akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Debat Perpaduan 2006

   
 

 

DEBAT PERPADUAN 2006: SEPARUH AKHIR ANTARA UM –LWN- UIAM CETUSKAN KONTROVERSI, MEMALUKAN MADUM!!

 

Oleh:  Wan Rohimi Bin Wan Daud

 

18/12/2006:   Lewat waktu ini kesibukan melanda kami di AD. Pertandingan debat yang diadakan hampirkan setiap minggu selepas pertandingan Debat Diraja 2006 di UNIMAS, kemudian diikuti pula dengan Debat IKIM, dan kini sedang berlangsung pula pertandingan Debat Perpaduan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Esok dijadualkan pertandingan akhir Debat Perpaduan 2006 yang bakal menemukan UKM selaku tuanrumah dengan UIAM. Disebabkan kesibukan yang amat mencengkam ini, di waktu hujung tahun sewaktu semua akaun hendaklah diaudit dan ditutup, menjelang pengistiharan bonus tahunan kepada kakitangan-kakitangan swasta, dan keuntungan tahunan kepada majikan-majikan swasta, maka kami di AD memohon jutaan ampun dan maaf kerana tidak dapat bersama dalam Debat Perpaduan dan justeru, tidak dapat memberikan maklumat langsung kepada semua penghuni laman web ini. Walau apa pun keadaannya, perkembangan-perkembangan menarik pertandingan debat akan sentiasa disampaikan kepada kami oleh pendebat-pendebat, para pemerhati, pegawai-pegawai universiti, urusetia-urusetia pertandingan secara percuma, kerana kami di AD juga berkhidmat secara percuma. Walau pun sesetengah orang mempersoalkan kami mungkin mendapat “untung” dari perkara-perkara lain, saya tidak pasti, kerana yang kami pasti segala yang kami lakukan ialah untuk manfaat terbaik kepada semua, tanpa sebarang orientasi keuntungan. Jika kami terpaksa mengkritik, mendedahkan kepincangan, itu juga adalah manfaat kepada yang cintakan dunia debat menjadi landasan yang adil untuk meningkatkan pembangunan modal insan kepada anak bangsa kita. Jika ada yang menuduh laporan kami berat sebelah, itu juga mungkin benar, kerana kami tidak memilih “jalan selamat” mahupun “playsafe” dalam laporan kami jika ada mangsa yang teraniaya. Kami berpendirian bahawa yang teraniaya perlu dibela dalam semua keadaan. Kami tidak mahu dan tidak akan menjunjung sikap "assobiyah" kerana baginda s.a.w bersabda (mafhumnya): "Bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang menyeru kepada assobiyyah, bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang berjuang atas dasar assobiyyah, dan bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang gugur atas jalan assobiyyah. Maka bertanyalah seorang sahabat (r.a), siapa itu assobiyyah Ya Rasulullah (s.a.w), baginda menjawab: yakni orang-orang yang membantu saudaranya di atas dasar kezaliman". Jika ramai pejuang sanggup “berhujan peluru bermandi darah” untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan, maka dalam konteks debat, kami bersama-sama dengan mereka. Menongkah arus dan menjadi pendokong haluan kiri dalam sestengah keadaan adalah perlu untuk “check and balance” dan menjadi faktor pengimbang kepada pola penyalahgunaan kuasa yang semakin menghimpit kita semua. Presiden Hugo Chavez (venezuela), Kim Jong-il (Korea Utara) dan Presiden Mahmoud Ahmadinejad (Iran) amat ditakuti Presiden Bush yang bacul itu, walau pun nama-nama ini adalah berpendirian kiri dalam konteks politik antarabangsa. Tetapi dalam sejarah dunia, golongan berhaluan kiri sentiasa digeruni kerana prinsip, jihad dan kebenaran yang dipegang tidak akan dapat digoyangkan walau pun mereka dihumban ke lubang kubur! Walau pun mereka kelihatan tidak bermaya, tiada kekuatan, tiada sokongan, tetapi usiklah mereka jika ada yang ingin merasai bahang neraka  yang akan diutuskan ke dunia anda serta-merta!

Tentu sekali apa yang bakal dihidangkan di sini, pada kali ini, pada ketika ini, amat memual dan menjijikkan kita semua. Tetapi yang menyedihkan kita, nama baik MADUM akan terpalit sama. Semuanya gara-gara tindakan Ketua Teknikal Hakim dan sekutunya yang membuat tindakan yang amat tidak profesional, "mala fide" dan jauh dari mencerminkan penglibatan dan pengalaman yang terlalu lama dalam MADUM.

Baiklah, biarlah saya meneruskan pena dengan memperihalkan apa sebenarnya yang berlaku pada hari semalam, menjelang pertandingan suku akhir antara UM –lwn- UIAM, dan pagi tadi, sewaktu pertandingan separuh akhir yang juga melibatkan pasukan yang dari univerisiti yang sama.

Pada Debat Perpaduan kali ini, UM dan UIAM sama-sama menghantar dua pasukan ke pertandingan tersebut. Alkisahnya pasukan Universiti Malaya 2 (UM2) dibarisi oleh Azri Zahir Bin Azmi, Azizi Bin Abu Bakar Teoh, Mohd Zulpadhli Khairuddin dan Udesh Chafkar Bashkaran (selaku simpanan). Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 1 (UIAM1) membariskan Syazwan, Nurul Husna, A. Akhiruddin @ Boy A. Acho dan Adira Adnan (dua pasukan ini berentap pada pertandingan separuh akhir). Di kesempatan ini saya memohon maaf jika nama-nama pendebat telah tersilap ejaan, kerana maklumat ini saya terima melalui panggilan telefon sahaja, dan tidak mempunyai masa untuk mengakses nama penuh semua yang terlibat. Bagi pasukan UM1 dan UIAM2, saya tidak mempunyai pengetahuan tentang nama-nama pendebatnya, khabarnya mereka membariskan muka baru yang masih belum ternama.

Menjelang pertandingan suku akhir pada 17-12-2006, ditakdirkan Tuhan UM2 telah dijadualkan bertemu dengan pasukan UIAM2. Pasukan UM2 ditakdirkan Tuhan mengalami musibah yang besar iaitu masalah ketidakcukupan anggota pasukan. Zulpadhli atau lebih dikenali sebagai “Otel” terpaksa meninggalkan pertandingan kerana terpaksa berkejar ke Kelana Jaya, untuk sama-sama mengikuti rombongan ahli keluarganya menghantar ibupaba mereka menunaikan haji ke Makkatul Mukarramah. Kiranya sikap Otel ini wajar disanjung kerana sanggup meninggalkan debat, yang menjadi kegilaan hidup remajanya di kampus UM, semata-mata untuk mengiringi ibubapanya dengan kehadirannya secara fizikal dan doa. Syabas Otel, kerana masih mengutamakan keluarga dari kegilaan mengejar piala dan glamor dunia debat. Ditakdirkan Tuhan lagi, seorang lagi anggota pasukan UM2, iaitu pendebat simpanan, Udesh, terpaksa balik kampung dengan segera kerana ingin menziarahi atuknya yang sedang “nazak”. Sikap Udesh ini juga wajar dipuji atas alasan yang sama. Maka dengan kedua-dua pendebat UM2 ini terpaksa meninggalkan debat, pasukan UM2 terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri daripada meneruskan pertandingan. Hal ini diputuskan oleh UM2 kerana menyedari bahawa pasukan yang tidak mempunyai anggota yang cukup tidak boleh lagi meneruskan pertandingan, dan jika pun mereka mahu meneruskan, kita semua pasti boleh bersetuju bahawa mereka tidak layak, dan wajar diisytiharkan kalah. Maka UM2 sekonyong-konyongnya berjumpalah akan Ketua Hakim pertandingan tersebut, iaitu En. Fauzi Othman (seorang Hakim Anugerah Tertinggi MADUM dari UTM) dan memaklumkan tentang masalah mereka.

