akademidebat.com produk

laman utama | profil | produk | buletin | galeri | tinta emas | debat maya | alumni debat uiam

 

PENGENALAN: USUL

 

1. Usul, definisi dan pendekatan
1.1 Pengertian usul

Usul adalah topik atau tajuk perdebatan yang perlu didebatkan. Oleh kerana perdebatan yang dijalankan ialah ala-parlimen Malaysia, maka perkataan usul digunakan bagi mengadaptasi sistem parlimen Malaysia yang berkehendakkan sesuatu pihak mencadangkan usul untuk dibincangkan di dalam dewan Parlimen yang Mulia.

Dalam perdebatan ala-parlimen, terdapat beberapa kategori usul yang biasa diberikan kepada pendebat. Kategori usul secara umumnya terbahagi kepada tiga:
1. Usul berasaskan fakta/isu-isu spesifik
2. Usul humor
3. Usul peribahasa/simpulan Bahasa

Usul berasaskan fakta/isu-isu spesifik
Usul berasaskan fakta/isu-isu spesifik biasanya menuntut pendebat membahaskan sesuatu isu yang spesifik berasaskan keterangan fakta. Perdebatan usul fakta ini biasanya akan mengarah kepada pertikaian dan kupasan fakta antara kedua-dua pihak.

 

Lazimnya, pasukan yang berjaya mengupas fakta dengan tepat dan relevan dan juga mempamerkan kajian yang teliti dan mantap tentang sesuatu isu akan berjaya mempertahankan pendirian mereka. Usul berasaskan fakta/isu-isu spefisik boleh pula dibahagikan kepada beberapa jenis:-
(a) Usul politik
(b) Usul ekonomi
(c) Usul sosial

 

 

Dalam kejohanan debat yang mempunyai tema spesifik, usul juga diberikan mengikut tema yang telah ditetapkan oleh penganjur. Antara tema-tema berasaskan fakta yang biasa digunakan adalah seperti berikut:-

(a) Alam Sekitar
Contoh: Protokol Kyoto adalah satu pembaziran

(b) Sejarah dan kemerdekaan Malaysia
Contoh: Mencapai kemerdekaan lebih mudah daripada mempertahankannya

(c) Sains dan teknologi
Contoh: Teknologi Timur adalah teknologi kelas kedua

(d) Kefahaman Islam
Contoh: Budi bahasa teras pembentukan masyarakat Hadhari

(e) Saham Amanah
Contoh: Rakyat perlu diwajibkan melabur dalam saham amanah


Usul humor
Humor bermaksud sesuatu yang berunsur lawak, kelakar dan juga santai. Usul humor ini adalah usul yang berkonsepkan santai dan tidak membebankan pendebat dengan isu-isu yang berat dan kompleks.

 

Pada kebiasaannya, pendebat akan mengupas usul humor ini berdasarkan pemerhatian, idea rasional dan juga fakta-fakta yang mudah dan ringkas. Walau bagaimanapun, kebebasan sepenuhnya diberikan kepada pendebat untuk meletakkan hala tuju perdebatan.

 

Sekiranya pendebat berniat untuk membahaskan usul humor berdasarkan sokongan fakta yang kompleks, maka mereka bebas berbuat demikian dengan menupai usul humor yang diberikan.

Antara contoh-contoh usul humor adalah:-
1. Madonna lebih baik daripada Maradona
2. Yang ketat lebih baik daripada yang longgar
3. Ultraman lebih kuat daripada Superman
4. Perempuan adalah ketua yang lebih baik
5. Adakalanya kita perlu biadap

 

Usul peribahasa/simpulan bahasa
Untuk menguji kemahiran pendebat dalam berbahasa dan bersastera, usul peribahasa atau simpulan bahasa sering diberikan kepada pendebat. Pada asasnya, usul peribahasa atau simpulan bahasa ini selalunya tidak boleh didebatkan pada takrifan atau konsep literalnya.

 

Pendebat biasanya memperkenalkan satu konteks perdebatan untuk meletakkan landasan bagi membahaskan maksud peribahasa atau simpulan bahasa tersebut. Oleh yang demikian, kemahiran memahami makna peribahasa atau simpulan bahasa dengan tepat dan juga kemahiran menupai atau meletakkan konteks adalah amat diperlukan untuk membahaskan usul jenis ini.

 

Antara contoh-contoh usul peribahasa atau simpulan bahasa adalah seperti berikut:-
1. Dengar-dengar guruh di langit, air di tempayan dicurah jangan
2. Rezeki secupak takkan jadi segantang
3. Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan


1.1.1 Kehendak dan tuntutan pembuktian usul

Selain daripada pembahagian kategori seperti di atas, usul juga boleh difahami melalui pembahagian mengikut kehendak dan tuntutan pembuktian usul. Pembahagian tersebut adalah seperti berikut:-
1. Usul perbandingan kebaikan dan keburukan
2. Usul membentangkan realiti
3. Usul cadangan/andaian/futuristik

Usul perbandingan kebaikan dan keburukan
Lazimnya, usul jenis ini adalah usul yang paling banyak diperdebatkan oleh pendebat. Ini adalah kerana sifat semulajadi usul ini yang merupakan cetusan perbandingan antara paparan kebaikan atau keburukan sesuatu yang disandarkan.

 

Acapkali juga, usul jenis ini mengehendaki pendebat mendebatkan satu cadangan untuk menentukan kesesuaian cadangan tersebut sebelum diimplementasikan.

 

Perdebatan usul jenis ini lebih mirip kepada situasi sebenar di dewan Parlimen apabila sesuatu rang undang-undang dibentangkan dan dibahaskan untuk melihat kebaikan dan keburukannya.

Usul jenis ini mudah dikenal pasti dengan wujudnya kata kunci seperti lebih atau kurang yang diikuti dengan kata sifat atau frasa adjektif. Dalam banyak keadaan, usul jenis ini telah menyediakan kepada pendebat apa yang perlu dibandingkan didalam usul itu sendiri.

 

Walau bagaimanapun, terdapat juga usul jenis ini yang tidak menawarkan apa yang perlu dibandingkan secara jelas. Oleh yang demikian, pendebat bebas memilih situasi yang ingin dibandingkan yang paling sesuai dan relevan dalam perdebatan.

Contoh usul:-

Dengan situasi perbandingan yang jelas
(a) Mencapai kemerdekaan lebih mudah daripada mempertahankannya
(b) Madonna lebih baik daripada Maradona
(c) Kestabilan politik lebih diperlukan daripada kekukuhan ekonomi dalam membangunkan sesebuah negara

Tanpa situasi perbandingan yang jelas
(d) Wanita adalah ketua yang kurang baik
(e) Globalisasi lebih menguntungkan perekonomian negara-negara membangun
(f) Dalam sektor buruh, rakyat Malaysia lebih dimanjakan
(g) Kawalan Modal Terpilih kurang berkesan


Usul membentangkan realiti
Dalam membahaskan usul jenis ini, pendebat dituntut untuk memaparkan kepada penonton realiti sebenar yang berlaku berdasarkan fakta-fakta empirik dan kajian yang dibuat.

 

Bagi menentang usul jenis ini, pihak pembangkang perlu bersedia untuk menyasarkan pemikiran penonton terhadap realiti yang cuba dipaparkan oleh pihak pencadang kepada satu dimensi lain yang bertentangan.

 

Pihak yang berjaya memikat penonton dengan perspektif realiti yang dibawanya, akan memenangi perdebatan tersebut.

Usul jenis ini hanya akan membincangkan perkara yang telah terjadi dan analisa pendebat tentang sesuatu peristiwa dan tindakan yang telah dilakukan. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk pendebat menguasai fakta dengan tepat bagi membolehkan mereka memanipulasikan situasi yang diberikan kepada kebaikan di pihak mereka.

Contoh usul:-

1. Perjuangan menentang Jepun lebih pedih daripada perjuangan menentang British
2. Hang Tuah adalah wira, Hang Jebat adalah penderhaka
3. Kawalan matawang adalah satu kesilapan
4. Dasar Ekonomi Baru gagal
5. Nasionalisme adalah asas kemerdekaan


Usul cadangan/andaian/futuristik
Usul jenis ini juga mirip kepada perbahasan di dewan Parlimen kerana ia membincangkan sesuatu yang belum berlaku dan masih di dalam peringkat cadangan.
 

Pendebat perlu untuk mengemukakan analisa mereka berdasarkan kepada fakta-fakta kontemporari yang disulam dengan andaian logik dan unjuran-unjuran statistik untuk membuktikan bahawa sesuatu cadangan itu perlu diterima pakai.

Contoh usul:-

1. Malaysia takkan jadi kuasa besar dunia
2. Perang Dunia Ketiga pasti berlaku
3. Alaf baru bakal mewarisi konflik lama (didebatkan pada tahun 1999)
4. Dinar Emas bakal menggugat Dolar Amerika
5. PBB perlu dirombak
6. Adakalanya kita perlu biadap

 

Bersambung...

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Buletin | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian