akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Titian Kembara

   
 

 

SUBASHINI A/P RAJASINGAM LAWAN SARAVANAN A/L THANGATHORAY: SATU HAKIKAT YANG SUKAR DITELAN

Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff

Mahkamah Persekutuan Malaysia dengan panel 3 orang hakim iaitu Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman FCJ, Datuk Abdul Aziz Bin Mohamed FCJ dan Datuk Azmel Haji Maamor FCJ telah membenarkan rayuan oleh R Subashini (“Isteri”) dalam satu penghakiman setebal 116 mukasurat.  Secara ringkasnya, penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut memfokuskan kepada beberapa persoalan asas, antara lain, sama ada Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Tinggi Sivil yang mempunyai bidangkuasa untuk menentukan perceraian pasangan yang melangsungkan perkahwinan mereka mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (“Perkahwinan Akta 1976”).  

Mahkamah telah menjawab persoalan tersebut dengan menyatakan bahawa memandangkan Perkahwinan Akta 1976 tersebut dilangsungkan mengikut Akta 1976, yang mana Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidangkuasa, maka perceraian atau perpisahan untuk Perkahwinan Akta 1976 tersebut juga harus ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Sivil sekalipun salah seorang daripada pasangan dalam Perkahwinan Akta 1976 tersebut telah memeluk agama Islam.  

Mahkamah Syariah sememangnya mempunyai bidangkuasa terhadap perkara-perkara yang digariskan dalam Perkara 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan dan termasuklah perkahwinan dan perceraian. Namun begitu Mahkamah Persekutuan telah membezakan bidangkuasa tersebut dengan merujuk kepada dua pendekatan iaitu “bidangkuasa perkara subjek” dan “bidangkuasa berdasarkan status individu (“bidangkuasa individu”)”.  

Melalui pendekatan bidangkuasa perkara subjek, Mahkamah Syariah akan mempunyai bidangkuasa sekiranya perkara subjek yang menjadi persoalan dalam kes tersebut termasuk dalam Perkara 1, Senarai II tersebut. Walaubagaimanapun, pendekatan itu juga perlu dirujuk bersama dengan bidangkuasa individu. Menurut bidangkuasa individu, Mahkamah Syariah hanya akan mempunyai bidangkuasa sekiranya individu dan/atau pihak yang terbabit adalah beragama Islam.  

Secara ringkasnya, Mahkamah memutuskan, dalam kes Perkahwinan Akta 1976, perkahwinan tersebut adalah perkahwinan orang kafir dan bukan perkahwinan orang Islam. Oleh yang demikian, berdasarkan pendekatan yang diberikan oleh Mahkamah, perkahwinan antara R Subashini dan Muhammad Shafi Abdullah (nama Islam bagi T Saravanan) mesti dirujuk kepada Mahkamah Tinggi Sivil untuk perceraiannya.  Kes tersebut menjadi lebih kontroversi apabila Mahkamah Persekutuan terpaksa membuat keputusan berkenaan dengan pemelukan Islam anak-anak mereka.

Muhammad Shafi telah memeluk Islam bersama anak sulungnya berumur 11 tahun di PERKIM. R Subashini telah mempertikaikan pemelukan Islam tersebut dengan mengatakan bahawa agama kanak-kanak berumur 18 tahun kebawah harus ditentukan oleh kedua-dua ibu bapanya. R Subashini dalam masa yang masa memohon daripada Mahkamah satu injuksi (perintah larangan) keatas Muhammad Shafi daripada mengIslamkan anak kedua mereka.

Mahkamah Persekutuan menerusi Datuk Abdul Aziz menyatakan dengan jelas bahawa Muhammad Shafi boleh memeluk Islam bersama anak sulungnya kerana persetujuan salah seorang ibu atau bapa sudah memadai untuk menentukan agama kanak-kanak dibawah 18 tahun. Walaubagaimanapun, Mahkamah Persekutuan telah memberikan injunksi (perintah larangan) keatas Muhammad Shafi daripada mengIslamkan anak keduanya. Namun, perkara tersebut mungkin tidak menjejaskan Muhammad Shafi kerana sememangnya anak kedua beliau tinggal bersama R Subashini dalam terdapat tuduhan oleh R Subashini bahawa Muhammad Shafi sendiri pernah mempertikaikan keesahan status anak tersebut sebagai anaknya, dan menuduh anak tersebut adalah anak orang lain. Walaubagaimanapun, tuduhan tersebut disangkal oleh Muhammad Shafi.  

Cukup tentang penghakiman dan terma-terma undang-undang yang memeningkan kepala anda. Yang penting sekarang adalah implikasinya:- 

1. Mahkamah Persekutuan secara jelas sekali lagi mengulangi keputusan Tun Salleh Abbas yang menyatakan bahawa walaupun tidak dapat dinafikan bahawa Islam adalah satu cara hidup yang mencakupi semua bidang, namun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tentang Islam tidak boleh difahami sebagai sama dengan maksud tersebut. Mahkamah juga seolah-olah mengecilkan peranan Mahkamah Syariah dalam menentukan hak orang yang telah memeluk Islam.

2. Lupakan segala hujahan teknikal undang-undang, Mahkamah Persekutuan telah memberikan satu perintah halangan untuk pengIslaman seseorang? Ini adalah sesuatu implikasi yang amat menyedihkan. Ketika semua orang mengwara-warakan tentang kebebasan beragama, Mahkamah Persekutuan pula membuat cubaan sebaliknya. Walaubagaimanapun, perintah halangan tersebut bersifat sementara sehingga selesainya kes asal iaitu petisyen perceraian diselesaikan oleh Mahkamah Tinggi Sivil.

3. Adalah menjadi satu yang melegakan apabila Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa pengIslaman anak dibawah umur 18 tahun boleh dilakukan dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa dan bukan kedua-duanya.

4. Walaubagaimanapun, 10 tahun daripada sekarang, Muhammad Shafi mungkin mempunyai seorang anak beragama Islam dan seorang anak lagi yang beragama Hindu. Walaupun hadith nabi ada mengatakan bahawa ibu bapalah yang mencorak anaknya untuk menjadi Yahudi, Nasrani atau Islam, tetapi kini Mahkamah dan sistem kehakiman kita sendiri mencorakkannya untuk tidak menjadi Islam.

5. Mahkamah juga telah menyatakan bahawa persoalan sama ada anak kedua perlu terus dihalang daripada diIslamkan atau tidak, perlu dibicarakan secara lanjut oleh Mahkamah Tinggi. Persoalan yang timbul apakah hujahan yang akan digunakan nanti? Sudah tentu R Subashini akan menyatakan bahawa pengIslaman anak kedua tidak akan mendatangkan apa-apa faedah, lantas beliau menggariskan keburukan menjadi seorang Islam. Ini mungkin akan membawa kepada penghinaan besar-besaran terhadap Islam. Dan disebelah Muhammad Shafi akan cuba membuktikan bahawa pengIslaman anak kedua akan membawa manfaat dan kebaikan kepada hidupnya. Persoalannya, perlukah isu sebegini dibincangkan sehingga ketahap itu? Mahkamah Persekutuan telah membuka satu lorong yang paling bahaya kepada Islam. Akan terbukalah peluang untuk menghina Islam secara formal dalam forum yang mempunyai imuniti.

 Pada analisa terakhir, saya ingin menyatakan bahawa implikasi-implikasi diatas, walaupun terlalu meruncing, tidak boleh dipersalahkan 100% kepada hakim-hakim yang membuat keputusan.

Saya rasa sudah tiba masanya kita menerima hakikat yang amat sukar ditelan, iaitu Islam di Malaysia bukanlah berada ditempat tertinggi, kerana tempat tertinggi dalam jemala pentadbiran negara ialah Perlembagaan Persekutuan. Salut kepada kerajaan Inggeris kerana menganugerahkan kepada kita Perlembagaan yang sekular yang telah membadutkan agama Islam sebagai agama rasmi negara walhal sebenarnya hanyalah boneka. 

Dalam mengadili sesuatu kes, Mahkamah perlu melihat, dan hanya boleh melihat kepada undang-undang bertulis dan membuat rujukan kepada kes-kes terdahulu ataupun kes-kes yang diputuskan mengikut undang-undang kelaziman (sekiranya ada lacuna dan keperluan).

Memandangkan undang-undang bertulis Malaysia termasuklah Perlembagaan Persekutuan telah digubal sedemikian rupa untuk mengekalkan ciri-ciri sekularnya, maka kedudukan Islam senantiasa akan tercabar. Biarlah setinggi mana Pak Lah melaungkan slogan Islam Hadhari atau negara Islam, belenggu sekularisma tidak akan dapat dipisahkan dari kehidupan kita dan Mahkamah untuk hal ini, tidak berdaya untuk memelihara kesucian Islam. 

Hakikat ini perlu kita terima sekarang ini supaya tempo perjuangan menegakkan Islam dibumi Malaysia dipacu semula. Hentikan usaha berhujah bermati-matian di Mahkamah bagi memelihara kesucian Islam yang kononnya dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan kerana usaha itu ternyata tidak kemana.

Bariskanlah peguam-peguam Islam ternama sekalipun, tidak akan dapat berhujah menentang interpretasi mudah Perlembagaan Persekutuan. Letaklah hakim sewarak mana dan secenderung manapun kepada Islam, beliau yang berpegang kononnya kepada “Rule of Law” akan terpaksa memberi makna sebenar kepada undang-undang negara iaitu sekularisma. 

Alihkanlah perjuangan kepada dakwah. Pergilah masuk ke hutan-hutan simpan dan pos-pos orang asli bagi mengajak mereka kepada Islam. Bimbinglah anak-anak kita memahami Islam. Hentikanlah program sia-sia seperti menimang-nimang mat rempit, PLKN yang membazirkan dan projek-projek lain yang bukan sekadar tidak menyumbang kepada Islam bahkan meruntuhkan lagi kesucian Islam. Sesungguhnya Islam dalam bahaya, dan kita tiada pembela.  

Sebagai tambahan, untuk pengetahuan semua, peguam yang mewakili R Subashini yang bersungguh-sungguh berhujah menyatakan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa dan pengislaman anak Muhammad Shafi oleh bapanya tidak sah ialah, tidak lain tidak bukan, orang Islam sendiri. Malik Imtiaz Sarwar, Haris Mohd Ibrahim dan Fahri Azzat. Tahniah kepada mereka kerana berjaya menegakkan “Rule of Law” dan Perlembagaan Persekutuan, dan dalam masa yang sama membantu sama ada secara langsung atau tidak menghancurkan Islam. 

 

Dari kamar Saujana, Kajang

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

28 Disember 2007

 

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian