|
||||||||||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
||||||||||||
|
||||||||||||
|
NEMO JUDEX IN CAUSA SUA
Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff
Sewaktu Razali (nama sebenar) berada diusia kanak-kanak, Razali seringkali bergaduh (baca: buli) dengan adik lelakinya yang umurnya 4 tahun lebih muda daripadanya. Apabila bergaduh, adiknya seringkali mengadu kepada ibu dan berkata “Ibu, tengoklah abang ni, dia buat adik”. Sejurus selepas aduan tersebut, maka betis dan juga punggung Razali akan berbirat dihinggap oleh hayunan rotan kecil atau kepala talipinggang. Selalunya Razali yang kena. Tidak kira sama ada Razali yang memulakan pergaduhan atau adiknya yang cuba menyiram minyak keatas api. Prinsip ibu Razali mudah, kalau bergaduh, ia tentu salah Razali, dan bukan adik Razali kerana Razali adalah yang tua, yang seharusnya mengalah. Sudah semestinya Razali sentiasa tidak berpuas hati. Acapkali juga Razali mempertikaikan tindakan ibu, dengan menghukum tanpa usul periksa, dan yang lebih mengecewakan tanpa memberikan peluang untuk didengar. Kalau adapun penjelasan daripada Razali yang didengar, ia hanya semata-mata didengar tanpa ada apa-apa tindakbalas susulan. Pendek kata, salah siapa sekalipun, Razali tetap dipukul.
Seorang pemain
bolasepak bernama Rizal
Senario diatas adalah lumrah biasa dalam kehidupan. Pasti anda juga biasa menghadapi perkara-perkara tersebut dalam hidup. Ya, benar. Ia semakin berleluasa. Acapkali kita menghukum tanpa usul periksa dan acapkali juga kita menghukum keatas tindakan kita sendiri, tanpa merujuk atau memberi peluang kepada orang lain untuk menghakimi kita. Tatkala itulah kita lupa bahawa kita sebenarnya telah melakukan sesuatu diluar batas keadilan semulajadi. Prinsip keadilan semulajadi berlandaskan Undang-Undang Kelaziman (Common Law) yang disedut daripada sistem kehakiman Westminster telah menggariskan 2 prinsip utama iaitu Audi Alteram Partem dan Nemo Judex In Causa Sua. Audi Alteram Partem bermaksud seseorang mestilah diberikan hak untuk didengar, manakala Nemo Judex in Causa Sua bermaksud, seseorang tidak boleh menjadi hakim/menghakimi perkara berkaitan dirinya sendiri. Jadi, amat benarlah ketidakpuasan hati Razali terhadap ibunya, kerana tiada prinsip keadilan semulajadi dalam tindakan ibu. Razali tidak pernah diberikan hak untuk didengar dan dalam semua keadaan, adiknya pula yang menjadi hakim kepada pergaduhan tersebut sementara ibunya sebagai algojo. Amat benar juga penyesalan Rizal kerana beliau bukanlah orang yang layak menghakimi dirinya sendiri dalam sesuatu perlawanan bolasepak. Mujur juga cerita keluarga Razali dan cerita Rizal tersebut hanya terhad dalam keluarga mahupun kelompok kecil masyarakat dan tidak pula memberi kesan besar kepada negara. Bagaimana pula sekiranya prinsip keadilan semulajadi yang muluk tersebut disalahgunakan dalam konteks yang lebih tinggi dan mencapah. Sudah tentu lebih besar impak dan dampaknya. Yang lebih menyedihkan, saban hari ia seakan-akan semakin dicarik-carik dan tidak diendahkan.
“"Tiada siapa yang cuba memerangkap Anwar. Polis akan menentukan kesahihan laporan perubatan itu.” Persoalannya, dari mana pula beliau tahu tiada sesiapa yang memerangkap Anwar, dan ia bukan satu konspirasi? Apa pula haknya untuk mengenepikan satu kemungkinan motif yang bakal dilembarkan dalam Mahkamah semasa perbicaraan nanti? Suka atau tidak, konspirasi merupakan satu pembelaan yang ada kepada DSAI selain alibi (yang masih belum jelas), dan beliau telah nyatakannya secara terang. Maka, adakah wajar bagi seorang menteri yang menjeruk di dalam kabinet Kerajaan menolak hak DSAI untuk mengemukakan satu pembelaan di Mahkamah?. Yang lebih menyedihkan, beliau siang-siang lagi telah menyatakan melalui media bahawa ia bukan pembelaan yang boleh diterima. Dan disokong pula oleh ketuanya. Persoalannya, siapa beliau untuk menghakimi DSAI sebelum tuduhan di Mahkamah dibuat? Siapa pula beliau untuk memberi keputusan sama ada wujud konspirasi atau tidak? Bukankah beliau salah seorang anggota kabinet Kerajaan yang dituduh berkonspirasi oleh DSAI untuk menjatuhkan beliau? Maka, sebagai salah seorang ahli dalam entiti yang dinyatakan, beliau seharusnya tidak boleh memberikan komen dengan menafikan satu pembelaan untuk DSAI. Biarlah Mahkamah yang menentukan sama ada wujud konspirasi atau tidak. Tiada konspirasi bermaksud kejadian liwat tersebut adalah benar, dan benar-benar berlaku. Oleh itu, apakah Datuk Seri Syed Hamid Albar awal-awal lagi telah mengetahui keputusan Mahkamah?.
Contoh kedua
ialah tentang menteri yang telah menggondol gelaran Menteri Paling
Popular 2008 iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek. Ya, beliau sendiri
yang berdebat, dan beliau sendiri juga yang menghakimi
persembahannya pada malam itu. Seingat saya sebelum debat
berlangsung, beliau telah memberikan akujanji untuk melepaskan
jawatannya sekiranya beliau gagal menyampaikan falsafah kerajaan
kepada rakyat. Apa yang berlaku ketika debat? Rata-rata rakyat
merasakan bahawa Datuk Shabery telah gagal untuk menjawab isu yang
dibangkitkan oleh DSAI. Menurut undian yang dilakukan oleh laman web
www.malaysiakini.com, 95% pengundi berpendapat bahawa hujah DSAI
lebih meyakinkan daripada Shabery. Saya juga berpendapat sedemikian.
Tetapi beliau sendiri berpendapat sebaliknya. Beliau menganggap
beliau telah melaksanakan tugas dengan sempurna, dan oleh itu tidak
perlu meletak jawatan. Bukankah indikator 95% tersebut telah
menyatakan segala-galanya tentang kegagalan Datuk Shabery
menyampaikan aspirasi Kerajaan? Adilkah untuk beliau menilai sendiri
persembahan beliau tanpa merujuk kepada pendapat orang lain, dan
membuat keputusan untuk terus menjadi menteri?. Contoh ketiga yang cukup menarik minat dan perhatian saya pula ialah komen oleh Dato’ Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar yang dahulunya berkereta Proton Perdana V6. Beliau juga telah menghakimi diri sendiri apabila terang-terang lagi menyatakan bahawa projek Taman Tamadun Islam dan Monsoon Cup adalah untuk kepentingan rakyat, dan tiada membabitkan rasuah dan pecah amanah. Bukankah BPR sedang membuka kertas siasatan untuk projek-projek mega tersebut, hasil sumbangan maklumat daripada Menteri Besar sekarang? Sekali lagi, prinsip Nemo Judex In Causa Sua diketepikan dengan mudah. Ironinya, prinsip-prinsip keadilan semulajadi ini adalah berkat daripada kawalan terpimpin media-media cetak dan elektronik. Apabila timbul isu yang merimaskan benak Kerajaan, maka media-media terkawal ini akan mencetuskan polemik untuk mengarahkan minda rakyat terus menghukum hukuman yang dikehendaki. Dan si tertuduh akan diberikan peluang untuk menghakimi diri sendiri selagi mana si tertuduh tersebut, berada didalam lingkungan pelukan demokrasi kerajaan pemerintah. Memandangkan senario terkini yang menyaksikan DSAI akan “balik kampung” untuk meneruskan perjuangannya, maka kita bakal mendengar banyak lagi pihak yang akan menghakimi diri sendiri. Itu betul! Ini salah! Ini boleh! Ini tak boleh! Dan sebagainya. Walau apapun hukumannya, yang penting, hukuman yang paling setimpal terletak ditangan Rakyat dan bukan Pemerintah. Saya tinggalkan pembaca dengan satu persoalan: Apakah minda seorang menteri itu tidak lebih daripada ibu Razali dan si Rizal pemain bolasepak, atau lebih teruk daripada itu?
Dari remang kota, 5 OGOS 2008 YUSFARIZAL BIN YUSSOFF
|
||||||||||||
|
||||||||||||