Disebalik peraturan biasa yang kita tahu, En. Fauzi Othman bertindak lebih bijak kerana menolak permintaan tersebut dan mengajak hakim-hakim yang lain pada waktu itu untuk membincangkan masalah pasukan UM2 tersebut. Untuk rekod, En. Fauzi pada waktu ini bersama-sama dengan 4 hakim yang lain, iaitu En. Tajul (UiTM), seorang pegawai UTP dan 2 lagi Hakim daripada Urusetia, pegawai Jabatan Perpaduan. Setelah berbincang dengan panel hakim yang lain, En. Fauzi Othman, atas kesedaran dan ihsan kemanusiaan, telah memanggil kedua-dua pasukan UIAM2 dan UM2, dan menyatakan rasional bahawa oleh kerana pertandingan tersebut adalah peringkat suku akhir, adalah tidak wajar ada pasukan menarik diri, kerana banyak pertimbangan lain yang diambil kira bagi kepentingan dan kemeriahan pertandingan. Maka En. Fauzi meminta kebenaran (penting untuk dihitamkan dan digariskan) kedua-dua pasukan untuk meneruskan pertandingan tersebut, dan mencadangkan pasukan UM2 tidak menarik diri, sebaliknya mengambil seorang anggota simpanan pasukan UM1 (yang tidak layak ke suku akhir) untuk menyertai pasukan UM2. Permintaan ini dipersetujui, tidak dibantah dan disahkan sebulat suara  oleh UIAM2 (dan pastinya dipersetujui oleh lain-lain pendebat mereka, termasuklah Jurulatih dan pegawainya). UIAM2 kononnya dengan “macho”nya berkata: “Takde masalah, ini hal kecik sahaja”. Persetujuan ini melegakan semua pihak, dan membayangkan kebijaksaan En. Fauzi dan panel hakim yang lain dalam mengendalikan suasana yang jarang berlaku ini. Maka dengan itu UM2 telah mengambil anggota simpanan pasukan UM1, iaitu seseorang yang bernama Lee Ong Yam, dan pertandingan suku akhir tersebut diteruskan.

Ditakdirkan Tuhan lagi (tetapi tentunya Tuhan tidak mengutuskan takdir tanpa usaha), maka UM2 telah memenangi pertandingan suku akhir tersebut dengan penuh bergaya dengan mengalahkan pasukan UIAM2 dengan Juri: 5 – 0, Margin: 6.5, dan Pendebat Terbaik disandang oleh pendebat UM2 iaitu, Azizi Bin Abu Bakar Teoh.

Maka dengan kemenangan itu, UM2 akan bertemu pula pasukan UIAM1 pada pertandingan peringkat separuh akhir. Tup tup, menjelang pertandingan separuh akhir pada pagi tadi, terdapat desas desus bahawa Jawatankuasa Teknikal Hakim MADUM akan membatalkan pertandingan suku akhir antara UM2 dan UIAM2, serta akan memberikan kemenangan percuma kepada UIAM2 (walau pun setelah perlawanan dijalankan dan keputusan diumumkan oleh panel hakim yang diketuai oleh En. Fauzi Othman selaku Ketua Hakim pertandingan tersebut). Jika ini berlaku, tentulah UIAM2 akan secara otomatik bertanding sesama universiti mereka menentang UIAM1. Khabarnya kontinjen UIAM telah membantah keputusan tersebut, sebagai tidak sah, kononya kerana UM2 mengubah anggota pasukan. Bantahan ini dibuat selepas UIAM2 kalah dengan teruknya. (Dah kalah baru nak bantah, awal-awal setuju dengan penuh lagak!). Satu lagi khabar angin yang bertiup ialah bahawa UM2 akan dibenarkan berdebat pada separuh akhir tetapi dengan 2 orang pendebat sahaja.

Maka ditakdirkan Tuhan pertandingan separuh akhir pun bakal bermula. Tetapi sebelum pertandingan separuh akhir bermula, seorang hakim (saya anggapkan sebagai Ketua Hakim pertandingan tersebut), maka UM2 telah dimaklumkan oleh Hakim itu bahawa Jawatankuasa Teknikal MADUM telah memutuskan 2 syarat kepada UM2   iaitu:

1.                  Samada UM2 diisytihar kalah pertandingan suku akhir semalam kerana tidak cukup anggota, dan UIAM2 diberikan kemenangan percuma dan dibenarkan ke pertandingan separuh akhir tersebut; ATAU (hendaklah dibaca secara alternatif atau pilihan)

2.                  UM2 tidak boleh berdebat dengan 3 pendebat, sebaliknya hanya dengan 2 pendebat sahaja, iaitu Azri dan Azizi  sahaja yang merupakan anggota asal pasukan UM2. Penyertaan Lee Ong Yaw dibatalkan.

#          apakah yang dapat anda saksikan dari 2 syarat ini, bukankan ia bermakna satu syarat sahaja?. Membenarkan pasukan debat berdebat dengan 2  pendebat sahaja, menentang pasukan yang berdebat dengan 3 pendebat membawa maksud KEKALAHAN yang pasti kepada pasukan 2 pendebat, kerana markah bagi seorang pendebat akan menjadi kosong (“0”). Maksud yang lebih dalamnya ialah pasukan UIAM1 (yang bakal bertemu UM2) akan pasti menang, dan akan berentap di pertandingan akhir.

Oleh kerana hakim telah memberikan pilihan yang tidak adil ini kepada UM2, maka UM2 dengan nada protes memilih untuk meneruskan pertandingan dengan 2 pendebat sahaja, walau pun pasti bahawa mereka akan kalah. Maka berlangsunglah pertandingan separuh akhir Debat Perpaduan 2006, sepertimana pertandingan tinju yang mana seorang peninju diikat kaki dan tangannya! Maka berlangsunglah pertandingan lawan pedang tetapi seorang peserta dihalang dari membawa pedang! Justeru berlangsunglah pertandingan debat antara UIAM1 dengan 3 pendebat, melawan UM2 dengan 2 pendebat! Menarik bukan? Ini adalah sejarah pertandingan yang pertama di dunia, yang pertama di Malaysia. 3 lawan 2! Dan diputuskan oleh Ketua Teknikal Hakim MADUM, dan hendaklah dianggap sedemikian kerana dalam sesuatu pertandingan Ketua Teknikal Pertandingan adalah yang berkuasa menentukan keputusan akhir sesuatu kerumitan pertandingan! Tetapi harus diingat, keputusan Ketua Teknikal Hakim MADUM hendaklah berdasarkan peraturan yang sedia ada, dan bukannya berdasarkan selera mahupun nafsu sendiri. Kiranya minggu ini akan ada dua rekod berkenaan debat “Malaysia Book of Records – satu Debat 100 Jam UiTM yang bakal diadakan esok, dan satu lagi debat separuh akhir antara UIAM1 yang sihat dengan 3 pendebat, menentang UM2 yang cacat, dengan 2 pendebat, dan rekod ini telah disahkan pada pagi tadi.

Untuk rekod, pertandingan separuh akhir yang cacat ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan diadili oleh 5 hakim iaitu: En. Tajul (UiTM) selaku Ketua Hakim, En. Zalirizal (UPM), Ust. Manan (KUIM) dan 2 hakim dari Jabatan Perpaduan -  Untuk rekod yang lebih jelas, En. Tajul, En. Zalirizal dan Ust. Manan adalah Hakim Anugerah Kelas Tertinggi MADUM (sekarang ditukar nama kepada Anugerah Hakim Berjasa).

Saya tidak hairan kenapa UM2 memilih untuk meneruskan debat dengan 2 orang! Pertama atas dasar protes memandangkan pilihan yang diberikan MADUM tidak menggambarkan kewarasan dan berat sebelah. Kedua, tentunya kesempatan ini akan digunakan untuk menghancurkan pasukan UIAM1 baik dari segi nama mahupun kredibiliti kerana dilihat telah melibatkan campurtangan Ketua Teknikal Hakim MADUM, yang merubah keputusan walau pun dipersetujui sebelumnya (juga oleh Hakim Anugerah Tertinggi MADUM – En. Fauzi Othman), oleh UM2 dan UIAM2 (merujuk kepada pertandingan suku akhir). Debat ini pada hemat saya bukan pertandingan, tetapi lebih kepada lambang pertembungan musuh tradisi untuk melampiaskan sisa-sisa hayat pasukan UM2. Ketiga dan paling penting, UM2 menjunjung semangat “anak Melayu sekali menghunuskan keris, pantang menyisipnya kembali”. Walau pun mereka tahu mereka akan kalah (kerana markah satu pendebat akan pasti kosong), tetapi menjadi pantang kepada mereka untuk menyerah kalah!!!. Tetapi yang paling menarik, UM2 tidak keseorangan dalam protes ini, keseluruhan dewan yang menyaksikan pertandingan tersebut memberikan sokongan penuh dan padu kepada UM2, melainkan penyokong-penyokong UIAM sahaja. Nampak jelas sekali protes sekelian warga dewan, dan memperlecehkan sikap UIAM yang jelas tidak profesional dan tidak matang.

Maka bertarunglah UM2 yang cacat itu, dengan UIAM1 yang sihat. Keputusannya tentulah kita sedia maklum. Tidak mungkin UM2 akan menang. Dalam sistem juri bersyarat yang diamalkan MADUM (iaitu sistem juri yang mesti memberikan markah, dan tidak boleh memberikan kalah menang tanpa markag) UIAM1 dengan pasukan yang lengkap akan pasti menang. Maka dengan tersengih-sengih kegembiraan, UIAM diistiharkan menang. Melompat-lompatlah UIAM kerana esok hari mereka akan menjelajah pentas pertandingan akhir. Seronok bukan kepalang lagi pegawai UIAM, kerana jika menang mereka akan menjadi orang pertama tersengih-sengih mengejar kamera wartawan. Ketua Hakim pun mengistiharkan UIAM menang. Bersoraklah kem UIAM, berbangga dengan kemenangan melalui pertandingan yang cacat itu. Bongkaklah sekelian bala tentera UIAM, meraikan kemenangan pertandingan yang paling pelik dalam sejarah tamadun manusia moden. Tentunya sewaktu artikel ini ditulis, pendebat UIAM, Jurulatih dan Pegawainya sedang meraikan kemenangan yang boleh dikategorikan sebagai catatan “Malaysia Book of Records”. Ya! Mereka akan berbangga ke akhir hayatnya, tanpa seorang pun dari kalangan mereka yang akan mempersoalkan apa keputusan Ketua Teknikal MADUM ini adil? Apakah profesional? Apakah ia sesuatu yang mulia? Apakah ia melambangkan satu kebanggaan yang sejati?

Tetapi dalam UIAM menang dengan kebanggaan itu, Pendebat Terbaik pertandingan ini, tetap disandang oleh pendebat pasukan UM2 yang cacat, iaitu saudara Azizi Bin Abu Bakar Teoh. Hakikatnya, sewaktu para hakim ingin memilih pendebat terbaik pertandingan tersebut, terdapat 2 calon yang dipilih, dan kedua-duanya adalah pendebat UM2. Kedua-duanya adalah saudara Azri Zakir Bin Azmi (mendapat 1 undi), dan Azizi Bin Abu Bakar Teoh (mendapat 4 undi). Maka, keluarlah UM2 dari gelanggang pertandingan separuh akhir, juga dengan penuh kepuasan, sekurang-kurangnya Pendebat Terbaik milik mereka, di kala keputusan pertandingan separuh akhir sudah diketahui seawal pertandingan.

Dari segala persembahan fakta kes ini, saya melihat betapa curangnya perjalanan pertandingan ini. Apabila En. Fauzi dan 4 panel hakim menolak penarikan diri UM2 seawal pertandingan suku akhir, dan meminta kebenaran pasukan UIAM2 untuk membenarkan pertandingan tersebut diteruskan dan UM2 diberi peluang untuk mengambil anggota pasukan UM1, saya melihat En. Fauzi mempamerkan kematangan, keadilan, sikap yang penuh jujur untuk menyerikan lagi pertandingan debat ini. En. Fauzi, selaku Hakim Kelas Tertinggi MADUM, dan merupakan antara yang paling lama dan berjasa kepada MADUM, jelas tidak mengecewakan kita, sewaktu membuat keputusan sedemikian. Ia tidak mengecewakan UIAM, kerana UIAM sendiri dengan bongkaknya telah menyatakan persetujuan. UM tentunya berterima kasih kepada beliau, keputusannya di waktu itu amat bijak, mendahului pemikiran kita yang mungkin memutuskan untuk menerima penarikan diri UM2. Jika En. Fauzi tidak memikirkan nasib pertandingan, tentunya beliau mengambil jalan yang mudah, untuk menerima penarikan diri UM2 dan mengistiharkan UIAM2 sebagai pemenang. Kerana itu adalah peraturan umum! En. Fauzi tidak bersendirian dalam hal ini. Beliau mendapat sokongan hakim-hakim lain, dan juga pegawai-pegawai dari Jabatan Perpaduan. En. Fauzi telah mencelikkan mata kita, bahawa peraturan biasa debat boleh diadaptasikan dengan penuh hemat, dalam kes-kes berkecuali, pastinya dengan persetujuan pihak-pihak yang berkepentingan (dalam kes ini UM dan UIAM), demi mutu dan profesionalisme pertandingan. En. Fauzi wajar dipuji, atas inisitif yang penuh bijaksana itu.

