|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
ULANGTAHUN AKADEMIDEBAT - SATU SOROTAN
Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff
Tanggal 13 April 2007 merupakan tanggal yang bersejarah buat saya, Saudara Wan Rohimi Wan Daud, Saudara Zairul Isham Abdul Malik dan rakan-rakan seperjuangan dan sealiran yang lain seperti Saudara Azmi dan Saudara Faizi. Tanggal tersebut merupakan ulangtahun pertama kelahiran www.akademidebat.com menjengah dunia siber yang penuh pancaroba ini. Semuda usia dan setawadhu’ namanya, akademidebat telah melalui peringkat pertama perjuangan kami dalam membina satu ketamadunan dalam dunia debat secara khususnya dan keintelektualan anak bangsa secara umumnya. Hakikatnya, akademidebat yang bertitik tolak atas dasar prihatin kepada nasib dunia debat yang semakin betah ditunggang oleh manusia hipokrit dan opportunist, merangkak masuk ke fasa kedua penubuhannya hari ini. Semenjak 1 September 2006 pengunjung dan peluncur siber yang singgah ke laman akademidebat dianggarkan berjumlah 17,755 orang. Jumlah ini walaubagaimanapun bukan satu jumlah yang tepat kerana indikator nombor pelawat akademidebat telah korup dan rosak dimamah unsur sabotaj. Sekiranya dikira dari tarikh pelancarannya, saya percaya jumlah pengunjung sudah mencecah angka 30,000 orang. Pun begitu, kebanjiran pengunjung bukanlah sesuatu yang kami banggakan, apatah lagi untuk bersaing dengan laman web ala komunis, ala free thinker dan ala mossad yang kunjungannya bisa mencecah lima angka sehari. Angka yang kami paparkan hanya untuk mengukur sokongan dan dokongan anda selaku peminat dan pemain dalam dunia debat. Semakin banyak kunjungan, kami kira semakin banyak idea dan buah fikir yang boleh dikongsi bersama untuk kemaslahatan semua. Tidak dinafikan juga, nun di luar sana ada anasir rimba yang cuba menggugat kestabilan komuniti akademidebat. Sehingga hari ini, terdapat sekurang-kurangnya 3 cubaan mencemarkan debat maya, yang merupakan satu forum khas untuk komuniti akademidebat bersembang, bertukar wacana dan menghamburkan kritikan, dengan penampalan gambar-gambar berunsur pornografi dan kelucahan di tread tertentu forum tersebut. Sudah tentu ramai yang terpampan apabila melihat gambar separuh bogel dengan tajuk yang mengghairahkan dalam forum isu pendidikan di debat maya akademidebat. Setelah beberapa kali digodam sebegitu rupa, akademidebat secara tidak sengaja dalam proses pemutihan semula, terpadam forum isu pendidikan tersebut, yang mungkin menimbulkan kekesalan kepada sesetengah ahli debat maya. Akademidebat secara terbukanya memohon maaf atas kesilapan tersebut, dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam pemantauan debat maya tersebut. Akademidebat adalah satu laman percuma yang tidak sesekali bertujuan menyorong tabung derma mahupun menagih tajaan platinum daripada mana-mana pihak untuk meneruskan operasi. Sehingga ke saat ini, akademidebat hanya hidup atas belas sukarela pengasas-pengasas akademidebat dan sumbangan orang perseorangan yang ikhlas dan prihatin terhadap usaha kami. Oleh yang demikian, terdapat beberapa program yang dirancangkan yang masih belum dapat dikotakan lantaran daripada masalah kewangan. Pun begitu, akademidebat masih berupaya untuk memberi kerjasama kepada beberapa program latihan debat yang dijalankan oleh sekolah-sekolah mahupun insititusi-institusi pengajian tinggi yang sentiasa dahagakan ilmu dan tekonologi debat yang pernah dirintis pengasas-pengasas akademidebat. Program Bengkel Debat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang saya kira merupakan program yang paling berjaya disertai oleh akademidebat sepanjang tahun pertama penubuhannya. Kalaupun tidak banyak, tentu ada sekelumit ilmu yang diturunkan kepada adik-adik belia yang sudi mendengar celoteh dan keletah kami menerangkan tentang debat ala parlimen kepada mereka, sehingga mereka, yang sudah tentunya bersandarkan usaha keras mereka berjaya menggondol gelaran juara bagi negeri Selangor dalam Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala-Parlimen sempena Karnival Bahasa 2007. Tidak dilupakan juga bengkel-bengkel debat yang dijalankan di UPSI, Sekolah Sultan Muzaffar Shah dan banyak lagi yang menyerikan lagi kalendar 2006 akademidebat. Melingkar kembali tahun pertama kelahiran akademidebat, pastinya terimbau kenangan yang diwarnai oleh pelbagai suka duka dan pahit maung perjuangan. Walaupun penubuhan akademidebat berjalan lancar seawal pendaftaran dengan pengendali tapak web terkemuka negara, akademidebat mengorak langkah lebih bergaya hanya apabila kerangka (layout) yang lebih menarik dan ceria (campuran warna jingga dan hijau) diperkenalkan menggantikan kerangka (layout) hambar berwarna putih dan biru. Selaras dengan matlamat pengasas menjadikan akademidebat tempat berkumpul komuniti debat, ia seharusnya menjadi laman yang menarik untuk dilayari dan bukan sesuatu yang membosankan. Atas iltizam untuk memastikan akademidebat menyusur fesyen terkini, pengasas-pengasas sering membuat perubahan demi perubahan kepada akademidebat. Akademidebat juga terpaksa menghadapi pelbagai tekanan daripada pihak luar yang sering berkesumat melihat kemajuan akademidebat. Pernah dilabelkan oleh segelintir pendebat masa kini sebagai agen propaganda anti-UIAM, akademidebat terus-terusan dikecam apabila menyiarkan artikel dan tulisan mengkritik UIAM tentang mutu dan kualiti debat yang semakin merosot. Hakikatnya, tulisan dan artikel akademidebat adalah hanya satu paparan realiti semasa. Walaupun beberapa pengasas akademidebat kebetulan melakar denai-denai hitam bersama pasukan UIAM yang dikemudi seorang hulubalang jawa bermuka dua, akademidebat tidak seharusnya dipersalahkan apabila cuba mengkritik mutu dan kualiti debat UIAM yang semakin merosot. Baru-baru ini UIAM kalah lagi diperingkat suku akhir dalam Debat Kepenggunaan 2007 menyambung tradisi baru mereka untuk tidak melayakkan diri walaupun ke separuh akhir, yang tidak pernah kita dengar sebelumnya. UIAM sememangnya diambang kehancuran walaupun akademidebat tidak menyiarkannya. Sebagai bekas pendebat dan jurulatih debat UIAM, memang tidak dapat dinafikan kesedihan kami melihat adik-adik yang pernah ditatang dahulunya meringkuk kemas dalam kejahilan, dan tersenyum selesa dalam kebatilan. Tanpa menoleh lagi, mereka mara terus menuju kehancuran dan bersama-sama memugar usaha bagi meranapkan sistem kejurulatihan UIAM yang tersohor suatu ketika dulu. Walaupun bilik latihan kemas diisi bahan-bahan bertulis yang membukit, sistem pancaran tv satelit yang terkini, dan juga kelengkapan kemudahan internet 24 jam, mereka terus lupa bahawa kunci kepada kemaharajaan UIAM suatu ketika dahulu adalah sistem latihan yang komprehensif dan holistik. Pendebat UIAM yang pernah gemilang semuanya perlu melalui sistem ala “ketenteraan” yang tidak dapat dinafikan keberkesanannya dalam membentuk jiwa pendebat yang tulin dan kental menghadapi mara bahaya. Inilah hakikat yang perlu mereka telan, dan akan terus dipaparkan di laman akademidebat. Selagi mana UIAM tidak bangun dan celik dari kealpaan tersebut, dan selagi mana hulubalang sesat itu masih dibenarkan mengemudi UIAM, selagi itulah sumpahan itu akan terus meresap dan merasuk kejiwa-jiwa mereka. Dalam debat 100 jam yang diadakan bagi mencipta rekod Malaysia sekaligus rekod dunia, akademidebat juga telah menghantar wakil bagi menunjukkan sokongan padu terhadap aktiviti debat dalam negara. Pun begitu, usaha akademidebat sekali lagi disalahertikan oleh pendebat-pendebat masa kini yang sering disogok oleh anasir-anasir busuk perut dan iri hati. Akademidebat secara terancangnya dipertemukan dengan pasukan terhebat seantero dunia debat masa kini dalam pertemuan bermula jam 10.00 malam tersebut. Tanpa gentar dan tanpa sangka buruk, akademidebat mara menyahut seruan mereka. Namun, seribu kekesalan membungkam dada apabila perlawanan yang seharusnya dimanfaatkan untuk mengupas isu yang diusulkan dijadikan medan melampiaskan kesumat dan dendam lama. Seorang pendebat yang tersohor dengan gelaran kaloi, sanggup membuat tuduhan melulu terhadap pengasas-pengasas akademidebat yang kononnya agen propaganda dan pemecah belah komuniti debat. Namun, dengan hati terbuka, kami menerima tuduhan liar tersebut sambil mengingatkan mereka bahawa akademidebat tidak akan sirna dari terus memperjuangkan agenda suci kami dalam dunia debat. Kepada saudara kaloi yang membaca artikel ini, kami harap agar dendam anda sudah berakhir. Kami sedia lupakan segalanya. Suka atau tidak, penubuhan akademidebat juga telah membuka mata banyak pihak. Sehinggakan ada sesetengah universiti juga menurut jejak langkah akademidebat melancarkan laman web dan laman sembang mereka sendiri. Namun, usaha tersebut merundung malang apabila laman sembang mereka sehingga hari ini hanya mempunyai ahli seramai tidak lebih daripada 50 orang berbanding akademidebat yang telah mempunyai ahli seramai 338 orang. Jelas usaha yang disandarkan pada dengki dan kesumat tidak akan kemana-mana, apatah lagi kalau ia diselenggara secara sambalewa oleh beberapa ustaz yang kononnya celik IT bersama-sama sebatalion pasukan sorak yang hanya cekap menepuk tangan dan buat bising. Sehingga kini, laman web tersebut hanya mampu menyiarkan tidak lebih daripada 5 artikel ilmiah mahupun ulasan tuntas tentang isu semasa. Selamat berkubur kepada mereka, dan kekallah mereka dengan kebanggaan terhadap analisa syok sendiri dan piala-piala rekaan sendiri mereka. Bagi kami di akademidebat, buah kilas dan tusuk keras merupakan medium kami melontar kritikan. Kami percaya, puji-pujian yang melingkar di bibir sering mengundang kecelakaan dan kebuntuan. Oleh yang demikian, adakalanya artikel dan tulisan yang disiarkan oleh akademidebat disifatkan agak keras dan menekan dengan bahasa-bahasa yang bisa menjengkelkan pembaca. Kami secara terbuka juga memohon maaf atas ketidak selesaan tersebut. Namun, medium tersebut adalah cara kami membentangkan buah fikir, dan ia pasti diteruskan. Menyingkap tirai tahun kedua penubuhan akademidebat, pelbagai perencanaan telahpun difikirkan. Pada bulan May 2007, bagi memulakan sesi kedua akademidebat, pengasas-pengasas akademidebat bersama koresponden timur telah memanjangkan kaki mengunjungi negara Eropah untuk mencari inspirasi meneruskan perjuangan. Percutian ke Amsterdam dan Kota London bolehlah kami sifatkan sebagai pemangkin dan pencetus semangat baru untuk kami terus mengemudi akademidebat. Dalam percutian 10 hari tersebut, kami menghabiskan sebahagian masa dengan Puan Yasmin dan sekeluarga, sahabat lama yang sering berlapang dada menerima kunjungan kami. Atas belas ihsan Puan Yasmin, rombongan akademidebat telah menumpang teduh di kediaman mereka di Voorchoten, Den Hague. Sememangnya banyak cerita suka duka kami di Malaysia sempat kami ceritakan buat pengetahuan Puan Yasmin, yang sebelum ini banyak berkongsi pengalaman bersama kami dalam pasukan debat UIAM. Hakikatnya, bagi beliau yang merupakan seorang profesional yang matang dalam menilai erti hidup, beliau menerima dengan hati terbuka hakikat gejolak materi yang merundung dunia debat umumnya dan UIAM khususnya. Kota London menyambut kami dengan berita perletakan jawatan Tony Blair selaku Perdana Menteri Britain. Dalam kesejukan yang menggigit, kami redahi kota London untuk melihat ketamadunan materi buatan manusia. Sungguh hairan apabila melihat penghuni sebuah negara maju yang penuh disiplin dan tatasusila berbanding penduduk negara sendiri yang tidak beretika. Kami kagum dengan teknologi keretapi bawah tanah mereka, dan dalam masa yang sama lebih kagum tentang ketamadunan pemikiran warga London. Kami sedih mengenangkan hakikat nun di bumi Malaysia tercinta, masih ramai manusia yang hidup atas belas ihsan dan tumbuk rusuk semata-mata sehingga ada yang sanggup menggadai maruah diri dan amanah hanya untuk memperoleh harta dunia yang sementara. Bravo Malaysia. Tahun kedua ini juga sudah pastinya diserikan dengan perkahwinan koresponden borneo, Tuan Mohd Faizi Che Abu dengan isteri tercinta Parvin Hamidah, yang bukan lagi orang asing dikalangan pengasas-pengasas akademidebat. Tahniah diucapkan kepada mereka berdua, semoga jodoh berkekalan sehingga ke liang lahad. Kami di akademidebat akan terus mendoakan bahawa ulat-ulat cinta mereka mekar sepanjang zaman. Akhir kata, lembaran kedua ini harus dipacu kencang oleh kita semua, kami pengasas-pengasas akademidebat dan anda selaku pendokong setia akademidebat. Adalah diharapkan supaya program-program yang direncanakan terdahulu seperti perjumpaan akademidebat dan sebagainya dapat dijalankan pada tahun ini. Akademidebat sentiasa mengalu-ngalukan cadangan dan saranan daripada anda semua, namun semua itu hanya dapat direalisasikan dengan bantuan anda semua juga. Pada kesempatan ini juga saya menyeru agar akademidebat terus dipromosikan kepada pencinta-pencinta debat diluar sana, dan sekiranya ada dikalangan anda yang berkemahiran menulis dan mempunyai artikel atau tulisan yang ingin disumbangkan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi webmaster akademidebat. Usaha anda sedikit sebanyak akan membantu memperkasakan lagi akademidebat. Marilah sama-sama kita mendoakan agar wadah suci ini dipertahankan dari segala unsur kejahatan dan terus mekar dihati semua. Sekian, wassalam. Dari meja kayu Ukay Perdana,
YUSFARIZAL BIN
YUSSOFF |
||||||||||||
|
||||||||||||