|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
DURIAN SUDAH TIDAK BERMUSIM
Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff
Namun, dicelah perkembangan kilat tersebut, pendebat-pendebat kelihatan masih mencari-cari identiti dan kualiti. Walaupun sentiasa dilatih tubi dan diperas dengan siri latihan yang banyak, pendebat-pendebat masih kelihatan biasa dan tidak super. Berbanding 3 ke 5 tahun dahulu. Pendebat dahulu kelihatan lebih super walaupun ruang untuk berlatih tubi dan mencedok pengalaman melalui pertandingan amat terhad. Pada sekitar tahun 1997 ke 1999, pertandingan debat yang ada hanyalah Debat Diraja (itu pun 2 tahun sekali), Debat Alam Sekitar dan Debat Piala Astar. Tetapi nama-nama besar seperti Zainol (UM), Azlin (UM), Ainul (USM), Budiman (UKM), Wan Rohimi (UIAM), Saiful Adli (UIAM), Shazera (UM), Hanif (UM), sekadar menyebut beberapa contoh dan ramai lagi lahir di zaman itu. Pendebat-pendebat yang dikatakan super tersebut mempunyai ciri-ciri pendebat sejati, antara lainnya memiliki kekuatan ilmu dan pengetahuan yang tinggi, disulam dengan kefahaman yang mendalam tentang sesuatu isu dan ketajaman kupasan, disamping dibekalkan dengan minda kritikal dan analitikal yang tinggi. Pendebat sebegini juga mempunyai ketahanan psikologi yang kental dan memiliki daya juang yang tinggi. Sering kita lihat pendebat dahulu tegar dari mengaku kalah sehingga ke loceng terakhir pertandingan. Berfikir dan terus berfikir untuk menguasai perdebatan dan mencantas kemaraan pihak lawan. Pendebat sebegini juga punya sikap atau attitude yang mengagumkan. Mereka disegani kawan dan ditakuti lawan kerana kematangan bertutur, kesederhanaan dalam bergaul, dan karisma dalam memimpin. Seringkali pendebat-pendebat dahulu bukan sahaja juara dalam dunia debat, malahan mereka juga wira-wira mahasiswa di peringkat universiti sama ada di barisan horizon perdana atau penongkah arus. Nama-nama mereka adalah kebanggaan setiap universiti, kampus atau setidak-tidaknya marhain yang diwakili.
Apakah formula
luar biasanya? Nampaknya pertandingan yang banyak bukan penyelesaian
dan jawapannya. Kalau tidak, sudah pasti pendebat-pendebat kini
hebat-hebat belaka dan setaraf dengan pendebat super generasi
terdahulu.
Menyebut tentang kualiti pendebat, teringat saya ketika AD mendebatkan tajuk Debat Universiti Malaysia Sudah Tenat bersama pasukan seantero dunia (Pak Dad, Tra, Kaloi – Pasukan yang dimomokkan sebagai barisan pendebat paling hebat masa kini yang mempunyai pencapaian individu masing-masing yang unggul dan sering menjadi sauh utama kepada universiti yang diwakili) untuk melengkapkan siri cabaran rekod dunia berdebat 100 jam tanpa henti di DBP beberapa bulan lalu. Isu yang dikupas amat relevan dengan mutu dan kualiti pendebat sekarang. Saya selaku pendebat pertama telah mengupas bahawa kebanyakan pendebat-pendebat masa kini gagal mempamerkan ketinggian ilmu, maklumat dan pemahaman usul dengan baik sehingga beberapa kupasan yang sukar diterima dimuntahkan:- 1. Dinar emas tidak boleh diperkenalkan kerana ia akan menyusahkan pengguna untuk mengambil wang dari mesin ATM. Syiling emas akan bertaburan berdenting-dentang keluar dari mesin ATM?
2. Arab Saudi maju kerana mempunyai kaabah?
3. Kemalangan jalan raya disebabkan faktor cuaca semata-mata dan bukan kelalaian manusia
4. Sekolah memandu adalah sebahagian daripada sistem pendidikan di Malaysia
5. Tajuk bantuan kemanusian diperlukan didebatkan dalam konteks Timor Leste sahaja. Kupasan-kupasan di atas nampak indah dan kreatif, tetapi percayalah pendebat super di zaman dahulu pasti tidak mengupasnya sedemikian rupa. Membuat contoh sama ada dalam bentuk fakta atau humor sekalipun haruslah bersandarkan rasional dan sentimen umum. Barulah ada karisma. Jangan sampai fakta yang benar dipesong jauh mengatasi kewarasan akal manusia, atau usul yang mudah dan terang disongsangkan menjadi kompleks. Inilah kelemahan yang ada dan harus diperbaiki. Namun, dicelah-celah pemerhatian dan teguran yang dilakukan oleh AD, ada segelintir pendebat yang tidak berpuas hati. Mereka merasakan bahawa pemerhatian tersebut tidak benar dan dibuat berdasarkan dengki dan iri semata-mata. Pendebat-pendebat sebegini mungkin menyimpan kesumat lama terhadap AD. Walaupun tampak malu-malu dan hormat diluar perdebatan, rupa-rupanya mereka bergembira sakan mendapat peluang untuk melampiaskan kesumat terhadap AD atau pengasas AD. Jangan lupa, peluang tersebut ditaja pula oleh musuh sejati yang sentiasa berada dalam mana-mana selimut yang empuk dan enak disarung. Maka pendebat-pendebat dari pasukan seantero dunia bersungguh-sungguh mempertahankan hujah persepsi mereka yang kononya mengatakan bahawa pendebat masa kini sudah hebat dan tinggi kualitinya, setaraf dengan pendebat super. Skop Timor Leste yang dikecilkan dikatakan pula idea kreatif yang menunjukkan ketinggian pemahaman. Begitu juga fakta-fakta lain yang dikemukakan AD disangkal kemas oleh pasukan seantero dunia. Sambil mereka asyik “membelasah” AD dengan roman sinikal dan “kurang gula” mereka, mereka hanyut dibuai nafsu. Akhirnya, terpacul keluar kesumat di dada dalam bentuk tuduhan:- 1. Pendebat dahulu (khususnya UIAM ketika zaman saya dan Zairul) tiada adab dalam berdebat – mentertawakan lawan sesuka hati dalam perdebatan.
2.
Pendebat
dahulu (khususnya UIAM ketika zaman saya dan Zairul) tidak bergaul
dengan pendebat lain
3. AD cuba menggunakan platform yang ada untuk kepentingan peribadi, mengecam satu pihak sahaja (UIAM).
4. AD cuba membuat hasutan supaya membenci UIAM. Mendengar tuduhan-tuduhan tersebut, rasa terkilan, sedih dan lucu bercampur baur dalam kotak perasaan kami. Kalau hendak ditelusuri satu persatu tuduhan tersebut, memang tidak masuk akal bunyinya. Tambahan pula, itu bukanlah isu yang seharusnya dibincangkan. Tetapi cukuplah saya katakan seperti berikut:-
Walau apapun, bukan kami sahaja yang sering berkelakuan sedemikian. Toleh dan lihat sendiri kepada orang yang dekat dengan anda. Pendebat Ketiga UPM dahulu juga sering membuat memek-memek muka ala badut untuk mengganggu lawan. Takkan itu pun salah? 2. Dahulu, seingat saya kita sering cuba untuk bergaul mesra dengan pendebat lain, tetapi saya akui kesenjangan masih wujud. Mungkin kerana imej UIAM yang “sentiasa dibenci” dan juga mungkin kerana kehadiran pendebat-pendebat “separuh masak” yang sukar untuk didekati oleh pendebat UIAM. Tetapi jangan cepat menghukum. Yang bermulut manis dan sering menghimpit kalian dalam istilah bergaul mesra mungkin tidak seikhlas mana. Awas, musuh-musuh yang sentiasa berada dalam selimut anda!!! 3. AD adalah badan sukarela. Kami habiskan waktu, tenaga dan wang ringgit untuk cinta terhadap debat, dan bukan untuk rosakkannya. Kami ingin menyumbang kepada kemandirian kualiti debat. Mungkin caranya agak keras, tetapi kami ikhlas. Takkanlah kerana hasutan daripada individu-individu opportunist, anda sudah menghukum dan memboikot usaha kami. Sekurang-kurangnya kami cuba adakan sesuatu daripada hanya bercakap dan terus berjanji tetapi sehingga sekarang hanya tinggal janji. Mana ALUMNI Debat yang dijanjikan? Adakah ia memerlukan 20 tahun untuk dirancang? Sudah-sudahlah bercakap. Marilah bekerja dan bekerjasama. 4. Hasutan membenci UIAM? Kami hanya ingin memaparkan realiti. Satu realiti yang perlu anda ketahui, bahawa rasuah atau tidak amanah adalah kanser yang bakal meruntuhkan setiap ketamadunan manusia. Runtuhnya empayar agung Abasiyyah dan Turki Uthmaniah juga akibat diruntun kanser pecah amanah. Dan realitinya, kanser tersebut sudah merebak jauh ke dalam dunia debat. Individu-individu yang anda saban hari kagumi juga sudah dijangkit kanser maut ini. Kami bongkar dan selongkar kisah ini untuk pedoman semua. Jangan mudah terperdaya dengan penampilan korporat, bersih dan mulia, kerana disebaliknya mungkin najis korupsi yang menjadi santapan jiwa. 5. Mungkin semua anda sudah dengar ceritanya. Cerita tentang tuduhan salah guna kuasa oleh pegawai universiti. Selidik dahulu sebelum membuat keputusan untuk menolak cerita tersebut. Kami juga sehingga kini sukar untuk mempercayai fakta yang sudah terhidang di depan mata. Kami juga bukan mudah berpaling muka membuta tuli dan meninggalkan legasi yang sudah sekian lama ditatang. Tetapi, apakan daya, berada di dalamnya lebih sukar bagi kami. Kesemua tuduhan dan kupasan diatas, hanya menunjukkan betapa lemahnya pendebat masa kini dalam menggigit dan mengupas usul perdebatan. Sepatutnya, yang didebatkan ialah tentang mutu perdebatan dan bukannya tentang isu-isu emosi seperti peranan AD, sikap pengasas AD dan sebagainya. Isu ini terbias jauh dari skop perdebatan yang sebenar. Siapa yang membiasnya? Sudah tentu seorang pendebat senior dari UPM yang begitu hebat berkata-kata. Bergegar seisi dewan dihentak amuk dan amarahnya. Maka pendebat tersebut menjelma sebagai manisfestasi terbaik pendebat yang penuh kesumat di dada. Entah kenapa dan apa puncanya, tiba-tiba pendebat itu menyeranah pasukan AD dengan begitu ganas sehingga sanggup mempertikaikan kewujudan AD yang dituduhnya agen propaganda. Lantas, beliau terbias jauh dari usul perdebatan. Dan jauhnya sukar untuk berpatah kembali. Maka, duduklah dia kepuasan sambil jelingan mesra ditancapkan kepada si pembekal maklumat terunggul merangkap penghasut agung dunia debat di luar sana. Puaslah hati mereka kerana misi menelanjangkan AD tampak berjaya.
Kepada
pendebat-pendebat masa kini, tengok-tengok dan cerminlah diri.
Lakukan perubahan untuk melonjak ke satu tahap yang lebih tinggi.
Jangan kita asyik syok sendiri, dan bergelumang gejolak kesumat dan
iri hati. Jangan pula kita sering dikaburi oleh hasutan
golongan-golongan tidak berprinsip. Sedarlah, dunia ini bukan
seindah yang anda sangka. Dan akhirnya, barulah kita sedar, walaupun durian kini sudah tidak berbuah mengikut musim, melata di mana-mana sahaja sepanjang tahun, namun kualiti buahnya sudah semakin merosot. Kalau dahulu durian kampung dari Pahang atau Pulau Pinang sangat enak dan lemak manis isinya, kini “durian kampung” hanya tinggal nama dan buahnya sering dirobek ulat dan ditebuk tupai. Pendek kata, indah khabar dari rupa. Alangkah indahnya jika durian masih bermusim dan buahnya masih seenak dahulu! Peminat durian sejati, YUSFARIZAL BIN YUSSOFF Ukay Perdana 6 Mac 2007 |
||||||||||||
|
||||||||||||
![]()