Tetapi yang menyedihkan, kenapa UIAM2 selepas kalah baru nak membantah? Dimanakah harga diri mereka, yang telah melafazkan janji kemudian menariknya semula, selepas mereka kalah? Dimanakah prinsip yang dijunjung, bahawa setiap kata hendaklah di kota? Ini bukan perihal menguruskan akaun kelab, yang mana wang kita boleh hilang tetapi kita diamkan, semata-mata kerana tidak mahu kedudukan kita dalam pasukan goyah?! Apakah tidak menimbulkan satu “kemaluan” yang besar kepada keseluruhan kontinjen UIAM dengan pendirian “yang tiada pendirian” ini? Apakah kebanggaan sementara untuk menyertai pertandingan akhir itu, akan dapat memulihkan imej UIAM yang sedia tercemar? Sayang sekali semua ini berlaku, dan banyak lagi episod-episod malang berlaku, sewaktu saya (dan kami di AD) tidak lagi bersama mereka. Demi Tuhan, saya tidak akan membenarkan hal ini berlaku, memberi kebenaran dan menarik semula kebenaran, jika saya masih kekal dengan portfolio lama dalam kontinjen UIAM. Bahkan, sejak zaman berzaman, UIAM yang saya kenali, tidak akan membuat bantahan dalam apa jua pertandingan, sekali pun dianggap teraniaya. Biarlah Tuhan hadir dengan urusannya! Lebih memeritkan, kerana dengan insiden ini, saya tidak mampu berbuat apa-apa, termasuk tidak layak untuk menghulurkan utusan maaf kepada pasukan UM. Ini persoalan intergriti diri, apakah kemenangan lebih penting dari profesionalisma dan harga diri? Saya menyeru mereka melihat dengan lebih waras, lebih jauh dari bertuhankan nafsu kemenangan semata-mata. Dalam dunia debat, kita tidak dikenali kerana kemenangan, tetapi kualiti dan harga diri. Sejauh mana kita boleh berbangga dengan kemenangan, jika tidak mempunyai harga diri. Jika pun kita menjadi Johan, satu Malaya akan menyumpah seranah kita dengar taktik kotor yang tidak bermaruah ini. Saya melontarkan teguran ini kepada pasukan UIAM, sebuah pasukan yang pernah lama saya junjung, lebih dari satu dekad. Tetapi saban hari selepas saya dan rakan-rakan bertekad meninggalkan mereka, atas nama intergriti dan tidak ingin bersubahat dalam konspirasi pecah amanah pengurusan dana amanah, nampaknya Tuhan semakin menjelmakan isihati masing-masing. Isihati tunggak kejahatan semakin menjelma. Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati adik-adik saya, dari jauh, cerminkanlah maruah dan harga diri! Tiada gunanya anda mendabik dada dengan kemenangan itu, kerana tanpa bantahan dari kalangan anda, sudah tentu syarat yang curang itu tidak diberikan kepada UM. Tanpa penglibatan yang serius dari Ketua Teknikal MADUM, yang juga pegawai anda, tentunya bantahan itu tidak akan dilayan, kerana hakim dan penganjur pada pertandingan suku akhir telah memutuskan sedemikian, atas persetujuan bersama. Jika anda bacul untuk berdepan dengan UM, atau mana-mana pasukan debat, dikala mereka menghadapi musibah seperti mana yang dialami oleh UM menjelang pertandingan suku akhir, maka tidak perlu “tunjuk macho”, jangan “bersikap munafik”, usahlah “bermulut manis”  - untuk memberikan KEBENARAN dan kemudiannya menarik semula setelah nafsu kita dipatahkan oleh lawan. Saya malu mendengar perkembangan ini, walau pun saya tidak bersama anda lagi. Jika saya masih layak bercakap bagi pihak anda, saya dengan mudah akan katakan kepada UM – “Kami mohon ampun dan maaf, tahniah kerana menang, dan teruskan perjuangan!”.

Saya juga terpinga-pinga, jika En. Fauzi bersama hakim lain dan jawatankuasa penganjur atau Urusetia, memberikan pengecualian kepada UM2 sewaktu pertandingan suku akhir, atas persetujuan UIAM, untuk menukar anggota pasukan UM dan meneruskan perlawanan itu, apakah keputusan tersebut tidak mengikat MADUM? Apakah keputusan yang dibuat En. Fauzi tidak layak diterima oleh Ketua Teknikal Hakim MADUM? Bukankah mengubah keputusan yang dibuat oleh En. Fauzi dan 4 lagu hakim suku akhir atas persetujuan UIAM sendiri, adalah bentuk penghinaan kepada lain-lain Hakim Kelas Tertinggi MADUM? Apakah keputusan itu seharusnya, apabila diterima, tidak wajar ditarik semula? Apakah MADUM tidak malu dengan pendirian yang cacamerba ini? Tetapi kita seharusnya faham, bahawa dalam kes-kes kontroversi sebegini, keputusan akhir adalah di tangan Ketua Teknikal Hakim (MADUM) sesebuah pertandingan debat.

Jika Ketua Tenikal Hakim MADUM ingin membatalkan penyertaan UM2 sewaktu pertandingan suku akhir, maka batalkan sahaja! Kenapa perlu membenarkan UM2 bertanding pada separuh akhir, dengan hanya 2 orang pendebat. Bukankah ini peraturan zaman batu? Tidak terfikir oleh saya dan anda sekelian, pertandingan debat sedemikian! Tidak usahlah menunjukkan kita cuba berlaku adil dengan membenarkan UM2 bertanding pada separuh akhir, kalau hanya dengan 2 pendebat. Hakikat ini membuktikan bahawa kita sudah menjanjikan kekalahan kepada UM2. Jika ingin berlagak ikhlas, jangan pula kita mengikat kaki dan tangan pasukan yang bertanding, semata-mata untuk memberi kelebihan kepada pasukan sendiri. Saya tidak faham, kenapa manusia yang sering menjunjung bahawa beliaulah yang paling terbaik dalam MADUM, boleh membuat keputusan sedemikian. Jika keputusan En. Fauzi dan hakim suku akhir tidak boleh diterima, dan tidak layak mengikat MADUM, maka seharusnya Ketua Teknikal Hakim MADUM kembalikan “status quo”. Kembalikan status quo akan membawa maksud, UM2 perlu diistiharkan kalah, kerana gagal menyediakan anggota pasukan yang lengkap. Kerana peraturan pertandingan debat tidak akan membenarkan pasukan yang tidak cukup anggota selama 15 minit selepas pertandingan sepatutnya dimulakan, meneruskan pertandingan. Pasukan itu hendaklah diistiharkan KALAH! Peraturan ini ada tercatat dalam setiap buku-buku cenderahati pertandingan. Apakah ini tidak dilihat oleh Ketua Teknikal Hakim MADUM, semata-mata cuba menunjukkan “keikhlasannya”. Jika pun Ketua Teknikal Hakim MADUM, mempunyai kuasa untuk “overrule” keputusan hakim pertandingan suku akhir, Ketua Teknikal Hakim MADUM perlu faham, bahawa kuasanya hanya mengekalkan status quo peraturan yang diputuskan oleh mesyuarat MADUM. Dan bukannya memperkenalkan peraturan baru, iaitu membenarkan pasukan dengan 2 orang pendebat meneruskan perlawanan. Ini bahananya, jika “keihklasan dan kejujuran” hanya cuba dilakunkan, tetapi tidak terpancar dari hati nurani sendiri!

Dan setelah meniliti dengan lebih jauh, barulah saya faham segala episod yang memualkan ini, bahawa Ketua Teknikal Hakim, bagi pertandingan Debat Perpaduan 2006 ialah Mohd Khair Ngadiron (gambar). Mohd Khair Ngadiron adalah Penasihat Seumur Hidup Kelab Debat Bahasa Melayu, UIAM dan merupakan pegawai universiti yang sama. Untuk rekod, Mohd Khair Ngadiron juga adalah Ketua Teknikal Hakim MADUM sewaktu Debat Alam Sekitar 2006, di USM, sewaktu UIAM muncul sebagai Johan pertandingan tersebut.

Gambar: Mohd Khair Ngadiron, Ketua Teknikal Hakim MADUM bagi pertandingan Debat Perpaduan 2006.

 
       

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian