|
|||||||||||||||||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
|||||||||||||||||||||||||||
|
|||||||||||||||||||||||||||
|
SEJARAH PENUBUHAN KESATUAN EROPAH (EU)
6/3/2007: Kesatuan Eropah (EU) adalah sebuah kesatuan yang ditubuhkan antara kerajaan negara-negara bangsa di Eropah. Ia ditubuhkan pada 1992 melalui “Treaty on European Union” (The Maastricht Treaty), dan merupakan pewaris de facto kepada 6 ahli European Economic Community yang diasaskan pada 1957. Setakat ini keahliannya berjumlah 27 buah negara. EU sekarang ini adalah merupakan pertubuhan politik dan ekonomi yang terbesar di Benua Eropah, dengan jumlah penduduk seramai 493 juta orang dan mempunyai angka Keluaran Negara Kasar (KNK) berjumlah €10.5 ($13.7) trilion. Pada masa ini, EU mempunyai matawangnya sendiri yang dinamakan matawang EURO (“€”). Tetapi hanya 13 buah negara EU sahaja yang menggunakan matawang EURO ini.
EU juga mempunyai institusi dan badan-badan penting iaitu Suruhanjaya EU (European Commission), Majlis EU (Council of the European Union), Bank Pusat EU (European Central Bank), Mahkamah Keadilan EU (European Court of Justice) dan Parlimen EU (European Parliament). Setiap warganegara bagi ahli-ahli EU adalah merupakan warganegara EU, yang memilih serta melantik wakil-wakil ke Parlimen EU, setiap 5 tahun sekali. Dari sudut sejarahnya, EU dijelmakan daripada pertubuhan perdagangan Eropah Barat yang berkembang menjadi sebuah pertubuhan antara negara bangsa sebagaimana hari ini. Selepas Perang Dunia Kedua, kerjasama antara negara bangsa di Eropah telah menjadi asas kepada pembinaan semula Eropah dan penghapusan simptom kemungkinan wujudnya perang dunia ketiga. Usaha pembentukan Kesatuan ini pada asasnya telah di cadangkan oleh Jean Monnet, seorang negarawan perancis, kemudian disusuli oleh cadangan Menteri Luar Perancis ketika itu iaitu Robert Schuman (lihat gambar sebelah). Cadangan yang dikenali sebagai Deklarasi Schuman (Schuman Declaration) telah membuahkan hasil sehingga terbentuknya Komuniti Batu Arang dan Besi Eropah (European Coal And Steel Community) [“ECSC”] pada tahun 1952 yang menyelaraskan kerjasama antara negara anggota iaitu Perancis, Jerman Barat, Itali , Belgium, Belanda dan Luxembourg berkaitan industri arang batu dan besi. Disinilah bermulanya konsep kawasan dagangan bebas antara negara anggota dimana kesemua negara anggota boleh menjalankan kegiatan berkaitan industri berkenaan secara bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang dan peraturan peringkat domestik.
1. Treaty of Paris (18 April 1951) Perjanjian ini telah bertindak sebagai asas kepada perjanjian seterusnya iaitu Treaty Of Rome 1957 2. Treaty Of Rome (25 Mac 1957) Perjanjian ini telah mendorong kepada wujudnya dua badan iaitu Komuniti Tenaga Atom Eropah (European Atomic Energy Community - EURATOM) yang bertindak menjalankan kajian dan peraturan berkaitan tenaga atom) dan Komuniti Ekonomi Eropah (European Economic Community (EEC atau Common Market)) yang melaksanakan konsep perdagangan bebas antara negara anggota di dalam sektor ekonomi. 3. Merger Treaty (8 April 1965) Perjanjian ini telah membuka ruang kepada penubuhan beberapa institusi bersama sesama negara anggota untuk menjaga konsep perdagangan serantau mereka termasuklah Majlis Menteri-menteri (Council of Ministers), Suruhanjaya Eropah (European Commision), Parliamen Eropah (European Parlimen), Mahkamah Keadilan (Court of Justice) dan Majlis Eropah (European Council). 4. European Single Act (26 Februari 1986) Akta pertama yang digubal untuk memberi kuasa kepada Parlimen Eropah untuk mewujudkan satu zon dagangan bebas antara masyarakat Eropah terutama dari segi ekonomi. 5. Maastricht Treaty (Disember 1991) Perjanjian ini memberikan ruang yang lebih luas kepada pengenalan matawang serantau Euro, penubuhan Bank Eropah, dan kewarganegaraan Eropah kepada semua rakyat negara anggota.
Gambar menunjukkan majlis menandatangani Treaty of Rome pada 1957
Kini segala-galanya sudah boleh dikatakan lengkap bagi negara-negara Eropah untuk membentuk satu pakatan serantau yang kuat dan utuh samada dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial. Kesimpulannya, kewujudan Kesatuan Eropah yang kita kenali pada hari ini bermula dengan satu idea individu untuk mewujudkan satu kuasa serantau yang boleh menyaingi kuasa lain di dunia terutama didalam bidang ekonomi termasukalah Amerika Syarikat dan Jepun. Kita selaku masyarakat Malaysia patut mengambil iktibar dan adalah tidak mustahil bagi rantau Asia Tenggara ini atau pun Asia secara keseluruhannya boleh mewujudkan kesatuan yang sama kuat malah lebih kuat daripada mereka. MUHD AZMI BIN TALIB # adalah koresponden AD, juga bekas pendebat dan jurulatih UIAM
|
|||||||||||||||||||||||||||
|
|||||||||||||||||||||||||||