|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
DEBAT PIALA DIRAJA: SEBUAH LIPATAN SILAM
Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud
Debat Diraja bukan sahaja merintis kreativiti debat yang menggunakan sistem ala-parlimen, tetapi juga telah merintis kelahiran Majlis Debat Antara Universiti Malaysia (MADUM). Saya tidak pasti tentang tarikh rasmi kelahiran MADUM dan proses penubuhan dibelakang tabir, tetapi yang saya pasti MADUM dilahirkan untuk dijadikan sebuah badan yang bertanggungjawab memperomosi, memperkasa dan memastikan peningkatan kualiti perdebatan bagi IPT-IPT awam di Malaysia. Seawal Debat Diraja dan MADUM ditubuhkan, hanya terdapat 10 sahaja Universiti awam yang wujud dan dijemput menjadi keahlian MADUM, serta layak menyertai pertandingan berprestij tersebut. Hari ini, sudah terlalu banyak universiti awam, dan kelahiran universiti swasta yang tumbuh bagaikan cendawan selepas kerajaan memperkenalkan dasar pengkorporatan universiti yang menyaksikan langkah menggubal dan mewartakan Akta Pendidikan 1996 dan Akta Insitusi Pendidikan Tinggi 1996, dijayakan. Selepas mencecah umur 12 tahun, Debat Diraja masih ditutup kepada universiti awam semata-mata. MADUM kelihatan mengambil pendirian yang konservatif untuk tidak membuka penyertaan Debat Diraja kepada universiti-universiti swasta. Nun di sana, terdapat banyak perdebatan yang aktif dari kalangan para pendebat yang kelihatan mendesak MADUM supaya membuka penyertaan kepada universiti swasta, seperti debat-debat yang lain. Tidak kurang juga yang mempertahankan tindakan MADUM untuk mengekalkan status quo penyertaan. Alasan dan keputusan yang diambil MADUM untuk terus menutup penyertaan Debat Diraja kepada hanya universiti awam tidaklah saya arif, tetapi saya berpendapat, apalah salahnya jika ia dibuka kepada semua universiti. Kerana pada analisa akhirnya, mana-mana pertandingan debat mempunyai hadaf yang murni iaitu untuk melahirkan generasi mahasiswa yang kreatif, intelek dan berketrampilan. Mahasiswa/i universiti adalah sebahagian warga Malaysia yang hendaklah diberi peluang yang sama rata, untuk mengasah minda dan memperkasakan daya fikir mereka. Jika kita inginkan prestij Debat Diraja menjadi lebih bermutu, maka tidaklah menjadi satu halangan untuk penyertaan itu dibuka, bahkan dengan penyertaan yang lebih banyak saya yakin kemeriahan akan bertambah, persaingangan akan menjadi lebih sengit dan dengan itu kualiti diharap akan dapat dipertingkatkan. Apa pun, MADUM mempunyai alasanya yang tersendiri untuk mempertahankan keputusannya itu. Cuma apa yang diminta, berikan penerangan yang jelas tentang sabab dan musabab kenapa keputusan tersebut diambil, dan apakah ciri status quo yang ingin dikekalkan itu. 10 tahun yang lalu, saya secara peribadi telah melakarkan satu memori yang cukup indah melalui Debat Diraja di kampus ITM. Penyertaan kali pertama dalam pertandingan Debat Diraja mewakili pasukan utama UIAM, dan penyertaan kali kedua mewakili pasukan debat UIAM, selepas Debat Alam Sekitar 1997 di Universiti Sains Malaysia, amat memberikan kenangan yang sukar dilupakan. Jika saya boleh dianggap sebagai pernah dilahirkan sebagai seorang pendebat, maka Debat Diraja ’97 amat sinonim dengan kelahiran saya. Dengan berbekalkan T-shirt tajaan maggi dan minuman Nestle, Debat Diraja 97 banyak mengajar saya tentang kehidupan seorang debat, kreativiti dan pengetahuan yang diperlukan untuk menguasi seni debat, dan lain-lain persiapan secara individu dan berkumpulan, serta latih-tubi yang tinggi untuk mengekalkan stamina diri dan disiplin pasukan. Pasukan Utama UIAM yang saya anggotai pada waktu itu telah ditewaskan oleh USM pada peringkat separuh akhir. Ia satu kekalahan peribadi dan pasukan yang amat tragis dan mengecewakan. Pasukan saya tersebut adalah diwakili oleh saya sendiri, Madzlan Mohamad Hussain (sekarang Ketua Jurulatih UIAM), Saiful Adli Mohd Arshad, dan Rosniza Binti Ismail (selaku simpanan). Saya tidak dapat mengingat dengan pasti komposisi pasukan USM waktu itu, jika tidak silap saya USM diwakili oleh pendebat terhebat dan tersohor USM iaitu Hasrul Zakariah, bersama-sama Majlan dan Ainol Radziah. Kekalahan pasukan UIAM sebenarnya bermula seawal usul diumumkan. Usul perlawanan separuh akhir tersebut ialah: “Dunia Tanpa Sempadan Adalah Mitos”. Sewaktu perbincangan usul selama 30 itu, kami sepasukan bercakaran sesama sendiri, untuk menetapkan premis dan pendirian pasukan. Bertindak selaku pembangkang, Madzlan selaku Ketua Pasukan UIAM, berhempas pulas untuk mempertahankan pendiriannya dengan premis “Dunia Tanpa Sempadan Bukan Mitos, sebaliknya apa yang disangkakan sebagai Dunia Tanpa Sempadan itu adalah penjajahan bentuk baru”. Amat panjang dan berjela sekali premis yang dicadang dan dipertahankan Madzlan. Manakala saya, Saiful Adli dan Rosniza bersepakat untuk menolak premis tersebut. Kami berhujah bahawa premis yang dicadangkan akan memberikan kami beban bukti yang amat berat untuk dibuktikan. Bahkan, pembuktian kami akan mencapah, kerana pasukan perlu membuktikan dua senario. Pertama: “Dunia Tanpa Sempadan bukan Mitos”. Dan kedua,: “Ianya adalah satu penjajahan bentuk baru”. Sudah tentu dengan masa yang amat terhad, kami tidak akan mampu membuktikannya. Menganalisa kebiasaan dan kecenderungan pasukan USM pada waktu itu, yang gemar bermain dengan “unsur-unsur keraguan”, kami sepasukan selain dari Madzlan, amat menyedari bahawa kami akan diperangkap seawal perlawanan bermula sekiranya memilih untuk meneruskan premis dan beban pembuktian seperti yang dicadangkan Madzlan. Tidak pernah dalam mana-mana perbincangan pasukan, saya dan anggota pasukan mengambil masa yang lama untuk melahirkan premis dan menganalisa beban bukti kes. Paling lama hanya 10 ke 15 minit. Tetapi pada perbincangan itu, pergeseran antara kami berlaku lebih dari 25 (masa perbincangan yang dibenarkan hanya 30 minit sahaja), atau lebih panjang dari itu. Pergeseran yang berlaku hanya pada pencirian premis dan analisa beban bukti. Fakta kes dan hujah sokongan masih jauh untuk dibincangkan. Walau pun masa perbincangan sudah hampir tamat, dan selaku pendapat yang paling minoriti dalam pasukan, Madzlan tetap enggan mengalah, dan terus-terusan mempertahankan pendirianya. Gerimis leliurnya semakin lebat dan semakin sukar dikawal oleh kami untuk meneruskan premis sedemikian. Oleh kerana kami mengenali dan menyedari bahawa Madzlan, selaku pendebat pertama yang sentiasa percaya bahawa pendekatannya dan pendapatnya sentiasa benar dan betul, dan kelihatan tidak akan tunduk kepada suara majoriti, maka kami terutama saya dan Saiful Adli terpaksa memilih untuk beralah dan menganut pendirian Madzlan. Kami terpaksa mengambil tindakan itu atas semangat dan disiplin debat secara pasukan, apatah lagi masa yang diperuntukkan untuk perbincangan telah pun tamat. Maka pasukan UIAM, melangkah ke dewan untuk meyakinkan sekelian dewan pertandingan, terutamanya panel hakim, supaya mempercayai bahawa: “Dunia Tanpa Sempadan Bukanlah Mitos, Sebaliknya Apa yang disangkakan sebagai Dunia Tanpa Sempadan itu adalah penjajahan bentuk baru”. Seperti diduga, seawal Madzlan membentangkan kes pembangkang, pasukan USM mula tersenyum. Bermula dari titik itu, saya dan pasukan UIAM dilanyak dengan cukup hebat oleh pasukan USM sehinggalah loceng penamat dibunyikan. Walau pasukan kami mempunyai kekuatan yang tinggi untuk kembali melanyak USM, dan pada beberapa ketika membuatkan mereka terlopong dengan bidasan Saiful Adli, namun hakikatnya kami hanya dapat membuktikan sebahagian dari premis kami sendiri. Dan ternyata kami gagal membuktikan bahagian kedua premis kami: “Sebaliknya apa yang disangkakan Dunia Tanpa Sempadan itu adalah penjajahan bentuk baru”. Bahkan, tiada satu pun hujah dibawa untuk menyokong premis bahagian kedua itu. Kami seolah-olah terlupa bahawa premis kami mempunyai dua fasa yang perlu dibuktikan. Pun begitu, sebaik berakhirnya pertandingan, jauh di sudut hati saya masih menaruh harapan akan kemenangan pasukan UIAM. Bahkan kekuatan mental “block” yang ditanam dan dimiliki oleh kami sepasukan membuatkan kami merasa puas dengan bidasan dan serangan terhadap pasukan USM, yang menyaksikan Hasrul dan Majlan terkebil-kebil beberapa ketika. Kami diajar untuk mempertahankan kes pasukan keakhirnya, walau pun kami tidak bersetuju dengann pendirian itu sewaktu perbincangan. Tetapi apabila pasukan memutuskan untuk meneruskan pendekatan yang tidak dipersetujui tersebut, maka selaku anggota pasukan, pendekatan tersebut hendaklah dipertahankan sehingga loceng penamat. Kepala kami hendaklah dipusing supaya menyakini bahawa premis dan pendekatan yang pada awalnya ditentang oleh kami sendiri, adalah benar dan betul dan bahawa pihak lawan adalah salah dan gagal. Kami diasuh untuk mempertahankan pendekatan pasukan sebagai pendekatan kami semua, walau jauh di sudut hati, agak ragu-ragu dengan pendekatan sedemikian. Sebaik perlawanan tamat, dalam perjalanan saya keluar dari dewan pertandingan, saya sempat menyapa Mazri Muhammad (salah seorang idola debat UIAM yang turut menyaksikan perlawanan tersebut), dan mengharapkan sokongan moral daripada beliau yang kami anggap sebagai “sifu” dalam dunia debat UIAM, berkenaan dengan pendekatan yang kami pilih tersebut. Namun Mazri Muhammad tidak memberikan apa-apa reaksi dan hanya tersenyum memandang ke arah saya. Dari situ, hati saya terdetik bahawa berita buruk akan mengakhiri perlawanan kami, kerana sepanjang saya mengenali Mazri, beliau mempunyai kekuatan analisa kes yang tinggi, dan jarang sekali telahannya terhadap sesuatu pertandingan akan tersasar. Mazri akan menyatakan isihatinya tanpa ragu, sekali pun perkataannya akan membuat pasukan UIAM resah dan gelisah. Benar, bagaikan dentuman guruh, saya hanya pasrah apabila mendengar pengumuman Ketua Hakim yang menyatakan bahawa: “Usul Diterima”. Saya terkesima, dalam kegelapan dan kesedihan. Tanpa dapat dikawal, air mata mencurah-curah meratapi kekalahan tersebut. Saya melihat Madzlan dan Saiful cuba mempamerkan ketenangan, tetapi sebaik keluar dewan mereka berdua terus berlari ke tandas, dan meraung sepuas-puasnya. Raungan mereka, dan saya sendiri, makin menjadi apabila mengetahui kedua-dua pasukan UIAM Junior, telah berjaya memboloskan diri ke pertandingan akhir. Esoknya, pasukan Junior yang diangotai oleh En. Muhd Azmi Talib, Korespon AD, berjaya muncul sebagai Johan Debat Diraja 1997 bagi kategori Junior. Pasukan “swing” yang dianggotai oleh Yusfarizal Yussoff dan Zairul Isham (pengasas-pengasas AD – yang pada waktu itu merupakan pelajar tahun satu, Pusat Matrikulasi UIAM) turut mencatatkan pencapaian cemerlang dengan menduduki ranking ke-4, sewaktu carta separuh akhir diumumkan bagi pasukan Junior. Namun disebabkan sifatnya sebagai pasukan “swing”, mereka tidak dibenarkan menghuni pentas pertandingan separuh akhir, kerana penyertaan mereka hanya untuk melengkapkan jadual pertandingan semata-mata. Lanjutan dari keputusan USM menewaskan UIAM pada peringkat separuh akhir tersebut, USM bertandang ke pentas akhir untuk merebut Piala Diraja dan terpaksa berhadapan dengan pasukan UKM. Pasukan UKM, yang pada ketika itu diwakili En. Budiman dan saudari Norfaezah, berjaya menumpaskan USM dan muncul sebagai Johan Debat Piala Diraja 1997, dan En. Budiman telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik bagi pertandingan tersebut. Walau pun keperitan untuk menerima kekalahan itu amat dirasa, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari bahawa sememangnya kami sepatutnya kalah kerana tersilap mengambil pendirian pasukan. Kekalahan itu membawa makna yang besar kepada diri saya dan pasukan secara amnya. Kekalahan itu satu rahmat untuk saya menyedari bahawa dalam dalam sesuatu pertandingan debat yang mementingkan daya bujukan, seperti dalam Debat Diraja, logik mudah dan pendekatan kes yang terbuka dan berani, serta tidak terlalu "playsafe" adalah penting untuk memastikan kejayaan pasukan. Kecenderungan untuk mempamerkan teori tahyul yang pelik-pelik akan hanya memakan diri. Pertandingan debat bukanlah satu medan untuk menunjukkan kejagoan diri sendiri, tetapi satu perjuangan secara konsensus oleh sesebuah pasukan. Tidak boleh sama sekali melakukan pemaksaan ke atas fikiran rakan sepasukan, kerana kelak akan mengundang bencana. Kekalahan itu ternyata menyuntik kegilaan saya kepada dunia debat sehingga kini. Berkat kerja keras dan disiplin yang tinggi, akhirnya saya berjaya menebus kekecewaan Debat Diraja 1997, dengan memimpin pasukan utama UIAM untuk muncul sebagai Johan Debat Diraja 1999, yang dianjurkan di USM, dengan menewaskan pasukan UM. Usul yang dikemukakan oleh pasukan UM: “Kita Perlukan Barat” telah ditolak secara majoriti oleh para hakim yang mengendalikan pertandingan akhir tersebut. Satu fakta yang jarang diketahui, dan saya sengaja menulisnya disini, supaya akan datang tidak ada pihak yang cuba menggelapkan fakta ini, ialah bahawa buah fikir yang mencetuskan kelahiran Debat Piala Diraja yang berumur 12 tahun ini, adalah bermula dengan kegilaan debat En. Mazri Bin Muhammad, pendebat UIAM sejak 1993. Mazri, bekas pelajar Sekolah Alam Shah dan Kolej Sultan Ismail (SIC) serta merupakan bekas Johan Pidato Piala Diraja 1991 telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan debat ini, yang digarap dan diadaptasikan dari beberapa format perdebatan bahasa inggeris seperti “world debate”, “australasian debate” dan lain-lain pertandingan debat. Ketekunan dan kegigihan Mazri untuk menyediakan format dan membentangkan kertas kerja kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM, akhirnya mendapat kelulusan universiti dan pada awalnya menjadi program universiti sebelum MADUM dibentuk dan diserahkan program tersebut kepada MADUM. Walau pun usaha Mazri sengaja dipilih untuk tidak dipopularkan oleh pegawai-pegawai UIAM, namun sejarah harus merakamkan beliau sebagai arkitek kepada dunia debat ala-parlimen di Malaysia. Mazri, memang satu nama yang kurang dikenali kini, selain dari pendebat-pendebat lama yang seusia atau lebih tua dari saya, mempunyai sumbangan yang besar kepada dunia debat yang kita banggakan kini. Walau pun Mazri tidak mendapat apa-apa anugerah sewaktu Kelab Debat UIAM memberikan banyak anugerah pada Majlis Jamuan Makan Malam tahun lepas, tetapi buah fikirnya pada ketika itu jelas melangkaui zamannya. Anugerah Perdana, Anugerah Tun Perak, atau lain anugerah diberikan kepada insan yang tiada kena mengena dengan kegigihan untuk mengukir sebuah kegemilangan debat di UIAM. Tidak cukup dengan itu, direka pula sebuah “Anugerah Khas” yang kabur kriteria pemilihannya dan dikalungkan kepada seseorang yang nun jauh di sana, yang tidak menyumbang kepada kejurulatihan debat, kecuali sesekali mengetuai pasukan sorak pada mana-mana pertandingan akhir yang melibatkan UIAM. Lebih melucukan, pegawai yang menganjur sendiri mencipta sesuatu anugerah untuk dikalungkan kepada dirinya sendiri, dan pasangannya yang mancung gigi itu. Lucu bukan? Dan anugerah yang paling berkesan ialah “Anugerah Wirama” yang bunyinya kedengaran seperti anugerah badut seranta, dikalungkan kepada Raja Badut yang terkenal dalam dunia debat masakini. Tidak lama selepas Raja Badut menerima anugerah badut, maka hilanglah Raja Badut dari dunia kebadutan UIAM, tetapi berjaya pula melebarkan kerandut kebadutannya di bumi UiTM. Seperti biasa, Raja Badut hanya muncul sewaktu sarkas ditayangkan! Mazri tidak memerlukan pujian untuk bertindak, tidak sebagaimana sesetengah pegawai UIAM yang gemar memilih pendekatan “lembu punya susu, sapi dapat nama”, bahkan kelihatan sentiasa mengekalkan sikapnya yang “low profile” itu. Sewaktu Mesyuarat Agung pertama Kelab Debat Bahasa Melayu UIAM di SMAWP 15, kampus Petaling Jaya pada Julai 1995, sejurus selepas Kelab tersebut diluluskan pendaftarannya oleh UIAM, Mazri yang sepatutnya menjadi Presiden pertama Kelab, sebagai mengenang jasa dan sumbangannya, telah disingkirkan secara licik dari menjawat jawatan tersebut. Pada Julai 1996, Mazri sekali lagi menjadi mangsa kepada “percaturan Dunkin Donnut” sebagai satu usaha pihak-pihak tertentu untuk menguasai pasukan Debat Alam Sekitar UIAM 1996 yang dianjurkan oleh UTM di Skudai, Johor Darul Takzim. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan saya kepada rakan lama, En. Mazri Bin Muhammad – sekarang bertugas sebagai Pegawai Khas kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak – kerana buah fikirnya yang merangka dan menyediakan format Debat Piala Diraja, hari ini telah menjadi satu ‘kegilaan’ utama para pendebat di Malaysia, bahkan Debat Piala Diraja telah menjadi satu acara tahunan yang paling berprestij dan sentiasa ditunggu-tunggu. Mazri, adalah satu ikon hebat dan legenda debat yang mempunyai nama berbisa hingga kini – terutama kepada pendebat UIAM. Kepada saya secara peribadi, beliau adalah guru, idola dan pedoman debat yang segar sepanjang zaman. Pendekatan, kupasan pendekatan, isu sokongan, gaya badan, intonasi suara, sinikal, bidasan berbisa – bahkan segala-galanya berkenaan debat amat memberikan saya kekuatan dalam mendalami dan mencintai seni debat. Walau saya sering bertelagah dan mempunyai pendirian politik yang jauh berbeza dengannya, tetapi saya perlu jujur untuk melakarkan sejarah ini. Sejarah tidak harus ditulis oleh pihak yang menang, tetapi hendaklah dilihat sebagai satu rakaman fakta berasas kepada perlakuan sebenar sesuatu aktor yang terlibat.
Sesekali mengimbas lipatan silam… (Gambar bawah) Satu ketika di suatu senja, Penulis dan Mazri Muhammad sedang bersantai di Melting Pot, Hotel Concorde, Kuala Lumpur
|
||||||||||||
|
||||||||||||