|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
MEMENUHI UNDANGAN "HARAMAINI" (MAKKAH AL-MUKARRAMAH & MADINAH AL-MUNAWARRAH)
Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud
Tanpa apa-apa persediaan yang rapi, mahu pun perancangan yang panjang, saya telah mengunjungi sebuah ejen pengembara (travel agent) yang menawarkan khidmat menunaikan Umrah pada bulan Ramadhan yang lepas untuk membuat tempahan dan bayaran pakej Umrah Akhir Ramadhan, sejurus sebelum bulan Ramadhan menjelma. Seorang diri. Tiada berteman. Tiada kenalan. Dan menyertai rombongan yang tidak pernah saya kenali. Berbekal sedikit persiapan yang disediakan oleh isteri tersayang, pesawat Gulf Air telah menerbangkan saya ke Kotaraya Manama, Bahrain pada 25/9/2007 tepat jam 4.20 petang. Penerbangan selama 7 jam itu agak memenatkan kerana pada hari itu saya terpaksa berpuasa selama 17 jam, disebabkan perubahan zon-masa (time zone) selepas 3 jam berada di angkasa. Waktu berbuka puasa pada hari itu ialah kira-kira jam 11.30 malam waktu Malaysia (bersamaan dengan 6.15 petang waktu Bahrain). Berbuka puasa hanya dengan biskut dan air mineral di dalam perut pesawat sejurus sebelum pesawat mendarat di Manama amat mengiurkan, dek kerana kebuluran yang semakin lama mencengkam. Selepas semalaman di Kotaraya Manama, Bahrain, jam 12-00 tengahari keesokannya saya berlepas dari Bahrain untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, iaitu pintu masuk utama untuk ke tanah haram. Penerbangan tersebut mengambil masa selama 2 jam sahaja. Sebaik sahaja tiba di Jeddah, saya dan rombongan seramai 7 orang yang lain, disambut oleh seorang Mutawwif (ketua rombongan Umrah) dan terus di bawa menaiki Van untuk ke Madinah al-munawwarah yang jaraknya kira-kira 500 kilometer. “Assalamualaikum wrt wbh! Wahai tetamu Allah dan tetamu Rasullullah s.a.w sekelian! Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah kerana telah memudahkan urusan tuan-tuan untuk sampai ke dua tanah haram ini. Bersyukurlah, kerana bukan senang untuk seseorang itu berjaya memijakkan kaki ke kota larangan ini. Ada orang yang kaya, tetapi hatinya tidak pernah digerakkan oleh Allah swt untuk berkunjung ke Makkah mahu pun Madinah. Ada orang yang punya wang yang mencukupi, tetapi sentiasa tidak punya masa dan kesempatan untuk kesini. Manusia sering mengejar harta, kemewahan tanpa penat, harta dan wang ringgit untuk kehidupan, tetapi jarang sekali yang bersedia mempersiapkan diri untuk berhijrah ke padang mahsyar. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Tuan-tuan sekelian, kerana tuan-tuan berjaya sampai ke sini, mungkin ada yang pertama kali, dan mungkin sudah banyak kali. Hanya insan-insan yang diundang oleh Allah dan Rasulullah sahaja yang akan berjaya sampai di sini. Tahniah, kerana pakcik-pakcik telah menerima undangan itu, dan berjaya hadir ke bumi yang penuh barakah ini…” Begitulah ucapan ringkas En. Zainullah, Muttawif kami yang berbangsa Indonesia, tetapi telah bermastautin di Mekkah selama 7 tahun sambil meneruskan pengajian pondok di sana. Sambil itu Van yang membawa kami terus menyusur dengan lajunya di sepanjang lebuhraya menuju Madinah, dan dikiri dan kanan kami hanya padang pasir yang terhampar luas dan bukit-bukit batu tanpa sebatang pokok. Satu pemandangan yang amat asing bagi saya yang tidak pernah merantau ke sebuah negara arab. Sukar sekali melihat warna hijau dari dedaun pokok, semuanya kekuningan dan perang, sedikit hitam dan seakan warna coklat. Setelah 3 jam berada di lebuhraya di atas padang pasir yang sangat luas, akhirnya tiba waktu untuk berbuka puasa (jam 6.15 petang waktu tempatan), lantas kami telah singgah di sebuah persinggahan yang mempunyai stesen minyak, kedai runcit serta surau. Sejurus selepas berbuka puasa, kami meneruskan perjalanan ke Madinah yang akan mengambil masa kira-kira 2 jam lagi. Kami tidak menunaikan solat maghrib di situ, kerana telah niat menjamakkanya dengan solat Isya’ dan berhajat untuk melalukan solah pertama kami di Masjid Nabawi. Memandangkan kiri dan kanan lebuhraya yang panas terik, tanpa sebarang pokok, apalagi punca air, hati saya terdetik mengenangkan betapa azabnya Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah 1500 tahun yang lampau. Hati kecil saya cuba mencongak berapa lama agaknya masa yang diambil oleh seekor unta untuk tiba dari Mekkah ke Madinah. Benak saya tidak puas berputar untuk cuba menyelami kesengsaraan yang dilalui oleh pejuang-pejuang Islam termasuk Rasulullah s.a.w dan para sahabat untuk menyebarkan aqidah Islam. Kami satu van tidak bercakap sesama sendiri, walau perjalanan mengambil masa lebih 5 jam. Ada yang terlena, ada yang terdiam merenung jauh ke pergunungan batu dan mungkin pemikiran mereka bertebaran bersama debuan pasir yang sesekali dirempuh angin. Setelah lama menikmati dan cuba menyelami apa yang berlaku 1500 tahun dahulu, dan dalam kepenatan, saya terlena seketika tanpa sebarang jawapan. Setelah beberapa terlena, saya dikejutkan oleh Muttawif yang mengajak rombongan kami untuk membacakan doa untuk memasukki Kota Madina al-munawarrah. Rupanya dalam lena itu, saya telah sampai ke sempadan tanah haram Madinah. Dalam kegelapan malam, saya lihat di hadapan saya penuh dengan cahaya dan sinaran kota… Madinah al-munawwarah – bermaksud kota yang bercahaya yang terang benderang! Amat sesuai nama itu dengan kotaraya di hadapan saya! Rasulullah s.a.w telah menamakan kota itu sebagai Madinah al-munawwarah (sebelum itu ia dikenali dengan nama Yathrib) selepas pertama kali sampai ke situ untuk mengembangkan syiar Islam. Selepas berehat seketika dan membersihkan diri di hotel penginapan, kami bergegas mengunjungi Masjid Nabawi untuk menziarahi Rasulullah s.a.w dan memberikan salam pertemuan dengan Rasul Agung yang maha tercinta ini. Juga tidak dilupakan memberikan salam kepada khalifah Islam terdahulu, isteri Rasulullah s.a.w, Siti Aisyah r.a yang dikebumikan di tepi Masjid Nabawi, yang dinamakan Kubur al-Baqi’.
Rasulullah s.a.w dimakamkan di dalam Masjid Nabawi. Terdapat 3 makam di dalam Masjid Nabawi, iaitu Makam Rasulullah s.a.w, makam Khalifah Pertama – Saidina Abu Bakar al-Siddiq, dan Khalifah Kedua – Saidina Umar al-Khattab (radiallahu anhum). Ketiga-tiga makam mereka diletakkan bersebelahan, dan boleh dilihat dengan jelas pintu makam mereka berdasarkan gambar tersebut. Jika dilihat gambar Masjid Nabawi dari luar, makam Rasulullah dan 2 khalifah tersebut berada betul-betul di bawah kubah Hijau, iaitu di suatu tempat yang bernama “Raudhah”. Raudhah adalah satu taman dari taman-taman syurga. Di dalam Masjid Nabawi, terlalu ramai insan yang berebut-rebut untuk bersembahyang di dalam Raudhah kerana di situ dijanjikan Allah s.w.t sebagai tempat yang amat mustajab doanya. Berdasarkan sejarah, bangunan yang mengandungi Kubah Hijau tersebut adalah rumah Rasulullah bersama isterinya Saiyidatina A’isya r.a. Rumah tersebut adalah sebahagian dari Masjid Nabawi. Setelah Rasulullah s.a.w wafat, beliau telah dikebumikan di dalam rumahnya, dan mengikut sesetengah pendapat, Rasulullah s.a.w dikembumikan di dalam bilik tidurnya sendiri. Manakala di sebelah luar Masjid Nabawi, kira 50 meter sahaja, terletak Kubur Al-Baqi’ (ahli-ahli Madinah). Kubur al-Baqi’ adalah kubur untuk semua penduduk Madinah. Setiap penduduk Madinah sejak 1500 tahun dahulu dikebumikan di situ. Di dalam Kubur al-Baqi’ itu, terdapat Kubur Khalifah Islam ke-3, iaitu Saidina Othman al-Affan r.a dan Kubur Saiyidatina A’Isya r.a. Walau bagaimana pun, kubur Khalifah Islam ke-4, Saidina Ali Karramallahu wajhah, terletak dalam wilayah Iran. Berdasarkan pendapat Ulama’ Muktabar, apabila sangkakala kedua ditiupkan untuk membangunkan seluruh umat manusia di padang mahsyar kelak, maka orang yang pertama bangun adalah Rasulullah s.a.w, kemudian diikuti oleh Saidina Abu Bakar r.a, kemudian diikuti oleh Saidina Hamzah r.a, kemudian Saidina Othman dan Saidatian A’Isyah di Kubur al-Baqi’, kemudian diikuti keseluruhan ahli-ahli Kubur Al-Baqi’ dan barulah lain-lain anbiya’ dan para rasul serta lain-lain mukmin dan para syuhada’ di tempat-tempat lain, sebelum kita semua dibangunkan untuk dihisab segala amalan, hadaf perjuangan, penglibatan tentang rasuah, pecah amanah dan lain-lain sebagaimana yang dicatat oleh malaikat “kiraman” dan “kaatibin”. Pada keesok harinya, kami dibawa untuk menziarahi tempat-tempat menarik di sekitar Kota Madinah. Tempat pertama yang dilawati ialah sebuah ladang kurma yang ditanam dan diusahakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Buah tamar yang paling popular di tanah haram ini dan diseluruh dunia adalah kurma “ajwa” atau dikenali juga dengan nama “kurma nabi”. Kurma jenis ini sangat mahal dan sedap, sehingga harganya mencecah RM80-00 bagi setiap satu kilogram. Mengikut pengkisahan mutawwif kami, kurma ini mempunyai khasiat perubatan segala jenis sihir dan penyakit. Namun, Rasulullah s.a.w mempunyai kurma lain yang amat digemarinya, iaitu “kurma anbal”, sejenis kurma yang besar dan cantik!
Tempat yang
paling menarik untuk dilawati pada hari itu ialah Bukit Uhud
Selepas 40
tahun peristiwa tersebut berlalu, berlaku satu banjir besar di
padang
pasir Bukit Uhud yang menenggelamkan keseluruhan kawasan itu
sehingga Selepas 3 hari 2 malam di Kota Madinah, kami terpaksa meninggalkan Rasulullah s.a.w, para khulafah, dan keluarga “al-Baqi’” dengan penuh kesedihan untuk ke Mekkah. Selepas menyeberangi padang pasir selama lebih 5 jam dengan dikelilingi sinar mentari yang terik, sehingga mencecah lebih 40ºC, kami akhirnya sampai di tanah haram Makkah al-Mukkarramah! Selepas tiba dihotel dan mendaftar masuk, kami terus dibawa memasukki Masjidil Haram untuk menunaikan “Tawaf Selamat Datang” dan menyempurnakan ibadah umrah. Tawaf pertama sebaik menjejakkan kaki ke tanah haram Mekah adalah wajib bagi semua Muslim. Inilah kenangan yang paling memilukan bagi diri saya, di saat pertama kali melihat dengan mata kepala sendiri, satu objek hitam yang besar tersergam di hadapan mata. Satu objek setinggi 20 kaki, selebar 20 kaki, yang selama ini hanya khayalan kita sewaktu menunaikan solat, sebagai kiblat, kini berada di depan mata. Sayunya hati. Kerdilnya diri. Terbayang keagungan Tuannya yang tiada bandingan. Seluruh bulu roma tegak. Seluruh otot-otot mula mengejang. Mata terkebil-kebil antara percaya dan tidak, bahawa saya kini di hadapan Kaabah, di dalam Masjidil Haram! Inilah kaabah, rumah keagungan Illahi, yang dijadikan kiblat pengabdian hamba selama ini. Tidak dapat dibayangkan perasaan itu. Air mata mencurah-curah tanpa disedari. Dalam jutaan manusia yang memenuhi setiap inci Masjidil Haram itu, tidak disangka dan tanpa perancangan, saya terpilih untuk berdiri dan mengamatinya objek hitam itu dengan penuh pasrah, tidak puas menatap rupa paras dan keayuan wajah Kaabah! Dibina sejak 5000 tahun yang lampau, oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Selepas agak lama kaku menatap Kaabah, tiba-tiba tangan saya ditarik oleh muttawif untuk pergi lebih dekat, mengelillingi Kaabah sebanyak 7 pusingan, untuk melakukan Tawaf Selamat Datang, dan menyempurnakan umrah kali pertama. Kemudiannya, dalam masjid yang sama, dalam lautan manusia, kami dibawa ke bukit Safa’ dan Marwah, untuk melakukan Sa’i 7 pusingan. Dan selepas itu, kami cukurkan rambut (atau sesetengah orang memotong sebahagian kecil) sebagai tanda bertahalul dan menamatkan umrah, serta melepaskan diri dari pantang larang ber’ihram). Muttawif kami tanpa jemu memberi nasihat supaya membanyakkan umrah sementara kami berada dalam bulan Ramadhan tersebut, dan beliau sentiasa mengingatkan kami akan sabda Rasulullah s.a.w bahawa: “Barangsiapa yang mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan, maka samalah seolah-olah ia mengerjakan Haji bersamaku!”. Berpuasa di Mekah amat memeritkan. Panas, kering, dengan kelibat manusia yang terlalu ramai. Sesetengah orang menyatakan angka yang berada di Masjidil Haram pada 10 terakhir Ramadhan adalah pada sekitar 3 juta orang. Tetapi disebalik keperitan itu, sebenarnya tersimpan kenikmatan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Hanya yang pernah hadir akan mampu memahami. Setiap hari, kami hanya berbuka puasa dengan kurma dan air zamzam di Masjidil Haram. Tetapi sedapnya air zamzam itu, dengan kurma kering pelbagai jenis, mengalahkan keseluruhan menu-menu lain. Hanya selepas solat maghrib, sementara menunggu solat Isya’, barulah kami kembali ke hotel untuk menjamah menu makanan Malaysia. Sebaik selesai makan, semua orang bergegas mandi dan bersiap untuk kembali ke masjid, bagi menunaikan solat Isya’ dan solat terawih. Solat Isya’ dan terawih ini akan mengambil masa sehingga 2 ½ jam, sehingga 11.00 malam. Kemudiannya kembali ke hotel untuk berehat sekejap. Kami kembali ke masjid jam 12.30 tengah malam, untuk menunaikan “qiamullail”, solat tasbih sehingga pukul 3 pagi. Selepas itu, balik ke hotel untuk bersahur, dan kembali ke masjid untuk solat Subuh jam 5.00 pagi. Hanya selepas Subuh, barulah kami boleh kembali ke hotel untuk tidur sehingga sebelum zohor, jam 12.00 tengahari. Begitulah rutinnya, dicelah-celah kekosongan waktu, ramai orang mengkhatamkan Quran dan memperbanyakkan ibadah-ibadah lain, termasuk melakukan tawaf sunat dan mengulangi ibadah umrah! Pendek kata, tiada langsung kerja lain, bahkan kita terus terlupa akan dunia luar, selain dari mengerjakan solat, solat, solat, tawaf, tawaf dan membaca Quran. Di Mekah, yang peliknya ialah kita rasa seronok bersolat sehingga 2 – 3 jam tanpa henti (terawih dan solat tasbih), langsung tidak terasa penat atau malas. Jika terawih dilanjutkan dari Isya’ ke Subuh, saya masih yakin semua jemaah tidak akan meninggalkan imam. Apatah lagi dengan diiringi oleh kelunakan suara imam yang mendayu-dayu, memohon keampunan dari Illahi, terutamanya Imam Besar – Syeikh Abdul Rahman al-Sudaisi. Pelik bukan, dirumah kita, dinegeri kita dan dimana-mana selain Masjidil Haram, liatnya kita sembahyang. Malasnya kita berhenti sekejap untuk menunaikan solat.
(Gambar atas: Inilah rumah tempat kelahiran Rasulullah s.a.w) (Gambar: Para jemaah bertebaran sebaik selepas mengerjakan solat terawih) Begitulah pengalaman dan keindahan yang dialami sendiri. Saya terdetik untuk menulis pengalaman ini, mudah-mudahan boleh berkongsi pengalaman berharga ini kepada semua pembaca, supaya sekurang-kurangnya kita semua dapat berdoa dan berharap, agar dapat memijakkan kaki ke dua tanah haram ini. Kosnya tidaklah terlalu mahal, sama dengan harga sebiji handphone yang berada digenggaman anda. Sekurang-kurangnya, kehadiran Aidil Adha kali ini, memberikan saya lebih pengamatan tentang perjalanan ibadah haji. Sekurang-kurangnya, tulisan ini dapat memberikan ingatan dan pengajaran buat semua. Ya Allah, kembalikan aku ke sana..!
|
||||||||||||
|
||||||||||||