akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Titian Kembara

   
 

 

DEBAT ALAM SEKITAR: ANJAKAN PARADIGMA DIPERLUKAN

Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff

Debat Alam Sekitar berkunjung lagi sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Cuma kali ini nampaknya persiapan mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya. Maklumlah, mungkin pihak-pihak berwajib sibuk dengan agenda yang lebih nasional untuk menangani isu alam sekitar yang sering mendapat tempat panas dikaca televisyen saban hari. Tidak putus-putus isu seperti penggondolan hutan, panarahan bukit, pencemaran sumber air dan pencemaran anak-anak sungai kita dengar setiap hari, sama ada dari mulut wira alam sekitar negara Karam Singh Walia mahupun blog-blog kesedaran yang melata. 

Hakikatnya, kesedaran alam sekitar masih ditahap sama. Begitu juga Debat Alam Sekitar yang menghampiri hari-hari tuanya. Apa yang saya perhatikan, usul perdebatan alam sekitar semakin statik dan tidak progresif. Setiap tahun kita akan membahaskan kebaikan dan keburukan teknologi mesra alam, ilitizam kerajaan lawan iltizam orang ramai dan badan bukan kerajaan, tahap pencemaran yang semakin teruk dan sebagainya. Kita masih berlegar-legar pada isu umum dan tidak mendasar ke arah permasalahan sebenar. 

Adalah amat baik sekiranya usul-usul Debat Alam Sekitar digubal menjurus secara spesifik kepada isu-isu alam sekitar. Sebagai contoh, mungkin usul seperti “Tanah Tinggi Lojing: bukti kealpaan kita” dapat digubal untuk mensasarkan minda pendebat untuk membuat kajian terperinci tentang isu tersebut. Pasti fakta tentang peratusan hutan yang digondolkan, dan betapa pihak kerajaan dan masyarakat alpa dan lena untuk melihat pencemaran tersebut walaupun setiap hari melalui lebuhraya ke sebelah timur, akan dapat dikupas oleh pendebat-pendebat.

Mungkin juga tajuk seperti “Konvensyen Basel hanya menguntungkan Negara Maju” atau lebih spesifik lagi “Konvensyen Basel hanya menguntungkan AS” boleh didebatkan. Lebih spesifik dan mendalam. Mungkin ramai pendebat yang tahu bahawa AS tidak menandatangai Protokol Kyoto, tetapi saya pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa AS juga bukan pihak sepenuhnya kepada Konvensyen Basel (dengan mengenakan banyak syarat dan meminta banyak pelepasan daripada Konvensyen, sebagai contoh pelepasan kepada kapal-kapal perang AS yang berkemungkinan membawa bahan terlarang dan berbahaya menyeberangi sempadan). AS juga mengeksport keluar lebih 140,000 tan sisa berbahaya pada tahun 1993 sahaja, dan meningkat dengan banyaknya tahun-tahun berikutnya. Atau mungkin pendebat-pendebat tidak tahu pun wujudnya Konvensyen Basel tersebut?

Tajuk seperti “Demi alam sekitar, penggunaan petrol perlu dihadkan” atau lebih spesifik “Bagi mengurangkan kesan rumah hijau, penggunaan petrol perlu dihadkan” boleh juga didebatkan. Saya kira pendebat-pendebat mungkin sudah arif dan masak tentang kesan penggunaan petrol oleh kenderaan bermotor kepada alam sekitar. Nah, inilah masanya untuk membentangkan fakta saintifik dan spesifik anda. Mungkin ini boleh membuka mata banyak pihak untuk merangka dasar yang lebih lestari kearah merealisasikan agenda pembangunan mapan yang kita canangkan saban hari. 

Berikut adalah beberapa lagi usul perdebatan yang spesifik dan mendasar yang saya kira sesuai untuk didebatkan oleh pendebat-pendebat masa kini:-

 1.      Kereta Hybrid hanya menguntungkan pengeluarnya

2.      Penggunaan Baja dan Pestisid perlu dihapuskan

3.      Pusat Kitar Semula tidak mencukupi

4.      Greenpeace: bertepuk sebelah tangan

5.      Radiasi komputer adalah satu pencemaran

6.   Pengklonan penyu tidak menyelesaikan masalah

Mungkin pada awalnya agak sukar untuk membahaskan tajuk-tajuk spesifik seperti diatas, tetapi lama kelamaan pendebat akan lebih menguasai fakta dan tidak berdebat atas longgokan retorik semata-mata. 

Kesannya, kupasan akan lebih terperinci dan berfakta. Dan yang lebih pentingnya, pasukan yang tidak bersedia pasti tidak akan mampu berdebat. Kalau kini, saya kira masih ada universiti yang membentuk pasukan 2 atau 3 minggu sebelum pertandingan kerana mereka yakin akan dapat berdebat dengan baik walaupun kurang persediaan, kerana usul yang diberikan boleh dikatakan mudah. Sekiranya usul yang didebatkan sukar dan spesifik, sudah barang pasti pasukan perlu disediakan lebih awal untuk membuat kajian mendalam. 

Hakikatnya, ini akan sekaligus meningkatkan mutu debat yang kita impikan. Kita sudah muak mendengar seorang perdana menteri dalam perdebatan menghabiskan jeda masanya bagi menghuraikan kerelevanan tamadun yunani dan alam sekitar. Kita juga sudah jelak melihat fakta yang sama dikulum semula, ditelan dan kemudiannya diluahkan kembali bertahun-tahun lamanya. Debat kini harus memasuki era baru, yang lebih progresif dan bermanfaat. Debat bukan lagi tempat melampiaskan hujahan picisan yang dipetik dari teks ucapan tahun terdahulu, mahupun medan melakar puisi retorik dan katarsis semata-mata. Hentikannya, demi mutu dan kualiti. Anjaklah paradigma kuno kita kearah kemajuan dalam debat.  

Kepada semua pendebat-pendebat yang akan beraksi di Debat Alam Sekitar 2007, semoga maju jaya dan AD berharap agar peningkatan mutu dan kualiti dapat ditunjukkan.  

Dari pojok kecil Kampung Baru

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian