|
[Artikel ini telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan Menulis Makalah
Undang-Undang, anjuran Jawatankuasa Bahasa Melayu, Majlis Peguam Malaysia]
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MASIH RELEVAN DALAM
MEMELIHARA KEAMANAN DAN KEADILAN DUNIA
Oleh:
Wan Rohimi Bin Wan Daud
27/7/2006:
Keamanan merupakan perkara pokok bagi sesebuah
negara bangsa. Ini kerana keamanan merupakan asas kepada
kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Dalam konteks
antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
merupakan badan tunggal yang berperanan dalam memastikan
keamanan dan keselamatan di kalangan negara anggota dapat
dikekalkan, dan lebih penting mempunyai keupayaan untuk
mencorakkan iklim politik dunia supaya kekal aman dan
harmonis.
Idea mengenai perlunya sebuah pertubuhan
antarabangsa bebas untuk memastikan kelangsungan keamanan
dan keselamatan antarabangsa bermula seawal 1941 apabila
Presiden Franklin D. Roosevelt dan Perdanan Menteri Winston
Churchill menandatagani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 di
atas kapal HMS Prince of Wales. Piagam tersebut mengandungi
prinsip-prinsip asas mengenai kerjasama antarabangsa dalam
mengekalkan simbiosis keamanan antarabangsa.
Piagam ini telah mendapat sokongan daripada
negara-negara Bersekutu pada masa itu apabila sebanyak 26
wakil negara-negara Bersekutu telah bersetuju untuk
menandatangani suatu perisytiharan yang menyatakan sokongan
terhadap Piagam Atlantik dalam usaha mereka untuk menentang
Kuasa-kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Itali,dan
Jepun. Perisytiharan ini telah memperkenalkan buat pertama
kalinya istilah “United Nations” yang dicadangkan oleh
Presiden Roosevelt.
Empat kuasa besar dunia pada masa itu iaitu
Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, dan United Kingdom
juga menyatakan persetujuan mengenai keperluan mewujudkan
badan tersebut. Lantaran itu, bertempat di Moscow pada 30
Oktober 1943, negara-negara ini telah bersama-sama bersetuju
untuk menandatangani satu deklarasi yang menyeru masyarakat
antarabangsa untuk mengambil inisiatif awal bagi menubuhkan
badan tersebut. Matlamat ini juga telah disuarakan semasa
mesyuarat pemimpin negara-negara tersebut di Tehran, pada 1
Disember 1943.
Impian mengenai kewujudan PBB semakin jelas
apabila rangka kerja mengenainya telah disiapkan pada
Persidangan Dumbarton Oaks di Washington D.C. bermula 21
September sehingga 7 Oktober 1944. Negara-negara yang
terlibat dalam proses persiapan rangka kerja PBB terdiri
daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, dan
United Kingdom. Malah, tiga ikon politik dunia pada ketika
itu iaitu Roosevelt, Winston Churchill, dan Stalin telah pun
menyuarakan keprihatinan mereka mengenai pembentukan badan
antarabangsa yang mampu mengawal selia keamanan dunia semasa
Persidangan Yalta yang diadakan pada 11 Februari 1945 di
Yalta, USSR.
Penubuhan PBB akhirnya menjadi kenyataan apabila
50 delegasi negara-negara dunia telah menghadiri Persidangan
San Francisco pada 25 April 1945 dan menyiapkan Piagam PBB
dengan 111 artikel. PBB diiktiraf sebagai badan dunia rasmi
pada 24 Oktober 1945 apabila kesemua lima anggota Majlis
Keselamatan PBB dan majoriti daripada negara-negara anggota
telah bersetuju untuk meratifikasi Piagam PBB. Akhirnya,
terlakar dalam kanvas sejarah dunia pada 10 Januari 1946,
PBB mengadakan Perhimpunan Agung pertama yang diadakan di
Central Hall, Westminster dengan kehadiran sejumlah 51
negara sebagai ahli terawal PBB.
Selaku badan dunia tunggal dan terbesar, PBB
ditubuhkan dengan beberapa matlamat utama sebagaimana yang
telah digariskan dalam Artikel 1 Piagam PBB, antara lain
menyenaraikan: (1) Mengekalkan keamanan dan keselamatan
antarabangsa, (2) Mewujudkan hubungan baik antara
negara-negara bangsa, (3) Mencapai kerjasama antarabangsa
dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa mengenai ekonomi,
sosial, budaya, dan lain-lain, (4) Menjadi pusat
negara-negara bangsa merangka dan mengambil tindakan
berhubung isu-isu (1) hingga (3). Matlamat-matlamat tersebut
tertakluk kepada Artikel 2 yang menerangkan tujuh prinsip
asas tindakan PBB antaranya mengambil tindakan dengan
menghormati sensitiviti dan kepentingan negara anggota.
Secara
asasnya, Artikel 7 menggariskan komponen-komponen utama PBB
yang terdiri daripada Majlis Keselamatan, Perhimpunan Agung,
Majlis Ekonomi dan Sosial, Setiausaha Agung, Mahkamah
Keadilan Antarabangsa, serta Majlis Pemegang Amanah.
Komposisi Majlis Keselamatan, seperti yang diterangkan
dalam Artikel 23, terdiri daripada 15 anggota: 5 ahli tetap
iaitu Amerika Syarikat, China, Britain, Perancis, dan Rusia
serta 10 ahli tidak tetap yang dipilih dua tahun sekali
berdasarkan Artikel 23(2). Tanggungjawab Majlis Keselamatan
tersenarai dalam Bahagian VI, VII, VIII, dan XII Piagam PBB.
Setiap keputusan yang dicapai oleh Majlis Keselamatan akan
dipatuhi oleh PBB dan mana-mana badan boleh dilantik oleh
Majlis Keselamatan sekiranya dirasakan perlu dalam membantu
pelaksanaan tugas khususnya dalam mencapai suatu resolusi.
Anggota tetap Majlis Keselamatan juga mempunyai kuasa
pembatal atau veto yang boleh membatalkan sebarang resolusi
yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan.
Majlis Ekonomi dan Sosial pula berperanan
melakukan kajian dan laporan kepada PBB mengenai isu-isu
yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial antarabangsa.
Majlis ini juga, seperti yang termaktub dalam Artikel 62(2)
dan (3), mempunyai kuasa untuk memberi cadangan dan membuat
draf konvensyen mengenai ekonomi dan sosial di peringkat
antarabangsa. Majlis Ekonomi dan Sosial, dalam Artikel 61,
terdiri daripada 54 ahli yang dilantik oleh Perhimpunan
Agung (UNGA)
Berdasarkan Artikel 93(1), kesemua negara
anggota PBB adalah ahli ipso facto kepada Statut
Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Walau bagaimanapun, badan
yang mempunyai kuasa untuk memberi pendapat dan pandangan
terhadap isu berkaitan perundangan, juga boleh disertai oleh
negara bukan ahli tertakluk kepada syarat-syarat yang telah
ditetapkan oleh Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung.
Setelah meneliti idea, konsep, matlamat,
hierarki, dan modus operandi PBB, kita sewajarnya, dalam
menentukan relevansi PBB dalam memelihara keamanan dan
keadilan antarabangsa, menganalisa pola perubahan politik
dunia . Politik dunia yang pada awalnya adalah merupakan
paksi multipolar sewaktu gawatnya kancah perang dunia kedua,
telah bertukar kepada dunia dwipolar dengan kecundangnya
gagasan Nazi, Jepun dan China. Kuasa dwipolar pula
menyaksikan persaingan pembentukan iklim politik oleh
Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Selepas kejatuhan
empayar Soviet pada 1989, Amerika Syarikat telah muncul
sebagai kuasa unipolar dunia tanpa kehadiran mana-mana kuasa
pengimbang sehinggalah ke hari ini. Fenomena ini seolah-olah
“menghalalkan” Amerika Syarikat untuk terus melanggar dan
tidak mengendahkan apa-apa resolusi yang dikeluarkan oleh
Majlis Keselamatan. Contohnya, Resolusi 1441 yang menghalang
serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq hanya dipandang sepi
oleh Amerika Syarikat sambil Amerika Syarikat sebenarnya
mempersiap bala tentera menuju ke Iraq.
Situasi sebegini sedikit sebanyak telah mencipta
prejudis dan stigma masyarakat antarabangsa terhadap PBB.
Masih wajarkah PBB dilabelkan sebagai badan pengaman dunia
di sebalik kerakusan Amerika Syarikat? Masih adakah
keupayaan dan ruang untuk PBB bertindak menghalang atau
sekurang-kurangnya mengurangkan kegilaan Amerika Syarikat?
Siapakah “tangan” yang menggerakkan catur politik dunia?
Adakah PBB dalang atau sekadar membiarkan petualang?
Sebagai masyarakat antarabangsa yang rasional
dan adil, kita tidak sewajarnya menjadikan pola perubahan
politik dunia ini sebagai satu-satunya asas yang
menjustifikasikan kewajaran kita dalam membuat penilaian
sama ada PBB relevan ataupun tidak. Maka dalam analisa
seterusnya, kita perlu sedar bahawa prejudis yang
dilontarkan terhadap PBB sebenarnya tidak lebih daripada
suatu hukuman yang bersifat melulu tanpa meneliti apakah
sebenarnya yang mendasari konflik antarabangsa.
Dalam kebuntuan mencari penyelesaian terhadap
sesuatu konflik antarabangsa, kita mengharapkan masyarakat
dunia berupaya memahami apakah sebenarnya yang mendasari
kegagalan tersebut sama ada berpunca sepenuhnya daripada
ketidakupayaan PBB ataupun lebih disebabkan oleh kedegilan
dan kejahilan sebahagian kecil negara-negara parti. Ini
adalah penting agar kita, pada analisa terakhir, tidak
serkap jarang atau hentam keromo dalam menilai relevansi PBB
sebagai badan pengaman dunia.
Konflik Timur Tengah misalnya, telah menonjolkan
sikap negara yang tidak komited ke arah penyelesaian masalah
apatah lagi untuk mewujudkan sebuah dunia yang aman.
Perbalahan Israel-Palestin yang berlanjutan selama empat
dekad tidak wajar dijadikan alasan kukuh untuk kita menuding
jari ke arah PBB yang sebenarnya telah menjadi penggerak
proses damai misalnya melalui perisytiharan yang dilakukan
oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai pembinaan
tembok pemisahan wilayah Israel-Palestin di Semenanjung Gaza
dan Tebing Barat sebagai tidak sah dan melanggar
undang-undang dan etika persempadanan antarabangsa. Malah
PBB melalui UNRWA (United Nations Relief and Works Agency)
telah melindungi kebajikan rakyat Palestin selama empat
generasi dengan menyediakan pendidikan percuma, perkhidmatan
kesihatan, dan khidmat sosial dan sehingga kini, seramai 2.9
juta pelarian Timur Tengah berada di bawah seliaan UNRWA.
Sikap keras kepala Israel yang tidak pernah memberikan
kerjasama dalam mana-mana proses damai tidak sewajarnya
diterjemahkan sebagai kegagalan PBB dalam menjalankan
fungsinya.
Dalam kes Iraq, PBB sekali lagi menjadi mangsa
ketidakadilan masyarakat dunia apabila PBB dipersalahkan
kerana kononnya gagal menghalang serakah Presiden Bush dan
Tony Blair untuk menundukkan Saddam dan menakluk bumi Iraq.
PBB sebenarnya telah pun menjalankan tugas yang terbaik
dengan kapasiti yang ada selaku badan pengaman dunia dengan
mengeluarkan resolusi menghalang dan mengecam tindakan
Amerika Syarikat tetapi dominasi dan hegemoni Amerika
Syarikat sebagai kuasa unipolar sebenarnya mencadangkan
bahawa kita sebenarnya memerlukan kuasa pengimbang dan
bukannya untuk mempertikaikan relevansi PBB sebagai badan
dunia dalam memelihara keamanan dan keadilan dunia yang
menjadi platform kepada negara-negara dunia.
Isu-isu semerta di peringkat antarabangsa
bukanlah kayu ukur yang terbaik untuk menilai sama ada PBB
masih relevan ataupun tidak dalam memelihara keamanan dan
keadilan dunia. Siri kejayaan PBB bermula seawal
penubuhannya perlu diimbau dan diambil kira dalam menilai
keberkesanan PBB dalam mencapai matlamatnya.
Dalam mengekalkan keamanan dunia, PBB telah
mewujudkan 54 pasukan pengaman di seluruh dunia sehingga
September 2001 dengan 15 daripadanya adalah sangat aktif
seperti di Congo dan Rwanda. PBB juga telah berjaya
mengakhiri beberapa konflik antarabangsa berskala besar
contohnya perang Iran-Iraq 1980 - 1988, kemasukan tentera
Kesatuan Soviet ke Afghanistan, dan perang saudara di El
Salvador. 12 konvensyen telah berjaya dimeterai bagi
mengatasi masalah kepengganasan antaranya seperti Konvensyen
Tokyo 1963 yang berkisar mengenai kesalahan dan tindakan
yang dilakukan di dalam pesawat, Konvensyen Hague 1970
mengenai rampasan pesawat, Konvensyen Montreal 1971 mengenai
tindakan salah terhadap penerbangan awam, Konvensyen
Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Terhadap Orang Yang
Diberi Perlindungan Antarabangsa Termasuk Perisik Diplomatik
1973 yang membincangkan perlindungan terhadap ketua-ketua
negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan, serta
menteri-menteri luar dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai
Sekatan Pengeboman oleh Pengganas 1997 yang menyentuh isu
pengebom berani mati.
Menyentuh skop keadilan dunia, sumbangan PBB
juga bukan sedikit. PBB telah berjaya menghidupkan demokrasi
di beberapa buah negara dengan memberikan nasihat
pilihanraya dan khidmat pemantauan keputusan pilihanraya.
Antara negara yang terlibat ialah Kemboja, Namibia, El
Salvador, Eritrea, Mozambique, Nicaragua, Afrika Selatan,
Kosovo, dan terbaru, Timor Leste. Lebih 300 perjanjian di
peringkat antarabangsa telah dimeterai bagi mewujudkan
kekukuhan undang-undang antarabangsa terutamanya dalam aspek
hak asasi manusia serta persempadanan marin dan udara
contohnya Konvensyen Mengenai Undang-undang Laut PBB
(UNCLOS) yang telah menyelesaikan konflik Pulau Sipadan
antara Malaysia-Indonesia dan konflik Pulau Leila antara
Sepanyol-Maghribi. PBB juga berjaya menamatkan dasar
apartheid di Afrika setelah menjalankan embargo ke atas
Afrika Selatan sehinggalah kepada penganjuran pilihanraya
Afrika Selatan yang pertama 1994.
Setelah kita menelusuri susur galur dan denai misi yang
dibawa di bawah panji-panji PBB, adalah amat sukar untuk
kita tampil dengan justifikasi bahawa PBB sudah tidak lagi
relevan. Hakikatnya, ketidakupayaan PBB pada lewat dekad
90an dan kritikan yang berterusan terhadap PBB termasuk oleh
Setiusaha Agungnya sendiri, Kofi Annan adalah merupakan
sebahagian dari proses kematangan PBB dalam isu-isu keamanan
di seantero dunia. Walau pun dalam dasawarsa ini, PBB
kelihatan lemah gemalai apabila berdepan dengan tuntutan dan
kehendak Amerika Syarikat, namun ia masih berperanan dan
sekurang-kurangnya masih menjadi tunjang keadilan
antarabangsa. Penguasaan Amerika Syarikat sebagai kuasa
politik unipolar hari ini, tidak seharusnya dibiar subur dan
berterusan hingga memusnahkan sama sekali hasrat muluk
penubuhan PBB. Rantaian politik dunia ini sifatnya hanyalah
satu peralihan iklim dek kerana tersungkurnya kuasa
pengimbang yang boleh menyaingi dan memberi tekanan kepada
Amerika Syarikat.
Penulis ingin mengambil premis yang jelas, bahawa PBB masih
relevan. Tetapi beberapa perubahan perlu dilakukan. Dunia
perlu bangkit dan melakukan reformasi politik, samada
melalui instrumen politik mahu pun ekonomi. Kelemahan PBB
hari ini adalah bertunjangkan kepada sikap negara bangsa
yang berkepentingan dan suka bermain selamat. Negara yang
gagah ekonominya seperti Jepun dan China terlalu
mementingkan diri sehingga mengabaikan kepentingan dunia
yang lebih sarwajagat. Negara-negara lemah dan kecil lain
seperti Australia dan Singapura lebih cenderung untuk
mengampu dan mengambil sikap “lebih sudu dari kuah”.
Negara-negara yang kaya dengan sumber asli seperti Arab
Saudi, Kuwait, dan negara-negara lain di rantau Teluk, atau
mudahnya negara-negara Timur Tengah hanya terlalu
mementingkan diri dan mudah tunduk kepada telunjuk Amerika.
Oleh itu, sebenarnya siapa yang telah menyumbang kepada
kelesuan PBB? Kenapa kita masih bertuhankan diktator Amerika
dan tidak pernah cuba untuk bangkit. Apabila Amerika dengan
rakus menyerang dan menjajah Iraq, atas alasan ingin
memusnahkan pusat WMD (Weapon of Mass Destruction), walau
pun sudah terbukti ia satu pembohongan, kita hanya memprotes
dalam diam kerana takutkan Amerika. Setiap kali Amerika
terang-terangan menyebelahi Israel, apa yang mampu dilakukan
oleh Dunia Islam khususnya melalui Pertubuhan Negara-Negara
Islam (OIC). Hakikatnya, kelemahan sebenar ialah kelemahan
negara bangsa yang membentuk komposisi PBB. Oleh itu
wajarkah kita menyatakan PBB sudah tidak relevan, sedangkan
yang melemahkan badan dunia itu adalah sikap ahli-ahlinya
sendiri.
Justeru melihat kepada sinopsis ini, PBB sebenarnya masih
relevan! Pokoknya keseluruhan negara bangsa atau sebahagian
darinya mesti mengambil pendekatan yang berani untuk
mengubah iklim politik dunia. Tidaklah sukar untuk kita
membantu melahirkan semula dan memperkasakan kuasa
pengimbang kepada Amerika Syarikat. Contoh terbaik adalah
gandingan Perancis dan Rusia sewaktu menentang perang ke
atas Iraq. Walau buat masa ini Rusia masih belum pulih
sepenuhnya dari demam keruntuhan empayar kekuatannya, tetapi
dengan bantuan negara bangsa yang lain, Rusia boleh kembali
dikuatkan untuk mengambil peranan sebagai aktor pengimbang.
Negara bangsa yang lain perlu disedarkan dari lamunan dan
mimpi mereka bahawa mereka hanya selamat dan aman apabila
bertuhankan Amerika Syarikat. Mimpi sebegini hanyalah satu
igauan sementara dan akan terbukti menjadi mitos.
Ada pendapat yang mencadangkan bahawa reformasi kepada
struktur PBB perlu dilakukan dengan kepercayaan bahawa hanya
ini sahaja yang dapat menyelamatkan maruah PBB. Cadangan
yang hangat diperkatakan ialah dengan mengahapuskan kuasa
Veto yang miliki oleh 5 anggota tetap Majlis Keselamatan,
atau merubah kepada sistem 2 Veto dengan 3 sokongan ahli
Majlis Keselamatan. Ada yang mencadangkan bahawa Perhimpunan
Agung PBB perlu diberikuasa untuk melaksanakan apa-apa
resolusi mengatasi peranan Majlis Keselamatan.
Cadangan-cadangan ini walau pun baik tetapi masih jauh dari
menyelamatkan PBB dan mengembalikan keyakinan dunia.
Bagaimanakah dunia mampu mengubah struktur PBB jika setiap
resolusi yang bercanggah dengan kepentingan dan nafsu
Amerika Syarikat akan diveto sewenang-wenangnya? Penulis
mengambil pendirian ini berdasar keyakinan bahawa walau apa
reformasi yang dilakukan ke atas struktur PBB, ia tidak akan
memberikan impak yang maksima. Lihatlah sahaja 5 anggota
tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai Kuasa Veto seperti
Amerika Syarikat, China, Britain, Perancis, dan Rusia, hanya
Amerika Syarikat sahaja yang saban hari menggunakan kuasa
veto tersebut. Hakikat ini jelas menunjukkan bahawa betapa
angkuhnya Amerika Syarikat, manakala 4 lagi anggota yang
lain masih dibayangi dengan ketakutan akan terjejas
kepentingan mereka jika veto digunakan dalam isu-isu yang
bercanggah dengan kepentingan Amerika Syarikat.
Justeru, dunia seharusnya kembali melihat tunjang sebenar
tentang kenapa Amerika terlalu bermaharajalela. Sudah tentu
kekuatan ekonomi dan militari menjadi sandaran utama. Oleh
itu, dunia perlu kembali menganalisa sokongan-sokongan
strategik kepada kemansangan ekonomi Amerika Syarikat dan
membina hubungan ekonomi baru dengan negara-negara yang
berpotensi menjadi kuasa pengimbang seperti Rusia dan
Perancis. Dengan lemahnya kuasa ekonomi Amerika, sudah tentu
kuasa ketenteraan mereka juga akan berkurangan. Jika negara
Asia berupaya menukar kiblat mereka kepada satu gabungan
kuasa baru, dan Timur Tengah pula tidak lagi bertuhankan
Amerika, iklim politik dunia akan dapat diubah dengan lebih
berkesan. Dengan itu, apa juga resolusi Perhimpunan Agung
PBB dan keputusan Majlis Keselamatan akan lebih dihormati.
Dari situ juga, tekanan untuk menghapuskan kuasa veto
mungkin akan mendapat pertimbangan yang lebih serius dari 5
anggota tetap. Tentunya melaksanakan misi diplomasi dan
meyakinkan negara anggota tentang reformasi menyeluruh
berkenaan kekuatan dan sikap negara anggota, akan mengambil
masa yang lama tetapi akan membuahkan hasil jangka panjang
yang lebih terjamin. Pada analisa terakhir, keamanan dan
kestabilan dunia akan dapat digapai bersama. Hukuman dan
operasi keamanan ke atas negara-negara yang bermasaalah di
bawah panji-panji PBB juga akan lebih dihormati. Maka misi
PBB sebagai Polis Dunia akan menjadi realiti.
Kesimpulan mudah yang dapat dirangkumkan, dengan asimilasi
fakta sejarah, kejayaan dan kelemahan PBB, sudah tentu jelas
terbukti bahawa PBB masih relevan dan berperanan sebagai
paksi keadilan dan keamanan dunia. Stigma yang masih belum
dapat kita rungkaikan, adalah mekanisma untuk melumpuhkan
kuasa unipolar Amerika Syarikat yang sentiasa mencabar
maruah dan intergriti PBB. Apa pun, kerancuan politik dunia
berada pada tangan seluruh negara bangsa! Jangan hanya kita
marah dan bencikan Amerika Syarikat, kita mengatakan bahawa
PBB sudah tidak relevan. Jangan marahkan nyamuk, kelambu
kita bakar!!!
|