akademidebat.com tinta emas

laman utama | profil | produk | buletin | galeri | tinta emas | debat maya | alumni debat uiam

 

NYEMAH MULYA

 

MUKADDIMAH


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam muhibbah!

Janggal juga rasanya apabila menjadi serikandi tunggal di kalangan panglima yang lain (Hang Nadim, Sang Kelembai, dan Si Jebat). Namun sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama dengan mereka.

 

Kita ini bolehlah dikatakan yang paling miskin pengalaman dan ilmu berbanding yang bertiga itu, namun tiada pula semangat kita ini berkurang sedikit pun untuk membina sebuah dunia debat yang penuh dengan nilai keilmuan, tinggi pula seni bahasa dan lenggok bujuknya.

 

Kita muncul di sini atas jemputan Tuan Webmaster. Katanya kita boleh menyumbang sesuatu pada anak-anak mahupun adik-adik yang memilih lapangan seni fikir dan kata ini. Kita setuju. Lagipun, niat kita untuk membina bangsa yang kuat minda teguh jiwa sudah lama berakar. Sejak kita berdepan dengan Portugis durjana di muara Melaka, sejak kita bergalang nyawa memintas Albuquerque yang galak menoda Melaka.

Kalau awak sudah membaca tulisan Sang Kelembai, pasti ada yang mungkin sedikit keliru dengan langgam bahasanya. Tidak mengapa, resam belajar memang begitu. Bermula buntu, kemudian tahu. Tetapi kita tidaklah sehebat itu. Bahasa kita mudah saja. Kita cuma ingin membantu anak-anak dan adik-adik belajar debat. Mahu mereka melihat dunia dengan mata fikir, mahu mereka berfikir dengan mata dunia!

Sejarah kita? Tidak ramai yang mengetahui sejarah kita. Maklumlah, kalau mengikut kitab sejarah yang awak semua pelajari, tidak pernah ada nama Nyemah Mulya dicanang. Tidak ada. Yang awak tahu, Melaka tumpas dirampas Portugis.

 

Tetapi kita gembira ada seorang pemuda bernama Faisal Tehrani yang menulis novel tentang kita. Kalau tidak silap kita, 1515 tajuk novelnya. Kalau ingin berkenalan dengan kita, bacalah novel itu.

Bagi kita, personaliti tidak penting. Yang lebih utama, isi tulisan kita. Kita harap kita boleh membantu semua. Semoga awak semua boleh menolong dan menyokong kita. Laman web ini untuk awak semua. Bertemu lagi di halaman akan datang! Assalamualaikum...

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Buletin | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian