akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Alam Sekitar

   
 

 

Sorotan tajuk Debat Alam Sekitar 2006

Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff

27/7/2006: Berbeza dengan pertandingan debat ala-parlimen yang lain, Debat Alam Sekitar boleh dikatakan sebagai satu pertandingan yang unik dari segi penganjuran dan juga format pertandingannya.

Pada kebiasaannya, penganjur akan memberikan tajuk perdebatan lebih awal kepada semua peserta bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan. Sememangnya penganjur Debat Alam Sekitar amat prihatin terhadap kualiti fakta dan penerangan tentang isu berkaitan alam sekitar yang diketengahkan oleh pendebat selaras dengan matlamat asal Debat Alam Sekitar iaitu untuk memberikan kefahaman dan menimbulkan kesedaran alam sekitar kepada masyarakat khususnya penuntut IPT. 

Debat Alam Sekitar 2006 sekali lagi bakal menyaksikan 9 tajuk perdebatan yang akan dikupas dan diperdebatkan dengan hangat. Bermula dengan 6 tajuk di pusingan awal, minda pendebat akan disasar untuk mengupas usul berkaitan peranan kerajaan, NGO dan masyarakat dalam proses pemuliharaan alam sekitar. 

Tajuk “Sektor pertanian menjamin kelestarian alam sekitar” mengkehendaki pendebat supaya mempamerkan kajian terperinci mereka tentang pakej-pakej yang ditawarkan oleh sektor pertanian selain sebagai sumber makanan dan komoditi kepada sektor pembuatan dan perkilangan. Sudah barang pasti, kupasan fakta tentang ilitizam kerajaan hari ini dalam membangunkan sektor pertanian pada skala yang lebih besar menggunakan teknologi terkini perlu dipamerkan. Yang paling aula dan tidak harus dilupakan oleh para pendebat ialah persoalan bagaimana sektor berskala besar dan berteknologi tinggi ini boleh menjamin kelestarian alam sekitar. 

Kelestarian alam sekitar adalah terma yang biasa kita dengar tapi jarang kita fahami. Seharusnya konsep kelestarian alam sekitar difahami dalam konteks pembangunan mapan (“sustainable development”). Menurut takrifan Suruhanjaya Dunia mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan [“World Committee On Environment and Development (WCED)”] yang ditubuhkan menurut resolusi Perhimpuan Agung PBB 38/161 pada 19 Disember 1983 dalam laporan bertajuk “Masa Hadapan Kita Bersama” (Our Common Future) yang lebih dikenali sebagai Laporan Brundtland 1987, pembangunan mapan ditakrifkan sebagai:-

 “Pembangunan yang memenuhi tuntutan masa kini tanpa mengabaikan kemandirian dan peluang generasi masa hadapan untuk memenuhi tuntutan mereka”

 English:  “Development that meets the needs of the present without compromising the ability of future generations to meet their own needs”

Oleh yang demikian, kelestarian alam sekitar tidak boleh difahami sebagai pengekalan alam sekitar pada masa hadapan sebagaimana keadaannya pada masa dahulu. 

Tajuk “Teknologi mesra alam: untung secupak rugi segantang” juga amat menarik untuk disoroti. Mesra alam perlu difahami sebagai memberikan kesan yang minimum kepada alam sekitar dan bukannya tidak memberi kesan langsung. Perlu diingat bahawa mesra alam juga perlu dibaca bersama takrifan pembangunan mapan yang dijelaskan sebentar tadi. Antara contoh teknologi mesra alam yang boleh dikupas ialah seperti sistem pengurusan serangga bersepadu atau penggunaan kawalan biologi yang menggantikan penggunaan racun serangga, “ultra-low emission vehicles (ULEV), kenderaan janakuasa elektrik atau bateri sel dan sebagainya.

Walaupun teknologi mesra alam pada zahirnya memberikan kebaikan kepada alam sekitar, persoalan yang harus dijawab dalam perdebatan ialah apakah ia berbaloi dengan kadar kos penyelidikan, pembuatan dan pelaksanaan yang diperuntukan. Untung dan rugi juga tidak semestinya dilihat dari aspek kewangan semata-mata sebaliknya boleh diukur dari aspek kualiti hidup dan kecekapan pengurusan dan pelaksanaan. 

Tajuk seterusnya yang menarik perhatian akademidebat.com ialah “Undang-undang alam sekitar realistik”.  Mungkin tajuk sebegini agak berat kepada pendebat yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang. Tetapi bagi seorang pelajar undang-undang sekalipun belum tentu memahaminya dengan jelas. Undang-undang alam sekitar secara asasnya boleh dirujuk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan dibawahnya. Perlu juga diingat bahawa undang-undang di Malaysia juga mengiktiraf “undang-undang kelaziman” atau common law of England untuk diterima pakai sekiranya terdapat lacuna dalam undang-undang Malaysia.

Akta-akta lain yang mempunyai peruntukan untuk alam sekitar seperti Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984, Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Perikanan 1985, Akta Pemuliharaan (Konservasi) Tanah 1960 (Semakan 1989), Akta Perkapalan Dagang (Pencemaran Minyak) 1994, Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Perhutanan Kebangsaan 1984, Akta Pestisid 1984, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, Akta Perlindungan Kepelbagaian Tumbuhan Baru 2004, Akta Perkhidmatan Pembentungan 1993 dan undang-undang kecil seperti Undang-undang kecil Kawalan Aktiviti di Tasik (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2004 dan sebagainya.

Semua ini perlu dikupas dengan terperinci mengenai kesesuian mekanisma dan juga hukuman yang diperuntukkan. Selain itu, aspek penguatkuasaan juga boleh digabungjalinkan secara tidak langsung dalam menentukan realistiknya undang-undang alam sekitar.

Tajuk suku akhir amat menarik. “Kemiskinan punca kemusnahan alam sekitar”. Melalui satu kertas kerja bertajuk “Indikator Kemiskinan-Alam Sekitar” yang disediakan oleh Priya Shyamsundar untuk Bahagian Alam Sekitar Bank Dunia pada Januari 2002, kemiskinan merupakan antara faktor utama kepada pencemaran alam sekitar dan juga penurunan kualiti kesihatan manusia. Statistik Bank Dunia menunjukkan bahawa peratusan pencemaran air dalam rumah (indoor water pollution) bagi negara Sub-Sahara Afrika adalah sebanyak 5.5%, India 6% berbanding negara ekonomi bekas Sosialis dan negara ekonomi besar pada tahap 0% menurut indeks DALYs (Disability Adjusted Life Years).

Isu kemiskinan dan pencemaran alam sekitar ini juga menjadi terlalu kronik dan tidak hairanlah mengapa UNEP (United Nation Environment Programme) mempunyai unit khas “Poverty and Environment Unit” yang ditubuhkan pada tahun 1994 untuk mengatasi masalah ini. Baru-baru ini iaitu pada 6-8 Jun 2006, mesyuarat agung kedua Projek Kemiskinan dan Alam Sekitar telah diadakan di Nairobi yang mempertemukan wakil-wakil negara maju dan negara miskin. dan antara lainnya membincangkan hala tuju kerjasama dalam menangani masalah kemiskinan dan alam sekitar. 

Walaupun tajuk perdebatan tersebut agak menjurus ke pihak Pencadang, namun akademidebat.com berpendapat bahawa ia adalah setara dan seimbang sekiranya pembangkang dapat mengupas maksud punca dan kemusnahan dengan baik. 

akademidebat.com tidak bercadang untuk menghamparkan pendekatan-pendekatan kepada tajuk yang telah diberikan, jauh sekali untuk merendah-rendahkan kebolehan pendebat dalam membuat persiapan. Cuma akademidebat.com berniat untuk melihat peningkatan mutu debat dalam Debat Alam Sekitar kali ini. Harapan akademidebat.com adalah supaya semua pasukan menggilap kekuatan masing-masing pada landasan yang sama dan memberikan tumpuan kepada kupasan fakta yang bernas dan tidak bersandar retorik semata-mata. Selamat berjaya kepada semua pendebat dan teruskan berfikir untuk masa hadapan. 

Dari meja kayu Ukay Perdana

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

[Penulis adalah bekas Pendebat Pertama pasukan debat UIAM dan bekas Jurulatih pasukan debat UIAM]

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian