| |
NYEMAH MULYA
SELAMAT HARI GURU!
Mula-mula kita minta maaf pada semua pembaca
akademidebat.com sebab kita dah lama tak menulis di
sini. Kita sibuk sikit kebelakangan ini. Tapi kita bukan
mengeluh, sekadar berkongsi!
Kita tahu ramai yang dah mengucapkan Selamat Hari Guru
kepada cikgu-cikgu yang tak pernah kenal penat lelah
mengajar awak semua (termasuk kita) sehingga awak
semua jadi macam sekarang. Terima kasih cikgu!
Kalau nak ditelitikan, ramai orang yang layak menerima
ucapan Selamat Hari Guru ini. Bukan sahaja para guru di
sekolah rendah dan menengah, malah sesiapa sahaja yang
pernah berkongsi ilmu pengetahuan dengan awak semua. Ya,
termasuklah ibu bapa kita, kawan-kawan kita, mahupun makcik
yang ajar awak macam mana nak buat pisang goreng yang sedap.
Itu semua cikgu kita! Dan awak semua adalah guru.
Kita pun nak pesan juga, sempena Hari Guru ini, janganlah
kita lupa jasa guru-guru kita. Mungkin awak pernah (atau
masih) benci dengan guru awak, tetapi awak semua mesti
ingat, kalau tanpa guru awak tu, mungkin awak tak jadi macam
sekarang.
Kalau yang dah jadi jurutera, ingatlah yang mengajar Fizik
dan Lukisan Kejuruteraan. Yang jadi doktor, jangan lupa
cikgu Biologi. Yang jadi pendebat legend dan agung di
arena debat universiti, kenanglah guru dan jurulatih yang
menunjukkan selok-belok debat yang betul. Tidak kiralah guru
sekolah, pendebat senior, atau jurulatih yang sekadar
membelek akhbar di hari pemilihan pendebat. Kenanglah mereka
semua.
Ini bukan soal kenang budi atau tidak. Bukan soal “kau mesti
ingat jasa aku”. Bagi kita, ini soal maruah dan kemuliaan.
Kejilah kita kalau gaji beribu-ribu andai lupa siapa yang
memberi ilmu. Jijiklah kita kalau di atas pentas
berdegar-degar membawa hujah, tapi selepas menjulang piala
hanya sibuk merebut silau lensa kamera sambil menjeling sepi
jurulatihnya sendiri!
Kita seru agar awak semua tidak lupa jasa sesiapapun yang
pernah mengajar awak walau sekelumit ilmu. Jangan lupa.
Selamat hari guru!
|
|