akademidebat.com makalah

   

| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam |

       
 

MAKALAH | Titian Kembara

   
 

 

SERANGAN PERIBADI: JANGGUT SIAPA LEBIH KEMAS

Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff

Komen pasca Debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Shaberi Cheek yang dipertontonkan oleh media amat memualkan dan meloyakan. Sedar atau tidak, media pro-Kerajaan telah memainkan gendang propaganda dengan memfokukan berita tentang Debat tersebut dari perspektif keterbukaan Kerajaan dalam membenarkan ia dilakukan. Namun, hakikat dan intipati Debat yang jelas menyaksikan Shaberi dibelasah hidup-hidup oleh Anwar (walaupun pada pandangan saya dalam keadaan kurang persediaan) tidak langsung disentuh oleh media. Benar, Kerajaan telah membuka kotak pendora kebebasan bersuara dengan bersetuju untuk duduk dalam satu majlis dan berdebat secara terbuka dihadapan seluruh rakyat Malaysia, tetapi persoalan yang timbul apakah intipati dan perjalanan Debat tersebut ikhlas dan jujur untuk mencari kebenaran atau hanya bermatlamatkan propaganda murahan semata-mata. 

Saya kurang pasti matlamat sebenar Shaberi menerima pelawaan Agenda Daily untuk Debat tersebut, sama ada beliau memang benar ikhlas ingin menyorot denai kebenaran tentang isu, atau ingin menjadikan platform peribadi pra Pemilihan UMNO (yang tidak membenarkan ahli berkempen) ataupun diperkudakan oleh sesetengah pihak untuk kononnya menelanjangkan Anwar dipentas? Apa yang pasti, Shaberi ternyata gagal memenuhi mana-mana matlamat tersebut. 

Kegagalan beliau mungkin bisa disandarkan kepada pengalaman Anwar dalam berdebat, dan lendir leliur beliau yang menganggu ucapannya, namun komen yang beliau berikan pasca perdebatan amat memualkan. Shaberi menyifatkan hentaman beliau kepada Anwar tentang polisi 1997 dan juga demonstrasi Baling 1974 sebagai bukan serangan peribadi kerana bagi beliau serangan peribadi adalah apabila beliau menyentuh organ-organ tubuh seperti janggut atau pakaian semata-mata. Mungkin tidak adil untuk menggelarkan beliau dangkal dan bodoh tentang ilmu debat, namun ketirisan minda sedemikian rupa dan kegagalan beliau selaku ahli parlimen untuk memahami maksud serangan peribadi dalam politik amat mendukacitakan.  

Dalam debat, pendebat yang baik adalah pendebat yang tidak terpukau dengan emosi sendiri dan mempunyai kebolehan memfokus terhadap apa yang sedang diperdebatkan dan bukan kepada perkara ekstrinsik yang tidak berkaitan. Tajuk dan maudhu’ perdebatan adalah berkenaan dengan cadangan Anwar menurunkan harga minyak sekiranya berjaya memerintah. Maka, persoalan yang perlu dijawab adalah bagaimana ia boleh diturunkan dan ditentang dengan hujahan bahawa ia tidak akan boleh diturunkan. Itu sahaja. Persoalan tentang pendirian, cara, mekanisma dan paradigma Anwar dalam membuat keputusan dalam isu yang lain adalah TIDAK RELEVAN. Kenapa perlu membangkitkan tentang demonstrasi Baling 1974 dan juga krisis kewangan 1997 mahupun apa-apa demonstrasi jalanan yang lain. Ini adalah isu lain yang tidak berkaitan.  

Ia diburukkan lagi apabila Shaberi cuba membayangkan bahawa Anwar tidak pernah berubah. Secara simboliknya, penulis memahami bahawa mesej tersirat adalah tentang tuduhan perilaku homoseksual yang berulang lagi walaupun zahirnya adalah berkenaan demonstrasi jalanan. Mesej inilah yang akan diulang-ulang oleh media untuk mewujudkan blok mental dalam kotak pemikiran masyarakat bahawa Anwar tidak berubah, tidak berubah dan tidak berubah. Maka, persetankan beliau. 

Bukankah ini serangan peribadi? Sudahlah tidak relevan dan penuh beremosi, ditambah pula dengan serangan tersirat bersifat peribadi. Maka lengkaplah ciri-ciri seorang pendebat yang singkat pemikirannya dan hitam hatinya.  

Serangan peribadi bukan sekadar menyentuh janggut atau bulu kening atau seluar semata-mata. Kalau bercakap menyentuh perkara-perkara tersebut, itu lebih kepada komen seorang artis solekan atau pereka fesyen, atau jururunding imej atau wartanan gossip terhadap seorang artis atau model. Kita biasa mendengar artis dikomen tentang pakaian, rambut yang tidak sesuai dengan majlis dan sebagainya. Itu jelas adalah tertumpu kepada penampilan kosmetik yang datang dari golongan profesional dalam bidang itu. Jadi, sudah tentulah Shaberi tidak menyentuh perkara-perkara tersebut dalam Debat kerana Shaberi bukanlah Mak Andam atau jurunding imej yang melihat atau terliur dengan janggut Anwar sepanjang perdebatan. Shaberi adalah menteri. Dan sebagai Menteri, serangan peribadi atau lebih tepat pembunuhan karekter haruslah yang berkaitan dengan pendirian politik atau hadaf dan wasilah politik lawannya. Seperti orang mengatakan Datuk Seri Najib Tun Razak korup dalam skandal pembelian kapal selam Scorpeen, apakah itu bukan serangan peribadi kerana ia tidak menyentuh janggut atau bulu kaki beliau ataupun bulu hidung kaum keluarga beliau? Sudah pasti Shaberi takkan bersetuju tentang itu. Jadi, apakah jawapan Shaberi tentang serangan peribadi itu bijak dan tepat? Anda jawab sendiri.   

Dalam debat juga, ada bahasa badannya. Sepertimana yang saya katakan sebelum ini, pihak yang menang pasti akan mendapatkan pihak yang kalah untuk bersalaman, kerana secara tersiratnya untuk menenangkan perasaan yang kalah. Ini adalah budaya dalam debat, dan ia walaupun tampak bersahaja, mempunyai maksud dan tujuan yang mendalam. Dalam Debat malam itu, siapa yang mendapatkan siapa untuk bersalam? Siapa yang menikus dan seolah-olah menjauhkan diri daripada rostrum? Bahasa badan sendiri menceritakan segala-galanya. 

Pun begitu, secara adilnya, saya agak berduka apabila mengenangkan ruang dan peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh Anwar dalam Debat tersebut. Anwar pasti tampak lebih bergaya sekiranya ucapan beliau disulam fakta yang konkrit dan bukan bersifat spekulatif. Anwar menyebut-nyebut tentang ketirisan dan kebocoran dalam jentera pentadbiran kerajaan dengan mengambil contoh bailout Perwaja dan syarikat kroni Teras Kimia. Bagi saya fakta sebegini, walaupun dapat dicerap oleh golongan profesional di bandar dengan baik, namun agak jauh dan tidak dekat dihati rakyat marhaen. Adalah lebih molek sekiranya Anwar memberikan fakta konkrit tentang Laporan Akauntan Negara, Tan Sri Amrin Buang yang membongkarkan ketirisan jentera kerajaan dalam satu dokumen awam. Pasti Shaberi akan terkehel-kehel ingin menjawabnya. Fakta tersebut dalam disimpulkan mudah begini. Kalau pen mekanikal dan pemutar skru berharga RM35 pun boleh diseleweng, maka dana  berbillion-billion pasti lebih banyak ketirisannya. Bukankah fakta sebegini lebih konkrit daripada Perwaja dan Teras Kimia. 

Anwar juga seharusnya menjelaskan tentang IPP dengan lebih mendalam. Saya faham waktu amat menekan, namun pendefinisian tentang IPP perlu lebih jelas. Sehari selepas Debat tersebut, rakan saya ada bertanya dengan jujur, IPP itu apa?. Maka terdetik dalam hati saya, bahawa tidak semua golongan profesional dibandar tahu tentang IPP, apatah lagi pak tani dan nelayan di kampung. Anwar perlu guna pendekatan biasanya dalam memberikan analogi dan juga kesimpulan yang dekat dihati. 

Apapun, saya tidak meletakkan beban itu kepada Anwar kerana saya pasti orang-orang disekelilingnya seperti pembantu khas, setiausaha akhbar atau pasukan kajian beliau adalah orang-orang bijak pandai. Buatlah kerja rumah anda untuk membantu Anwar dengan lebih cemerlang. 

Dalam keadaan revolusi atau tsunami politik yang sedang melanda ini, kita harus memperkasa dan mengukuhkan kubu minda dan juga pendirian kita. Usah terikut dengan strategi dan kedangkalan persepsi golongan tertentu yang hanya tahu menangguk diair keruh. 

Dari sesak Chow Kit,

18 JULAI 2008

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

 

 

 
       

Laman utama | Profil | Produk | Makalah | Tinta Emas | Buletin | Galeri | Arkib | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian