akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Titian Kembara

   
 

 

LAMBAIAN KEUKENHOFF

Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff

Lambaian kelopak tulip yang menghiasi laman Keukenhof amat menyegarkan perasaan. Saujana mata memandang bumi hijau ciptaan tuhan yang hampir tidak cela ditelah amarah manusia adalah pengalaman yang cukup berharga buat kami delegasi AD. Di bumi rantau tanah penjajah ini kami melingkar persepsi mencari satu jawapan kepada pembangunan manusia yang tak bertepi. Hairan melihat negara penjajah yang membangun dalam kehijauan taman, dan membina peradaban intelek dan budi dalam kekafiran. Walhal disatu pojok dunia seberang sana, tanah sendiri dipenuhi munafik dan dajal-dajal yang bertopengkan malaikat, terhencot-hencot menghambakan diri kepada pembangunan dan materi buatan sendiri. 

Pengembaraan AD ke tanah Belanda juga menyingkap citra yang sukar digambar. Di sini kami kagum dengan ketulenan pembangunan, yang mungkin jauh daripada najis korupsi. Walaupun kerajaan Belanda mengenakan cukai pendapatan mencecah 50%, rakyatnya tidak pernah membantah. Segala yang diberikan diperolehi semula dalam bentuk kemudahan seperti jalinan lebuhraya percuma, tar berturap sempurna (kami gagal menemui walau satu lopak pun dijalan berturap di sekitar bandaraya Amsterdam, Den Haag (The Hague), Rotterdam mahupun pekan-pekan kecil seperti Voorchoten dan Leiden), taman-taman rekreasi percuma serta kemudahan asas terbaik di mana-mana. Kerajaan panca delima. Dari rakyat oleh rakyat kepada rakyat.  

Sempurnanya hidup masyarakat barat dengan kegemilangan sektor pertanian mereka yang terkehadapan. Perjalanan menaiki tren laju daripada lapangan terbang antarabangsa Schipol setibanya kami di Belanda menyaksikan hampir tiada tanah yang terbiar tanpa dibaluti rumput hijau tempat kawanan lembu meragut rezeki. Penternakan lembu merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang rancak di negara ini. Tidak cukup dengan itu, deretan kincir-kincir angin yang begitu halus buatannya menguatkan lagi hujah bahawa industri pertanian di negara maju ini amat komersil dan terkehadapan.  

Pengembaraan kami di sekitar Belanda juga dimudahkan lagi dengan rangkaian pengangkutan awam yang efisyen, efektif dan berkesan. Tanpa ada masalah kelewatan tren, kami berjaya menjelajah Bandar Amsterdam dengan mudah walaupun terkadang masalah seliuhan urat dan kebengkakan tapak kaki menghambat kelancaran kami. 

“Selamat datang” adalah kata-kata yang terpacul daripada seorang pengawal landasan di stesen Amsterdam Centraal yang menyebabkan kami berempat terpaku dan terpampan seketika. Penduduk negara maju mampu bertutur Bahasa Melayu dengan baik? Percaya atau tidak, di Belanda, anda bisa mendengar mat salleh bertutur Bahasa Melayu (atau lebih tepat Bahasa Indonesia) dimana-mana sahaja, di stesen keretapi, kedai cenderamata, restoran mahupun ditepi-tepi jalan. Kami diingatkan oleh rakan jangan sesekali bertutur dengan bahasa Melayu yang kurang senang, takut-takut difahami pula oleh orang-orang di sekitar kami. 

Ironinya, Belanda pernah menjajah Indonesia. Sewaktu penjajahan tersebut, Belanda telah membawa keluar ramai penduduk Indonesia untuk pelbagai tujuan ke Eropah dan telah ditempatkan disatu tempat bernama Surinam (atau Suriname). Orang-orang ini akhirnya telah memperolehi kerakyatan Belanda dan kebanyakan dari mereka sekarang mempunyai waris dan zuriat yang melata di sekitar Belanda. Hakikatnya sehingga hari ini bangsa jawa membentuk 20% daripada komposisi penduduk Surinam. Melatanya rumpun Melayu di senantero dunia. 

Antara perkara lain yang benar-benar menarik minat kami ialah tentang sikap penduduk negara Belanda ini. Walaupun tiada perlumbaan untuk membina bangunan pencakar langit tertinggi dunia seperti sesetengah negara, ternyata minda dan sikap penduduk negara maju jauh terkehadapan berbanding negara membangun khususnya Malaysia tercinta. Amat dikagumi ialah sikap pemandu dijalan raya yang mempertahankan kesopanan. Kereta-kereta mewah yang melata dipandu hanya dengan kelajuan sederhana, jauh dari kelajuan rempit atau cilok seperti di Malaysia. Lebuhraya yang canggih dimanfaatkan dengan sempurna tanpa perlu untuk bersusah payah menderum minyak keparas bahaya. Kemajuan ada, dan dimanfaatkan sebaiknya. Berbeza di Malaysia, kemajuan ada, tetapi dimusnahkan sebaiknya. 

Seperkara lagi yang menghairankan ialah apabila kami gagal menemui bukti-bukti kebejatan sosial yang melata kononnya kanser biasa di negara-negara Eropah. Walaupun memang terdapat lorong-lorong gelap tempat kupu-kupu malam bertandang (negara mana yang tiada?), riak-riak remaja berpeleseran atau berkelakuan sumbang sukar diketemui walaupun di tengah-tengah kotaraya Amsterdam. Di dalam tren misalnya, tidak pula kami berhadapan dengan scenario remaja berciuman dan memakai pakai mencolok mata, seperti yang biasa kita lihat di dalam LRT Putra atau Star di ibukota Kuala Lumpur. Mana kebejatan sosialnya? Bagi kami, seakan-akan negara sendiri lebih tercemar budayanya daripada negara Eropah. Benar, Belanda menghalalkan homoseksual dan ini adalah satu kebejatan yang besar, tetapi tidak pula kelihatan lelaki berciuman sesama sendiri dipinggir kota, tiada pula perempuan merangkul pinggang perempuan lain ketika pulang kerja. Di Malaysia, pendek kata setiap inci pusat membeli belah pasti kelihatan kaum separa jantina berpeleseran dengan pakaian mencolok mata. Rupa-rupanya, Malaysia, lebih sudu daripada kuah.  

Konklusi pengembaraan kami di Belanda bukan hanya pada kecantikan alam dan ketamadunan manusianya, tetapi lebih kepada keinsafan kami terhadap nasib bangsa sendiri. Surinam berbahasa Indonesia boleh berjaya di negara Belanda. Seorang Arab boleh meluaskan perniagaan kebabnya di tengah kotaraya Amsterdam. Tetapi Melayu di Malaysia? Hanya tinggal nama dan warisan. Bergolok gadai sesama sendiri merebut sesuatu yang tiada dan menggadai maruah dan kehormatan diri demi materi yang tidak bertepi. Kami insaf dan bertekad, untuk majukan diri sendiri dan anak bangsa yang kami kenali untuk terus menjadi Tuan di bumi sendiri. 

Selamat tinggal Belanda, dikau membawa seribu erti. 

Dari meja kayu Ukay Perdana,

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

 
       

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian