentang kebajikan anggota tentera mahupun pesara-pesara tentera.

Sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan akan terus mengambil perhatian dan berusaha untuk menjaga kebajikan anggota tentera secara menyeluruh melibatkan tindakan penambahbaikan dari segi skim perkhidmatan gaji, elaun, insentif dan peluang kenaikan pangkat. Kewujudan 1,645 jawatan fleksi post major dan leftenan kolonel telah diluluskan oleh kerajaan bagi jawatan-jawatan tertentu bagi menjaga kebajikan anggota tentera. Tuan Yang di-Pertua, adalah menjadi hasrat kementerian bahawa modal insan di kalangan anggota tentera terus dipertingkatkan. Pembangunan modal insan ini meliputi

usaha-usaha bagi meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, pengalaman nilai-nilai murni, pemupukan jiwa yang bercita-cita tinggi bersifat patriotik serta memiliki kekuatan fizikal dan spiritual di kalangan semua peringkat anggota ATM. Kemudahan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui biasiswa skim pengajian tinggi dan pinjaman tanpa faedah tabung pengajian tinggi angkatan tentera diperluaskan.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: [Bangun]

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Kerajaan sentiasa berusaha membuka jalan bagi anggota tentera yang telah bersara supaya dapat berdikari dan memperoleh pekerjaan untuk menampung kehidupan selepas mereka menamatkan perkhidmatan dengan ATM. Penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran ataupun JHEV mencerminkan keprihatinan dan usaha kerajaan ke arah peningkatan tahap kebajikan dan sosioekonomi para pesara tentera. JHEV sentiasa menggalakkan pesara tentera supaya bergiat aktif dalam bidang perniagaan, pertanian, penternakan dan perikanan yang dilaksanakan dengan kerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkenaan. Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat Pontian membangkitkan soal mengapa terdapat kira-kira...

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Laluan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: [Bangun]

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: ...54,977 keluarga yang miskin tegar di negara ini. Beliau juga mencadangkan agar fasa kedua FELDA dimulakan dengan segera iaitu empat ekar tanah diberikan pada sebuah keluarga di mana 1.5 untuk tapak rumah, tiga ekar untuk ditanam sawit dan 4.5 ekar lagi untuk usaha IKS untuk feedlot lembu daging, lembu tenusu atau kambing.

Tuan Yang di-Pertua: Ada dua Yang Berhormat berdiri. Yang Berhormat

Kinabatangan dengan Yang Berhormat Machang.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Boleh. Atas perkara ini?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ya.

Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Okey.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Sebelum mengenai FELDA tadi, disentuh tentang tentera. Saya bangun lama sudah cuma peluang baru dibagi. Soalan saya ialah apakah Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan sedar di satu kem latihan komando di negara kita dalam latihan asas komando, saya minggu lepas menerima kiriman video yang menyaksikan bagaimana latihan asas ini anggota awal komando diperlakukan dengan cukup dahsyat. Saya bersedia menyerahkan kepada Yang Amat Berhormat pada bila-bila masa untuk diteliti. Kebetulan satu ketika saya pernah berada di Kementerian Pertahanan dengan menteri Dalam Negeri sekarang pernah masuk beberapa kem melihat modul-modul latihan tentera. Keadaan ini saya anggap dari sudut kemanusiaannya, dari sudut rejim latihannya dari sudut modulnya perlakuan itu sangat meloyakan, menjijikkan, mengaibkan,

menghina status manusia. Adakah Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan sedar tentang wujudnya perbuatan ini yang buktinya ada dan dalam Dewan yang mulia ini saya bersedia melafazkan bahawa ia sesuatu perlu dilakukan, disiasat jika perlu diambil tindakan yang munasabah. Terima kasih.

1730

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, pertamanya Yang Berhormat dahulu bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan pada waktu itu. Apakah Yang Berhormat memperjuangkan perkara itu sewaktu menjadi Setiausaha Politik?... [Dewan riuh] [Tepuk]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ini perbuatan terbaru, terbaru.

Masa saya tidak berlaku, ini sekarang.... [Dewan riuh] [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat..

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat...

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Bekas menteri ada di sini.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat tolong diam... [Dewan riuh]

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tidak payahlah berlakon.

Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, kita tidak bisa dengar perbahasan begini kalau bising, jadi kalau kita mahu dengar perbahasan begini yang elok, elakkan kebisingan itu. Redakan sedikit. Sila, sila.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, yang kedua saya hendak tahu bagaimana Yang Berhormat itu dapat memperoleh video latihan ketenteraan yang sepatutnya liputan seperti ini tidak boleh jatuh ke tangan orang lain. Itu yang kedua. Yang ketiga, saya hendak nyatakan bahawa ini adalah pendapat peribadi Yang Berhormat sendiri, bukan pendapat Angkatan Tentera Malaysia ataupun pendapat pihak-pihak yang lain, kerana modul kita tidak banyak berbeza dengan modul yang diguna pakai oleh negara-negara lain.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Minta penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Kinabatangan.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya hendak teruskan ya.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Pasal Tentera.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Pasal itu juga, okey Bung.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Yang Amat Berhormat... [Ketawa] ATM ini merupakan satu, yang lebih mementingkan keselamatan negara. Jadi, apakah usaha kementerian dan kerajaan ke arah menggalakkan warganegara Malaysia bukan Melayu khususnya menyertai ATM, dan apakah kerajaan akan mengkaji dari segi kenaikan gaji ataupun allowance dan menjadikan ATM ini sebagai ATM yang knowledgeable, mereka elit dalam kumpulan seperti tentera Singapore contohnya. Mereka pilih bukan sahaja yang berpendidikan tinggi, tetapi sanggup mempertahankan negara mereka dengan apa cara sekalipun. Jadi adakah usaha seumpama ini akan dilaksanakan oleh ATM di negara kita?

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua, Angkatan Tentera Malaysia kita ini adalah kemampuan dan amat disegani oleh negara lain. Buktinya ialah apabila kita menyertai mana-mana misi antarabangsa, kita selalu dapat pujian daripada negara lain. Mengenai bagaimana kita hendak menarik minat yang bukan Melayu menyertai ini satu masalah, dia bukan berpunca kepada gaji, allowance sahaja tetapi satu culture value, dengan izin Tuan Yang di-Pertua dan amat sukar sepertimana untuk masuk polis pun kita menghadapi kesukaran. Walau bagaimanapun, kita akan cubalah menggalakkan mereka untuk menyertai Pasukan Angkatan Tentera Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2006 kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk mengkaji semula dasar pengambilan peneroka tertakluk kepada persetujuan kerajaan negeri menawarkan tanah baru untuk tujuan pembangunan. Keputusan ini diambil sebagai salah satu usaha mengatasi isu kemiskinan yang masih terdapat di beberapa negeri. Pembukaan tanah baru ini perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri untuk dibangunkan oleh FELDA, sebagai mengatasi kos penempatan dan infrastruktur yang besar kerajaan bercadang beberapa modul pembangunan yang baru.

Cadangan Yang Berhormat, pembangunan tanah baru berdasarkan pemilikan tanah yang lebih kecil dengan melaksanakan pelbagai aktiviti industri asas tani adalah baik. Terpulanglah kepada pihak kerajaan negeri untuk memberi pertimbangan menawarkan tanah baru pada Kerajaan Pusat selain mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu penduduk miskin dengan pelbagai aktiviti dalam bidang industri asas tani. Yang Berhormat dari Jempol mencadangkan agar Pusat Pelupusan Sampah diwujudkan di kawasan FELDA untuk mengelakkan bahan-bahan toksik mencemarkan sungai.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, b