akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Titah YDPA

   
 

TITAH SERI PADUKA BAGINDA

YANG DI-PERTUAN AGONG XIII

AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM SULTAN

MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH

 

[Sempena Pembukaan Sidang Dewan Rakyat Penggal ke-12: 29/4/2008

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim

Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wabihi Nasta’in

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera

 

Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara

dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Perasmian Penggal Pertama, Parlimen Kedua Belas.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala pilihan raya umum yang kedua belas telah berjaya dilaksanakan dengan lancar mengikut lunas-lunas demokrasi. Beta melafazkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia dan semua pihak yang terlibat yang telah berjaya mengendalikan pilihan raya tersebut dengan baik. Beta juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat jelata yang telah menunaikan kewajipan dan menggunakan hak mereka untuk memilih sebuah kerajaan. Kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang terpilih, Beta ucapkan tahniah dan berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa menunjukkan tingkah laku yang terpuji demi maruah diri dan negara. Penghormatan dan keyakinan rakyat kepada Parlimen sebagai sebuah badan perundangan tertinggi negara bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jadikanlah Dewan yang mulia ini sebagai

persada untuk menyampaikan teguran yang membina dan pendapat-pendapat yang bernas. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan Dewan yang mulia ini bagi kepentingan politik individu. Justeru, penyertaan aktif dan perbahasan yang berkualiti hendaklah dijadikan keutamaan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri kerana telah membawa ekonomi negara mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran luar seperti pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih sederhana, kenaikan harga minyak mentah dan bahan makanan dunia serta persaingan sengit perdagangan dan pelaburan. Ekonomi negara pada tahun 2007 telah berkembang enam perpuluhan tiga peratus melebihi sasaran enam peratus dan pendapatan per kapita meningkat melebihi dua puluh tiga ribu ringgit. Kadar inflasi kekal rendah pada dua peratus manakala kadar pengangguran pada tiga perpuluhan tiga peratus. Jumlah defisit fiskal pula semakin menurun kepada tiga perpuluhan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar. Lebihan akaun perdagangan luar negara dan peningkatan kemasukan modal pula terus menyumbang kepada pertambahan rizab bersih antarabangsa kepada tiga ratus sembilan puluh perpuluhan satu bilion ringgit mampu untuk menampung selama sembilan perpuluhan tujuh bulan import tertangguh. Perkembangan ini telah memperkukuhkan lagi nilai ringgit.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menghargai kesungguhan Kerajaan Beta melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Sehingga Mac 2008 sebanyak lapan puluh satu perpuluhan tujuh bilion ringgit bersamaan empat puluh perpuluhan lapan peratus daripada peruntukan sebanyak dua ratus bilion ringgit telah dibelanjakan. Ini telah memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor pembinaan dan industri berkaitan pembinaan. Beta berharap kadar pertumbuhan yang mapan ini dapat dikekalkan. Sehubungan ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan hendaklah memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing negara serta menilai semula keutamaan program dan projek pembangunan bagi mencapai lima teras Misi Nasional.

Beta sukacita negara telah dipilih dua tahun berturut-turut sebagai destinasi pelancongan terbaik di dunia. Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya menarik kedatangan pelancong asing dan menjana pendapatan yang melebihi sasaran. Kejayaan ini juga telah membantu meningkatkan lebihan kukuh dalam akaun perjalanan dan buat pertama kali dalam sejarah negara menyumbang kepada lebihan dalam akaun

perkhidmatan imbangan pembayaran negara sejak suku kedua tahun 2007. Atas kejayaan tersebut, Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2008. Sehubungan ini juga, Kerajaan Beta akan terus meningkatkan usaha-usaha meneroka pasaran baru dan menghasilkan produk-produk pelancongan yang lebih menarik. Kejayaan atlet-atlet negara menjuarai beberapa kejohanan antarabangsa seperti skuasy, bina badan dan boling telah melonjakkan lagi minat rakyat dalam bidang sukan. Semoga kejayaan-kejayaan tersebut akan mendorong atlet-atlet negara menempa sejarah merangkul pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik 2008 di Beijing kelak. Beta yakin kejayaan yang lebih besar akan dikecap apabila negara memasuki fasa lima puluh tahun yang kedua selepas kemerdekaan setanding dengan negaranegara maju. Kejayaan tersebut boleh dicapai melalui usaha gigih dan sokongan semua pihak serta semangat permuafakatan pemimpin dan rakyat seperti mana yang diamalkan selama ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta berharap kejayaan-kejayaan yang telah dicapai diperkukuhkan lagi dengan memberi tumpuan kepada usaha-usaha mempertingkatkan daya tahan dan daya saing negara. Ini dapat dihasilkan melalui pemantapan institusi pelaksanaan dan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam, modal insan bertaraf dunia, perpaduan negara dan ketenteraman awam, kesejahteraan dan kemakmuran serta jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa bagi memastikan negara berupaya menghadapi cabarancabaran di era globalisasi. Tumpuan juga hendaklah diberikan kepada inovasi dan pengurusan teknologi yang cekap serta berkesan untuk mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi yang baru. Sehubungan ini, Pelan Tindakan Inovasi Negara telah dirangka untuk mempertingkatkan lagi daya saing negara. Sektor swasta juga perlu bergiat cergas dan memainkan peranan sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara. Inisiatif Pembiayaan Swasta telah diperkenalkan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam berlandaskan perkongsian pintar antara sektor awam, swasta dan institusi kewangan. Dengan persekitaran luar yang semakin mencabar, kita perlu meneroka sumber-sumber pertumbuhan dan pasaran baru di samping memperluaskan pasaran sedia ada, menghasilkan produk dan perkhidmatan baru, membina perkongsian pintar serta mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti. Sehubungan ini, Kerajaan Beta akan terus berunding dengan rakan dagang di peringkat dua hala, pelbagai hala dan serantau bagi memperluaskan lagi pasaran barangan dan perkhidmatan serta menarik lebih banyak pelaburan. Di samping itu, sektor perkhidmatan telah dikenal pasti sebagai sektor untuk dipergiatkan bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi. Justeru, usaha-usaha akan diteruskan untuk menggalak perkembangan dan liberalisasi sektor perkhidmatan bagi memantapkan daya saing sektor tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kerajaan Beta akan terus berusaha memajukan sektor pertanian sejajar dengan matlamat menjadikannya sebagai penjana ketiga pertumbuhan ekonomi negara melalui transformasi daripada pertanian tradisional kepada entiti komersial. Pengeluaran produkutama pertanian dan yang berasaskan pertanian akan memberi tumpuan kepada penyatuan dan pemulihan tanah serta industri asas tani yang akan meningkatkan pendapatan masyarakat tani. Di samping itu, Kerajaan Beta akan berusaha untuk meningkatkan pelaburan sektor swasta termasuk oleh syarikat berkaitan Kerajaan, anak syarikat agensi pertanian serta persatuan dan koperasi petani dan nelayan. Bagi membolehkan sektor perladangan dan komoditi negara terus berdaya saing, Beta berharap program penyelidikan dan pembangunan dipergiatkan lagi untuk mencipta kegunaan baru yang boleh diperdagangkan melalui aktiviti hiliran. Misalnya, pokok kelapa sawit bukan hanya menghasilkan minyak dari buahnya tetapi setiap bahagian pokok boleh menghasilkan produk pelbagai kegunaan. Produktiviti yang lebih tinggi pula boleh dicapai melalui penghasilan klon-klon baru bermutu tinggi, penggunaan teknologi terkini dan amalan pertanian baik yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha ladang dan pekebun kecil. Sektor ini akan terus digalakkan untuk meneroka sumber pertumbuhan baru yang berpotensi seperti tanaman kenaf, sagu, jarak dan bahan biokomposit.

Beta sukacita Malaysia diiktiraf sebagai peneraju pensijilan halal. Standard Halal Malaysia akan diperluaskan pemakaiannya di peringkat antarabangsa khususnya di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam. Penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Taman Halal akan mengukuhkan lagi usaha-usaha mempromosikan Malaysia sebagai hab halal di rantau ini. Ia juga akan menggalakkan aktiviti-aktiviti baru bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan halal di beberapa negeri serta meningkatkan eksport produk halal negara di pasaran antarabangsa.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Usaha-usaha penambahbaikan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam telah mula menampakkan hasil, misalnya pasport antarabangsa Malaysia dan MyKad masing-masing boleh disiapkan dalam tempoh tiga jam dan dua puluh empat jam di cawangan-cawangan utama jabatan berkenaan. Bayaran bil-bil Kerajaan juga telah dapat diselesaikan dalam tempoh empat belas hari. Kini terdapat seribu seratus tujuh puluh empat perkhidmatan dalam talian meliputi kemudahan membuat pertanyaan, mendapat maklumat, penyerahan borang dan membuat bayaran telah disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan kepada orang ramai termasuk komuniti perniagaan. Di samping itu, penubuhan pusat-pusat setempat telah mempercepat dan memudahkan kelulusan pelbagai permohonan. Ini telah dapat mengurangkan kos mengendali perniagaan serta mewujudkan suasana mesra perniagaan. Beta sukacita Perkhidmatan Awam akan meneruskan usaha-usaha untuk meningkatkan kecekapannya. Ini terbukti dengan pengisytiharan Komitmen Perkhidmatan Awam Malaysia 2008 berkonsepkan “Satu Perkhidmatan, Satu Penyampaian dan Dasar Tiada Pintu Yang Salah” yang di dokong oleh enam teras utama bagi memastikan segala matlamat dapat dicapai. Penekanan untuk menyediakan Perkhidmatan Awam kelas pertama merupakan agenda berterusan yang akan menyaksikan lebih banyak penambahbaikan dilakukan. Rakyat sentiasa mahukan perkhidmatan yang berkualiti, cepat dan persekitaran yang kondusif di mana mereka boleh berurusan dengan Kerajaan tanpa mengira waktu dan tempat. Beta berharap usaha-usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan ini akan diteruskan bagi memenuhi kehendak rakyat dan pelabur.

Pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna sekiranya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan masih berlaku. Justeru, seperti mana yang diumumkan oleh Mamanda Perdana Menteri, usaha-usaha pembanterasan rasuah akan dipertingkatkan lagi melalui pengstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah dengan menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta penambahan bilangan pegawai pencegah rasuah. Beta berharap usaha-usaha tersebut akan meningkatkan lagi keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini. Kerajaan Beta adalah komited untuk mengadakan penambahbaikan bagi memperkasakan sistem kehakiman negara supaya terus kekal adil, dihormati dan bebas dari sebarang pengaruh selari dengan hasrat rakyat seperti mana langkah-langkah yang telah diumumkan oleh Mamanda Perdana Menteri baru-baru ini. Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara. Sehubungan ini, Suruhanjaya Pelantikan Hakim akan ditubuhkan bagi membantu menilai serta memilih calon-calon yang sesuai untuk dilantik sebagai hakim atau ke jawatan hakim lebih kanan bagi pertimbangan Mamanda Perdana Menteri dan seterusnya perkenan Beta untuk dirundingi dengan Majlis Raja-Raja.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Pembangunan modal insan yang berkualiti adalah salah satu daripada lima teras Misi Nasional dan merupakan agenda utama Rancangan Malaysia Kesembilan. Dalam persekitaran globalisasi yang cepat berubah, pemilikan sumber asli yang banyak dan teknologi canggih sahaja tidak dapat menjamin kejayaan, pembangunan dan kemajuan negara. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi dan mengamalkan etika kerja positif serta berintegriti juga sama penting dalam memastikan negara akan terus menikmati tahap dan kualiti hidup yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Untuk mencapai matlamat menghasilkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama, pendidikan dan latihan adalah amat penting. Hasil kajian oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapati kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengikuti Program Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Permata Negara atau PERMATA mempunyai perkembangan emosi, sosial, intelek, rohani, pengurusan diri dan kemahiran komunikasi yang tinggi. Sehubungan ini, kurikulum dan kaedah pembelajaran PERMATA sesuai untuk diperluaskan penggunaannya dalam pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara. Beta sukacita dengan kesungguhan Kerajaan Beta melaksanakan pembangunan modal insan di peringkat sekolah dan di peringkat pengajian tinggi melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Beta yakin kedua-dua pelan tersebut mampu merealisasikan Misi Nasional dan mengangkat sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi. Sehubungan ini, satu atau dua Universiti Apex akan ditubuhkan. Modal insan yang berkualiti di kalangan belia akan terus dipertingkatkan melalui program-program latihan di Institut Kemahiran Belia Negara dan Sistem Latihan Dual Nasional yang bertujuan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berketerampilan dan berdaya saing selaras dengan kehendak industri.

Seiring dengan pembangunan modal insan dan dalam usaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, infrastruktur jalur lebar adalah amat penting untuk menganjak kepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Sehubungan ini, Kerajaan Beta telah menyasarkan untuk meningkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah kepada lima puluh peratus menjelang tahun 2010.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kunci kejayaan negara selama ini adalah hasil daripada kestabilan politik dan perpaduan kaum. Sehubungan ini, Beta menyeru semua pihak memikul tanggungjawab memastikan semua kaum bersatu padu dan menangkis segala cubaan untuk memecahbelahkan rakyat. Pada keseluruhannya Beta berpuas hati dengan prestasi Polis Diraja Malaysia dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam. Namun, masih ada ruang untuk penambahbaikan. Untuk ini, pelbagai tindakan sedang dan akan diambil untuk menjadikan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah pasukan terunggul, antaranya menambah pengambilan anggota, membina pusat-pusat latihan baru, menyediakan modal insan yang berkualiti, menambah keperluan logistik dan mewujudkan balai-balai polis di taman-taman perumahan. Beta menyeru rakyat jelata untuk turut sama memikul tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam melalui penyertaan dalam Rakan Cop, Ikatan Relawan Rakyat, Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela.

Angkatan Tentera Malaysia terus berperanan penting mempertahankan kedaulatan negara khususnya di sepanjang sempadan negara. Penubuhan Rejimen Sempadan merupakan kesinambungan dasar Kerajaan Beta ke arah mengawal keselamatan negara secara komprehensif bagi mencegah aktiviti-aktiviti jenayah lintas sempadan seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat jelata. Beta juga sukacita perairan negara berada dalam keadaan lebih selamat dan terkawal sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dua tahun yang lalu. Kes-kes pelanunan telah menurun dan ini meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keselamatan perairan negara.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, Kerajaan Beta akan memastikan semua rakyat dapat menikmatinya. Pembangunan ekonomi tidak hanya tertumpu kepada kawasan-kawasan tertentu tetapi akan meliputi seluruh negara. Sehubungan ini, Beta berharap pelaksanaan lima koridor pembangunan ekonomi wilayah akan menggiatkan lagi aktiviti ekonomi, menaikkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan serta mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, negeri dan wilayah. Lebih dua belas juta pekerjaan akan diwujudkan dalam pelbagai sektor ekonomi. Pelbagai insentif telah disediakan di samping pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta terutamanya pelabur tempatan di koridor-koridor tersebut. Beta juga sukacita sehingga kini sejumlah tiga puluh tiga bilion ringgit pelaburan akan dilaburkan dalam sektor hartanah, pelancongan dan rekreasi di wilayah Iskandar Malaysia.

Beta berbangga atas kejayaan Kerajaan Beta mengurangkan kadar kemiskinan kepada tiga perpuluhan enam peratus berbanding tujuh puluh lima peratus semasa negara mencapai kemerdekaan. Manakala kemiskinan tegar pula telah berjaya dikurangkan kepada kosong perpuluhan tujuh peratus. Beta yakin kemiskinan tegar akan dapat dihapuskan menjelang tahun 2010. Pelbagai program akan terus  dilaksanakan antaranya Pelan Strategi dan Penambahbaikan Program Pembasmian Kemiskinan, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan yang terbaru iaitu Program Lonjakan Mega Luar Bandar berkonsepkan agropolitan yang merupakan projek pembangunan bersepadu meliputi komponen pembangunan sumber manusia, ekonomi dan fizikal berasaskan pertanian.

Kerajaan Beta sedar akan kewujudan kemiskinan di bandar. Sehubungan ini, Sistem Maklumat Kemiskinan Bandar telah dibangunkan bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dengan berkesan. Pusat Sejahtera pula telah ditubuhkan bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar di bandar mendaftar dan memohon bantuan serta menyertai Program Membina Keupayaan Keluarga Cemerlang. Kerajaan Beta juga sedar terdapat segolongan rakyat yang berpendapatan rendah termasuk peniaga kecil, nelayan dan petani menghadapi masalah mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah kerana tidak berpendapatan tetap. Sehubungan ini, Skim Pinjaman Perumahan Berjamin telah dilancarkan bagi membolehkan golongan ini membeli rumah kos rendah dan kos sederhana.

Kejayaan yang dicapai oleh FELDA membuktikan Kerajaan Beta telah berjaya membasmi kemiskinan. Kini, FELDA memberi penekanan khusus untuk memperkasa generasi kedua dan ketiga melalui lapan inisiatif baru melibatkan peruntukan sebanyak seratus sembilan juta ringgit. FELDA juga akan terus memperkukuhkan aktiviti yang bukan berasaskan perladangan. Pelaksanaan program tersebut akan dipercepatkan bagi menjamin pembangunan usahawan dengan memberi penekanan kepada industri kecil dan sederhana serta pembangunan kraf. Kejayaan seumpama ini wajar diteladani oleh agensi-agensi lain yang berkaitan dengan pembangunan tanah, perladangan dan masyarakat luar bandar.

Beta sukacita usaha gigih Kerajaan untuk membasmi kemiskinan telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini telah menyuntik semangat Kerajaan Beta untuk menggiatkan lagi usaha-usaha membasmi kemiskinan dengan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan kumpulan sasar. Sehubungan ini, Beta juga sukacita dengan usaha Kerajaan memperkenalkan program Tanggungjawab Sosial Korporat dan Beta menyeru sektor swasta bersama-sama memberi sokongan terhadap program tersebut. Kerajaan Beta akan meneruskan usaha-usaha bagi memperluaskan penyediaan kemudahan asas di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Pembangunan masyarakat Orang Asli juga akan dipertingkatkan meliputi bidang pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas. Selain itu, pembangunan ladang getah dan kelapa sawit merupakan strategi utama bagi menambahkan pendapatan dan sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan rakyat serta memodenkan sistem kesihatan negara, Kerajaan Beta juga tidak lupa kepada amalan perubatan tradisional yang juga berkesan untuk merawat penyakit. Sehubungan ini, beberapa langkah telah diambil untuk mengintegrasikan amalan perubatan tradisional dan komplementari yang terbukti berkesan secara saintifik ke dalam sistem kesihatan negara. Untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat bagi keselesaan rakyat, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam akan diambil alih daripada pihak berkuasa tempatan supaya ia diurus dengan lebih cekap.

Dalam sektor pengangkutan, Kerajaan Beta sedang mempergiatkan usaha untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar-bandar utama, antara bandar, pengangkutan berasaskan rel serta pengangkutan udara. Berdasarkan pertambahan penumpang pengangkutan udara termasuk perkhidmatan udara tambang murah, sebuah terminal pengangkutan tambang murah yang tetap akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Semoga semua usaha ini akan meningkatkan lagi integrasi nasional dan industri pelancongan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta berbangga kerana Kerajaan Beta telah menyediakan pelbagai subsidi bagi membendung kenaikan harga barang dan meringankan beban perbelanjaan rakyat. Dalam tahun 2008, lebih tiga puluh enam bilion ringgit telah diperuntukkan bagi memberi subsidi dan pelbagai bantuan kepada rakyat. Ini meliputi gas, diesel, petroleum, pertanian, kesihatan dan pendidikan dari pra-sekolah sehingga ke pengajian tinggi serta golongan warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal. Kerajaan Beta juga akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan pemberian subsidi dan pelbagai bantuan lain demi kesejahteraan rakyat.

Paras harga minyak di pasaran antarabangsa yang tinggi telah memberi kesan langsung kepada harga  barangan dan perkhidmatan. Sehubungan ini, Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk mengenakan kawalan harga dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan untuk membendung kenaikan harga demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Usaha-usaha ini sahaja tidak mencukupi. Rakyat hendaklah bijak dengan berbelanja di tempat-tempat yang menawarkan harga berpatutan. Beta kesal kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang menyalah guna kemudahan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan ke atas barangan perlu dengan menyorok dan menyeludup barangan tersebut ke luar negara untuk mengaut keuntungan besar. Perbuatan tersebut adalah sangat hina kerana mendatangkan kesusahan dan merampas hak rakyat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Globalisasi dan proses perbandaran merubah corak dan perkembangan ekonomi, sosiobudaya serta sistem nilai dalam sesebuah masyarakat. Usaha-usaha bagi menangani perubahan ini memerlukan tindakan bersepadu dan komitmen semua pihak. Sehubungan ini, Kerajaan Beta telah memulakan langkah yang tepat dan bijaksana untuk melaksanakan Transformasi Kebajikan Masyarakat bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian kepada kumpulan sasar, memperluaskan jangkauan ke peringkat akar umbi lantas memudahkan proses integrasi mereka ke dalam masyarakat.

Pembangunan kerohanian juga penting bagi meningkatkan kesejahteraan ummah. Beta memandang berat gejala sosial seperti penagihan dadah, penyelewengan akidah dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam. Tindakan tegas perlu diambil secara bersepadu bagi memastikan supaya pembangunan modal insan dan kerohanian selari dengan pendekatan Islam Hadhari. Kepelbagaian seni, budaya dan warisan merupakan aset berharga bagi rakyat Malaysia yang berlatar belakang pelbagai kaum, budaya dan agama. Sehubungan ini, Kerajaan Beta akan terus melaksanakan program-program merakyat, menyemarakkan dan mengekalkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan di negara ini.

Penekanan  akan diberikan kepada aspek mengkomersialkan produk-produk seni dan warisan supaya rakyat turut mendapat manfaat dan peluang meningkat taraf hidup. Fenomena pemanasan global yang mengakibatkan kenaikan suhu persekitaran dan ketidakseimbangan ekosistem merupakan isu yang kini diberi fokus di peringkat antarabangsa. Kerajaan Beta akan memberi penekanan yang lebih terhadap pembangunan lestari selaras dengan pengiktirafan kepada negara sebagai salah sebuah daripada dua belas buah negara mega biodiversiti di dunia. Bagi memenuhi komitmen Malaysia kepada Protokol Kyoto, penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui melalui Pelan Tindakan Tenaga Yang Boleh Diperbaharui akan digalakkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa adalah penting bagi memastikan keamanan dan kestabilan di samping meningkatkan kemakmuran serta daya saing negara. Sehubungan ini, Beta berbangga dengan kejayaan-kejayaan yang terus diraih dalam usaha meningkatkan imej dan kewibawaan negara di arena antarabangsa. Hubungan Malaysia dengan negara-negara lain terutamanya negara-negara jiran akan terus diperkukuhkan merangkumi pelbagai bidang.

Beta berbangga Malaysia terus memainkan peranan penting dalam organisasi-organisasi antarabangsa. Beta mengucapkan tahniah di atas kejayaan negara terpilih menganggotai Lembaga Eksekutif UNESCO, UNICEF, Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sains dan Teknologi Bagi Pembangunan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kejayaan-kejayaan tersebut membuktikan kepercayaan masyarakat antarabangsa kepada keupayaan Malaysia dalam memberi sumbangan kepada kesejahteraan dunia. Beta berharap usaha-usaha mempertingkatkan kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala dapat dipergiatkan lagi bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di tahun-tahun mendatang.

Beta mengambil maklum bahawa negara kita telah menyerahkan jawatan pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam kepada Senegal setelah menerajuinya sejak Oktober 2003. Selama tempoh tersebut Malaysia telah berjaya memartabatkan imej Islam di persada dunia yang sebelum ini sering diberi tanggapan negatif oleh pihak-pihak tertentu. Malaysia juga telah berjaya melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan sosioekonomi umat Islam. Beta amat bangga dengan sumbangan yang diberikan dan yakin Malaysia akan terus berperanan aktif walaupun tidak lagi memimpin organisasi tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menghargai sumbangan anggota-anggota Perkhidmatan Awam terutama mereka yang berkhidmat melebihi kebiasaan dan menghadapi pelbagai ancaman serta risiko. Pengorbanan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam memelihara keselamatan dan keamanan negara juga amat dihargai.

Pilihan raya umum telah pun berlalu dan rakyat telah memberi mandat sekali lagi kepada Kerajaan untuk mentadbir negara. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menunjukkan sifat dan tingkah laku yang terpuji agar nama baik Dewan yang mulia ini sentiasa terpelihara. Laksanakanlah kepercayaan yang diberi oleh rakyat dengan mengambil bahagian yang aktif dengan penuh tanggungjawab dalam semangat demokrasi berparlimen.

Akhirnya Beta menyeru Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat supaya menjalankan tugas dan kewajipan yang diamanahkan oleh rakyat dengan ikhlas, jujur, amanah dan berhemah tinggi demi kepentingan negara.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamu Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian